Pages

Saturday, December 4, 2010

Novel

Pengumuman!!!

Novel aku bertajuk Kau Pertama Aku Kedua sudah berada di pasaran. Di bawah label Alaf 21. Jika stok di kedai habis jangan risau kerana ia dalam proses ulang cetak. Harap maklum.
                 
                                             

Sunday, July 25, 2010

TLC Bahagian 15 Karya Mohd Fitri Hussin


“Zali tu masih kekasih saya, Cik Ana,” kata Natasha, menipu. “Kami masih berhubungan,” sambung Natasha lagi.
Ana diam sahaja. “Tapi Zali kata dia dah tak ada apa-apa dengan awak,” balas Ana kemudian. Perasaannya berbelah bahagi sekarang.
“Lelaki, Ana. You kena faham lelaki ni banyak helahnya. Licik macam belut. Kalau tak licik dah tentu husband I dapat hidu hubungan kami,” balas Natasha. Sudah memberitahu yang kononnya Zali dan dia membuat hubungan sulit.
Ana diam sahaja. Kali ini betul-betul diam.

TLC Bahagian 14 Karya Mohd Fitri Hussin

8.3
Cerpen abangnya itu benar-benar menusuk kalbu Zali. Begitu berkesan hingga Zali termimpikan Mak Su malam tadi. Mak Su yang dalam pakaian serba putih dengan wajah bercahaya dan berseri sedang memerhati dan tersenyum kepadanya tanpa sepatah kata. Kesannya, sebaik celik mata, Zali terus ambil keputusan untuk pulang ke kampung hari itu juga. Memohon cuti selama seminggu. Pihak pengurusan Bina Maju segera meluluskan permohonannya itu kerana ini kali pertama Zali memohon cuti. Alhamdulillah kerana kesihatannya baik sepanjang hampir dua tahun bekerja di situ. Dia komited dengan kerjanya sekarang. Tidak mahu mengulangi kesilapan lama. Berjaya memisahkan soal kerja dan soal peribadi. Seseorang tidak akan maju dalam kerjaya jika selalu membawa hal peribadi di dalam kerja. Dia mahu menjadi profesional.
Simpang empat – Parit Buntar – Pantai Remis – Segari – Batu 5 – Simpang Tiga – Pekan Bagan Datoh – dan akhirnya

Wednesday, June 23, 2010

Israel Lancar Ofek 9


Ofek 9, sebuah satelit pengintip tentera dilancarkan pada lewat semalam oleh Israel. Ia dilancarkan dari pengkalan tentera udara Pelmachim di selatan Tel Aviv. Ia menyertai tiga buah satelit pengintip lain yang sudah pun berada di orbit. Ofek 9 dikatakan bertujuan untuk memantau program nuklear Iran. Dan yang paling utama ia dapat memantaui lebih rapi aktiviti musuh ketatnya, Iran. Dan juga Syria.
sumber : http://www.bharian.com.my/ dan http://www.bnd.com/

Tertanya-tanya mengapa Israel begitu takut dan curiga kepada Iran dan Syria? Ia seperti pembunuh yang takutkan pembunuh lain membunuhnya atau perompak yang takutkan barang rompakannya dirompak oleh perompak lain.  

Friday, June 18, 2010

Setitis?



Aku sedang baca The Outsider
Seorang anak kecil lelaki merapatiku
Tanyanya : "Baca buku?"
Aku mengangguk, melihatnya sambil tersenyum sepintas lalu
Dia bertanya lagi : "Buku apa?"
Senyumanku mula kelat
Entah harus dijawab atau tidak
"Bagus ke buku ni?"
Aku tersenyum kelat
Mula malas hendak melayan kerenah anak kecil itu
Dia bertanya lagi : "Siapa punya buku?"
"Abang," jawabku pantas. Lekas aku menambah : "Abang nak baca boleh tak..." Ayat menghalauku tak penuh kerana disampuk
"Saya tanya siapa penulis buku ni?" Anak kecil itu tergelak.
"Lelaki atau perempuan?"
Soalannya datang lagi sebelum aku sempat menjawab
"Orang mana?"
"Cerita tentang apa?"
Lama anak kecil itu berhenti di situ
Aku yang baru mula membaca terpana-pana
Aku belum dapat memberikannya jawapan
"Nipis saja buku ni..." katanya seolah mengejek
Aku kata : "Tapi penulisnya orang besar..."
"Kenapa nipis kalau dah orang besar?"
Aku mengeluh....
"Kenapa baca buku orang putih?"
Aku terkesima
"Tak ada orang besar melayu yang tulis buku nipis?" tanyanya seperti memerli
"Errr...." Aku kalah kerana tak ada jawapan
Anak kecil itu berlalu pergi
dengan langkah berlarinya
sambil meneriak berulang-ulang : "Ibu meninggal hari ini. Atau mungkin kelmarin. Aku tak tahu!!!"
"Mus, mus......" sambungnya kemudian tergelak...
Aku yang ditinggalkan terkedu  - dipermainkan atau diduga? Ilmuku benar-benar tak sampai setitis pun
Tuhan sajalah yang Maha Berilmu....

- fitri hussin, 180610, 6.30 petang -

Thursday, June 10, 2010

Masuk ISA Dapat Duit



Bekas tahanan ISA dibayar gantirugi RM3.3 juta



2010/06/10
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi hari ini memberikan gantirugi am dan teladan RM3.3 juta kepada ahli perniagaan, Badrul Zaman P S Mohamed, susulan kesilapan menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1994 kerana didakwa terbabit mengeluarkan permit palsu dan pasport kepada pekerja asing.


Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, berkata mahkamah bersetuju dengan Badrul bahawa penahanannya tidak mematuhi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan. Beliau berkata, mahkamah turut mempertimbangkan reputasi Badrul yang turut terjejas sebagai ahli perniagaan. - Bernama

Sumber : http://www.bharian.com.my/

                                                   Jadi nak duit juta-juta?


Masuk sini : Kem Tahanan ISA Kamunting.
hehehe

Apa? Macamana nak masuk? Fikir-fikirlah sendiri.

Kerjaya Seni (Sila klik pada setiap tajuk)

Wednesday, June 9, 2010

Raja Seluar Dalam


Hati-hati bila menyidai seluar dalam anda.

Aku terlewat sebab tidak menonton Buletin Utama semalam dan juga tidak baca Harian Metro awal-awal. Bila tajuk Raja Seluar dalam Dicekup terpampang depan mata dari laman web http://www.hmetro.com.my/ aku terbelalak jugalah. Polis serbu untuk cari dadah tapi yang mereka jumpa kira-kira 400 seluar dan baju dalam wanita. Pengedar dadah itu yang juga seorang pembantu kesihatan awam itu turut memakai seluar dalam wanita. Dunia, dunia, dunia. Akhir zaman.



Empangan Mengkuang Dalam TLC





Seorang rakan menghantar e-mail kepada saya bertanyakan tentang Empangan Mengkuang yang menjadi lokasi perpisahan antara Zamri dan Natasha di dalam TLC. Tanyanya Empangan itu khayalan saya atau ia benar-benar wujud. Jadi di sini saya berikan jawapannya. Kepada saudari Mastura, Empangan Mengkuang itu benar-benar wujud!


Empangan Mengkuang

 
Kawasan rehat yang paling diminati



Pulau kecil di empangan tersebut


Trek joging dan laluan pejalan kaki

Empangan Mengkuang terletak di dalam daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Menakung lebih kurang 23.6 billion liter air sekiranya penuh. Kawasannya seluas 3.9km persegi. Ada beberapa kemudahan disediakan di sini seperti wakaf, trek joging, laluan pejalan kaki dan tempat meletak kereta. Setiap pagi dan petang terutamanya pada hujung minggu ramai orang beriadah di situ. Ada yang datang untuk berjoging, berjalan kaki, berehat dengan keluarga sambil menikmati keindahan alam.


Peta ke Empangan Mengkuang




Friday, June 4, 2010

Semalamku Yang Hilang

Ada orang bertanya, zaman bilakah yang paling aku rindui? Jawabku segera : "Waktu dulu-dulu." Lebih tepatnya ketika zaman masih dalam pakaian seragam sekolah. Iaitu zaman sekolah rendah dan juga menengah yang takkan kulupakan. Kenangan indahku paling banyak berhimpun di situ. Masih membulat segar dalam ingatan : kami kawan sekampung, murid-murid Sekolah Kebangsaan Bagan Datoh, bersama-sama menyusuri denai Lorong Muhibah untuk ke sekolah seawal 6 pagi. Acara itu dilakukan sekali sekala tetapi amat mengesankan hati sampai kini. Masih terdengar-dengar di telinga jering cengkerik, lolong anjing dan deram babi. Juga seolah-olah masih dapat dirasai dinginnya alam pada pagi-pagi itu.


Peta Di mana Letaknya Bagan Datoh

Masih kental dalam ingatan  : kami sekawan, pelajar-pelajar tingkatan 3 yang kebanyakkannya aliran agama Sekolah Menengah Khir Johari, berpura-pura turun ke gelanggang sepaktakraw untuk bersukan waktu pagi pada ahad itu, tetapi kemudiannya fly ke Teluk Intan beramai-ramai dengan memakai baju sukan, tanpa kebenaran ketua warden, Ustaz Amin, demi..... demi menonton Perempuan, Isteri dan .....! Ya, filem kontroversi Uwei Hj Shaari itu... Fuh, Sofea Jean dengan kembannya...hehehe dan hahaha Nasir Bilal Khan dengan "Ha...."nya.

Poster Filem Perempuan, Isteri Dan .....



Masih teringat-ingat dalam ingatan : kami sekawan, pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau melalui Malam Warisan. Beritanya masuk dalam suratkhabar dan akibatnya ada senior yang kena buang sekolah dan banyak yang digantung sekolah.

MRSM Balik Pulau

Itu tiga daripada banyaknya fragmen kenangan indah pada zaman itu yang tak terlupakan. Aku fikir aku ingat semua kenangan - terutamanya yang indah. Rupa-rupanya tidak. Ada beberapa kerat yang tercicir dimamah oleh waktu dan tersisih oleh lingkungan. Keciciran dan kesisihan yang tak seharusnya itu hanya disedari bila dia, isteriku, muncul semula di dalam hidupku. Terkerlip-kerlip kenangan di antara aku dan dia : intai-intai anak kecil usia 12 tahun, kerling-kerling remaja di awal zaman bergelora dan hajat tak sampai kerana seorang kawan! Di atas semua itu, bila bersatu dengannya, aku cepat sedar bahawa dialah Semalamku Yang Hilang, iaitu something missingku, selama ini. Aku yakin rupa-rupanya Allah merencanakan penyatuan kami di dalam diam. KepadaNYA kupanjatkan kesyukuran.....

Nota : Artikel ini sudah diterbitkan di facebook. Ia catatan lamaku. 

Thursday, June 3, 2010

Terkini : Serangan Kejam Rejim Zionis Terhadap Konvoi Kemanusiaan Ke Gaza Dan Senarai Produk-Produk Yahudi


'Majlis Hak Asasi Manusia PBB lulus resolusi siasat serangan'


Begitu tajuk berita di muka surat 37, ruang bawah, bahagian dunia dalam suratkhabar Berita Harian pagi tadi. Aku terkelu dan kemudian ternganga-nganga - Benarkah? Lalu aku tersenyum mengenangkan sinar yang perlahan-lahan akan menyinari rakyat Palestin yang sudah menderita selama lebih 40 tahun itu. Aku teringat sesuatu lalu membaca lanjut dan muka aku perlahan-lahan kelat dan akhirnya dilepaskan dengan keluhan kecewa yang amat dalam. 32 negara bersetuju, 3 menentang dan 8 berkecuali dengan resolusi bagi mengadakan penyiasatan terhadap serangan ganas Israel terhadap konvoi kemanusiaan ke Gaza Isnin lalu. Cuba teka siapa yang menentang?


1) Amerika Syarikat
2) Belanda
3) Israel


Dengan adanya undi menentang daripada Amerika Syarikat itu aku yakin seratus peratus resolusi itu takkan ke mana-mana. Hanya satu siasatan di atas kertas saja. Takkan ada tindakan yang akan diambil oleh PBB. Israel juga takkan mematuhi segala keputusan berhubung siasatan itu kelak. Sama seperti yang terjadi kepada begitu banyak resolusi yang diluluskan terhadap negara pengganas itu selama ini. Dalam hal ini kita memang tidak boleh mengharapkan PBB. PBB mati bila berdepan Israel dan konco-konconya. PBB dikuasai oleh mereka ini. Kita tak boleh mengharapkan PBB lagi.

Majlis Keselamatan PBB Yang Mati Bila Berdepan Israel

Jadi apa yang boleh kita buat? Demostrasi? Sudah, malah sungguh-sungguh. Membentangkan usul kecam Israel? Selalu, malah Isnin nanti usul begitu, khusus untuk peristiwa serangan kejam rejim zionis Isnin lalu, akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Apa lagi?


Boikot Barangan Yahudi! 


Sebahagian Produk-Produk Yahudi

Cadangan ini bukan perkara baru. Tetapi entah mengapa tak direalitikan menjadi tindakan. Macam kita tak boleh hidup tanpa rokok atau boleh mati tanpa Coca-Cola. Apa kata mulai hari ini kita nekad boikot barangan yahudi! Eh, ada orang bertanya, habis tu bagaimana dengan pekerja-pekerja yang terlibat dengan syarikat-syarikat itu? Janganlah khuatir, jika kita sungguh-sungguh dan ikhlas kerana agama, insyaallah Allah akan beri jalan untuk atasi perkara tersebut. Kita boleh sediakan alternatif pekerjaan lain kepada mereka.


Berikut senarai-senarai syarikat yahudi dan ada kaitan dengannya :


Syarikat : Phillip Morris


Produk : Rokok dan Makanan
Jenama : Marlboro, Virginia Slims, Benson & Hedges, Winston, Gold Coast, Merit, Parliament, Alpine, Basic, Cambridge, Bristol, Bucks, Chesterfield, Collector's Choice, Commander, English Ovals, Lark, L&M, Players and Saratoga, C e d'Or, Philadelphia, Polo, Milka, Malabar, Marabou, Prince.
Fakta : 12 % keuntungannya adalah untuk Israel, Setiap hari umat Islam membelanjakan USD 800 juta untuk membeli rokok mereka, keuntungan purata 10% atau USD 80 juta sehari. JADI USD 9.6 JUTA DUIT ORANG ISLAM PERGI KE ISRAEL SETIAP HARI.
Syarikat : Coca-Cola - McDonalds - Burger King - Pizza Hut, KFC
Produk : Minuman Jenama : Light Coke, Fanta, Sprite, Canada Dry,
Crush, Schweppes, Minute Maid, Nestea, Dr. Pepper
Fakta : Sejak 1966 Coca Cola meyokong penuh negara Israel. Coca Cola telah menerima anugerah tertinggi dari kerajaan Israel kerana lebih 30 tahun menyokong mereka serta membantah boikot Liga Arab terhadap Israel .


Syarikat : NestleJenama : Kit Kat, Perrier, Libby, Nescafe, Maggie, Buitoni, Nestea,
Freskies, Vittel, Pure Life, Nido, Smarties, Lion, Polo, After Eight,
Coffee Mate, Nesquik, Aero, Quality Street, Felix (cat food), Crosse & Blackwell, Milkmaid, Carnation, Shreddies, Baci Baby Ruth, Butterfinger, Milkybar, Frutips.
Fakta : Syarikat Swiss ini dimilikki 50.1% oleh syarikat Israel , Osem Investments. Pada tahun 2000 mengumumkan untuk melabur berjuta-juta dolar di Israel dalam R & D. Pada tahun Peter Brabeck-Letmathe bagi pihak Nestle menerima Anugerah Jubli daripada Perdana Menteri Netanyahu.


Syarikat : Disney
Produk : Disneyland , Euro-Disney, Jenama Disney, Kartun, Filem
Fakta : Pameran Walt Disney Millennium di Epcot Centre Florida
menonjolkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel . Kos US 8 juta untuk pameran ini dibiayai US, 1.8 juta oleh Israel untuk menentukan isi kandungan pameran. Ini adalah kempen Israel menggunakan Disneyland untuk menguasai Jerusalem sepenuhnya.


Syarikat : Delta Galil Industries Ltd.
Produk : Pasaraya, Pakaian dan Kasut
Jenama : JC Penney , Carrefour Nike, Reebok, Converse, Calvin Klein, Gap, Boss, Ralph Lauren, Banana Republic, Bauer, Wrangler, Dim, Old Navy Dockers, Celio, J. Crew , Caterpillar, Lou Riders, Pryca.
Fakta : Syarikat kain terbesar Israel. Pengasasnya Dov Lautman adalah kenalan rapat Presiden Israel ketika itu Ehud Barak.


Syarikat : Nokia
Produk : Telekomunikasi, talipon bimbit dan elektronik
Fakta : Nokia melabur begitu banyak di Israel dan memanggilnya PROJEK ISRAEL.


Syarikat : DanoneProduk : Makanan, minuman dan biskut
Jenama : Evian, Alpina, LU Biscuits, Tuc, Volvic, Strauss dairy, Jacob biscuits, Danone yogart, HP foods, LEA & PERRINS, Sant? Galbani, Danao, Danette.
Fakta : Pada tahun 1998 Franck Riboud bagi pihak Danone menerima Anugerah Jubli daripada Perdana Menteri Israel, Netanyahu. Anugerah tertinggi negara Israel untuk syarikat yang memperkukuhkan ekonomi Israel. Institut Danone, satu institut Penyelidikan dan Pembangunan telah di tubuhkan di Israel pada tahun 1998.


Syarikat : Johnson & Johnson
Produk : Kesihatan.
Fakta : Pada tahun 1998 Roger S. Fineon bagi pihak Johnson & Johnson, menerima Anugerah Jubli daripada Perdana Menteri Israel Netanyahu.


Syarikat : Revlon
Produk : Kosmetik
Fakta : Jutawan Ronald Perelman yang memilikki Revlon adalah seorang Zionis. Penyokong kuat Zionis. Merupakan pemegang amanah Pusat Simon Wiesenthal Center yang menggunakan Holocaust untuk mendapatkan sokongan Zionisma dan Israel.


Syarikat : AOL Time Warner
Produk : Media Elektronik dan Cetak
Jenama : ICQ, Warner Bros, CNN, AOL, Times Magazine
Fakta : AOL memperuntukkan 30% daripada portfolio keuntungan di Israel. Pada tahun 1998 AOL menerima anugerah Jubli daripada Perdana Menteri Netanyahu.


Syarikat : IBM
Fakta : Mempunyai 1700 pekerja di Israel. Satu dari 3 syarikat yang
disanjung semasa Jamuan Makan Malam Liga Persahabatan Amerika-Israel Untuk Demokrasi pada 25 Jun 2001 bersama Ariel Sharon.


Syarikat :L'Oreal
Jenama : Giorgio Armani, Lancome, Biotherm, Garnier, Helena
Rubinstein, Donna Karan, Vichy, Cacharel, Maybelline, Redken, Laroche-posay, Carson.
Fakta : Setelah disaman US 1.4 juta kerana menulis surat pada Liga
Arab bahawa mereka menutup kilang di Israel, mereka kemudian melabur dengan begitu banyak di Israel. Kongres Yahudi Amerika amat berpuas hati dengan L' Oreal dan menganggap mereka sahabat akrab.


Syarikat : Intel
Produk : Perkakasan komputer
Fakta : Intel adalah penyokong kuat Israel. Pusat pembangunan pertama di luar Amerika didirikan di Haifa pada 1974.


Syarikat : Est Lauder
Jenama : Clinique, Tommy Hilfiger, DKNY, Aramis, Origins, Ko Malone, La Mer, Prescriptives, Bobbi Brown Essentials, Aveda, Jane, MAC Cosmetics, Kate Spade, Fragrances, Stila.
Fakta : Pengerusinya, Ronald Lauder, pernah menjadi pengerusi
Persidangan Utama Kesatuan Amerika Yahudi. Juga adalah presiden Tabung Kebangsaan Yahudi yang fungsinya ialah untuk menghalalkan pengambilan tanah rakyat Palestin oleh Israel.


Syarikat : News Corporation
Produk : 20th Century Fox, Star, SKY, New York Post, National
Geographic Channel, News of the World, The Times, The Sun, Nursery World, The weekly Standard, Daily Telegraph, Harper Collins.
Fakta : Murdoch's New Corp. melabur dengan begitu banyak di Israel.


Syarikat : Kimberly-Clark
Produk : Huggies, Kotex, Kleenex, Scott, ANDREX products Freedom, Scottex.
Fakta : Pada tahun 1998 Robert P. Van der Merwe , Pengerusi Kimberly Clark , menerima Anugerah Jubli daripada Perdana Menteri Israel Netanyahu, kerana sumbangan mereka dalam membangunkan ekonomi Israel.






LAIN-LAIN SYARIKAT


Syarikat : Procter and Gamble
Produk : Kesihatan, sabun, syampu
Jenama : Head & Shoulders, Pert Plus, Pentain, Always, Tide, Crest, Pampers, Lux, Palmolive, Camay, Zest, Ariel, Fairy, Signal 2, close up, colgate, Monsieur Propre, Oil of Olaz, Petrol Hahn, Pringles, Sanicroix, Tampax, Tempo, Vicks, Vizir, Yes Swiffer, Ace, Action 500, Bonux, Mr Clean.


MARS INC - Bounty, M&M's, Mars, Snickers, Twix, Uncle Ben's, Whiskas, Pedigree, Balisto, Brebbies.


HASBRO - Parker, Pokemon, Star Wars, Episode I, Monopoly, Brothers, MB, Playskool, Tiger.


GILETTE - Braun, Duracell, Gillette, Oral-B, Paper-Mate, Parker, Waterman.


COLGATE PALMOLIVE - Ajax, Palmolive, Tahiti, Axion, Bingo, Fabe, Felire, La croix, Mennen, Murphy, Paic


Haagen - Dazs Ben & Jerry, CAMPBELL, Kellogg, Canderel, Levis, Raid, Heinz


Dan MICROSOFT!


Buat permulaan BUANG logo bintang bendera Israel dan logo lilin MOSSAD dalam komputer anda.

Logo dalam Microsoft. Gabungan logo bintang daud yang menjadi objek utama bendera Israel dan logo lilin yang menjadi lambang MOSSAD.

 Caranya : pergi ke mycomputer dan letak alamat ini : (C:\Program Files\microsoft Office\MEDIA\CAGCAT10\J0285926.WMF) di address bar. Buang logo itu. p/s : tunjukcara diolah daripada blog http://www.cuberterateist.com/

Sama-samalah kita menjadi salah seorang daripada umat Islam yang melakukan sesuatu untuk saudara seagama kita. Amin...

Wednesday, June 2, 2010

Terkini : Serangan Kejam Rejim Zionis Terhadap Konvoi Kemanusiaan Ke Gaza

12 rakyat Malaysia yang dibebaskan



Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. 12 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim zionis dibebaskan siang tadi.



Video bantahan rakyat Malaysia terhadap peristiwa berdarah Konvoi Kemanusiaan Ke Gaza
* Ehsan myMetro

Salina



Novel ini mengisahkan tentang seorang perempuan bernama Siti Salina yang mengharungi hidup di Singapura selepas Perang Dunia Kedua di Singapura sekitar tahun 1960an. Dia menjadi pelacur untuk meneruskan hidup. Walaupun diselubungi kontrovesi kerana membela Fakar, teman lelaki yang sudah seperti suaminya, Salina juga berjiwa besar. Dialah yang tidak putus-putus-putus memberi semangat dan wang kepada Hilmi, watak sampingan utama di dalam novel ini, iaitu seorang pelajar bijak untuk terus menuntut ilmu. Hilmi yang tinggal bersama ibunya yang tua itu pula selalu mempertahankan Salina daripada umpatan dan cemuhan penduduk kampung. Akhirnya Salina insaf dan berusaha untuk mengubah diri. Bersama Hilmi dia merancang untuk memulakan sebuah perniagaan.
Secara keseluruhannya Salina mengisahkan tentang kehidupan masyarakat khususnya melayu selepas Perang Dunia Kedua di Singapura. Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral dan keperitan untuk meneruskan hidup watak-wataknya selepas perang di sebuah kawasan yang dipanggil Kampung Kambing kerana rumah-rumah di situ asalnya adalah kandang-kandang kambing. Ia juga mengingatkan kita kepada kepentingan pendidikan sebagai alat untuk mengubah kehidupan kita seperti yang ditonjolkan pada watak Hilmi. Kisah Salina, saya percaya, adalah kisah kehidupan kita semua - yang tak semua putih dan tak semua hitam -tetapi kelabu.
Salina, sebuah karya terbaik A. Samad Said, yang sudah memenangi pelbagai anugerah ini, tidak diragukan lagi adalah antara karya agung Malaysia. Yang menariknya ialah Salina mendahului karya-karya lain pada zamannya. Ia sofistikated yang menawan dan mudah. Wajib dibaca oleh setiap anak Malaysia.
Buat A. Samad Said : Tiga kali salut untuk pak.

Maryamah Karpov





Maryamah Karpov adalah novel terakhir di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Intinya tentang pengembaraan Ikal mencari Ai Ling, cinta pertamanya. Ikal dibantu oleh sahabat-sahabat lamanya, Laskar Pelangi dan teman-teman dari societiet de lampai. Dengan bantuan mereka terutamanya Lintang dan Mahar untuk membuat kapal yang digelar 'mimpi-mimpi lintang' maka pengembaraan mencari Ai Ling berjaya direalisasikan. Mereka bertemu dengan Tuk Bayan Tula dan Dayang Kaw dan akhirnya berjaya menyelamatkan Ai Ling daripada tahanan seorang lanun bernama Tambok. Ikal mahu melamar Ai Ling tetapi hasratnya itu dibantah oleh ayahnya. Akur dengan keputusan ayahnya dan cintanya dengan Ai Ling tidak kesampaian.
Ada juga cerita tentang pertemuan semula Ikal dan Arai. Arai akhirnya bernikah dengan Zakiah Nurmala.
Maryamah Karpov meneruskan semangat novel-novel di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Ia mengekalkan 'canggih yang indah' Tetralogi Laskar Pelangi. Dan seperti ulasan A.Samad Said di muka hadapan novel tersebut : "Kisah ilmu yang mengilhamkan di tengah ilmuwan yang menyedarkan. Selepas 'Laskar Pelangi' kehadiran 'Maryamah Karpov' ini sangat disambut. Ternyata karya terbaru Andrea Hirata ini semakin ranum malah mengagumkan."
Sejujurnya Maryamah Karpov disamping menyudahkan pertanyaan-pertanyaan lampau juga menimbulkan persoalan-persoalan terbaru. Yang paling ketara ialah mengapa Arai seperti terasing daripada Laskar Pelangi selain Ikal. Dan juga mengapa tajuk novel ini tidak selari dengan isinya - Maryamah Karpov bukan watak utama dan hanya muncul beberapa kali di dalam novel tersebut. Dan beberapa hal lain yang tidak mungkin ditemui jawapannya secara tepat jika memang benarlah Tetralogi Laskar Pelangi tamat pada novel Maryamah Karpov ini.
Apapun salut memang wajar diberi kepada pengarangnya, Andrea Hirata. Dan Tetralogi Laskar Pelangi sewajibnya ditimbangkan sebagai salah sebuah novel terbaik Indonesia sepanjang zaman. Dan Maryamah Karpov pula memang berhak menjadi 'International Best Seller' di Indonesia.

Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Edensor



Edensor adalah novel ketiga di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Novel ini mengisahkan tentang pengembaraan Ikal di dalam mengejar mimpinya. Ikut bersamanya ialah saudara jauhnya, Arai. Berjaya mendapat tempat di Universiti Sorbonne, Perancis. Tinggal di sebuah apartmen berdekatan dengan Menara Eiffel. Mereka meniti kehidupan di situ dengan penuh halangan, nekad dan semangat dek kerana kejutan budaya. Di situlah Ikal bertemu dengan Katya, dewi di situ, biarpun dia belum dapat melupakan Ai Ling, cinta pertamanya itu. Akhirnya mereka hanya bersahabat. Dari sinilah mereka dapat mengembara hingga ke benua Afrika. Menghirup pengalaman yang kadang-kadang memeritkan, mencengangkan, melucukan dan mengharukan.
'Aku ingin mendaki puncak tantangan, menerjang batu granit kesulitan, menggoda marabahaya dan memecah misteri dengan sains. Aku ingin menghirup berupa-rupa pengalaman lalu terjun bebas menyelami labirin liku-liku yang hujungnya tak dapat disangka. Aku medamba kehidupan dengan kehidupan-kehidupan yang bereaksi satu sama lain seperti benturan molekul uranium : meletup tak terduga-duga, menyerap, mengikat, mengganda, berkembang, terurai dan berpencar ke arah yang mengejutkan. Aku ingin ke tempat-tempat yang jauh, menjumpai beragam bahasa dan orang-orang asing. Aku ingin berkelana, menemukan arahku dengan membaca bintang gemintang. Aku ingin mengharungi padang dan gurun-gurun, melepuh terbakar matahari, limbung dihentam angin, dan menciut dicengkeram dingin. Aku ingin kehidupan yang menggetarkan, penuh dengan penaklukan. Aku ingin hidup! Ingin merasakan saripati hidup!'
Endesor, seperti Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi meneruskan kecanggihan yang indah Tetaralogi Laskar Pelangi. Ceritanya sangat menawan, mudah menghanyutkan imaginasi pembaca dan sekaligus menjadikannya layak sekualiti dua novel sebelumnya di dalam Tetralogi Laskar Pelangi itu.

Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Sang Pemimpi

 
Sang Pemimpi ialah novel kedua dalam Tetralogi Laskar Pelangi karangan Andrea Hirata. Novel kali ini lebih tertumpu pada watak Arai dan aku, watak-watak yang tidak atau tidak berapa ditonjolkan di dalam Laskar Pelangi, novel pertama di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Ia menceritakan tentang Arai, seorang kanak-kanak miskin dan yatim piatu yang dipelihara oleh saudara jauh dan aku yang memiliki kemahuan yang tinggi untuk mencapai mimpi-mimpi mereka. Tak kurang juga watak Jimbron yang mencuti hati dengan kegilaannya kepada kuda. Novel ini memang menginspirasikan, menyentuh perasaan dan boleh buat pembaca ketawa.
Sang Pemimpi meneruskan kehebatan Laskar Pelangi. Dan seperti Laskar Pelangi, ianya : Novel canggih yang indah.
"Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati..."



Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Laskar Pelangi


Laskar Pelangi adalah novel pertama dalam tetralogi Laskar Pelangi. Ia mengisahkan tentang sebelas orang anak melayu Belitong yang digelar sebagai Laskar Pelangi oleh guru mereka, Ibu Muslimah, kerana kesenangan mereka terhadap pelangi, yang menempuhi pendidikan dasar dan menengah dengan pelbagai halangan tanpa menyerah kalah. Watak yang paling menonjol di dalam novel ini ialah Lintang dan Mahar. Lintang, si genius dan Mahar seniman cilik yang menggemparkan, memberi begitu banyak warna di dalam novel ini. Kisah mereka berdua selalunya memberi ketawa berdekah dan sedih lara yang berkesan kepada pembaca. Begitu juga dengan sembilan orang kawan-kawan lain yang turut memaknakan novel ini.
Novel ini saya kira seperti kata sesetengah pengkritik memang terlalu dibesar-besarkan kehebatannya. Walaupun begitu, berdasarkan pada keseluruhan penyampaiannya ia tetaplah sebuah novel yang hebat. Barangkali jika tidak keterlaluan bolehlah disenaraikan di dalam karya-karya agung Indonesia seiringan dengan Tetaralogi Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer dan lain-lain.
Dalam bahasa ringkas, Laskar Pelangi adalah : sebuah novel canggih yang indah.
Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Syair Perahu, Hamzah Fansuri




Inilah gerangan suatu madah


mengarangkan syair terlalu indah,

membetuli jalan tempat berpindah,

di sanalah i’tikat diperbetuli sudah



Wahai muda kenali dirimu,

ialah perahu tamsil tubuhmu,

tiadalah berapa lama hidupmu,

ke akhirat jua kekal diammu.



Hai muda arif-budiman,

hasilkan kemudi dengan pedoman,

alat perahumu jua kerjakan,

itulah jalan membetuli insan.



Perteguh jua alat perahumu,

hasilkan bekal air dan kayu,

dayung pengayuh taruh di situ,

supaya laju perahumu itu



Sudahlah hasil kayu dan ayar,

angkatlah pula sauh dan layar,

pada beras bekal jantanlah taksir,

niscaya sempurna jalan yang kabir.



Perteguh jua alat perahumu,

muaranya sempit tempatmu lalu,

banyaklah di sana ikan dan hiu,

menanti perahumu lalu dari situ.



Muaranya dalam, ikanpun banyak,

di sanalah perahu karam dan rusak,

karangnya tajam seperti tombak

ke atas pasir kamu tersesak.



Ketahui olehmu hai anak dagang

riaknya rencam ombaknya karang

ikanpun banyak datang menyarang

hendak membawa ke tengah sawang.



Muaranya itu terlalu sempit,

di manakan lalu sampan dan rakit

jikalau ada pedoman dikapit,

sempurnalah jalan terlalu ba’id.



Baiklah perahu engkau perteguh,

hasilkan pendapat dengan tali sauh,

anginnya keras ombaknya cabuh,

pulaunya jauh tempat berlabuh.



Lengkapkan pendarat dan tali sauh,

derasmu banyak bertemu musuh,

selebu rencam ombaknya cabuh,

La ilaha illallahu akan tali yang teguh.



Barang siapa bergantung di situ,

teduhlah selebu yang rencam itu

pedoman betuli perahumu laju,

selamat engkau ke pulau itu.



La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,

di laut keras dan topan ribut,

hiu dan paus di belakang menurut,

pertetaplah kemudi jangan terkejut.



Laut Silan terlalu dalam,

di sanalah perahu rusak dan karam,

sungguhpun banyak di sana menyelam,

larang mendapat permata nilam.



Laut Silan wahid al kahhar,

riaknya rencam ombaknya besar,

anginnya songsongan membelok sengkar

perbaik kemudi jangan berkisar.



Itulah laut yang maha indah,

ke sanalah kita semuanya berpindah,

hasilkan bekal kayu dan juadah

selamatlah engkau sempurna musyahadah.



Silan itu ombaknya kisah,

banyaklah akan ke sana berpindah,

topan dan ribut terlalu ‘azamah,

perbetuli pedoman jangan berubah.



Laut Kulzum terlalu dalam,

ombaknya muhit pada sekalian alam

banyaklah di sana rusak dan karam,

perbaiki na’am, siang dan malam.



Ingati sungguh siang dan malam,

lautnya deras bertambah dalam,

anginpun keras, ombaknya rencam,

ingati perahu jangan tenggelam.



Jikalau engkau ingati sungguh,

angin yang keras menjadi teduh

tambahan selalu tetap yang cabuh

selamat engkau ke pulau itu berlabuh.



Sampailah ahad dengan masanya,

datanglah angin dengan paksanya,

belajar perahu sidang budimannya,

berlayar itu dengan kelengkapannya.



Wujud Allah nama perahunya,

ilmu Allah akan [dayungnya]

iman Allah nama kemudinya,

“yakin akan Allah” nama pawangnya.



“Taharat dan istinja’” nama lantainya,

“kufur dan masiat” air ruangnya,

tawakkul akan Allah jurubatunya

tauhid itu akan sauhnya.



Salat akan nabi tali bubutannya,

istigfar Allah akan layarnya,

“Allahu Akbar” nama anginnya,

subhan Allah akan lajunya.



“Wallahu a’lam” nama rantaunya,

“iradat Allah” nama bandarnya,

“kudrat Allah” nama labuhannya,

“surga jannat an naim nama negerinya.



Karangan ini suatu madah,

mengarangkan syair tempat berpindah,

di dalam dunia janganlah tam’ah,

di dalam kubur berkhalwat sudah.



Kenali dirimu di dalam kubur,

badan seorang hanya tersungkur

dengan siapa lawan bertutur?

di balik papan badan terhancur.





Di dalam dunia banyaklah mamang,

ke akhirat jua tempatmu pulang,

janganlah disusahi emas dan uang,

itulah membawa badan terbuang.



Tuntuti ilmu jangan kepalang,

di dalam kubur terbaring seorang,

Munkar wa Nakir ke sana datang,

menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.



Tongkatnya lekat tiada terhisab,

badanmu remuk siksa dan azab,

akalmu itu hilang dan lenyap,

(baris ini tidak terbaca)



Munkar wa Nakir bukan kepalang,

suaranya merdu bertambah garang,

tongkatnya besar terlalu panjang,

cabuknya banyak tiada terbilang.



Kenali dirimu, hai anak dagang!

di balik papan tidur telentang,

kelam dan dingin bukan kepalang,

dengan siapa lawan berbincang?



La ilaha illallahu itulah firman,

Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,

iman tersurat pada hati insap,

siang dan malam jangan dilalaikan.



La ilaha illallahu itu terlalu nyata,

tauhid ma’rifat semata-mata,

memandang yang gaib semuanya rata,

lenyapkan ke sana sekalian kita.



La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,

sekalian makhluk ke sana berpindah,

da’im dan ka’im jangan berubah,

khalak di sana dengan La ilaha illallahu.



La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,

siang dan malam jangan kau sunyikan,

selama hidup juga engkau pakaikan,

Allah dan rasul juga yang menyampaikan.



La ilaha illallahu itu kata yang teguh,

memadamkan cahaya sekalian rusuh,

jin dan syaitan sekalian musuh,

hendak membawa dia bersungguh-sungguh.



La ilaha illallahu itu kesudahan kata,

tauhid ma’rifat semata-mata.

hapuskan hendak sekalian perkara,

hamba dan Tuhan tiada berbeda.



La ilaha illallahu itu tempat mengintai,

medan yang kadim tempat berdamai,

wujud Allah terlalu bitai,

siang dan malam jangan bercerai.



La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,

menyatakan tauhid jangan berubah,

sempurnalah jalan iman yang mudah,

pertemuan Tuhan terlalu susah.

Terkini : Serangan Kejam Rejim Zionis Terhadap Konvoi Kemanusiaan Ke Gaza

Mavi Marmara


Tentera rejim zionis menceroboh Mavi Marmara


45 puluh orang aktivitis kemanusiaan yang ditahan beberapa hari lalu dihantar pulang ke negara masing-masing. Manakala 637 orang lagi masih ditahan di penjara Beersheva yang terletak di selatan Israel. Mereka yang masih ditahan dipercayai kerana enggan menandatangani arahan diusir keluar. 12 orang rakyat Malaysia juga masih ditahan. 

Nota : Israel menegaskan akan terus menyekat semua kapal-kapal bantuan yang cuba untuk menghampiri Gaza. 

Tuesday, June 1, 2010

Satu Masa Dulu : Permainan

Bila aku baca semula Bab 1 TLC, kenangan ketika zaman kanak-kanak itu mula mengerdip-ngerdip di hadapan mata. Ah, begitulah aku dulu. Dunia penuh dengan permainan. Dalam kepala : sebaik bangun tidur, ketika di dalam kelas, ketika belajar mengaji malah di dalam mimpi pun - upih, guli, tin dan mcm2 bahan mainan lagi selain bola. Gelanggang permainan selalunya di panggung wayang cina yang letaknya betul-betul tujuh lapan langkah dari pintu belakang rumah atuk aku. Panggung wayang cina itu panggung terbuka. Tempat wayang tongkol atau wayang drama diadakan saban tahun. Ia juga digunakan untuk majlis-majlis kenduri kahwin bangsa cina di situ. Juga tempat bermain badminton dan tentunya main tarik upih, tuju tin, galah panjang dan menyorok-nyorok.
Tarik upih, seingat aku, jarang dimain oleh aku dan kawan-kawan sekampung. Alasan utamanya kerana payah hendak dapat upih di kampung itu. Walaupun pelepah kelapa banyak tetapi bukan pilihan yang baik kerana punggung cepat panas dan luka. Biarpun jarang-jarang main tarik upih tetapi bila sesekali main riuhnya menggegarkan panggung. Berpeluhlah kami berlumba selalunya sekali pusingan panggung itu.


Tarik upih

Tuju tin juga selalu dimainkan di panggung wayang itu. Selalunya main dalam jumlah yang ramai. Bukan saja di kalangan kawan-kawan sekampung tetapi kaan-kaan kampung yang lain juga. Tuju tin guna bola tenis. Bila tin bergelimpangan di lantai kerana tuju yang mengena bercemperalah pasukan giliran menuju itu menyelamatkan diri. Apa yang seronoknya dengan tuju tin ini adalah debaran menyelamatkan diri daripada tuju pihak lawan. Kalau kurang nasib baik bola tenis yang kadang-kadang sudah basah kerana sudah masuk parit di tepi panggung wayang itu tepat hinggap di kepala atau muka.


Tuju tin

Galah panjang atau kami sebut toi juga dimainkan di panggung wayang itu. Senang kerana boleh guna garisan-garisan gelanggang badminton. Melentik dan meliuklah badan kami cuba melepaskan diri untuk bergerak ke petak seterusnya. Selalu leka bila main toi. Kadang-kadang bawa sampai ke senja atau tengahari. Bubar bila mama bawa rotan.


Galah panjang @ Toi

Main guli pula selalunya di tepi rumah Opah Cu Tan yang tak jauh juga daripada rumah atuk. Selalu kami main guli dengan dua cara iaitu cara bulatan atau garisan. Secara bulatan bererti guli diletak di dalam bulatan dan guli yang keluar dari bulatan setelah dituju akan jadi milik penuju. Secara garisan pula ialah semua guli peserta akan dibaling melepasi garisan oleh pemain yang punya giliran. Pemain lain akan menunjukkan salah sebiji guli yang perlu dituju oleh pemain itu. Jika guli itu berjaya dituju maka semua guli itu milik pemain tersebut.


Guli

Kami juga suka main menyorok-nyorok. Yang kelakarnya kadang-kadang menyorok sampai dalam rumah. Siap makan, minum dan tengok tv. Jenuhlah pencari mencari yang kadang-kadang ambil masa sampai setengah jam. hehehe


Menyorok-nyorok

Mengenangkan semua itu membuatkan aku tersenyum .................

   

Monday, May 31, 2010

Video Serangan Komando Israel Ke atas kapal Mavi Marmara





Lihatlah kekejaman yang dilakukan rejim zionis. Apa kata Amerika Syarikat, PBB dan EU? Apa tindakan yang akan diambil oleh kuasa-kuasa besar? Aku percaya kamu semua pun seperti aku... Menjuihkan mulut tanda meluat!!! Dunia yang kononnya moden rupa-rupanya masih mengamalkan sistem dulu : survival of the fittest. Yang kuat menang semuanya dan yang lemah kalah segalanya.

Nota : Mavi Marmara membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
          Sehingga kini 19 orang sukarelawan misi ke Gaza meninggal dunia.
         

Hebatkah Mat Lombok?





Aku tertanya-tanya hebatkah lelaki lombok yang boleh digelar kasanova asia ini? Benarkah seperti kata-kata segelintir anak gadis melayu kita bahawa mat lombok adalah lelaki yang melimpah dengan ambil berat dan penyayang? Lelaki melayu Malaysia kurang romantik lalu endah tak endah dan kurang penyayang? Atas dasar apa kesimpulan yang aku kira melulu itu dibuat?
Lebih mengharukan anak-anak gadis kita sanggup tinggal mak bapak, adik beradik, saudara mara, rakan-rakan di samping dan meredah lautan untuk hidup bersama dengan mat lombok di tanah asal pasangannya itu. Apakah syurga yang dijanjikan oleh mat-mat lombok ini sehingga gadis-gadis melayu kita ini rabun dengan kemewahan tanah air sendiri. Adakah mereka tahu kehidupan serba payah mat-mat lombok yang memaksa mereka berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki?





Bertani dan menangkap ikan adalah punca utama pendapatan penduduk lombok


Aku rasa alasan yang munasabah kerana cinta. Cinta kan bisa membutakan hati dan tindakan seseorang. Dan cinta juga selalunya tak beralasan. Tetapi berbaloikah? Kerana akhirnya, bila berdepan dengan realiti sebenar kehidupan di lombok, barulah anak-anak gadis ini sedar cinta semata tak dapat menyuburkan hubungan terutamanya jika pasangan lebih suka berselimut daripada keluar mencari nafkah. 

 

Rumah-rrumah suku Sasak





Benarkah lelaki lombok hebat sehingga dapat melarikan anak-anak gadis Malaysia ke kampung halaman mereka? Mengikut adat turun temurun mereka lelaki yang melarikan anak gadis untuk akhirnya berkahwin lebih perwira, terhormat berbanding lelaki yang mengahwini gadis secara tidak melarikan. Pelik? Apa yang nak dipelikkan. Adat tak mengenal pelik. Tetapi akal dapat membezakan apa tindakan yang gila dan tidak. Jadi akhirnya akallah yang menentukan samaada adat itu harus diteruskan atau tidak. Aku percaya orang lombok, khususnya suku Sasak sudah bijak adat mana yang harus dikekalkan dan yang mana tidak. Jika tidak pun janganlah mengamalkan adat suku sendiri untuk bangsa lain. Pusing-pusing dalam suku sendiri tidaklah menjadi hal. Lagipun apa yang dilakukan oleh mat lombok yang melarikan anak-anak gadis melayu kita tidaklah mengikut adat yang sebenar. Sudah lari jauh daripada adat sebenar. Buat Novian Arif, yang berikrar "Kami akan terus melarikan abak gadis orang sebelum dikahwini walaupun ia dianggap jahat kerana adat ini sudah diamalkan sejak dari generasi dulu lagi." , seperti yang dilaporkan di muka hadapan Harian Metro pada Jumaat lalu, 28 mei 2010, ingatlah : JANGAN LARIKAN ANAK GADIS MALAYSIA lagi kerana perbuatan melarikan anak gadis bukan adat bangsa melayu Malaysia. Perbuatan itu sesuatu yang kurang ajar dalam bangsa melayu Malaysia. Jika mahu kekalkan adat itu di kalangan suku kamu kekalkanlah. Tetapi jangan sehingga mengganggu bangsa lain. Sama-samalah kita menghormati adat masing-masing. 




Gadis Sasak



Friday, May 28, 2010

Individu-Individu Paling Kaya Di Malaysia

Robert Kwok



Senarai terbaru 10 individu paling kaya di Malaysia (mengikut nilai aset) :

1. Robert Kuok, Kerry Group/Kuok Group, RM39b


2. T. Ananda Krishnan, Usaha Tegas, RM27b


3. Tan Sri Lee Shin Cheng, IOI Group, RM15b


4. Puan Sri Lee Kim Hua, Genting, RM13b


5. Tan Sri Quek Leng Chan, Hong Leong Bank, RM13b


6. Tan Sri Teh Hong Piew, Public Bank, RM12.5b


7. Tan Sri Yeoh Tiong Lai dan keluarga, YTL Group, RM8.2b


8. Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, Yayasan Al-Bukhary, RM5.5b


9. Tan Sri Vincent Tan, Berjaya Group, RM5b


10. Tan Sri Tiong Hiew King, Rimbunan Hijau, RM4b


Cuba kita perhatikan senarai di atas betul-betul. Buka mata luas-luas dan baca dengan teliti. Jika perlu berkali-kali. Apa yang kita temui? Semua sepuluh individu terkaya di Malaysia adalah ahli perniagaan. Maka sahlah seperti kata sebuah hadis bahawa sembilan daripada sepuluh sumber rezeki adalah melalui berniaga. Apa lagi yang kita temui melalui senarai itu? Lapan daripada 10 individu terkaya di Malaysia adalah daripada bangsa cina. Seorang daripada bangsa india yang berada di kedudukan nombor dua. Dan seorang daripada bangsa melayu yang hanya di kedudukan kelapan. Mengenangkan fakta ini aku teringat beberapa artikel Kunta Kinte yang terbit setiap ahad di Mingguan Malaysia sepanjang beberapa minggu yang lepas. Daripada artikel-artikel itu, yang aku faham ialah usahawan melayu memang diberi tongkat oleh kerajaan. Begitu juga usahawan cina dan india. Tetapi yang membezakan mereka ialah usahawan melayu jual tongkat tetapi usahawan cina dan india tidak.
          Sedikit catatan : Robert Kuok lebih kaya raya selepas mendapat tender gula daripada kerajaan. Ketika itu dia menguasai 80 peratus daripada pasaran gula Malaysia dan 10 peratus pasaran gula dunia.


Di mana usahawan-usahawan melayu :


11. Azman Hashim
21. Kamaruddin Meranum
23. Shahril & Shahriman Shamsuddin
26. Mokhzani Mahathir
27. Ahmayuddin Ahmad
32. Nazir Razak
35. Eleena Azlan Shah
35. Rozali Ismail
39. Abdul Hamid Sepawi
40. Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir

Pinjaman Semata


Tiba-tiba apa yang kita miliki
terlepas dari genggaman
Kita gelabah, gundah dan
nangis kerana kecewa
Selama ini kita percaya
semua itu hak milik kekal kita
Kita lupa bahawa....
semua itu pinjaman semata

               Fitri Hussin, 29 mei 2010, 11pg



Wednesday, May 26, 2010

Beriadah Di Hutan Lipur Lata Bukit Hijau, Kedah


Hari itu Jumaat  lepas, 21 mei 2010, cuaca kadang-kadang cerah dan kadang-kadang mendung. Oleh kerana memenuhi janji aku bawa isteri ke Lata Bukit Hijau. Bergerak dari rumah di Kulim sekitar jam 9 pagi. Meter kelajuan kereta sekitar 80km/j. Sudah lama tidak ke sana, seingat aku lebih kurang 5 tahun. Jadi was-was dengan jalan. Memandu dengan dipimpin oleh ingatan yang samar-samar, pedoman dan tentunya papan tanda! Mujurlah pemandangan sepanjang perjalanan begitu indah. Sesat di mana pun keindahan gunung ganang tetap menggiurkan. Kami tiba di kawasan air terjun itu selepas hampir 45 minit perjalanan.

Air terjun Lata Bukit Hijau

Ketika memasuki perkarangan kawasan perkelahan itu, diri yang teruja-uja sejak dari Kulim tiba-tiba dicuit hampa. Kawasan itu hampir lengang. Di tempat letak kereta pakir tidak sampai sepuluh buah kenderaan. Aku terkulat-kulat. Sukar hendak percaya yang tempat yang aku kunjung dulu ini, yang begitu ramai pengunjung dulu kini lengang. Kami gagahkan diri untuk beriadah di situ juga. Ketika sedang berenang baru aku teringat hari ini Jumaat! Walaupun Kedah cuti tetapi hari ini Jumaat! Jumaat maksudnya solat Jumaat!!!



Aku berenang di salah satu daripada 7 kolam Lata Bukit Hijau

Walaupun tanpa pengunjung, yang tentunya akan memeriahkan suasana, kunjungan ke situ tetap juga bermakna. Sesekali dapat dengar dodoi deruan dan desahan air terjun menggantikan lalak lolong deruman kenderaan amat mengamankan jiwa. Sesekali dapat menghidu dan memeluk segarnya nafas hutan diganti dengan longlainya nafas kota amat menyamankan


  

Puas dirai alam

Aku pulang selepas hampir dua jam di situ. Sampai rumah sebelum solat Jumaat. Berselisih dengan ramainya muslim yang sudah bersiap-siap ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah.
Pada sebelah malamnya aku bersembang tentang hal lengangnya Lata Bukit Hijau dengan emakku. Katanya : "Memanglah... Dulu Sultan dah beri peringatan. Kata Sultan baginda akan batalkan cuti pada hari Jumaat jika orang ramai berkelah sampai lupa solat Jumaat!" Aku tersenyum....

Nota : Lata Bukit Hijau terletak 42km dari Kulim dan 112km dari Alor Setar. Air terjunnya tujuh tingkat dan mempunyai 7 kolam. Sudah meragut 36 nyawa dalam tempoh 20 tahun. Jadi berhati-hati.