Pages

Wednesday, August 24, 2011

Yang mana Satu : Ketupat Palas Atau Ketupat Sate?


                                                                           Ketupat Palas


                                                        Ketupat sate

Aku jarang sekali makan ketupat. Kalau makan sate pun jarang sekali aku nak sentuh ketupat. Waktu hari raya sahajalah aku makan ketupat. Memang pelik sebab masa hari raya sahajalah selera hendak makan ketupat tu muncul.Masa kecik-kecik, ketika membesar di Bagan Datoh, ketupat satelah yang aku balun setiap raya. Bila dewasa dan tinggal di Kedah, ketupat palaslah yang banyak dihidangkan waktu hari raya. Antara ketupat palas dan ketupat sate, aku paling suka ketupat palas. Kalau makan dengan rendang, terutamanya rendang tok dari air tangan mama aku, memang tak ingat dunia yeop. Boleh habis 10 biji ketupat palas sekaligus. Dan akibatnya ....... 


Tidurlah yeop! 

Almaklumlah ketupat palas tu kan dari pulut.... Jadi bila makan ketupat palas, aku memang akan makan dengan kuantiti yang sedikit sebab tak mahu mengantuk dan tertidur. Rugi yeop kalau hari raya pertama beroloh sepanjang hari ....... 

p/s : Nasi impit pun sedap......

Manuskrip Baru


Sepanjang bulan puasa ni, aku banyak menulis, menulis dan menulis. Aku tengah usahakan tiga manuskrip sekaligus. Memang letih yeop tapi sudah hobiku menulis hal meletihkan itu bukan apa-apa. Manuskrip paling mencabar ialah manuskrip yang mirip dengan novel aku di atas itu, Kau Pertama Aku Kedua. Cerita tentang dunia remaja yang penuh gelora. Semua maklumat yang akan digunakan untuk manuskrip itu sudah lengkap. Sekarang proses menyiapkannya semata-mata tertumpu kepada penulisan.

p/s : Bagi sesiapa yang belum memilki novel Kau Pertama Aku Kedua, silalah beli. Masih boleh didapati di kedai-kedai buku. Novel ini sudah dicetak untuk kali kedua sejak 3 bulan lepas.

Tuesday, August 23, 2011

Kad Raya : Sentimental Yang Tak Terkalahkan


Aku selalu percaya sesuatu (tak kiralah surat, memo, kad harijadi atau KAD RAYA) yang ditulis dengan tulisan tangan sendiri sentiasa menyuntik lebih perasaan sentimental kepada penerimanya. Aku percaya bukan aku sahaja yang berasa begitu tapi bagi kebanyakkan daripada kita juga. Menerima kad raya adalah sesuatu yang mengujakan pada masa dulu. Tambahan pula pada akhir ucapan ditandatangani dengan SA untuk Secret Admire atau kekasihmu atau ayahanda tersayang atau bonda tersayang. Lebih manis jika kad raya itu bermuzik. Memang class kalau dapat kad raya bermuzik yeop! Membalasnya juga sesuatu yang amat menyeronokkan. Aku ingat lagi menghabiskan masa berjam-jam di kedai Titi Serong di Pekan Bagan datoh semata-mata untuk membeli kad raya terbaik untuk dibalas kepada orang-orang yang mengirimkan aku kad raya. Dan ambil masa lama juga untuk menulis ucapan di dalamnya. Didraf berkali-kali di kertas lain sebelum menulisnya di dalam kad. Akhirnya ucapan yang dipilih tak lain tak bukan ialah (masa sekolah rendahlah ni...) : 
     
   Pecah gelas/Pecah tong/Sudah dibalas/Jangan lupa gantung!

Masa raya, jika berkunjung ke rumah penerima kad raya tersebut, pokok atau dinding tempat menggantung kad raya itulah yang mata aku tumpu dulu. Kembang kempis hidung kalau kad aku ada tergantung di situ. 
Sekarang sudah lama tak rasa begitu.... Sebabnya sudah lama tak terima kad raya. Paling akhir masa tingkatan 5. Lepas tu semua kad raya elektronik saja. Tambahan sekarang sudah ada rangkaian sosial seperti facebook dan twitter. Dan juga SMS. Yang hairannya di ketika Pos Malaysia tak menang tangan kerana kiriman kad raya yang bertambah setiap tahun, aku dan kebanyakkan daripada kita memang sudah tak rasa demam berbalas kad raya ni. Betul tak?

Teringin nak berbalas kad raya semula!!!

Gema Takbir Di Pagi Raya, 4U2C : Kenangan Itu Memang Manis!

Ketika mahu ke bank, aku melintasi sebuah kedai menjual pakaian. Alih-alih terdengar lagu raya 4U2C yang terkenal masa zaman rap tengah meletup dulu. Lagu ini mengingatkan aku pada satu persembahan sempena sambutan hari raya yang melibatkan aku dan kawan-kawan seasrama Sekolah Menengah Khir Johari Sungai Sumun  waktu tingkatan dua atau tiga. Bila diingatkan balik nak tergelak pun ada. Bukan setakat menyanyi saja yeop, kami siap menari. Tarian apa? Tentunya tarian rap, sebijik macam gerak tari 4U2C ..... jom ikut aku layan lagu ni sambil kepala duk terkenang masa lalu yang manis itu.......


Betul-betul teringat gerak tari di majlis tu yeop..... Kenangan itu memang manis!

Saturday, August 20, 2011

Kuih Raya Kegemaran

Pejam, celik, pejam, celik.... raya pun sudah nak dekat. Bercakap tentang raya, selain baju raya, lagu raya, perkara yang amat sinonim dengan raya ialah kuih raya. Masa inilah tauke-tauke kuih dan agen-agennya nak cari untung. Selain tukang jahit, aku rasa tauke kuih raya lah yang paling tak risau berkenaan dengan fulus untuk raya bila menjelang raya. Teringat tentang kuih raya ni teringat zaman kecik-kecik dulu masa aku, adik-adik dan mama tinggal di kampung Bagan Datoh, iaitu kampung atuk yakni bapa kepada mama aku. Waktu tu masa nak buat kuih raya paling seronok. Mama akan ke rumah kakaknya di Kampung Sungai Betul untuk buat kuih raya bersama-sama. Macam-macamlah mereka buat. Dari bahulu ke dodol. Memang syok sangat masa tu. Semua dibuat dengan manual yeop. Mana ada pakai mesin ..... Sekarang ni nak rasa suasana tu payahlah sebab semua main beli. Mana ada masa nak buat. Semua serah pada tauke kuih. Cuma boleh harap rasa kuih tu okey dan berdoa agar janganlah kuih yang dibeli tu sama saja rasa semuanya walaupun rupanya berbeza..... dalam beratus jenis kuih tu, aku paling suka almond london.

                                         Almond london kuih raya kegemaran aku

Entah kenapa aku pun tak tahu. Yang aku tahu bila almond london ni masuk mulut memang sedaplah rasanya. Aku ni jarang makan jenis-jenis kuih dan biskut ni. Di rumah, roti dan biskut boleh sampai berkulat tak disentuh aku. Isteri aku dah dapat kuih yang dipesannya daripada rakan sepejabatnya. Nak tahu berapa banyak pesanannya. Korang tengoklah sendiri gambar kat bawah ni. Itu pun ada item yang tak sampai lagi.

                                                                 Kuih raya Puan Umi


Dan dalam balang-balang tu tak ada satu pun yang berisi almond london sebab tempahan almond london tu dibuat dengan orang lain. agen tu kata minggu depan baru dapat. Harap-harap dapat le kalau tak bahayalah mana-mana rumah yang ada almond london jika aku bertandang kat sana. Mahu habis satu balang aku sental nanti.... hehehe. Salam Ramadhan. Masih Ramadhan lagi yeop. Belum Syawal. Tapi orang dah mula sembang pasal raya. Jarang sekali cerita tentang puasa. Hehehe

Tuesday, August 16, 2011

Jalan - Jalan Ke The Tree Top Walk : Mengatasi Gayat

Awal-awal dah rasa mencabar. Sepanjang perjalanan ke Sungai Sedim dimana The Tree Top Walk terletak diiringi hujan yang sekejap lebat dan sekejap rintik. Perasaan bercampur baur samaada mahu meneruskan perjalanan ke sana atau tidak. Khuatir jika tempat itu ditutup disebabkan hujan.

CIMG1594 CIMG1592

                             Hujan sepanjang perjalanan

Tapi kerana semangat menyala yang belum padam, pedal minyak ditekan dan stereng kereta dihala juga ke Sungai Sedim. Dan akhirnya ……

  CIMG1591                        

walaa….. sampai juga! Tapi masih hujan! Buka ke tidak The Tree Top Walk ni?

CIMG1552

                 Di permulaan trek bersama isteri. Senyum dalam cuak

Buka!!! Yahoo!!!!!!!

Senyum macam tak cukup pipi tapi dalam hati cuaknya menggunung tinggi! hahaha….. . Bila menapak saja di atas trek perasaan gentar mula menyerbu hati. Pelantar laluan bila dipijak terasa melendut sedikit lalu menghantar persoalan kepada diri samaada ia kukuh atau tidak. Tapi perjalanan diteruskan juga ….. Alang-alang menyeluk pekasam yeop, kata pepatah biar sampai ke pangkal lengan.

CIMG1573            Pelantar laluan yang melendut sedikit jika dipijak. Teka kaki siapa    tu? hehehe. Tengok betapa tingginya jika melihat ke bawah

Tapak demi tapak cuak mula ditemani gayat. Fuh, bayangkan anda berjalan untuk sama tinggi dengan pucuk pokok! Kalau orang yang memang takut gayat, pastikan anda tidak pandang bawah. Berderau darah yeop. Tambahan di laluan panjang dan pelantar yang bergoyang. Tapi semakin lama menapak, perasaan cuak dan gayat itu mula ditemani perasaan puas dan gembira. Pusing 360 darjah dimana-mana flora, flora dan flora. Memang menyenangkan dan menenangkan. Serasa diri dalam dakapan hutan. Sesuatu yang tak boleh dinikmati di bandar.

 

CIMG1559 CIMG1570

            Dua-dua sudah senyum maksudnya sudah okeylah tu

CIMG1566 CIMG1582

Indahnya alam ….. . Nak kenal pokok? Ada label disediakan. Nun di bawah Sungai Sedim mengalir deras

 Makin lama kami menapak makin tinggi. Sehingga ke titik paling tinggi iaitu 26050 mm dari aras hutan. Syok gila! Puas gila!

CIMG1569

Puas hati bila sampai ke titik paling tinggi trek

Sekarang masa untuk menuruni trek. Jangan suka sangat sebab jika anda seorang gayat anda akan tetap gayat juga sehinggalah sampai ke stesen.

CIMG1583 CIMG1587

           Puas yeop kalau sekali sekala dalam dakapan hutan

CIMG1578 CIMG1580

              Tambahan pula kalau pergi dengan yang tersayang

Pendek kata Tree Top Walk ni memang mencabar, menarik dan bagi pencinta alam dan sesiapa yang nak rasa bagaimana berada dalam dakapan hutan yang selama ini rimas dipeluk kasar hutan batu, tempat ini adalah ideal untuk anda.

CIMG1588

Bergambar lagi di hadapan papan tanda Tree Top Walk. Tanda puas hati. Tree Top Walk jika dipandang dari luar nampak macam tak ada apa-apa tapi percayalah ia berbaloi sebagai destinasi untuk bersantai. Lagi satu jalanlah perlahan-lahan, pandang sekeliling dan cubalah nikmati alam. Bila tiba di stesen selepas menamatkan trek pasti ada perasaan puas dan tenang yang anda perolehi.

Selamat mencuba. Selamat mengatasi gayat!

Jalan– Jalan ke Taiping

Untuk memberi habuan kepada diri selepas bekerja, bekerja dan bekerja macam nak rak, aku dan isteri ambil keputusan untuk berehat di Taiping. Isteri aku mencadangkan kami bermalam di Kamal Lodge. Dia pernah bermalam di situ ketika menghadiri mesyuarat lama dulu. Tempatnya mendamaikan dan katanya bila pagi suasananya macam di tempat tinggi kerana diselubungi kabus. Lalu aku setuju dengan cadangannya dan kami pun berangkat ke ‘tanah paling basah di Malaysia’ Pertama kali melihat Kamal Lodge hati segera terpaut. Memang cantik dan tersusun tempat tu. Terasa macam berada di kampung yang amat tersusun. Memang bukan indah khabar daripada rupa tapi seindah khabar. Kami mendaftar masuk. Harga bilik bagi semalam ialah RM180; harga korporatnya pula ialah RM162. Pastikan anda membawa pas pekerja sebagai bukti. Diskaun RM18 tu yeop …. . Harga tu berbaloi yeop dengan kemudahan yang diberikan. Jadi jika bercuti ke Taiping, samaada nak melawat tempat-tempat menarik di situ atau menghadiri kenduri kahwin aku syorkan korang menginap di situ. Bantal dan tilamnya melenakan, suasana sekeliling tenang – jauh dari hiruk pikuk dan makanan di kafenya pun sedap dan berpatutan. Jika korang ada anak atau anak-anak bermandi manda di kolam renang memang satu aktiviti yang pasti mengujakan asalkan korang tak malu-malu sebab kolam renang itu berhadapan dengan kafe dan berada betul-betul di tengah kawasan chalet. Dapat diakses daripada semua chalet. Korang buka pintu chalet, lari dan terus terjun dalam kolam, debus! Aku dan isteri pun berendam juga yeop. Peduli apa orang tengok.

CIMG2176 CIMG2174
CIMG2168
Suasana sekitar Kamal Lodge. Cantik kawasan chalet ni. Teratur dan siap ada kolam renang.

CIMG2175 CIMG2171
Jom tengok chalet untuk aku dan isteri. Puan Umi sedang bergaya di hadapan chalet kami

CIMG2169
                            Diselubungi kabus di hadapan chalet kami.


Selepas sejam berehat di dalam chalet kami menuju ke Zoo Taiping. Seingat aku kali terakhir aku ke situ ketika menunggu keputusan SPM. Sudah lama benor yeop! Sekali sekala tengok haiwan apa salahnya kan.

CIMG2132
CIMG2134
Tengok telatah orang utan. Kadang-kadang terfikir bagaimana ada orang percaya dengan Teori Darwis

Bukan apa yeop kadang-kadang kita lupa bahawa bukan kita sahaja yang hidup dalam dunia ni. Sebab tu habis hutan dan bukit kita gondolkan sehingga haiwan tak ada tempat tinggal dan kepupusan. Kita perlu ingat yeop setiap benda yang Allah jadikan dalam dunia ni ada peranannya masing-masing untuk kehidupan dalam dunia ni. Tuhan ada berfirman yeop tengoklah ciptaannya dan pasti kita dapat perolehi sesuatu bagi sesiapa yang mahu menggunakan akal.
CIMG2138
CIMG2139
Teringat buaya Bujang Senang yang lagenda itu

Zoo Taiping ni besor yeop. Kalau berjalan lebih daripada sejam jugalah ambil masa nak habiskan trip. Tapi puas yeop. Terutamanya bila dapat tengok haiwan yang jarang atau tak pernah kita tengok dengan mata kepala sendiri. Macam singa, harimau, gajah dan badak. 

CIMG2149
CIMG2151
 Singa tu yeop. Masa ni singa betina tengah mengaum marah. Pekerja zoo ambil anak-anaknya untuk buat sesi bermesra bersama pengunjung. Bayangkan yeop binatang pun sayang anak. Sebab tu orang kata orang yang buang anak ni lebih teruk daripada binatang. Berderau darah yeop bila dengar ngauman singa betina tu. Bayangkan kalau dengar ngauman begitu ketika dalam hutan

 CIMG2152
CIMG2153
Nak pegang  harimau kumbang tak dapat. Tipu-tipu pegang pun jadi le ….. Berani pegang ke? hehehe

CIMG2158
CIMG2159
Gajah tu tengah cuba nak ambil sejemput rumput dari kawasan di luar pagar tempat kurungan. Banyak kali gajah ni cuba yeop. Seriau juga sebab ada ketikanya gajah ni macam nak terjatuh supaya belalainya dapat capai sejemput rumput tu. Akhirnya gajah tu dapat juga sejemput rumput tu untuk dimakan. Tapi serius tekun gajah ni yeop. Selagi tak dapat selagi tu cuba.

CIMG2155
CIMG2157
Sekumpulan badak ni sejak mula aku tengok duduk diam tak berkutik sedikit pun sampailah aku pergi dari situ.

Selama hampir 2 jam berjalan barulah habis pusing satu zoo. Sepanjang berjalan tu banyak kali juga selisih dengan trem. Ramai juga pengunjung yang guna trem untuk pusing zoo ni. Bagi sesiapa yang nak cepat dan nak tengok semua haiwan tu sepintas lalu bolehlah guna trem tu. Tapi bagi yang betul-betul nak rasai pengalaman berada di dalam zoo aku syorkan guna kaki untuk berjalan.
Selepas keluar zoo kami kembali ke Kamal Lodge dan minum petang.

CIMG2164 CIMG2165

Malam nanti kononnya nak keluar ke bandar Taiping. Cadang nak tengok wayang. Tengok wayang kat Taiping tu…. hahaha tapi akhirnya pusing-pusing bandar Taiping saja sebab tak jumpa Taiping Sentral. Rancangan pagi esoknya untuk ke Bukit Larut juga terpaksa dilupakan kerana tidur selepas subuh itu terlajak hingga hampir tengahari. Kan aku dah kata bantal dan tilamnya melenakan. Sudahnya kemas beg pakaian dan balik Kulim…. Tapi aku dan isteri sudah merancang untuk kembali ke sini lagi. Kali ini dengan anak-anak buah. Hendak bawa mereka melawat zoo. Biar mereka tengok singa, harimau, orang utan, badak, buaya dan lain-lain haiwan dengan mata kepala sendiri. Bukan hanya dari buku bergambar yeop.
Selamat jalan-jalan ke Taiping.

Misi Beli Baju Raya Mama

Pada 13 Ramadhan lalu bersamaan 13 ogos 2011, aku dan isteri keluar untuk beli baju raya mama. Selepas ambil mama dan Nufil Armany, anak saudara aku, di rumah adik di permatang pauh, kami terus bergerak ke Bandar Perda. Masuk kedai pakaian Habibah. Tak lama kemudian keluar dengan tangan kosong. Kemudian berlegar di Bandar Perda untuk mencari butik pakaian tapi semuanya tak berkenan. Mama bagi cadangan agar kami ke Parit Buntar. Di sana banyak butik pakaian. Lalu kami pun ke sana. Terus ke kedai pakaian Haji Sany yang terletak di sebelah kanan KFC. Belek baju kurung di tingkat satu dan kemudian ke tingkat dua. Di tingkat dua baju-baju kurungnya lebih cantik dan eksklusif.

IMG00286-20110813-1256
Wahhhhh, antiknya baju kat sini!

IMG00287-20110813-1257 IMG00288-20110813-1257
Sebelum belek baju kurung di tingkat 2 ni jom kita bergambar dulu

IMG00292-20110813-1259
Antiknya baju kurung ni Jidah …. Tapi sayangnya tak ada saiz

IMG00283-20110813-1256
Misi mencari baju kurung raya untuk Jidah diteruskan. Ikut sama menyibuk mencari ialah Nufil Armany

IMG00294-20110813-1300
Arghhhh…. Dah ada 2-3 baju yang Jidah berkenan tapi tak ada saiz le pulak

IMG00291-20110813-1258
Nufil Armany yang ‘tension’ sudah mula buat hal sendiri. Belek diri dalam cermin …oppsss merapikan rambutnya hehe

IMG00293-20110813-1259
rebut Blackberry T”Na-nya dan…

IMG00285-20110813-1256
bercakap dengan model patung!

Selepas beberapa lama jumpa sepasang baju kurung yang berkenan. Mama cuba di fitting room dan kami menunggu dengan sabar dan debar …

IMG00297-20110813-1305
Menunggu dengan sabar ….

Selepas beberapa minit mama keluar dari fitting room. “Ketat,” katanya. Automatik lemah segala sendi. Kami keluar dari kedai pakaian Haji Sany dan masuk dua tiga kedai lain sebelum masuk ke kedai pakaian Haji Sany yang lain. Cawangan ini milik anaknya. Terletak di hadapan KFC. Misi mencari baju kurung raya mama diteruskan. Cari, cari dan cari……
IMG00298-20110813-1341 IMG00300-20110813-1342
Nufil Armany belajar mimik muka dengan T”Na-nya sementara menunggu Jidahnya mencari baju kurung raya di cawangan kedai pakaian Haji Sany

dan akhirnya jumpa juga baju kurung raya mama. Mujur baju kurung itu ada saiz XL. Jika tidak terpaksalah ke butik lain untuk cari, cari dan cari lagi sampai jumpa. Aku, isteri, Nufil Armani yang sudah beberapa kali ajak balik dan juga mama lega bukan main.
IMG00302-20110813-1342
Nufil Armany dan T”Na-nya lega ….

Kemudian kami meninggalkan Parit Buntar dengan hati yang senang.

Moral cerita : Kalau korang jenis yang tak ada masa yeop aku cadangkan baik beli awal-awal. Buatlah persiapan untuk baju raya ni beberapa bulan sebelum raya. Boleh elak sesak, saiz yang dikehendaki pun mungkin masih banyak stoknya dan  mungkin juga dapat elak ketiadaan wang untuk beli baju raya di saat-saat akhir. Cumanya dengan beli lewat begini dapatlah rasa suasana raya tu …..
p/s : aku dan isteri sudah beli baju raya beberapa bulan yang lepas.