Pages

Monday, December 19, 2011

Kolah Masjid




Selain sungai, kolah masjid adalah tempat lain aku dan kawan-kawan berkubang. Tidak seperti sungai, kami tidak boleh sesuka hati berkubang di situ mengikut kehendak hati. Seingat aku hanya sekali sebulan sahaja kami berkubang di situitupun  selepas mendapat kebenaran. Bila Amin memberitahu pak menakannya iaitu salah seorang tok siak masjid kampung meminta kami mencuci kolah, kami bersorak macam kera dapat bunga. Tinggal semua yang dibuat dan mengayuh basikal macam orang gila atau berlari macam lipas kudung menuju ke masjid. Bukan apa masing-masing nak mengutip duit syiling yang selalu ada dalam kolah masjid itu. Duit-duit syiling itu terjatuh dari kocek-kocek baju melayu jemaah yang hadir menunaikan solat di masjid selama sebulan itu. Kalau dapat duit-duit syiling tu lepaslah duit beli gula-gula di kedai runcit Din. Tetapi selekas manapun kami sampai kutipan aku, Wadi dan azrul tak mungkin melebihi Amin. Ini kerana Amin masuk kolah masjid tu dulu sebelum datang kepada kami. Tak pernah Amin datang dalam keadaan kering. Sentiasa basah lenjun dengan sengih yang panjang. Jadi hal memecut laju menuju ke masjid itu tak pernah dilakukannya. Amin sentiasa paling lambat tiba di masjid - berlagak cool memanjang. 

Sampai-sampai terus terjun ke dalam kolah masjid dengan macam-macam gaya. Sommersault berpusinglah, sommersault bergandalah dan macam-macam lagilah. Dan decupan paling kuat terjunannya tentunya adalah milik Wadi. Riuh rendahlah kolah masjid tu dek decupan air kerana terjunan dan hilai tawa kami. Pada satu hari dalam duk riuh rendah tu Amin diam membisu di bucu kolah masjid. Wadi yang perasan dengan tingkah laku Amin itu melihat Amin denga penuh sangsi. 
"Kenapa?" tanya Wadi. 
Amin sengih dan kemudian keluar dari kolah. Kami yang masih di dalam kolah tertanya-tanya. 
"Kenapa?" tanya aku pula. 
Amin tersengih juga. 
"Hang kencing?" tanya Azrul pula.
Amin tersengih juga tetapi kemudiannya mengangguk disertai dengan ketawa. 
"Hoi biar betul," sambung aku.
Amin tersengih. Kami bertiga yang masih dalam kolah lekas-lekas keluar.
"Hang ni Amin. Potong stim," kata Wadi yang paling syok dapat berkubang pada hari itu.
"Mana boleh kencing dalam ni," kata aku pula.
"Bengkak hang nanti," kata Azrul pula.
 Muka Amin bersahaja. "Dah nak terkencing nak buat macam mana....."
Sesi berkubang pada hari itu sekejap sahaja bahana Amin yang tak dapat menahan kencing. Lepas buang semua air kolah kami pun cuci kolah sampai bersih. Lalu isi air semula ke dalam kolah dan seronok tengok air dalam kolah masjid yang bersih. Sebelum maghrib kami pun pulang ke rumah masing-masing selepas singgah di kedai runcit Din untuk beli gula-gula. 
Pagi esoknya aku, Wadi dan Azrul berkumpul macam selalu. Hari ni kami nak panjat Bukit Raya untuk tengok Jambatan Pulau Pinang. Tunggu punya tunggu Amin tak muncul-muncul seperti yang dijanji. Lalu kami bertiga ke rumahnya. Beri salam dan dijawab. Mak Amin di muka pintu. Arah kami masuk sebaik aku tanya mahu jumpa Amin. Amin terlentang di tengah rumah. Duduk di sisinya pak menakannya yang menjadi tok siak itu. Kami mendekati Amin. Amin sengih macam semalam. Tapi kali ini menahan sakit kerana anunya bengkak!  
Kata tok siak itu semuanya angkara kencing dalam kolah masjid semalam. Selepas diubati oleh tok siak dengan cara kampung Amin pun pulih keesokkan harinya. 
Sejak hari tu tak siapa berani kencing dalam kolah masjid lagi. setiap kali nak turun cuci kami akan buang apa yang patut dulu di tandas. Hehehe

p/s : Episod seterusnya : Fuyoo! jambatan Pulau Pinang ke tu?    

2 comments: