Salam,
Ni aku belanja bab 1 KABUT :
BAHAGIAN 1
Imbas semula 1
Tahun 1995
Satelit semulajadi bumi itu tergantung di dada
langit malam. Ia bersinar memantulkan cahaya menembusi awan nipis yang
memayungi kawasan itu. Sebahagian cahaya dari bulan itu terdampar pada sebuah
cerun berbatu bukit. Cerun berbatu bukit itu terletak di belakang salah sebuah
blok kediaman pelajar lelaki. Seorang pelajar lelaki yang sejak tadi berdiri di
kaki lima di bawah kesamaran cahaya sambil menatap bulan dan cerun berbatu
bukit itu meludah. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam blok kediaman pelajar
senior. Dia memeriksa sekumpulan pelajar senior yang sedang sibuk bersiap. Ada
yang sedang mengenakan but, mencelorengkan muka dan memakai tali pinggang
askar. Dia melihat jam tangan lalu mengarahkan kumpulannya itu segera bersiap
kerana mereka akan bergerak bila-bila masa. Mereka bersiap pantas dan kemudian
sebahagiannya mencapai kayu hoki, kayu pemukul sofbol dan batang kayu. Selepas
itu mereka pun bergegas keluar dari bangunan itu. Berjalan pantas hampir
berlari melalui laluan gajah menyusur hingga sampai di dewan kuliah. Mereka
berdiam di luar pintu dewan kuliah untuk beberapa ketika.
Keadaan yang tadi sepi kini riuh rendah di dalam
dewan kuliah itu. Dicetuskan oleh pengumuman Kamal yang menyatakan bahawa
kumpulan pelajar baru tahun ini diberi peluang untuk mengemukakan cadangan
senarai barang-barang elektrik dan sebagainya yang mereka inginkan berada di
sayap kediaman masing-masing. Keadaan bertambah riuh bila Kamal memberitahu
peluang itu julung kali berlaku. Berkali-kali menyatakan bahawa kumpulan
pelajar baru tahun ini beruntung kerana mendapat peluang keemasan begitu.
Peluang keemasan yang tidak pernah diperolehi oleh kumpulan-kumpulan pelajar
tahun-tahun sebelumnya termasuklah kumpulan pelajar tahunnya sendiri.
“BETUL ke bang?” tanya Haris, salah seorang daripada ratusan pelajar
baru tingkatan empat yang mendaftar masuk ke sekolah berasrama penuh itu.
“Ya. Ini sekolah elit. Diberi kemudahan
terbaik. Sebut sahaja, tetapi alasannya perlu munasabah. Pihak sekolah akan
pertimbangkan. Jika sesuai akan diluluskan,” jawab Razi, salah seorang
fasilitator minggu orientasi itu.
Haris dan rakan sekumpulan berteriak
seronok.
“Peti sejuk!” kata Shukri, salah
seorang pelajar baru.
“Alasan?” tanya Maria.
“Sebab nak simpan makanan supaya tahan
lamalah,” jawab Shukri.
“Boleh ke?” tanya Maria yang mencatat
sambil melihat muka Haris yang menjadi ketua kumpulan itu. “Kalau bolek syok
juga. Boleh simpan coklat Cadbury.”
“Bubuh saja. Terima atau tidak,
belakang kira,” jawab Haris.
Maria memasukkan peti sejuk di dalam
senarai barangan yang mereka kehendaki ada di asrama.
“Baca senarai kita tu,” arah Haris.
“Televisyen, radio, penghawa dingin dan peti
sejuk,” baca Maria.
“Televisyen kan sudah ada di dewan
makan tu,” komen Azrai.
“Betul. Memang dah disediakan. Tetapi
lagi bagus kalau ada di setiap asrama. Tak payah satu sekolah kena berkumpul di
dewan makan untuk tengok televisyen,” jawab Khairi yang memberi cadangan
televisyen tadi.
“Berkumpul beramai-ramai dapat memupuk
perpaduan! Televisyen jika ada di setiap asrama hanya akan merenggangkan
perpaduan,” balas Azrai.
“Takkan sampai begitu sekali,” tingkah Khairi pula.
“Mungkin saja...” pertahan Azrai.
“Aku tetap rasa kita tak perlu minta
televisyen. Banyak kesan buruk kalau setiap asrama ada sebuah televisyen.”
“Apa yang buruknya?!” tanya Khairi,
tinggi sedikit suaranya.
Suasana berubah tegang. Perdebatan juga
berlangsung sesama ahli dalam kumpulan lain. Tetapi ada juga kumpulan pelajar
yang bergelak ketawa, gembira memikirkan alangkah beruntungnya jika senarai
mereka itu diluluskan oleh pihak sekolah. Semua itu menjadikan dewan kuliah itu
riuh rendah.
“Televisyen buat kita lalai!” jawab
Azrai.
“Kekalkanlah jadual menonton seperti
sekarang. Masa-masa lain manggalah televisyen itu macam biasa,” balas Khairi.
“Lebih bagus kalau waktu menonton itu
digunakan untuk mengulangkaji!” kata Azrai.
“Perlu hiburan juga. Tak boleh menghadap
buku siang malam, tujuh hari seminggu!” balas Khairi.
“Semua hiburan televisyen melalaikan.
Mana ada yang bagus!” kata Azrai.
“Hang silap!” jawab Khairi.
Keadaan menjadi lebih tegang. Pasti
lebih riuh-rendah. Ketika itulah pintu hadapan dewan kuliah itu dikuak deras.
Bunyi degar daun pintu menghentam dinding membingitkan suasana. Seluruh isi
dewan kuliah itu terkedu.
Sekumpulan pelajar senior yang menunggu di luar
pintu tadi menyerbu masuk. Salah
seorang daripada mereka mengayunkan kayu hoki ke papan hijau. Kawasan papan
hijau yang terkena pukulan itu pecah. Seorang lagi mengayunkan kayu sofbol pada
kerusi kosong. Kerusi kosong itu terlopong pecah. Perlakuan mereka diikuti oleh
rakan-rakan yang lain. Kerusi dan meja dipecahkan dan bergelimpangan di lantai.
Keadaan menjadi tidak terkawal. Pelajar-pelajar baru, terutamanya pelajar
perempuan menjerit ketakutan.
“Bangsat!” kata Lomu yang mengetuai serangan
berkumpulan itu. Mukanya yang berceloreng
menampakkan lebih kebengisan.