Pages

Wednesday, January 18, 2012

Salut Untuk MAS

Di bawah ini adalah satu contoh video pengiklanan yang baik. Bahagian yang paling umph ialah pada minit 3:10.
"Kalau hatiku rasa rindu/ pada siapa ku mengadu/ kerna hati bertanya selalu/ berlinanglah air mataku...." Video Malaysia Airlines Missing You' ini memang menghiburkan. Tahniah Mas. Salut untuk kamu....





Sunday, January 8, 2012

Kesan Sebuah Novel


Apa ada pada sebuah novel? Itulah soalan yang selalu ditanya oleh mereka yang tidak pernah tergerak untuk memegang sebuah novel. Bagi mereka yang minatnya baca novel, macam-macam sebablah yang akan diberi. Sebab yang paling popular adalah untuk mengisi masa lapang dan kerana minat membaca sejak kecil. Tak kira apa pun sebabnya membaca novel jika kena pada novelnya memang sesuatu yang baik.
Novel, kalau mengikut Kamus Dewan bermaksud cerita dalam bentuk prosa, biasanya panjang dan kompleks, yang berkaitan dengan pengalaman  manusia dan kelakuan sosial. Kerana sebuah novel itu ada lah sebuah cerita yang biasanya panjang dan kompleks maka ramailah orang mengelak untuk membacanya. Alasan yang selalu diberi adalah kerana tiada masa. Memang novel menuntut masa yang banyak untuk dihabiskan. Tetapi bagi mereka yang minat dan yakin sesuatu dapat diperolehi daripada sebuah novel, hal tiada masa itu boleh diuruskan dengan mudah. Seperti kata pepatah melayu, hendak seribu daya tak nak seribu dalih.
Apa yang kita boleh perolehi daripada sebuah novel? Novel memberi kesan yang bukan sedikit pada aku.  Aku khatam baca Salina ketika masih di tingkatan dua. Novel itu aku pinjam dari perpustakaan Sekolah Menengah Khir Johari. Semasa di tingkatan empat aku terjumpa Tenggelamnya Kapal Van derWjick karya Hamka yang mahsyur itu di rumah jidi aku di Machang Bubok. Novel itu milik bapa menakan aku, Uncle Zali. buat pertama kalinya aku menangis ketika membaca novel. Watak Zainudin dan Hayati serta percintaan mereka yang tak kesampaian sehingga dibawa ke hujung nyawa serta ketidakadilan undang-undang Belanda, penjajah Indonesia waktu itu begitu mengusik kalbu aku. Sehingga kini novel itu kekal satu-satunya novel yang boleh membuatkan aku menangis. Dan semalam ketika isteri aku menangis sewaktu membaca sebuah novel di Perpustakaan Kulim aku secara tak sengaja memerlinya. Aku berasa bersalah kerana aku sendiri pernah berada di dalam sesuatu tersebut bilamana seluruh diri kita larut di dalam novel yang sedang dibaca. Seolah-olah semua kejadian yang berlaku di dalam novel tersebut betul-betul sedang berlaku di hadapan kita. Seolah-olah kita sendiri mengalami apa yang sedang dialami oleh watak-watak di dalam novel tersebut.
                                                      Puan Umi yang larut dalam sebuah novel   

Novel Daerah Zeni dan Keluarga Gerilya pula entah bagaimana begitu berpengaruh kepada aku sekiranya aku kebuntuan dalam menulis manuskrip novel. Kedua novel ini macam tonik yang mampu mencairkan kebuntuan tersebut. Selepas membaca beberapa mukasurat daripada salah sebuah novel itu semangat aku untuk menulis mencanak-canak dan idea pula akan datang mencurah-curah. Sampai ke hari ini aku masih tak tahu apa sebabnya.

Jadi apa pun sebabnya, membaca novel bukanlah sesuatu yang sia-sia jika kena pada novelnya. Lagipula membaca adalah sesuatu yang bagus kerana banyak faedahnya. Bukan sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman.....











 

Friday, January 6, 2012

Hebat Jugak Aku Dulu, Hahaha

Ahad lepas, 1 Januari 2012, ada kenduri arwah di rumah atuk di Bagan Datok, Perak. Selepas tolong apa yang patut aku pun berehat-rehat di hadapan telivisyen. Tiba-tiba mata tertarik ke arah kabinet yang terletak di sisi dinding ruang menonton telivisyen itu. Selepas banyak kali balik ke rumah atuk, rumah yang aku tinggal dari darjah 3 sampai darjah 6 itu, sesudah tidak dipedulikan selama ini sudahnya koleksi piala di dalam kabinet itu akhirnya menarik minat aku. Aku tergelak sendirian. Hampir 70 peratus koleksi piala dalam kabinet itu adalah milik aku. Selebihnya milik adik-adik aku dan pak usu. Teringat zaman masa masih memakai baju seragam sekolah dulu. Kiranya aku ni boleh dikatakan atlet jugalah. Main bolasepak, hoki, sepaktakraw, badminton dan macam-macam lagi.

                                                         sebahagian piala dalam almari

Aku paling tak boleh lupa piala bolasepak yang aku menang masa wakil sekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Datok tu. Piala tu aku dan kawan-kawan (masing-masing dapat sorang satu) arak keliling pekan. Selepas tu kami singgah di Kedai Bombay dan dibelanja roti canai dan air oleh Pak Ngah Lias. Pak Ngah Lias ni saudara aku. Tak silap aku Pak Ngah Lias juga bagi sorang dua ringgit. Masa tu seronok bukan main. Lepas tu kami pi ke peringkat seterusnya tetapi kalah pada sekolah rendah dari Sungkai. Mana taknya berlawan dengan pasukan yang nampak lebih besar daripada kami. Kata cikgu, diaorang tu lambat daftar...hehehe.

                                inilah piala yang aku arak sekeliling pekan pada tahun 1990 dulu


Piala yang kedua yang paling mengusik hati aku adalah piala yang aku dapat selepas menang hoki dalam pertandingan antara sekolah bagi daerah hilir perak. Bukan senang nak dapat piala ni. Daripada tak reti main hoki masa tingkatan satu, kami satu pasukan boleh jadi johan daerah hilir perak masa tingkatan tiga. Salutlah pada Cikgu Nawik, jurulatih hoki di Sekolah Menengah Khir Johari (SMKJ) masa tu. Pada perlawanan akhir tu kami menang dengan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI). SEMESTI ni dulu antara sekolah yang handal dalam hoki. Tak tahulah sekarang macam mana. Kamilah, seingat aku, pasukan hoki lelaki pertama SMKJ yang jadi johan daerah. Selepas tu jadi sejarahlah.... SMKJ hebat lepas tu dalam hoki. Digerun dan dihormati lawan.....

                                                   bangga betul bila tengok piala ni


Tapi selepas habis belajar aku dah tak dapat apa-apa piala dah. Sudah lama tak bersukan pun. Kalau main bola selepas separuh masa pertama mahu pitam agaknya. Kalau main hoki pulak mahu patah pinggang kut. Tapi melihat semua piala tu sekurang-kurangnya aku tahulah bahawa dulu aku pernah mengecapi saat gemilang dalam sukan ni.... hahaha.


Walaupun dah tak bersukan tapi hampir semua sukan di saluran-saluran sukan Astro aku boleh layan.  

Pembikinan Kau Pertama Aku Kedua 2 (KPAK2) Bahagian 2

Selepas beberapa bulan, di celah-celah kesibukan kerja dan hidup, akhirnya proses menulis manuskrip terbaru KPAK2 sampai ke penghujung. Berpeluh dan panas kepala jugalah untuk menyiapkannya. Mujurlah ada Evernote yang memudahkan aku untuk mengurus dan menyimpan setiap idea dan maklumat. Di situlah tempat rujukan setiap kali aku menulis manuskrip tersebut. aku tulis apa yang ada di dalam kepala.

                                                           evernote yang banyak membantu

Kadang-kadang ada ayat-ayat yang tunggang langgang. Aku teruskan juga menulis kerana tidak mahu cubaan mengedit di kala syok menulis akan merencatkan aliran idea yang sedang mengalir dalam fikiran. Jadi bila ada masa terluang di lain hari aku gunakan untuk mengedit ayat-ayat yang tunggang langgan tersebut. Jadi kalau dilihat buku aku menulis manuskrip tu memang banyaklah potong sana sini dan tambah sana sini.

                                                           potong dan tambah sana sini

Tapi akhirnya selepas bertungkus lumus maka siaplah manuskrip KPAK2. Sekarang tengah pulun menaip pulak. Proses ini pun leceh. Kadar kecepatan banyak bergantung pada kerajinan menaip. Macam hari ni baru dapat taip 8 mukasurat. Semalam pula dapat taip 17 mukasurat.
         
                                                       siapa nak tolong aku taip? Lenguh jari...

Aku doa, insyaallah, manuskrip terbaru ini jika berjaya diterbitkan akan hit. Mintak-mintak jualannya macam Ombak Rindu, Gemersik kalbu dan novel-novel yang terjual banyak tu. Maka akan kayalah aku.... hahaha. tapi yang terpenting aku harap KPAK2 ini nanti isinya dapat difaham dan dihadam oleh pembaca. Mudah-mudahan.... Amin.