Pages

Sunday, July 25, 2010

TLC Bahagian 15 Karya Mohd Fitri Hussin


“Zali tu masih kekasih saya, Cik Ana,” kata Natasha, menipu. “Kami masih berhubungan,” sambung Natasha lagi.
Ana diam sahaja. “Tapi Zali kata dia dah tak ada apa-apa dengan awak,” balas Ana kemudian. Perasaannya berbelah bahagi sekarang.
“Lelaki, Ana. You kena faham lelaki ni banyak helahnya. Licik macam belut. Kalau tak licik dah tentu husband I dapat hidu hubungan kami,” balas Natasha. Sudah memberitahu yang kononnya Zali dan dia membuat hubungan sulit.
Ana diam sahaja. Kali ini betul-betul diam.

Natasha menyambung kata lagi. “I tak nak pengorbanan yang dah I lakukan ini sia-sia. Proses penceraian I dengan Malik sedang berjalan sekarang. Selepas idah, I nak pastikan yang Zali akan berkahwin dengan I. I lakukan semua ini sebab kami saling cinta menyintai,” jelas Natasha, menitis air mata, pandai berlakon.
Ana yang kaya dengan kasihan itu mula bersimpati dengan Natasha tanpa menyedari itu semua adalah satu pembohongan besar. Baginya, mahligai indah tidak berguna jika ia dibina di atas air mata orang lain. Dia sayang dan kasihkan Zali tetapi terpaksa membuat keputusan untuk tidak meneruskan percintaannya itu. Keputusan itu satu keperitan untuknya tetapi dia terpaksa. Natasha sudah banyak berkorban untuk sampai sejauh ini. Dan seharusnyalah Natasha mendapat balasan setimpal dengan pengorbanan besarnya itu. Dan sewajibnya dia yang mengundur diri.
“I tak nak you jadi penghalang antara kami nanti. Please Ana, I beg you,” rayu Natasha, menggenggam tangan Ana, menunjukkan betapa dia bersungguh.
Ana mengangguk. “Saya tak akan rampas apa-apa daripada awak. Percayalah,” jawab Ana.
Natasha tersenyum di dalam hatinya. Tetapi di luar, matanya menangis. Terus memeluk Ana dan mengucapkan terima kasih. Rancangannya berjalan lancar.
“Tapi kalau Zali datang juga pada Ana?” tanya Natasha, risau jika Zali dan Ana akan tetap berhubungan selepas ini.
“Saya akan pergi dari sini. Kalau perlu saya akan berhenti kerja,” jawab Ana.
Hati Natasha menjerit dan ketawa seronok.
Malam itu, dalam tangis yang panjang, Ana pun ambil keputusan untuk bercuti di kampung selama seminggu. Surat permohonan cuti itu telah ditaipnya dan kini Ana sedang mengemas pakaian di dalam beg pakaian. Eloklah jika dia pergi menenangkan diri di kampung. Lagipun sudah dua bulan rumah pusaka tinggalan arwah emaknya itu tidak dijenguknya. Kubur emaknya dan Mak Mah juga sudah dua bulan tidak diziarahinya. Inilah masa terbaik untuk berbuat begitu.
Maka, pada esok harinya, Ana pun pulanglah ke kampungnya selepas bertemu dengan Khairul di USM. Khairul tidak keberatan untuk melepaskannya balik ke kampung jika itulah yang dapat menenangkan hatinya.
Ana sampai di rumah pusaka di Kampung Pasang Api itu tepat pada pukul empat petang. Menyapu rumah dan halamannya sehingga senja. Bila malam, dia ditemani oleh anak perempuan Kak Som yang akan tidur di situ bersamanya. Memang anak perempuan jiran itu sentiasa tidur bersamanya di situ jika dia pulang.
Malam itu Ana tidak tidur lena. Mengenangkan apakah tindakannya ini betul. Sekarang baru dia dapat berfikir secara waras sedikit. Apa benarkah semua kata-kata Natasha itu? Akhirnya dia tertidur dengan kesimpulan yang bercampur aduk antara ya dan tidak.
Di luar, bulan yang tergantung penuh tidak jemu-jemu menerangi kegelapan malam itu.

2 comments: