Pages

Tuesday, June 21, 2011

Aku Nak Itu!


Aku rasa Pak Murad, bapa Wadi, dirasuki hantu. Kerasukannya buat aku dalam keadaan sedih, kerdil dan tak tentu arah. Bukan kerana kasihankan Pak Murad tapi kerana kasihankan diri sendiri. Entah bagaimana Pak MUrad yang tersohor dengan bakhilnya itu tup-tup terbuka hatinya untuk membeli kereta kawalan jauh untuk anaknya Wadi. Hal memiliki kereta kawalan jauh itu kini menjadi fenomena di dalam kampung. Ada kereta kawalan jauh maksudnya cool. Dalam kumpulan kami itu, kini tinggal aku seorang sahajalah yang belum cool. Yang aku ada adalah model ferrari dari tanah liat yang aku pamerkan di atas almari rendah di dalam rumah. Model itu pun sudah kelihatan garis-garis rekah.
Aku tidak bersedih lama-lama. Tersengih tak lama kemudian. Bukan kerana sudah ada orang yang berjanji untuk membelikan kereta kawalan jauh tetapi sebab memikirkan pasti ada jalan untuk memiliki kereta kawalan jauh yang menjadi dambaan hati itu.

Jalan 1 : Menabung. Belanja sekolah kebangsaan - 40sen. Tak payah makan masa rehat. Pulun masa sarapan di rumah. Kalau takut lapar eloknya bawa bekal sarapan untuk rehat.Kereta kawalan jauh setanding Wadi harganya rm50. Jadi aku perlu 125 hari untuk kumpul rm50. Atau 17.8 minggu atau kira-kira 4.2 bulan. Selepas dikira berkali-kali - fuh! lama tu......

Jalan 2 : Masa tu musim rambutan. Jadi jual rambutan! Tapi memandangkan rambutan tumbuh merata kampung rasa-rasanya memang takkan lakulah rambutan yang aku nak jual nanti.

Jalan 3 : Minta pada abah. Helah jahat menyelinap dalam kepala. Dan seperti biasa aku tersengih. Tapi sengih kali ni sengih jahat. Macam sengih watak antagonis dalam drama tv bila dapat akal untuk melakukan kerja-kerja jahat. Hahaha (gelak pun dah bunyi macam gelak orang jahat)

Aku beritahu mak aku nak kereta kawalan jauh. Macam biasa mak kata dia akan panjangkan permintaan aku tu pada abah. Aku tahu aku tak boleh dapat daripada mak. Aku juga tahu permintaan aku tak pernah mak tak panjangkan pada abah. Mak beri jawapan pada keesokan harinya. Negatif! Aku buat muka sedih. Memang betul sedih dan bila ditambah dengan lakonan muka aku nampak betul-betul sedih sepuluh sen masa tu. Aku tahu mak perhati semua tu. Aku tahu mak jenis ibu yang tak sampai hati. Bila malam menjelma aku pun mulakan langkah terbesar dalam helah jahat aku tu. Aku pura-pura tidur ketika tengok tv. Masa tu abah dan mak masih menonton tv. Dalam sepuluh minit begitu aku pun pura-pura mengingau. "Vrom.... vrom...." aku menderum. Aku putar tangan ke kanan dan kiri seperti sedang memulas stereng dan kaki menekan angin seperti sedang membrek. Kemudian aksi ngingau itu berhenti. Bersambung semula selepas beberapa minit. "Kereta, kereta, kereta...." kata aku. Tiba-tiba terdengar mak memujuk abah : "Belikanlah dia kereta..." Tiada jawapan daripada abah.
Besok paginya tiada apa-apa yang berlaku. Aku rasa helah aku malam tadi tak berjaya. Bapa pagi-pagi lagi sudah keluar ke kedai kopi kata mak. Bila pulang abah menebas semak samun di belakang rumah. Jam 1 petang ketika makan tengahari abah pun bersuara : "Lepas zohor kita pergi BM (Bukit Mertajam)." Aku yang dipandang abah mengangguk. Hati sudah berbunga-bunga.
Aku macam tak percaya. Abah bukan saja beli kereta kawalan jauh untuk aku tapi kereta kawalan jauh yang lebih mahal daripada Wadi. Harganya rm70. Aku seronok bukan main. Tak sabar nak tunjuk pada kawan-kawan. Di belakang motosikal aku sengih tak berhenti. Tiba di Cherok To'kun enjin motosikal yang kami naiki mati. Abah memeriksa tangki minyak. Dia geleng kepala. Motosikal itu kehabisan minyak. Kami berjalan di sisi jalanraya. Aku menjijit beg plastik berisi kereta kawalan jauh dan abah pula memimpin motosikalnya. Kami melintasi sebuah stesen minyak dan terus berjalan sehingga tiba di rumah. Aku kehairanan. Bila tiba di rumah baru aku tahu kenapa bila mak bertanya pada abah, jawab abah : "Duit dah habis beli kereta untuk Adha...." Tiba-tiba aku rasa bersalah yang amat sangat. Tapi petang tu aku berseronok juga dengan kereta kawalan jauh tu. Terliur dan terlopong kawan-kawan aku tu terutamanya Wadi. Dan aku nampak abah tengok aku dari jauh. Walaupun jauh aku nampak senyumannya itu. Abah aku memang yang terhebat. Terima kasih, abah......

Episod akan datang : Perang Tanah Liat vs Tahi Lembu 

No comments:

Post a Comment