Pages

Tuesday, February 11, 2014

Ulasan Novel Runcing - Alaf 21


Secara ringkasnya,  Runcing menceritakan tentang Kampung Longkai yang dilanda pelbagai kejadian misteri sejak kehadiran Sahak,  menantu Penghulu Khamis.  Lelaki yang mempunyai pendamping yang diwarisinya daripada bapanya,  Semaun,  menggunakan bantuan pendampingnya itu untuk mengembangkan pengaruhnya.  Tetapi usahanya itu berdepan halangan dengan adanya Haji Ipin.  Sahak merasakan usahanya terancam kerana Haji Ipin,  dengan izin ALLAH,  mampu menawarkan penyakit-penyakit misteri yang dilakukannya terhadap beberapa orang penduduk kampung.  Sejak itu penduduk-penduduk kampung mula meragui dirinya.  Kebenciannya terhadap guru agama itu menokok.  Akhirnya dia nekad hendak memusnahkan seterunya itu.  Keadaan semakin meruncing.  Apa selepas itu?  Itu kenalah beli dan baca sendiri ya.

Runcing sebuah karya yang amat menarik.  Tema sihir yang diangkatnya sudah disentuh oleh beberapa orang penulis.  Tetapi di tangan Zharulnizam Shah ZA,  tema yang sudah disentuh itu terasa benar luar biasanya.  Ritual-ritual yang diketengahkan diceritakan dengan agak terperinci lantas membekas di fikiran.  Plotnya pula disusun dengan agak sempurna.  Ia berjaya menarik pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga ke titik akhir.  Beberapa persoalan yang sengaja dibiarkan tergantung pada awal-awal bab dijawab dengan baik pada bab-bab belakang.  Ia juga penuh dengan nilai persahabatan.  Persahabatan yang dijalin atas jalan agama tentulah lebih mendalam sifatnya berbanding atas jalan lain.  Ia juga penuh dengan kritikan sosial terhadap sikap bangsa melayu.  Ini dilakukan dengan baik dan halus melalui watak-watak novel ini.  Ia juga tepu peringatan. Diulang-ulang secara bersebab. Ini dapat dirasai oleh pembaca sebaik menghabiskan Runcing.  Selepas noktah penamat ada beberapa persoalan masih tergantung tidak dijawab terutamanya : Di manakah Sahak?  Memang wajar jika ada sambungannya - Runcing 2.

Secara keseluruhannya,  ditekankan sekali lagi bahawa Runcing sebuah karya yang amat menarik.  BINTANG?  5 / 5.  Tahniah buat Zharulnizam Z.A.  Ia berbaloi untuk dimiliki.

Selamat membaca.

3 comments:

  1. Tuan, dlm novel Antolgi Mistik Jembalang, terdapat sub yg ditulis oleh Zhairulnizal Shah ZA bertajuk Runcing 2. Tp tulisannya tergantung. Adakah ia diambil dr novel Runcing?

    ReplyDelete
  2. Runcing 2 di dalam Antologi Mistik Jembalang adalah sambungan Runcing. Nantikan Runcing 3 yang dikhabarkan akan diterbitkan pada 2016 nanti.

    ReplyDelete
  3. Best jg apabila membaca ulasan, sinopsis runcing, nak cari la novel tu..

    ReplyDelete