Pages

Tuesday, January 15, 2013

Petikan Ketiga Katarak




.......... Kini semua mata tertumpu pada layar putih gergasi di belakang kami.
Filem pendek arahan Anas situ dimulai dengan latar hitam yang kemudiannya diisi oleh perkataan-perkataan yang muncul satu persatu seperti sedang ditaip sehingga memaksa penonton-penonton yang ada di situ mengeja. Selepas beberapa perkataan disambung akhirnya sebaris ayat terbentuk. Ayat itu ialah :
‘Filem pendek ini dihasilkan oleh empat orang sahabat buat seorang sahabat mereka demi cintanya terhadap gadis yang dipujanya.’
Instumental  lagu Malam Bulan Dipagar Bintang ciptaan P.Ramlee melatari filem pendek tersebut.
Perkataan-perkataan putih tadi berterbangan dan kemudian berkumpul di tengah-tengah layar dan mengembang sehingga latar hitam tadi bertukar putih lalu kemudiannya perlahan-lahan membentuk sejalur cahaya matahari yang sedang menyuluh bumi dari celah-celah daun pokok angsana yang berdiri kukuh di hadapan kolej kediaman kami. Jalur cahaya matahari itu jatuh pada lantai bumi. Daun-daun kering yang terbaring di atasnya berpusar-pusar resah ditiup angin. Daun-daun kering itu berpusar resah dan menyentuh belakang kasut seseorang. Kasut putih itu berjenama Everlast seperti yang tertera pada label di belakangnya. Kasut putih Everlasat itu sama seperti yang dipakai oleh Azrul sekarang.
Azrul melihat kasut yang dipakainya. Aireen juga. Semua penonton pun.

Di layar putih filem pendek meneruskan cerita. Dari belakang kasut putih Everlast itu kamera naik ke atas lalu terdedahlah belakang badan seseorang iaitu seorang pemuda berseluar jeans dengan t-shirt hitam. Pemuda itu sedang menggalas sebuah beg komputer riba jenama AGV. Pemuda itu sedang berjalan longlai dengan seorang pemuda lain. Mereka berdua sedang bersembang.
“Betul engkau cinta dia?” tanya pemuda yang berjalan di sebelah pemuda yang memakai kasut putih Everlast itu. Pemuda itu adalah aku. Pemuda yang memakai kasut putih Everlast itu tak lain dan tak bukan adalah Azrul. Anas, Wadi, aku dan Fadhil merancang babak ini tanpa disedari Azrul. Perbualan kami berdua itu telah dirakam oleh Anas yang mengekori dari belakang.
“Ya. Tak syak lagi,” jawab Azrul penuh yakin. Jawapannya kedengaran amat ikhlas.
Aireen terpaku. Aku tahu jiwa gadis itu sudah tersentuh.
“Kenapa?” tanya aku. Ikut skrip yang diarahkan oleh Anas itu.
Azrul berhenti melangkah lantas memandang aku. “Hati,” jawab Azrul sambil menunjukkan telunjuknya ke dadanya. Sisi tepinya kelihatan sekejap sahaja sebelum latar menjadi hitam semula. Runut bunyi lagu Malam Bulan Dipagar Bintang yang tadi kedengaran sayup-sayup kini perlahan-lahan kedengaran jelas. Kemudian senyap dan diganti dengan lagu Tanya Sama Hati ciptaan P.Ramlee. Melodi lagu itu yang sayup-sayup kedengaran pada mulanya kini perlahan-lahan jelas. Gesekan biola yang syahdu menambah jiwa pada filem pendek Anas itu. Suara lunak P.Ramlee tiba-tiba mengisi ruang foyer itu. “Tanya sama hati. Pernahkah merindu. Ingat masa lena. Apa mimpimu.” Latar hitam tadi kini sudah bertukar-tukar samar-samar. Sebuah bilik tidur kelihatan di layar. Bilik itu kelihatan samar-samar. Cahaya hanya dari celahan pintu. Di atas katil seorang pemuda yang sedang lena dengan rusuk kanan mengadap dinding sedang mengigau. Pemuda itu adalah Azrul.
“Aku cinta kamu Aireen...” Azrul meluahkan perasaanya terhadap Aireen dalam mengigau.
Latar kembali hitam.
Aireen terkedu. Tentunya jiwanya tersentuh lagi.
Instrumental lagu Engkau Laksana Bulan berkumandang perlahan-lahan. Instrumental itu sayu dan tajamnya menusuk kalbu. Perlahan-lahan latar kembali cerah. Aireen yang sedang tersenyum manis dan kemudiannya ketawa kecil comel mengisi layar. Entah bila Anas merakam wajah Aireen itu. Azreen kelihatan sungguh cantik persis seorang puteri. Aireen macam bidadari walaupun tidaklah secantik Ainul Mardiah, bidadari tercantik di syurga itu. Wajah Aireen hilang dari layar dan diganti oleh imej belakang badan Azrul yang sedang mengadap padang kolej kediaman kami yang kosong. Azrul duduk berseorangan di situ. Suasana sekeliling sepi. Langit pula mendung. Disusuli dengan imej Azrul dari sisi kiri dengan muka yang berpeluh. Tenggelam timbul kedengaran suara Zakuan : “Kalau datang lembing beribu, dada ini beta tadahkan, terimalah cinta beta padamu, kan beta kasihi hingga akhir zaman.” Latar hitam semula. Sesaat kemudian cerah semula. Kali ini terpampang di layar ialah muka Azrul dari sebelah sisi kanan juga dengan muka yang berpeluh. Suara Alif dan rakan-rakannya kedengaran jelas :  “Kau, kau gadis pujaan! Baik budi dan sopan! Sekali pandang aku tertawan! Buat hati tak keruan!” Layar kembali hitam. Sesaat selepas itu kelihatan muka Azrul di dalam gelap di Dewan Perdana tempohari. Azrul sedang menggaru-garu kepala dalam keadaan resah gelisah. Sayup-sayup kedengaran suara Arif : “Duniaku hanya ada kamu. Kaulah mentari kaulah bulan. Aku selalu ingin kata padamu. Aku ingin kamu.” Lalu babak itu disudahi dengan muka Azrul yang kelihatan letih dan disusuli dengan keluhan yang panjang dan dalam.
Layar kembali hitam. Dari latar yang hitam itu muncul suara Azrul :  “Jangan mengalah. Kita pasti yang terbaik!” Layar kembali cerah. Di layar kelihatan kami berlima sedang gigih berlatih menari. Kami berlima membelakangi kamera. Hanya Roni yang mengadap kamera. Rakaman itu dibuat Anas sewaktu latihan tarian kami yang pertama. Kami berlima kelihatan begitu canggung dan tentunya menjadi bahan ketawa kepada semua selain Aireen yang kelihatan terharu. Kamera mendekati Azrul yang sedang berusaha bersungguh-sungguh mengikut tarian yang ditunjukkan Roni. Di kalangan kami berlima Azrullah paling bengap menari.
“Kenapa sanggup buat begini?” suara Anas kedengaran.
“Buat apa?” tanya Azrul kembali. Hanya kakinya yang kelihatan. Gerak langkahnya pincang dan kedengaran kami berempat mentertawakanya.
“Menari. Perbodohkan diri,” kata Anas.
“Demi cinta,” jawab Azrul. Jawapan yang kedengaran begitu tulus. Seperti Tan Hon Ming dalam iklan Petronas Tan Hon Ming In Love itu.
Layar kembali hitam perlahan-lahan. Kemudian babak-babak sebelum ini dimainkan semula tetapi dengan kadar yang laju untuk imbas semula. Selepas “Demi cinta.” Layar pun kembali hitam. Kemudian huruf-huruf putih satu persatu muncul di layar seperti sedang ditaip. Sebaris ayat terbentuk : ‘Demi cinta dia sanggup harungi segalanya. Mudah-mudahan diterima. Amin.” Instrumental Malam Bulan Dipagar Bintang berkumandang semula. Betul-betul mengusik kalbu. Seorang demi seorang daripada kami berempat memberi ucapan. Kami memakai topeng.
Ucapan Fadhil : “Dia tulus. Terimalah dia Aireen.”
Ucapan Wadi : “Dia adalah Shah Jehan yang sanggup buat apa sahaja demi cintanya.”
Ucapan Anas : “Aku beri jaminan dia yang terbaik untuk engkau.”
Ucapan aku : “Dialah lelaki yang engkau cari. Menyintaimu tanpa syarat.”
Kemudian layar itu hitam kembali. Lagu Malam Bulan Dipagar Bintang berkumandang semula. Suara P.Ramlee terus mengusik jiwa. Huruf-huruf putih muncul semula. Tertera di layar kemudiannya : “Kami harap engkau terima dia. Engkaulah bidadarinya.” Suara P.ramlee beransur-ansur hilang. Filem pendek berdurasi 10 minit itu pun tamat.
Keadaan sunyi sepi. Masing-masing terkesan dengan filem pendek Anas itu. Sudah ada beberapa orang mahasiswi yang mengalir air matanya. Kini semua mata tertumpu ke arah Aireen. Aireen sudah pun berkaca matanya. Tiba-tiba Aireen melihat Azrul. Lama dengan pandangan yang amat sayu. Tak lama kemudian air matanya pun mengalirlah ke pipinya yang gebu itu. Aireen bersuara dengan terketar-ketar :
“Itu engkau?” tanya Aireen sambil menyapu air mata.
Azrul mengangguk perlahan.
“Betul engkau?” tanya Aireen lagi.
Azrul menunjukkan belakang kasut yang sedang dipakainya. Ada label Everlast.
Aireen tergelak kecil. Masih juga menyapu air matanya. “Siapa engkau?” tanya Aireen kemudian.
Layar bernyawa semula. Saat-saat yang ditunggu oleh kami berempat itu akhirnya bakal muncul. Lagu Malam Bulan Dipagar Bintang berkumandang semula. Kali ini dengan liriknya yang tertera di layar. Tak lama selepas itu layar itu terbahagi dua. Sebelah kiri lirik Malam Bulan Dipagar bintang. Manakala sebelah lagi kini terpampang kami berempat. Kami membuka topeng seorang demi seorang. Bermula dengan Anas, Wadi, Fadhil dan aku. Di foyer, kami mengikuti apa yang sedang kami lakukan dua hari lepas itu. Hanya Azrul sahaja yang masih memakai topeng sekarang. Semua mata ke arah Azrul sekarang.   
“Siapa engkau?” tanya Aireen. Suaranya lembut macam bayu.
Di layar kelihatan Azrul sedang menanggalkan topengnya. Gambar itu dirakam dua hari lepas ketika kami mencuba topeng. Dirakam secara kandid oleh Anas. Perlahan-lahan wajah Azrul pun kelihatanlah di layar. Di bahagian bawah layar tertulis : “Akulah pemberi mawar itu!”
Aireen terlopong. Semua yang ada di situ ternganga.
“Benarkah itu engkau?”
Azrul membuka topengnya perlahan-lahan. Bila topeng meninggalkan mukanya semua yang ada di situ bersorak gembira. Aireen terkelu. Air matanya terus mengalir. Melihat Azrul dengan pandangan yang sungguh sayu.
“Bravo!”
“Fantastik!”
“Bombastik!”
Itu adalah antara sorak yang kedengaran. Di kalangan para penonton semakin ramai yang menitiskan air mata. Tiba-tiba Azrul bersuara. Sorak sorai beransur-ansur sunyi.
“Mahukah engkau terima aku lelaki yang menyintai engkau dengan sepenuh hati ini?”
Semua diam membisu. Suara ketar Azrul terasa begitu menyentuh hati.
Aireen yang masih menangis diam membisu.
“Mahukah engkau...”
Aireen memotong kata-kata Azrul. “Beri aku masa.” Lalu berlalu dari situ dengan tergesa-gesa.
 Malam Bulan Dipagar Bintang terus berkumandang.
Mengiringi lenggok Aireen ialah sorak semua yang masih berada di foyer. “Terima! Terima! Terima!” Aireen yang meninggalkan foyer itu kelihatan ketawa kecil.
Kami berlima berpandangan lalu tersenyum puas kerana dapat menjayakan rancangan tersebut dengan begitu baik sekali. Azrul mengucapkan terima kasih kepada kami berempat. Azrul merasa bebas selepas meluahkan perasaan cintanya terhadap Aireen itu. Ramai yang mengucapkan tahniah kepada kami.
Malam itu aku muat naikkan video cara Azrul memikat Aireen itu ke Rumah Tulus. Pagi esoknya cara Azrul itu menaiki takhta menyingkirkan cara Arif. Kami berlima bersorak gembira bukan main. Kembang badan seinci.

1 comment:

  1. nice post. unfortunately, x sempat baca smpai habes. rushing ke kelas

    ReplyDelete