Pages

Friday, March 4, 2016

Baca KABUT di Ilham

Salam,

Ni aku belanja bab 1 KABUT :


BAHAGIAN 1

Imbas semula 1

 Tahun 1995

Satelit semulajadi bumi itu tergantung di dada langit malam. Ia bersinar memantulkan cahaya menembusi awan nipis yang memayungi kawasan itu. Sebahagian cahaya dari bulan itu terdampar pada sebuah cerun berbatu bukit. Cerun berbatu bukit itu terletak di belakang salah sebuah blok kediaman pelajar lelaki. Seorang pelajar lelaki yang sejak tadi berdiri di kaki lima di bawah kesamaran cahaya sambil menatap bulan dan cerun berbatu bukit itu meludah. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam blok kediaman pelajar senior. Dia memeriksa sekumpulan pelajar senior yang sedang sibuk bersiap. Ada yang sedang mengenakan but, mencelorengkan muka dan memakai tali pinggang askar. Dia melihat jam tangan lalu mengarahkan kumpulannya itu segera bersiap kerana mereka akan bergerak bila-bila masa. Mereka bersiap pantas dan kemudian sebahagiannya mencapai kayu hoki, kayu pemukul sofbol dan batang kayu. Selepas itu mereka pun bergegas keluar dari bangunan itu. Berjalan pantas hampir berlari melalui laluan gajah menyusur hingga sampai di dewan kuliah. Mereka berdiam di luar pintu dewan kuliah untuk beberapa ketika. 
Keadaan yang tadi sepi kini riuh rendah di dalam dewan kuliah itu. Dicetuskan oleh pengumuman Kamal yang menyatakan bahawa kumpulan pelajar baru tahun ini diberi peluang untuk mengemukakan cadangan senarai barang-barang elektrik dan sebagainya yang mereka inginkan berada di sayap kediaman masing-masing. Keadaan bertambah riuh bila Kamal memberitahu peluang itu julung kali berlaku. Berkali-kali menyatakan bahawa kumpulan pelajar baru tahun ini beruntung kerana mendapat peluang keemasan begitu. Peluang keemasan yang tidak pernah diperolehi oleh kumpulan-kumpulan pelajar tahun-tahun sebelumnya termasuklah kumpulan pelajar tahunnya sendiri.

 “BETUL ke bang?” tanya Haris, salah seorang daripada ratusan pelajar baru tingkatan empat yang mendaftar masuk ke sekolah berasrama penuh itu.
“Ya. Ini sekolah elit. Diberi kemudahan terbaik. Sebut sahaja, tetapi alasannya perlu munasabah. Pihak sekolah akan pertimbangkan. Jika sesuai akan diluluskan,” jawab Razi, salah seorang fasilitator minggu orientasi itu.
Haris dan rakan sekumpulan berteriak seronok.
“Peti sejuk!” kata Shukri, salah seorang pelajar baru.
“Alasan?” tanya Maria.
“Sebab nak simpan makanan supaya tahan lamalah,” jawab Shukri.
“Boleh ke?” tanya Maria yang mencatat sambil melihat muka Haris yang menjadi ketua kumpulan itu. “Kalau bolek syok juga. Boleh simpan coklat Cadbury.”
“Bubuh saja. Terima atau tidak, belakang kira,” jawab Haris.
Maria memasukkan peti sejuk di dalam senarai barangan yang mereka kehendaki ada di asrama.
“Baca senarai kita tu,” arah Haris.
 “Televisyen, radio, penghawa dingin dan peti sejuk,” baca Maria.
“Televisyen kan sudah ada di dewan makan tu,” komen Azrai.
“Betul. Memang dah disediakan. Tetapi lagi bagus kalau ada di setiap asrama. Tak payah satu sekolah kena berkumpul di dewan makan untuk tengok televisyen,” jawab Khairi yang memberi cadangan televisyen tadi.
“Berkumpul beramai-ramai dapat memupuk perpaduan! Televisyen jika ada di setiap asrama hanya akan merenggangkan perpaduan,” balas Azrai.
   “Takkan sampai begitu sekali,” tingkah Khairi pula.
“Mungkin saja...” pertahan Azrai.
“Aku tetap rasa kita tak perlu minta televisyen. Banyak kesan buruk kalau setiap asrama ada sebuah televisyen.”
“Apa yang buruknya?!” tanya Khairi, tinggi sedikit suaranya.

Suasana berubah tegang. Perdebatan juga berlangsung sesama ahli dalam kumpulan lain. Tetapi ada juga kumpulan pelajar yang bergelak ketawa, gembira memikirkan alangkah beruntungnya jika senarai mereka itu diluluskan oleh pihak sekolah. Semua itu menjadikan dewan kuliah itu riuh rendah.

“Televisyen buat kita lalai!” jawab Azrai.
“Kekalkanlah jadual menonton seperti sekarang. Masa-masa lain manggalah televisyen itu macam biasa,” balas Khairi.
“Lebih bagus kalau waktu menonton itu digunakan untuk mengulangkaji!” kata Azrai.
“Perlu hiburan juga. Tak boleh menghadap buku siang malam, tujuh hari seminggu!” balas Khairi.
“Semua hiburan televisyen melalaikan. Mana ada yang bagus!” kata Azrai.
“Hang silap!” jawab Khairi.

Keadaan menjadi lebih tegang. Pasti lebih riuh-rendah. Ketika itulah pintu hadapan dewan kuliah itu dikuak deras. Bunyi degar daun pintu menghentam dinding membingitkan suasana. Seluruh isi dewan kuliah itu terkedu.
Sekumpulan pelajar senior yang menunggu di luar pintu tadi menyerbu masuk. Salah seorang daripada mereka mengayunkan kayu hoki ke papan hijau. Kawasan papan hijau yang terkena pukulan itu pecah. Seorang lagi mengayunkan kayu sofbol pada kerusi kosong. Kerusi kosong itu terlopong pecah. Perlakuan mereka diikuti oleh rakan-rakan yang lain. Kerusi dan meja dipecahkan dan bergelimpangan di lantai. Keadaan menjadi tidak terkawal. Pelajar-pelajar baru, terutamanya pelajar perempuan menjerit ketakutan. 


 “Bangsat!” kata Lomu yang mengetuai serangan berkumpulan itu. Mukanya yang berceloreng menampakkan lebih kebengisan.

Selebihnya korang boleh baca di Ilham Karangkraf









No comments:

Post a Comment