Pages

Showing posts with label Satu Masa Dulu. Show all posts
Showing posts with label Satu Masa Dulu. Show all posts

Wednesday, November 14, 2012

Bilalah Lagi nak Macam Ni.....



Aku suka semangat itu. Suka suasananya. Suka debarnya. Tapi dah lama tak rasa. Entah bila pasukan bolasepak Perak akan menjejakkan kaki ke final Piala Malaysia macam tahun 2007. Perak kena 3-0 dengan Kedah. Tetapi, kawan, berada di stadium bersama puluhan ribu penyokong adalah suatu pengalaman yang tak terucapkan!




















p/s : Gambar lelaki dalam mask transformer itu adalah adik aku, Hidzir. Ada masuk dalam suratkhabar dalam laopran liputan Piala Malaysia 2007. Dia memang fanatik Perak.

Friday, January 6, 2012

Hebat Jugak Aku Dulu, Hahaha

Ahad lepas, 1 Januari 2012, ada kenduri arwah di rumah atuk di Bagan Datok, Perak. Selepas tolong apa yang patut aku pun berehat-rehat di hadapan telivisyen. Tiba-tiba mata tertarik ke arah kabinet yang terletak di sisi dinding ruang menonton telivisyen itu. Selepas banyak kali balik ke rumah atuk, rumah yang aku tinggal dari darjah 3 sampai darjah 6 itu, sesudah tidak dipedulikan selama ini sudahnya koleksi piala di dalam kabinet itu akhirnya menarik minat aku. Aku tergelak sendirian. Hampir 70 peratus koleksi piala dalam kabinet itu adalah milik aku. Selebihnya milik adik-adik aku dan pak usu. Teringat zaman masa masih memakai baju seragam sekolah dulu. Kiranya aku ni boleh dikatakan atlet jugalah. Main bolasepak, hoki, sepaktakraw, badminton dan macam-macam lagi.

                                                         sebahagian piala dalam almari

Aku paling tak boleh lupa piala bolasepak yang aku menang masa wakil sekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Datok tu. Piala tu aku dan kawan-kawan (masing-masing dapat sorang satu) arak keliling pekan. Selepas tu kami singgah di Kedai Bombay dan dibelanja roti canai dan air oleh Pak Ngah Lias. Pak Ngah Lias ni saudara aku. Tak silap aku Pak Ngah Lias juga bagi sorang dua ringgit. Masa tu seronok bukan main. Lepas tu kami pi ke peringkat seterusnya tetapi kalah pada sekolah rendah dari Sungkai. Mana taknya berlawan dengan pasukan yang nampak lebih besar daripada kami. Kata cikgu, diaorang tu lambat daftar...hehehe.

                                inilah piala yang aku arak sekeliling pekan pada tahun 1990 dulu


Piala yang kedua yang paling mengusik hati aku adalah piala yang aku dapat selepas menang hoki dalam pertandingan antara sekolah bagi daerah hilir perak. Bukan senang nak dapat piala ni. Daripada tak reti main hoki masa tingkatan satu, kami satu pasukan boleh jadi johan daerah hilir perak masa tingkatan tiga. Salutlah pada Cikgu Nawik, jurulatih hoki di Sekolah Menengah Khir Johari (SMKJ) masa tu. Pada perlawanan akhir tu kami menang dengan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI). SEMESTI ni dulu antara sekolah yang handal dalam hoki. Tak tahulah sekarang macam mana. Kamilah, seingat aku, pasukan hoki lelaki pertama SMKJ yang jadi johan daerah. Selepas tu jadi sejarahlah.... SMKJ hebat lepas tu dalam hoki. Digerun dan dihormati lawan.....

                                                   bangga betul bila tengok piala ni


Tapi selepas habis belajar aku dah tak dapat apa-apa piala dah. Sudah lama tak bersukan pun. Kalau main bola selepas separuh masa pertama mahu pitam agaknya. Kalau main hoki pulak mahu patah pinggang kut. Tapi melihat semua piala tu sekurang-kurangnya aku tahulah bahawa dulu aku pernah mengecapi saat gemilang dalam sukan ni.... hahaha.


Walaupun dah tak bersukan tapi hampir semua sukan di saluran-saluran sukan Astro aku boleh layan.  

Friday, June 4, 2010

Semalamku Yang Hilang

Ada orang bertanya, zaman bilakah yang paling aku rindui? Jawabku segera : "Waktu dulu-dulu." Lebih tepatnya ketika zaman masih dalam pakaian seragam sekolah. Iaitu zaman sekolah rendah dan juga menengah yang takkan kulupakan. Kenangan indahku paling banyak berhimpun di situ. Masih membulat segar dalam ingatan : kami kawan sekampung, murid-murid Sekolah Kebangsaan Bagan Datoh, bersama-sama menyusuri denai Lorong Muhibah untuk ke sekolah seawal 6 pagi. Acara itu dilakukan sekali sekala tetapi amat mengesankan hati sampai kini. Masih terdengar-dengar di telinga jering cengkerik, lolong anjing dan deram babi. Juga seolah-olah masih dapat dirasai dinginnya alam pada pagi-pagi itu.


Peta Di mana Letaknya Bagan Datoh

Masih kental dalam ingatan  : kami sekawan, pelajar-pelajar tingkatan 3 yang kebanyakkannya aliran agama Sekolah Menengah Khir Johari, berpura-pura turun ke gelanggang sepaktakraw untuk bersukan waktu pagi pada ahad itu, tetapi kemudiannya fly ke Teluk Intan beramai-ramai dengan memakai baju sukan, tanpa kebenaran ketua warden, Ustaz Amin, demi..... demi menonton Perempuan, Isteri dan .....! Ya, filem kontroversi Uwei Hj Shaari itu... Fuh, Sofea Jean dengan kembannya...hehehe dan hahaha Nasir Bilal Khan dengan "Ha...."nya.

Poster Filem Perempuan, Isteri Dan .....



Masih teringat-ingat dalam ingatan : kami sekawan, pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau melalui Malam Warisan. Beritanya masuk dalam suratkhabar dan akibatnya ada senior yang kena buang sekolah dan banyak yang digantung sekolah.

MRSM Balik Pulau

Itu tiga daripada banyaknya fragmen kenangan indah pada zaman itu yang tak terlupakan. Aku fikir aku ingat semua kenangan - terutamanya yang indah. Rupa-rupanya tidak. Ada beberapa kerat yang tercicir dimamah oleh waktu dan tersisih oleh lingkungan. Keciciran dan kesisihan yang tak seharusnya itu hanya disedari bila dia, isteriku, muncul semula di dalam hidupku. Terkerlip-kerlip kenangan di antara aku dan dia : intai-intai anak kecil usia 12 tahun, kerling-kerling remaja di awal zaman bergelora dan hajat tak sampai kerana seorang kawan! Di atas semua itu, bila bersatu dengannya, aku cepat sedar bahawa dialah Semalamku Yang Hilang, iaitu something missingku, selama ini. Aku yakin rupa-rupanya Allah merencanakan penyatuan kami di dalam diam. KepadaNYA kupanjatkan kesyukuran.....

Nota : Artikel ini sudah diterbitkan di facebook. Ia catatan lamaku. 

Tuesday, June 1, 2010

Satu Masa Dulu : Permainan

Bila aku baca semula Bab 1 TLC, kenangan ketika zaman kanak-kanak itu mula mengerdip-ngerdip di hadapan mata. Ah, begitulah aku dulu. Dunia penuh dengan permainan. Dalam kepala : sebaik bangun tidur, ketika di dalam kelas, ketika belajar mengaji malah di dalam mimpi pun - upih, guli, tin dan mcm2 bahan mainan lagi selain bola. Gelanggang permainan selalunya di panggung wayang cina yang letaknya betul-betul tujuh lapan langkah dari pintu belakang rumah atuk aku. Panggung wayang cina itu panggung terbuka. Tempat wayang tongkol atau wayang drama diadakan saban tahun. Ia juga digunakan untuk majlis-majlis kenduri kahwin bangsa cina di situ. Juga tempat bermain badminton dan tentunya main tarik upih, tuju tin, galah panjang dan menyorok-nyorok.
Tarik upih, seingat aku, jarang dimain oleh aku dan kawan-kawan sekampung. Alasan utamanya kerana payah hendak dapat upih di kampung itu. Walaupun pelepah kelapa banyak tetapi bukan pilihan yang baik kerana punggung cepat panas dan luka. Biarpun jarang-jarang main tarik upih tetapi bila sesekali main riuhnya menggegarkan panggung. Berpeluhlah kami berlumba selalunya sekali pusingan panggung itu.


Tarik upih

Tuju tin juga selalu dimainkan di panggung wayang itu. Selalunya main dalam jumlah yang ramai. Bukan saja di kalangan kawan-kawan sekampung tetapi kaan-kaan kampung yang lain juga. Tuju tin guna bola tenis. Bila tin bergelimpangan di lantai kerana tuju yang mengena bercemperalah pasukan giliran menuju itu menyelamatkan diri. Apa yang seronoknya dengan tuju tin ini adalah debaran menyelamatkan diri daripada tuju pihak lawan. Kalau kurang nasib baik bola tenis yang kadang-kadang sudah basah kerana sudah masuk parit di tepi panggung wayang itu tepat hinggap di kepala atau muka.


Tuju tin

Galah panjang atau kami sebut toi juga dimainkan di panggung wayang itu. Senang kerana boleh guna garisan-garisan gelanggang badminton. Melentik dan meliuklah badan kami cuba melepaskan diri untuk bergerak ke petak seterusnya. Selalu leka bila main toi. Kadang-kadang bawa sampai ke senja atau tengahari. Bubar bila mama bawa rotan.


Galah panjang @ Toi

Main guli pula selalunya di tepi rumah Opah Cu Tan yang tak jauh juga daripada rumah atuk. Selalu kami main guli dengan dua cara iaitu cara bulatan atau garisan. Secara bulatan bererti guli diletak di dalam bulatan dan guli yang keluar dari bulatan setelah dituju akan jadi milik penuju. Secara garisan pula ialah semua guli peserta akan dibaling melepasi garisan oleh pemain yang punya giliran. Pemain lain akan menunjukkan salah sebiji guli yang perlu dituju oleh pemain itu. Jika guli itu berjaya dituju maka semua guli itu milik pemain tersebut.


Guli

Kami juga suka main menyorok-nyorok. Yang kelakarnya kadang-kadang menyorok sampai dalam rumah. Siap makan, minum dan tengok tv. Jenuhlah pencari mencari yang kadang-kadang ambil masa sampai setengah jam. hehehe


Menyorok-nyorok

Mengenangkan semua itu membuatkan aku tersenyum .................