Pages

Wednesday, May 11, 2011

Sukarnya Menulis

images


Ilham dari uncang kebaikan
kering.
Imaginasi dari kocek keindahan
kontang.
Fikiran dari kantung kebenaran
cicir.
frasa dari kamus budi
pudar.

Yang terlakar di atas kertas
ayat-ayat hodoh dan resah
Aku lumpuh seni
kerana negara sedang kalut
aku sama terikut.

-  fitri Hussin -


Rindu Halaman


Pernahkah engkau ingin melihat semula
muara ketika air mati
setelah muak melihat kilau pencakar langit
yang menjulang tinggi
Pernahkah engkau ingin merasa semula
sayunya alam sejurus hujan reda
setelah bosan merasa
keghairahan kota yang tak pernah lena
Pernahkah engkau ingin mendengar semula
jering cengkerik yang pilu
setelah jemu mendengar 
derum deram motokar yang hingar
Ayuh kita pulang 
lunaskan rindu halaman
kutip semula semua yang hilang.  

- fitri hussin -


Tuesday, May 10, 2011

Pembikinan Kau Pertama Aku Kedua 2 (KPAK2)

Jalan yang mana satu?
Secara asasnya jalan cerita  KPAK2 sudah ada di dalam kepala. Tetapi terlalu banyak simpang siurnya sampai tidak tahu jalan mana yang perlu dipilih untuk menjadikan sekuel KPAK ini menjadi lebih mantap. Matlamat utama selain mahukan jalan cerita yang mantap ialah mahu memastikan manuskrip KPAK2 ini nanti tak lebih dari 550 mukasurat. Perit rasanya jika manuskrip yang panjang seperti KPAK yang sepanjang 1000 mukasurat dulu terpaksa dipendekkan sehingga 500++ mukasurat. Apa yang penting KPAK 2 pastinya menjanjikan perjalanan hidup aku (Zamri) yang lebih mencabar. Semoga semuanya dipermudahkan olehNYA.... Amin

Dia Tetaplah Juara Segala Juara







Pada 6 mei lalu genaplah 5 tahun abahku kembali ke rahmatullah. Bagi aku dia tetaplah juara segala juara. Mulus hati dan tinggi simpatinya memang tiada tandingan. Mudah-mudahan dia berada bersama orang-orang yang soleh. Al-Fatihah. Amin.

DSPSMD : Gunting Rambut Dan Korek Telinga




Rambut aku lambat panjang. Aku gunting rambut hanya sebulan sekali. Masa di Machang Bubok, aku masih ingat lagi, tempat menggunting rambut terletak di belakang kedai kopi mat lena, di bawah rimbunan pokok kelapa dan koko. Kerusi gunting rambutnya adalah kerusi gunting rambut tak silap aku cap Kwong Thye Cheong. Penyandar dan alas punggungnya sudah koyak rabak menampakkan span yang berbau hapak. Sesekali terbau juga aroma serbuk kopi atau teh dari kedai kopi mat lena. Kawasan itu juga dipenuhi dengan aroma abu rokok. Di situlah bapa membawaku untuk gunting rambut. Tukang gunting rambutnya pula adalah kawan bapa. Orang ramai di situ terutamanya pada hujung minggu. Yang hendak menggunting rambut tidaklah ramai tapi yang ramai adalah orang yang berborak kosong sambil minum-minum. Aku teringat lagi dek kerana melayan berborak tukang gunting rambut tersebut tergunting cuping telinga aku ketika mahu membentuk sideburn. Apalagi meraunglah aku sepanjang jalan menuju ke rumah dengan sideburn yang tak siap. Bila sampai rumah selepas raungku reda bapa menyempurnakan sideburn yang tak siap tu......


Kerusi gunting Rambut Kwong Thye Cheong


 Itu di Machang Bubok. Bila aku pindah ke Bagan Datoh ketika darjah 3 atuk selalu membawaku ke sebuah kedai gunting rambut cina di pekan. Ketika pertama kali gunting rambut di situ alangkah terkejutnya aku bila tukang gunting rambut cina tersebut tiba-tiba melaraskan kerusi ke belakang sedikit, segera menyalakan mentol yang tergantung di atas kepalaku tadi, mengambil sebatang besi yang panjangnya sejengkal dan terus mengorek telinga aku. Tergeliat jugalah badanku pada mulanya kerana cuak tetapi selepas beberapa lama ia nikmat.


Inilah korek telinga tu


Dari belakang kedai gunting rambut cina tersebut terdengar buah-buah mahjung berlaga...... Jangan tido di kedai gunting rambut kalau tak nak jadi macam mamat di bawah ni... hehehe








p/s : Cerita seterusnya : Gaya rambut dan poken

Sunday, April 24, 2011

Aku Dan PBAKL 2011



PBAKL tiba lagi. Pesta buku - pesta ilmu, yang terbesar di Malaysia. Tidak pernah teruja dan sedebar ini sebelum ini. Tapi untuk PBAKL 2011 ini segalanya berlainan. Semuanya kerana keterlibatan aku dalam program 'penulis bertemu peminat' bagi pihak Alaf 21. Khusus untuk mempromosikan novel "Kau Pertama Aku Kedua' aku yang sudah berada di pasaran sejak Januari lalu. Novel itu, alhamdulillah, sudah pun dicetak untuk kali kedua selepas berada di dalam pasaran selama 3 bulan. Entah apa yang bakal aku hadapi nanti. Mudah-mudahan yang pertama kali ini berjalan dengan lancar, insyaallah ......

Aku dijadualkan pada 30 April jam 4ptg-7mlm



Monday, April 11, 2011

DSPSMD : Asyik-Asyik Oren Hijau



Dulu, masa korang masih budak-budak dan punya kotak pensil warna, batang pensil warna apa yang cepat kontot berbanding yang lain? Aku, oren dan hijau. Entah kenapa, macam misteri, jika mewarna, aku suka sangat guna warna-warna ini. Selalunya aku padankan kedua-dua warna ini. Contohnya, jika mewarna gambar orang berpakaian, bajunya mesti diwarnakan dengan hijau dan seluarnya pula dengan oren. Kalau mewarna gambar rumah kampung, badan rumah warna hijau dan tiang dan tangganya warna oren. Kawan-kawan aku terutamanya Madi yang ada bakat melukis semulajadi itu selalu mengejek aku. Ejekan itu berlanjutan sampai sekarang jika kami jumpa sekali sekala. Katanya aku aku tak ada perasaan pada warna. Aku yang diejek hanya mampu tersengih macam kerang busuk.
Warna kesukaan aku biru tetapi yang peliknya jika mewarna aku suka guna warna oren dan hijau. Biru khusus untuk mewarna langit saja. Tak lebih daripada itu. Tetapi mak dan adik aku kata, berbanding biru aku lebih elok pakai baju warna oren. Nampak lebih segar… Entah itu satu perli atau nasihat jujur aku pun tak tahu. Tapi bila mengenangkan hal oren hijau ini aku selalu tersengih sorang-sorang. Kerana aku selalu bertanya kenapa aku selalu dapat D dn jarang-jarang dapat C dalam subjek lukisan dulu- selain tak reti melukis rupa-rupanya ‘rasa’ aku terhadap warna juga hancur! Hahaha. Sekarang aku terfikir, apalah perasaan cikgu Mastura, cikgu lukisan aku masa darjah 6 setiap kali dia tengok orang pakai baju oren dan seluar hijau dalam lukisan aku tu….
p/s : 1) Aku sokong Argentina. Biru putih. Hahaha. Aku kurang sokong Belanda. Oren! Tambah-tambah Mexico. Hijau!
           2) Aku dari dulu dapat rumah sukan Biru. Wing aku di MRSM BP pun biru – Samudera!
Jadi kenapa asyik-asyik oren hijau? Musykil betullah…
Episod akan datang : Gunting rambut Korek telinga