Pages

Tuesday, August 11, 2015

Fiksyen 302



Fiksyen 302
Ramlee Awang Murshid
501 muka surat
Alaf 21
Blurb : LAN LANI, JIMMY YEOH, PRAKASH KUMAR dan FARID JA’AH membunuh mangsa-mangsa mereka dengan kejam. Masing-masing melakukannya dengan cara yang hampir serupa. Angka 302 dilakar di dahi mangsa. Sejurus itu, mereka menghubungi polis dan melaporkan bahawa hukuman mati telah dilaksanakan. Ketika diberkas, mereka menyerah diri dalam keadaan bertelanjang bulat. Bagaimanapun, motif sebenar setiap pembunuhan sangat kabur. Andai dipadankan dengan psikologi manusia, ternyata mereka yang mengaku bertanggungjawab bukanlah orang yang waras. Kes-kes itu tidak dapat diselesaikan.
Tahun 2032 - seorang peguam, Rita Yuzalina menyertai projek rahsia yang dikendalikan oleh dua orang pakar psikiatri bertujuan untuk merungkaikan misteri pembunuhan itu. Namun, ia disabotaj. Pertukaran watak berlaku. Lebih menakutkan... tragedi lampau berulang lagi. Lebih dahsyat daripada apa yang dijangkakan!
Ulasan : Novel ini bergenre psikologi thriler. Plot novel ini laju dan kompleks tetapi masih tidak menghanyutkan. Bahasanya pula bahasa standard lantas mudah dihadam. Latar tempat dan masa dipilih dan diadun dengan baik. Sehingga kadang-kadang tidak terasa beza 20 tahun di antara masa kini dan lampau.
Watak yang paling berpengaruh tentunya adalah Zonan. Siapa Zonan? Ia watak misteri yang menjadi dalang dalam siri pembunuhan yang berlaku. Kalau berpegang pada tagline pada muka hadapan novel ini : 'Jangan Percaya'. Maka pembaca yang memegang tagline ini akan dapat membuat kesimpulan pertama bahawa Zonan adalah watak yang akan dipotretkan oleh penulis sebagai seseorang yang naif, teraniaya dan tidak bersalah. Maka daripada situ boleh dibuat senarai beberapa kemungkinan suspek yang sebenarnya adalah Zonan. Tetapi tidak semudah itu, RAM amat bijak menyembunyikan siapa Zonan sehingga ke penghujungnya. Walaupun siapa Zonan sebenarnya ada dalam dua senarai terakhir aku tetapi siapa Zonan hanya mampu aku ketahui sehingga ke penghujungnya.
Novel ini hebat. Layak mendapat 5/5 bintang. Teori question mark yang menjadi asas kepada novel ini memang berjaya diaplikasikan dengan cemerlang oleh RAM. Salut untuk RAM.
p/s : Walaupun koleksi RAM hampir sempurna di rak buku (koleksi isteri) tetapi Fiksyen 302 adalah novel pertama yang aku baca. RAM memang layak digelar Novelis Thriller No 1 Malaysia. Selepas ini akan baca Rahsia Perindu pula. Kata orang, Fiksyen 302 mirip Rahsia Perindu. Kita tengok nanti. Tapi aku percaya tentu ada kelainannya.



No comments:

Post a Comment