Pages

Thursday, April 25, 2013

Merah Yang Menggoda



Mata aku terkebil-kebil. Dari atas rumah aku dapat lihat dengan jelas gugusan-gugusan buah merah berbulu yang tergantung itu melambai-lambai minta dipetik. Semacam aku dapat dengar suara mereka memujuk lembut, "Petiklah kami..." Pujukan lembut itu berulang-ulang mengerumuni telinga dan hati. Aku telan air liur beberapa kali. Buah yang dikenali sebagai rambutan itu sudah menggoda sejak perjalanan ke Junjung tempohari.
Rumah aku ada pokok rambutan. Bukan sepokok tapi tiga. Tetapi buah ketiga-tiganya waktu itu masih putik. Aku sudah sekeliling kampung. Semua pokok rambutan yang ada di kampung itu masih putik juga. Kecuali pokok rambutan di depan rumah Pak Syahid itulah yang sedang merah ranum. Tapi Pak Syahid sama macam Pak Murad, ayah Wadi itu. Bakhil Pak Syahid tak kurang berbanding Pak Murad. Masing-masing setara dalam bab kebakhilan ni. Dan itulah halangan utama aku untuk merasai kelazatan buah rambutan pada waktu itu.
Aku cuba tapi tak mampu. Kaki tak tergerak hendak melangkah habis ke pintu rumah Pak Syahid. Lalu beri salam dan meminta izin untuk petik buah rambutan itu sebiji dua agar kempunanku tak berterusan. Sudah tiga empat kali kakiku terhenti di tengah jalan. Berpusing balik bila tiba di tengah jalan bertar yang memisahkan rumah aku dan Pak Syahid.
Wadi datang ketika aku kelihatan sayu memandang buah merah yang melambai-lambai dan masih memujuk lembut minta dipetik itu.
"Aik, menung je? Ingatkan Azneen? Hehehe..." tegur Wadi.
Aku buat tak peduli pada Wadi. Mata sepetku tak lekang pada pokok rambutan Pak Syahid di seberang jalan. Pandanganku sayu......
"Buat tak peduli kat aku pulak tu..... . Apa kena dengan hang ni?" tanya Wadi.

Aku buat tak dengar. Tengah melayan perasaan. Aku turun dari motosikal abah. Berjalan ke arah rumah Pak Syahid. Wadi yang tak tahu hujung pangkal ikut terburu-buru. Sampai di tengah jalan bertar yang lebarnya lebih sedepa itu aku pun berpatah balik seperti empat kali sebelumnya. Nekad aku tak ke mana. Wadi ikut berpatah balik seperti aku.
"Aik, apa hal ni?" tanya Wadi berulang-ulang.
Aku mengeluh sebaik berlabuh semula di atas motosikal abah.
"Cuba hang beritahu aku apa yang engkau buat tadi?" tanya Wadi.
Aku diam membisu.
"Azneen ada dalam rumah Pak Syahid ke?" tanya Wadi. "Tapi apa dia buat kat situ?" Wadi mula berspekulasi.
"Bukan," jawabku. "Hang ni ingat Azneen je..."
"Habis tu?" tanya Wadi.
"Tu," jawabku sambil tangan menunjuk ke arah pokok rambutan yang sedang berbuah lebat itu.
"Rambutan?"
Aku mengangguk.
"Hang teringin makan rambutan?" tanya Wadi.
 Aku mengangguk.
Wadi tergelak. "Pasal apa hang tak petik je..."
"Mana boleh petik macam tu je. Nampak Pak Syahid kena kejar keliling kampung nanti. Mati kalau dia beritahu abah aku!" balas aku.
"Pi lah mintak..." cadang Wadi.
"Takkan hang tak tahu Pak Syahid tu kedekut macam... " Aku telan kata. Tak sampai hati aku nak sebut nama Pak Murad, ayah Wadi.
"Macam siapa?" tanya Wadi.
"Err.... ha, macam Haji Bakhil!" Aku tersenyum.
Wadi ketawa.
"Aku petik untuk hang," kata Wadi lalu terus berjalan ke rumah Pak Syahid.
Aku cuba menghalangnya. Tapi dia yang macam bulldozer tak mampu dihalang. Sebaliknya aku ditarik supaya mengikutnya. "Buat apa nak takut!" kata Wadi berulang-ulang. Bersama kawan, aku jadi berani. Aku terpengaruh dengan kata-kata Wadi. Terus ikut langkah Wadi.
Kami tiba di pokok rambutan Pak Syahid yang paling dekat dengan jalan bertar itu. Gugusan buah rambutan itu tak dapat dicapai dengan tangan. Kami melihat sekeliling untuk mencari ranting tapi tak jumpa. Akhirnya Wadi menyuruh aku naik ke bahunya. Aku naik ke atas bahu Wadi. Wadi yang bertinggung mula menegakkan badan. Aku terhuyung hayang. Ketika kaki Wadi separuh untuk tegak semula dan tangan aku hampir untuk mencapai buah merah yang semakin menggoda itu, tiba-tiba pintu rumah Pak Syahid dibuka. Terpacaklah Pak Syahid di hadapan pintu tersebut. Kami berdua terkejut. Wadi angkat langkah seribu. Aku jatuh tergolek. Kaki yang mendarat secara mengejut terpelecok. Wadi yang kelam kabut melintas jalan dilanggar basikal yang dinaiki laju oleh Herul dan Amin. Mereka bertiga tersadai di bahu jalan. Pak Syahid datang. Aku cuba pergi dari situ tapi kakiku yang terpelecok tak mampu pergi jauh.
"Jangan ke mana-mana!" kata Pak Syahid.
Aku beku di bahu jalan bertar bersama Wadi, Herul dan Amin.
"Kenapa tak mintak?" tanya Pak Syahid.
 Aku dan Wadi terkebil-kebil.
"Lain kali mintak. Jangan ambil macam tu saja...." kata Pak Syahid lagi. "Tuhan bayar cash."
Aduh, malunya aku.
Herul dan Amin tersengih-sengih memandang aku dan Wadi.
"Hang," kata Pak Syahid pada Wadi, "pi belakang rumah aku."
Wadi bangun dan pergi ke belakang rumah Pak Syahid tanpa membantah.
"Masuk dalam stor," jerit Pak Syahid. "Sudah?"
"Sudah." terdengar suara Wadi dari belakang rumah Pak Syahid.
"Ambil galah dan bawa ke sini!" arah Pak Syahid.
Wadi datang dengan galah. Dia kemudiannya di arah untuk mengait gugusan buah rambutan.
Petang itu aku dan kawan-kawan makan buah rambutan bersama Pak Syahid!
Merah itu memang menggoda hingga membuatkan aku terlupa baik buruk sebentar tadi. Dan rupa-rupanya Pak Syahid tidaklah sebakhil yang ku sangka! Kena sangka baik pada orang selalu.....


Episod akan datang : Jem Rambutan Masam.









No comments:

Post a Comment