Pages

Sunday, January 13, 2013

Petikan Kedua Katarak





.......... Selain ‘Di sebalik Tirai Besi Henry Gurney’ ada label-label lain yang aku wujudkan dalam Rumah Telus. Label ‘Dari Dasar Hati’ – label yang mengandungi kumpulan puisi dan cerpen ciptaan aku; label ‘Teropong’ – label yang mengandungi pendapat dan analisis aku tentang peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam negara waktu itu; label ‘Sekitar Aku’ – label yang mengandungi cerita peribadi aku. Dari segi populariti ‘Sekitar Aku’ label bongsu Rumah Telus itu berada di tangga kedua. ‘Sekitar Aku’ betul-betul bersifat peribadi. Ia menceritakan tentang perjalanan hidup aku setiap hari. Dari perasaan yang mula-mula terdetik ketika bangun pagi hingga ke perasaan sebelum melelapkan mata pada malamnya. Di situ watak-wataknya benar wujud. Watak-watak itu adalah Azrul. Anas, Wadi, Fadhil dan kawan-kawan sekolej, pensyarah dan lain-lain. ‘Sekitar Aku’ adalah perakam kehidupan aku dan orang sekeliling aku di kampus waktu itu. Jika satu-satu gosip cinta timbul, aku ambil inisiatif untuk menyelidikinya. Terpaksa jadi wartawan dan paparazzi. Banyak gosip yang berjaya aku sahkan samaada ia sahih atau sebaliknya. Selalunya dengan bukti bergambar dan analisis yang sukar untuk ditangkis. Begitu juga halnya bila sesuatu khabar angin muncul. Sehinggalah apa yang berlaku di kampus jika hendak tahu benar atau tidaknya, rakan-rakan sekampus akan berkata : “Nak tahu benar atau tidak kita tunggu apa kata RT” RT itu akronim yang diberi mereka kepada Rumah Telus. Oleh kerana label ‘Sekitar Aku’ Rumah Telus berjaya memancing ramai pengikut dari kalangan warga kampus tup-tup aku menjadi perhatian rakan kampus. Terasa seperti subjek utama yang disuluhi lampu simbah di dalam sesuatu pementasan  Hal ini membangkitkan perasaan bangga. Tambahan pula cerita tentang ‘Sekitar Aku’ itu mula merebak ke kampus-kampus lain. Banyak komen yang aku terima dari warga kampus lain meminta aku menyiasat gosip dan khabar angin di kampus mereka. “Rebut peluang. Ini jalan untuk membesar!” Nasihat Wadi itu membuatkan aku tidak berfikir banyak kali untuk mengembangkan sayap ‘Sekitar Aku’. ‘Sekitar Aku’ terbang laju. Selaju ‘Di Sebalik Tirai Besi Henry Gurney’ selepas beberapa lama. Selepas setahun Rumah Telus berjaya menempatkan diri dalam senarai sepuluh blog teratas dalam carta Alexia. Sebaris Beatifulnara, Oh!bulan, blogserius, papagomo,benshaari dan lain-lain. Fenomena!
Rumah Telus tidak berhenti di situ. Ia terus-menerus menarik pengikut baru dan berkembang menjadi sebuah blog yang amat berpengaruh di kalangan warga kampus Malaysia. Kredebilitinya diakui. Analisisnya tepat. Setiap pendedahan disertakan dengan bukti – gambar pegun, video, audio, dokumen-dokumen sulit dan sebagainya. Ia sahabat karib kepada pencinta kebenaran dan musuh kepada pembenci kebenaran. Rumah Telus berada di puncaknya setelah membongkar hal yang paling mengejutkan dalam dunia kampus. Hal yang tidak pernah terlintas pun dalam kepala aku selama ini. Hal ini akan aku ceritakan pada bab-bab yang berikutnya. Jadi, ayuh tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Pastikan anda bersedia dengan sebarang kemungkinan………          
     

2 comments:

  1. Sedang baca Katarak. And now here i am google Rumah Telus hahaha i tot memang wujud ada banyak cerita dalam tu rupa nya tak. Nice bro!

    ReplyDelete
  2. Saya juga sedang membaca novel Katarak.. :) Rumah Telus.. kalau lah wujud.. pasti akan jadi satu blog yang hit terutama bagi pelajar2 universiti.. :)

    ReplyDelete