Pages

Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

Selamat Hari Lahir Sayang

Ini puisi yang aku beri pada isteri sempena hari lahirnya pada tahun ini. Sudah berbulan lepas. Sudah posting di facebook pada tarikh hari lahirnya itu.


Tetapi baru sekarang nak posting di blog ni. Mudah-mudahan kita dapat berkongsi sesuatu. Kerana tidur itu satu kematian yang sekejap Baca Di Sini . Maknanya bangun tidur bolehlah dianggap seperti satu kelahiran. Jadi puisi ini relevan dengan hidup kita setiap hari. Puisi tersebut :


Hari Mitsaaq di Lembah Na'man/keluar dari tulang punggung Adam/Berikrarlah kita mengiakan Tuhan/Kita ini umat terpilih/Umat Muhammad Rahmatan Lil Alamin/Diseru Tuhan kita menjawab/Labbaikallahumma Labbaik/Terpegunlah Musa di atas Tursina


Nutfah ke alaqah lalu Mudghah/Kemudian bentuk idham lantas Lahm jadilah Al-Nash'a/Ditiup ro
h di 12 hari/Ditentu 4 perkara sehingga mati/Membesar di balik 3 dinding gelap gelita/Bila cukup masa lahirlah kita


Dunia ini penjara/Tempat teduh sementara/Dalam perjalanan hamba/menuju negeri bernama syurga/manfaat 5 sebelum 5/peganglah erat pada tali-taliNYA/Doa jadi satu daripada 1000 yang bahagia


Sayang, selamat hari lahir/umurmu di sini tambah/di atas kurang pula/Mudah-mudahan selalu dirahmati/oleh Tuhan Yang Maha Mengasihi...


-fitrihussin/11 April 2012/ Batu Feringghi,Pulau Pinang-


Friday, May 13, 2011

Mama (Sempena Hari Ibu)



Mama,
Di saat melahirkan aku
Kau bergelumang dengan maut
nyaris eklampsia tidak menyebabkan kau
hilang nyawa
kau pejam mata dengan
segala sakit dan bahaya
kita menangis
waktu pertama kali
bersua muka


Mama,
Dari sebesar tapak tangan
hingga ke besar panjang
kau sirami sepenuh
perhatian dan kasih sayang
kini aku adalah aku
yang tebal rasa cinta pada agama, bangsa dan negara


Mama,
Terima kasih di atas segala
kau adalah mama yang tiada bandingan
dan jasamu yang tak ternilai itu
mustahil dapat kubalas
walaupun kugadaikan nyawaku yang satu ini


Mama,
Aku anakmu ini terlalu sayang padamu.

- fitri hussin -

Thursday, May 12, 2011

Garis Mula


Di garisan mula kita bersedia
Tembakan pistol menggegar udara
Kita berlari pantas sedaya upaya
Berusaha menumpaskan setiap peserta
Mahu jadi juara
Bila mencecah garisan penamat
Barulah kita sedar
Di sinilah garis mula sebenar
Tiba-tiba bahu berasa berat






- fitri hussin - 

Wednesday, May 11, 2011

Sukarnya Menulis

images


Ilham dari uncang kebaikan
kering.
Imaginasi dari kocek keindahan
kontang.
Fikiran dari kantung kebenaran
cicir.
frasa dari kamus budi
pudar.

Yang terlakar di atas kertas
ayat-ayat hodoh dan resah
Aku lumpuh seni
kerana negara sedang kalut
aku sama terikut.

-  fitri Hussin -


Rindu Halaman


Pernahkah engkau ingin melihat semula
muara ketika air mati
setelah muak melihat kilau pencakar langit
yang menjulang tinggi
Pernahkah engkau ingin merasa semula
sayunya alam sejurus hujan reda
setelah bosan merasa
keghairahan kota yang tak pernah lena
Pernahkah engkau ingin mendengar semula
jering cengkerik yang pilu
setelah jemu mendengar 
derum deram motokar yang hingar
Ayuh kita pulang 
lunaskan rindu halaman
kutip semula semua yang hilang.  

- fitri hussin -


Friday, June 18, 2010

Setitis?



Aku sedang baca The Outsider
Seorang anak kecil lelaki merapatiku
Tanyanya : "Baca buku?"
Aku mengangguk, melihatnya sambil tersenyum sepintas lalu
Dia bertanya lagi : "Buku apa?"
Senyumanku mula kelat
Entah harus dijawab atau tidak
"Bagus ke buku ni?"
Aku tersenyum kelat
Mula malas hendak melayan kerenah anak kecil itu
Dia bertanya lagi : "Siapa punya buku?"
"Abang," jawabku pantas. Lekas aku menambah : "Abang nak baca boleh tak..." Ayat menghalauku tak penuh kerana disampuk
"Saya tanya siapa penulis buku ni?" Anak kecil itu tergelak.
"Lelaki atau perempuan?"
Soalannya datang lagi sebelum aku sempat menjawab
"Orang mana?"
"Cerita tentang apa?"
Lama anak kecil itu berhenti di situ
Aku yang baru mula membaca terpana-pana
Aku belum dapat memberikannya jawapan
"Nipis saja buku ni..." katanya seolah mengejek
Aku kata : "Tapi penulisnya orang besar..."
"Kenapa nipis kalau dah orang besar?"
Aku mengeluh....
"Kenapa baca buku orang putih?"
Aku terkesima
"Tak ada orang besar melayu yang tulis buku nipis?" tanyanya seperti memerli
"Errr...." Aku kalah kerana tak ada jawapan
Anak kecil itu berlalu pergi
dengan langkah berlarinya
sambil meneriak berulang-ulang : "Ibu meninggal hari ini. Atau mungkin kelmarin. Aku tak tahu!!!"
"Mus, mus......" sambungnya kemudian tergelak...
Aku yang ditinggalkan terkedu  - dipermainkan atau diduga? Ilmuku benar-benar tak sampai setitis pun
Tuhan sajalah yang Maha Berilmu....

- fitri hussin, 180610, 6.30 petang -

Friday, May 28, 2010

Pinjaman Semata


Tiba-tiba apa yang kita miliki
terlepas dari genggaman
Kita gelabah, gundah dan
nangis kerana kecewa
Selama ini kita percaya
semua itu hak milik kekal kita
Kita lupa bahawa....
semua itu pinjaman semata

               Fitri Hussin, 29 mei 2010, 11pg



Wednesday, January 20, 2010

Mengapa Resah?





Hari indah tapi...

hati digomol resah
Tenunglah ke dalam langit biru
ketenangan kan menyusup ke dalam kalbu
Mengapa kita harus resah
walaupun kita tahu
kekasih abadi kita itu
sentiasa di sisi
tak kira dalam apa jua waktu.


 -fitrihussin,200110



Selamat Pagi Sayang



Embun masih kental

di kelopak-kelopak bunga
Tajamnya dingin pagi
tembus menikam tulang temulang
Aku yang tak tidur lena
gagahkan diri membuka mata
Agar aku dapat menyapa :
"Selamat Pagi Sayang" buat
Dia kekasihku sepanjang masa.

- fitrihussin, 200110 -