Pages

Sunday, November 18, 2012

Cerita Di Hotel Copthorne Feringghi, Pulau Pinang



Sudah lama tidak bercuti. Rehatkan badan. Paling penting tenangkan fikiran. Kalau ikut istilah isteri aku – katil empuk dan berendam di kolam renang. Tidak perlu jauh. Dekat pun jadilah. Asalkan boleh rehatkan badan, tenangkan fikiran dan tidur hotel. Aku serah tugas tu pada isteri. Sekejap sahaja dia selesaikan tugasnya. Hal hendak bercuti ni memang dia cekap bangat. Kami putuskan bercuti di Feringghi. Menginap di Hotel Copthorne. Tanpa sarapan. Tempah secara online di agoda.com.


Hari ditunggu tu pun tiba. Kami bergerak dari rumah sekitar pukul 3. Selepas aku habis urusan kerja. Sampai sana dalam pukul 4 lebih. Jarak Kulim ke Feringghi dekat sahaja. Tetapi tetap rugi sejam dari masa check-in. Sampai lobi terus ke kaunter check-in. Isteri aku serah kertas cetakan tempahan agoda.com dan kad pengenalan kepada kakitangan front desk. Kakitangan tersebut buat semakan. Semua okey lalu kami diberi kunci bilik.
Bilik no 618. Di sayap kanan hotel. Berjiran dengan sebuah apartmen mewah. Nampaklah pemandangan laut sikit saje (kebanyakkanya rumah orang laah)  Jadilah....
Campak bagasi. Lompat ke atas katil. Buka telivisyen. Makan roti dan biskut yang dibeli di stesen minyak dalam perjalanan tadi.  Isteri aku cekap shopping di stesen minyak. Bersama kopi yang disediakan Copthorne. Kopi dibancuh oleh isteri.
Selepas itu kami turun ke bawah. Tinjau kolam renang. Jenguk ke pantai di bawah. Ingat nak terjun dalam kolam renang. Tapi seganlah pula. Orang ramai dan kolam renang sebelah kafe. Tak selesa betul. Lagi pula yang lelaki kalau tak ada baju renang kenalah buka baju. Badan pun bukannya though macam remaja dulu. Sudah kembung sana sini. Hahaha......


Kolam renang Copthorne. Sayang dekat sangat dengan kafe. 

Jadi tengok saja orang berenang. Terfikir kenapalah nak berenang di kolam renang di hotel kena ikut prosedur berpakaian. Dulu masa di kampung, terjun sesekali dengan baju pun okey saja. Malah ada kawan sekampung terjun dengan seluar jeans.
Tengok orang yang sedang berenang di kolam renang di depan terbit rasa gelihati pun ada. Lelaki tak berbaju dan samaada berseluar pendek atau berseluar kecik dan ketat. Aku tak sanggup. Perempuan pula mesti samaada berbaju renang biasa atau berbikini. Kalau nak terjun dengan tracksuit dan baju longgar dengan tudung memang kena halau le dengan penjaga kolam renang. Memang ada yang kena tegur pun. Keluarlah perempuan tu dari kolam renang dan celup kaki di tepi kolam sajalah.
Peraturan di semua kolam hotel memang macam tu. Bergantunglah pada budi bicara penjaga kolam renang tu. Ada kawan isteri aku bercuti di sebuah hotel yg glamour di Melaka. Member hanya mengenakan seluar thight dan t-shirt biasa.  Oleh kerana pakaiannye tidak mengikut prosedur pakaian di kolam renang dia hanya dibenarkan masuk ke kolam kanak-kanak.  Nak tergelak pun ada waktu dia bercerita dalam email tapi itu lah dilemanya.  Masa kami pergi mandi di kolam renang di Hotel Hard Rock okey saja. Yang bertudung, berbaju longgar dan tidak mengikut prosuder pakaian renang belasah saja boleh masuk. Tak ada pula penjaga kolam renang panggil sesiapa keluar kolam. 
Tapi semuanya demi keselamatankan.......

Kemudian kami turun ke pantai. Ada laluan dari kolam renang untuk ke pantai. Turun ke tingkat bawah dengan lif dan keluar dari bangunan hotel dan terus sampai pantai. Kalau teringin sangat nak berendam tapi malu nak tayang badan dan tak ada pakaian renang bolehlah berendam kat sini. Ramai juga yang berendam kat sini. Beberapa keluarga arab, melayu dan cina layan anak masing- masing mandi dan main pasir. Minah-minah arab sibuk berposing ambik gambar berlatarbelakangkan pemandangan laut petang.
Kami lepak di pantai sekejap sahaja. Naik semula ke hotel, keluar dan cari makan malam. Isteri syorkan makan malam di astaka, sebuah tempat makanan di Feringghi. Terdiri daripada pelbagai gerai. Mengikut kawannya makanan western di situ sedap. Naik kereta kerana ingatkan tempat tu jauh. Rupa-rupanya seberang jalan sahaja. Jalan kaki pun boleh sampai. Menyesal pula naik kereta sebab tahu Copthorne hari tu macam sesak. Tempat letak kereta pula terhad.
Kami pesan dua pinggan chicken chop. Limau ais untuk aku dan nescafe ais untuk isteri. Chicken chopnya boleh tahan. Sedap yang penting murah. Sepinggan dalam RM8, kalau tak silap. Tak lebih dari RM 10. Ini confirm.




 Cuci calat pinggan. 



Sebelum balik tapau dua bungkus nasi lemak. Sebungkus RM2. Yang ni harganya terasalah juga. Sebab selalu makan nasi lemak sebungkus 60 sen.
Kembali ke hotel. Duduk di kerusi di tangga menuju ke lobi. Tengok pelajar-pelajar sekolah menengah yang ada acara di ballroom. Acara The Prefect Night. Tengok nama acara tu dah tahu ini acara untuk pengawas-pengawas sekolah menengah tu. Tengok mereka berpakaian bukan main. Ala-ala majlis promp. Masa zaman aku dulu tak ada pun macam ni. Semua acara buat kat dewan sekolah saja. Budak-budak sekarang semua buat kat hotel. Malah mengikut senarai acara di papan kenyataan hotel, pada keesokan harinya ada majlis graduasi untuk sebuah tadika di salah satu ballroom di situ. Fuh, hebat budak-budak sekarang ni…..
Kami naik ke bilik. Tengok telivisyen. Isteri lelap awal. Aku tengok bola sambil makan nasi lemak. Kemudian tidur sebelum perlawanan bola itu tamat.
Besok, bangun tidur pagi-pagi. Aku tulis bab-bab terakhir manuskrip novel. Makan roti untuk alas perut. Lepak di kolam renang. Ingat nak mandi tapi tengok orang ramai yang breakfast seganlah pulak. Isteri kecewa bukan main. Akhirnya kami lepak kat kerusi sandar di tepi kolam renang sampai pukul 11. Kembali ke bilik hotel. Bersiap dan check out pukul 12.15 tengahari.

p/s : Dua gambar pertama di atas ambil dari Google. Terlupa nak snap gambar hotel.


   

2 comments: