Pages

Monday, April 11, 2011

DSPSMD : Kenapalah Aku Suka Kumpul Dua Benda Ni....



Hehe….. Kena mula cerita dengan sengih. Sengih sampai nampak gusi macam kambing. Sebab cerita ini banyak malunya. Malu kerana misteri yang kelakar. Misteri tentang koleksi aku masa zaman kanak-kanak tu. Budak-budak kampung lain sibuk duk kumpul patung-patung kartun, askar, barbie, guli, gasing dan lain-lain tapi aku pula lain. Aku sibuk kumpul pensil warna dan gunting. Ya, pensil warna dan gunting!
 
                                                                 Pensil warna
                                                                 Gunting lipat pun kesukaan aku. 
Itu taklah berapa misterikan. Yang jadi misterinya ialah aku tangan kayu – tolol melukis dan buta warna – tak pandai mewarna tapi minat betul mengumpul pensil warna. Aku memilih. Selain pensil warna Luna aku tak pandang. Jadi dalam beg sekolah aku sekurang-kurangnya ada dua kotak pensil warna Luna setiap hari. Pensil warna Luna yang lain aku simpan dalam laci buku di rumah. Bertukar-tukar giliran sampai sebulan! Macam tu jugak dengan gunting. Aku suka sangat kumpul gunting lipat. Tak tahu kenapa lalu jadi misterilah… Aku tak cenderung nak jadi pakar bedah ke atau tukang jahit tapi aku suka kumpul gunting. Aku bawa kadang-kadang sampai lima gunting lipat tu ke sekolah. Semua aku atur cantik dalam bekas pensil khas untuk simpan gunting tu. Bila ada kelas yang menggunakan gunting aku dengan segeranya bermurah hati meminjamkan semua gunting tu pada rakkan-rakan sekelas. Aku pula duk tepi diaorang tengok diaorang menggunting apa-apa bahan pada hari tu. Hihihi… 
                                                  Luna sahaja. Yang lain-lain tak boleh masuk!
Dua benda ni memang jadi candu bagi aku bila bapak bawak aku ke kedai Din atau Bakar. Bukan gula-gula atau keropok. Bila mata terpandang dua benda ni, aku jadi tak tentu pasal…. resah gelisah macam orang penagih dadah nampak dadah. Bila bapak aku tanya nak apa aku apalagi terus sambar dua benda ni. “Benda ni lagi?” tanya bapak sambil tersenyum. Dan aku tersengih kambing macam sekarang. Bila fikir-fikirkan balik sekarang nak tergelak pun ada. Bukan apa sebab aku biasa bertumbuk dengan Wadi kerana dia terambil sebatang pensil warna aku yang berwarna oren. “Hoi, aku terambil. Bukan curi. Aku dah mai pulang kat hang balik. Kenapa hang tumbuk aku?!” kata wadi sambil memegang matanya yang kena tumbukan aku. Aku menggaru-garu kepala, tersengih kambing. “Tak sengaja. Tak sedaq,” jawab aku, tindakan refleks ringkas tu berlaku macam tu saja tadi. “Tak sedaq kepala hotak hang!” Wadi blah dari rumah aku selepas memulangkan pensil warna berwarna oren itu. Lepas tu seminggu Wadi tak tegur aku. hehehe….
      Nak rasa penumbuk aku? Ambillah pensil warna aku. Tambah-tambah yang warna oren dan hijau. Dululah…
p/s : Kadang-kadang kita buat satu perkara tu tanpa alasan yang  jelas.
Episod akan datang : Asyik-asyik oren hijau….

DSPSMD : Ku Sangkakan Ikan Tapi Rupa-Rupanya




Aku darjah 2 waktu tu. Masa tu aku dah tak duduk di Gombak. Tapi duk di Kampung Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Bersempadan dengan Kulim, Kedah.  Aku masih ingat lagi masa tu budak-budak kampung malah budak-budak besar juga gila dengan ikan laga. Alah ikan yang cantik berwarna warni yang boleh berlawan macam ayam sabung tu…. tak tahu jugak? Kalau tak tahu jugak tengoklah gambar kat bawah tu.
                                                                  Ikan laga 
Sampai ada orang kampung yang buat duit jual ikan laga ni. Ada seekor 10 sen sampai seekor beringgit-ringgit, ikut saiz dan kecantikan ikan laga tu. Aku beli saja sebelum tu…. dekat abang yang duk kat tepi sungai dalam kampung tu. Aku simpan ikan-ikan laga yang aku beli tu dalam balang-balang kaca transparent bekas tauchu. Aku susun botol-botol tu atas kambir di tepi bilik air. Antara dua balang tu aku sisipkan kertas. Gunanya supaya ikan tu tak berkonfrontasi sesama sendiri sampai mati kerana terhantuk dinding balang.
                      Ikan laga disimpan dalam balang yang disisipkan dengan sekeping kertas antara dua balang
Pada satu hari dek kerana tak ada duit nak menambah koleksi ikan laga tu kerana duit simpanan habis dibelanja untuk membeli pensil warna dan gunting, aku pun ikut kawan-kawan sekampung konon-kononnya untuk menangkap ikan laga. Aku bersemangat bukan main. Kami pergilah jenguk-jenguk dalam bendang dibelakang rumah makcik Ani. Tiba-tiba Amin, kawan aku menjerit. “Hangpa, banyak ikan laga kat sini.Warna hitam. Best, best,”  Aku dan dua orang kawan aku yang lain, Wadi dan Herul, lari lintang pukang pergi kepada  Amin. “Lainlah rupanya….” kata Wadi. Kami berpandangan sesama sendiri. Amin jawab : “Memanglah… Ni masa dia kecik. Lagi seminggu besaq baru jadi macam ikan laga hitam kesayangan Pet tu…” Yakin bukan main. Aku sampuk : “Betul kut….” Apalagi, kami pun menangguk binatang tu…..
                                                                  Ikan laga ke ni? hehehe
Bila sampai rumah aku simpan ‘ikan laga tu’ dalam balang-balang kaca kecil di lantai luar bilik air. Pagi esoknya bapak panggil aku ke bilik air. “Apa ni?” tanya bapak. Jawab aku : “Ikan laga….” sambil menenyeh mata yang masih bertempek tahi mata. “Ikan laga?” tanya bapak lagi. Aku angguk 200% yakin. Tambah aku : “Anak ikan laga. Lagi seminggu besaqlah…” Bapak tergelak dan aku pula ternganga segar. “Kenapa bapak?” Bapak jawab : “Tu bukan anak ikan laga tapi…..” Aku ternganga lebih besaq… “Tapi apa bapak?” Bapak aku tersengih lalu menjawab :
                                                                 ”Berudu!”
sambung bapak : “Berudu tu…..”
Amin!!!!!!!!!!
P/s : sekarang ada orang yang kaya raya dengan menternak dan mengeksport ikan laga.

Diari Si Pet : Suatu Masa Dulu (DSPSMD)





Diari Si Pet : Satu Masa Dulu ni adalah label terbaru dalam blog aku ni. Aku tergerak nak buat label ni sebab aku rasa ada banyak benda nak diceritakan dengan korang berkenaan zaman dulu-dulu selain untuk menggantikan TLC. 90 peratus cerita dalam Satu Masa Dulu ni adalah pengalaman aku masa zaman dulu. Selebihnya fiksyen. Yang paling ketara, watak utama dalam cerita ni namanya pun bukan aku. ‘Aku’ dalam Satu Masa Dulu bukanlah aku. Ia watak fiksyen yang aku reka khusus untuk Satu Masa Dulu. Aku adalah Pet. Lalu orang-orang yang disekeliling ‘Aku’ bukanlah saudara mara, kawan-kawan atau apa sahaja yang berkaitan dengan aku. Semua watak dalam satu Masa Dulu adalah fiksyen. Kiranya Satu Masa Dulu ni adalah sebatian antara bukan fiksyen dengan fiksyenlah atau realiti campur fantasi. Aku harap korang dapat sesuatu daripada Satu Masa dulu. Paling tidak pun untuk mengendurkan urat-urat yang tegang. Mungkin ia boleh mengingatkan korang kepada zaman dulu-dulu korang. Kalau korang membesar di bandar Satu Masa Dulu mungkin dapat membawa korang mengenali hidup budak-budak kampung. Macam Kampung Boy lah pulak kan? Lebih kuranglah… Tetapi kan satu cerita dapat diceritakan dengan pelbagai gaya dan bahasa. Jadi, cerita mungkin sama tetapi penyampaian berlainan. Belum apa-apa lagi adalah seorang kawan aku ni kata kenapa aku nak sangat cerita pasal zaman dulu-dulu. Pesimis. Aku sengih macam kerang busuk.  Malas nak jawab serta merta. Kat sini aku nak jawab : “Apa yang kau jadi sekarang adalah hasil masa dulu” 

DSPSMD : Lahir Dan Nyaris Mati



Aku lahir tepat jam lapan pagi. Ketika muslim sedang khusyuk bertakbir raya. Bukan aidilfitri tapi aidiladha. Lalu bapaku menamakan aku Adha. Lebih tepat Mohd Adha Bin Adnan. Aku lahir sempurna. Cukup anggota badan dan sihat. Tetapi sebaik keluar dari perut ibu mataku sesepet-sepetnya. Entah ikut sapa bapaku dan ibuku pun tak pasti. Jadi nama timanganku pet, singkatan untuk sepet dan tak ada kena mengena dengan Lan Pet-Pet. Aku membesar dengan baik. Seperti kanak-kanak sempurna yang lain. Cukup makan, minum dan pakai. Alhamdulillah.
                                               Aku dan korang adalah juara sejak di alam rahim lagi
Ketika umur aku 5 tahun, bapaku berhijrah ke Gombak. Waktu itu kawasan Gombak sedang giat membangun. Kawasan perumahan naik di sana sini. Tak ubah macam Kulim dan bertam sekarang. Bapaku bekerja sebagai mandur di kawasan perumahan itu. Kami tinggal di sebuah rumah papan yang disewa di kawasan perumahan itu. Bukan rumah kongsi. Tetapi rumah kampung yang entah milik siapa. Jiran kami adalah beberapa orang anak muda yang bekerja di kawasan perumahan itu dan sebuah keluarga cina. Tiada kemudahan air. Jadi mandi, basuh kain dan lain-lain sumber airnya semuanya dari sebuah telaga nun jauh di belakang rumah. Satu hari salah seorang daripada anak muda itu bawa aku pergi mandi ke telaga tersebut. Ketika dia asyik menyabun badan dan mukanya hingga matanya tertutup, aku yang cuba mencapai sabun di pinggir telaga yang sama paras dengan  tanah itu mengeluncur masuk ke dalam telaga. Aku masih ingat peristiwa itu sampai sekarang. Bunyi air berdecup ketika aku jatuh, pejam mata seketika, bila buka mata semuanya gelap. Berpusing dua kali di dalam telaga itu. Sampai kali yang ketiga aku terus mengangkat tanganku ke permukaan telaga. Waktu itulah orang muda itu menyambut tanganku dan terus menarikku ke atas. Aku pucat lesi dan anak muda itu pucat pasi macam baru lepas tengok hantu. Ibu aku kata anak muda itu simpan peristiwa itu berbulan-bulan sebelum berani berterus terang.  Yang peliknya aku pun tak menceritakan peristiwa tersebut pada ibu. Bila ibu bertanya tentang peristiwa tersebut barulah aku mengaku. Itulah orang kata berpantang maut sebelum ajal. Peristiwa itu memang bermakna dalam hidup aku. Aku lebih menghargai hidup. Percaya kepada Qada’ dan Qadar dan hanya Dialah saja yang berkuasa menentukan hidup dan mati kita.
                                             Jika tidak sudah awal-awal lagi aku sudah ada batu nisan sendiri

Jadi, syukur kerana Allah masih beri peluang aku mengenali dunia.

P/s : Episod akan datang : Ku sangka ikan tapi rupa-rupanya….

Saturday, December 4, 2010

Novel

Pengumuman!!!

Novel aku bertajuk Kau Pertama Aku Kedua sudah berada di pasaran. Di bawah label Alaf 21. Jika stok di kedai habis jangan risau kerana ia dalam proses ulang cetak. Harap maklum.
                 
                                             

Sunday, July 25, 2010

TLC Bahagian 15 Karya Mohd Fitri Hussin


“Zali tu masih kekasih saya, Cik Ana,” kata Natasha, menipu. “Kami masih berhubungan,” sambung Natasha lagi.
Ana diam sahaja. “Tapi Zali kata dia dah tak ada apa-apa dengan awak,” balas Ana kemudian. Perasaannya berbelah bahagi sekarang.
“Lelaki, Ana. You kena faham lelaki ni banyak helahnya. Licik macam belut. Kalau tak licik dah tentu husband I dapat hidu hubungan kami,” balas Natasha. Sudah memberitahu yang kononnya Zali dan dia membuat hubungan sulit.
Ana diam sahaja. Kali ini betul-betul diam.

TLC Bahagian 14 Karya Mohd Fitri Hussin

8.3
Cerpen abangnya itu benar-benar menusuk kalbu Zali. Begitu berkesan hingga Zali termimpikan Mak Su malam tadi. Mak Su yang dalam pakaian serba putih dengan wajah bercahaya dan berseri sedang memerhati dan tersenyum kepadanya tanpa sepatah kata. Kesannya, sebaik celik mata, Zali terus ambil keputusan untuk pulang ke kampung hari itu juga. Memohon cuti selama seminggu. Pihak pengurusan Bina Maju segera meluluskan permohonannya itu kerana ini kali pertama Zali memohon cuti. Alhamdulillah kerana kesihatannya baik sepanjang hampir dua tahun bekerja di situ. Dia komited dengan kerjanya sekarang. Tidak mahu mengulangi kesilapan lama. Berjaya memisahkan soal kerja dan soal peribadi. Seseorang tidak akan maju dalam kerjaya jika selalu membawa hal peribadi di dalam kerja. Dia mahu menjadi profesional.
Simpang empat – Parit Buntar – Pantai Remis – Segari – Batu 5 – Simpang Tiga – Pekan Bagan Datoh – dan akhirnya