Pages

Sunday, June 15, 2014

Ulasan Novel Macedonia - Alexander Agung


Macedonia - Alexander Agung
Web Sutera
Galeri Ilmu
469 muka surat
Zamri dan rakan-rakan sekuliahnya ditugaskan oleh pensyarah mereka untuk menyiapkan satu projek sejarah mengenai seorang tokoh sejarah dan sumbangannya kepada dunia. Zamri dan Zainal memilih tokoh yang sama iaitu Iskandar Zulkarnain. Bezanya masing-masing punya pegangan sendiri siapakah tokoh yang namanya dinyatakan di dalam Al-Quran itu. Zamri percaya bahawa Alexander Agung itulah Iskandar Zulkarnain. Sementara Zainal pula percaya bahawa Raja Kurush itulah Iskandar Zulkarnain. Sehingga sampai ke satu peringkat kajiannya, Zamri tidak sedarkan diri beberapa hari. Di dalam tidurnya itu, dia dibawa oleh leluhurnya, Tok Janggut, ke alam lain dan merentasi masa lampau. Di alam lain itu, pada zamam Alexander Agung itu, Zamri menjadi pencatat diraja bernama Sangarius yang bejerja di bawah Machon. Dia dibimbing juga oleh Tok Janggut. Dia mencatat seluruh pengembaraan Alexander Agung dari mula hingga akhir melalui bantuan Machon dan Tok Janggut. Catatannya itulah yang dinamakan sebagai Kitab Cahaya Bersinar yang ditemui di Laut Mediterranean pada 31 Ogos 2020. Sebuah catatan pengembaraan Alexander Agung yang membuktikan bahawa dirinyalah Iskandar Zulkarnain yang dinyatakan di dalam Al Quran itu.
ULASAN : Novel ini, seperti yang dilabelkan pada kulit hadapannya, adalah sebuah novel sejarah. Atau lebih tepat ia adalah sebuah novel separa fiksyen di mana sejarah digaulkan bersama fiksyen. Bahasa yang digunakan adalah bahasa standard. Plotnya pula pelbagai - pada sesetengah bahagian cerita dirasa lambat bergerak dan pada bahagian lain pula dirasa laju mencanak. Latar tempat dan taktik peperangan digambar dan diperincikan dengan baik sekali oleh penulis. Paling penting alasan-alasan mengapa Alexander Agung itu Iskandar Zulkarnain dinyatakan secara meyakinkan.
Pun begitu novel ini sedikit kurang 'umph'nya. Alangkah baiknya jika aksi peperangan-peperangan yang mengisi hampir lebih separuh novel ini diperincikan lagi supaya unsur suspen dan thriller dapat dimaksimumkan dan wajar juga diselitkan juga unsur humor supaya ketegangan perasaan ketika membaca novel ini dapat dikendurkan di beberapa peringkat pembacaan.
Secara keseluruhannya, novel ini layak menempatkan dirinya sebagai salah sebuah novel yang harus dimiliki oleh peminat-peminat novel tanah air. Bukan mudah untuk menulis novel sebegini. Kepayahan membina latar tempat itu pun sudah cukup mencabar kerana ia menuntut imaginasi yang tinggi. Tambahan pula untuk menegakkan kepercayaan bahawa Alexander Agung itu adalah Iskandar Zulkarnain. Tentulah ia menuntut kajian yang luas dan mendalam. Di atas semua usaha itu, novel ini berhak mendapat 5 bintang daripada saya. Tahniah Tuan Web Sutera.
P/S : Satu hipotesis yang baik. Namun saya masih percaya bahawa Raja Kurush@Cyrus The Great itulah Iskandar Zulkarnain yang dinyatakan di dalam Al-Quran. Saya percaya Raja Kurush lebih menepati 4 ciri yang disebutkan di dalam Al-Quran. Lebih dari itu hipotesis yang satu ini membenarkan kenyataan bahawa keturunan raja-raja melayu berasal dari Iskandar Zulkarnain. Ini menjawab mengapa Cura Simanjakini menjadi salah satu pedang kebesaran Kerajaan Negeri Perak. Wallahualam.




No comments:

Post a Comment