Pages

Thursday, May 13, 2010

Juara segala Juara

                                                                 
Pada 6 mei yang lalu genap empat tahun abahku kembali ke pangkuan Ilahi. Bermula dengan sentakan pada kaki ketika tidur yang menyebabkan jalannya seperti tempang, tersadung bucu lantai yang mengakibatkan tulang pahanya mengalami keretakan berganda sehingga ditahan di wad, didiagnosis berkali-kali oleh pakar-pakar sehingga diagnosis awal dia mengidap barah tulang itu seakan meragukan, sehinggalah akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir di tanah tempat darah tumpahnya. Dia jarang sakit dan tak pernah ke hospital tetapi sekali dia jatuh sakit dan ke hospital rupa-rupanya membawa kepada ajal. Begitulah ketentuan Allah untuknya.
Abahku lelaki luhur. Selalu saja senyum. Ramah dan pandai berseloroh. Pemurah dan mewah simpati. Sesiapa yang berhati batu, hidung tinggi dan biadab berdepan dengannya bisa cair. Dia jenis yang 'engkau baling batu aku beri campak buah'. Kerana sikapnya yang terlalu baik itulah membuatkan aku sering bergaduh dengannya dulu. Dulu, bagi aku baik itu memang bagus. Tetapi terlalu baik itu pula tidak bagus. Ini kerana bila kita terlalu baik orang condong untuk memijak kepala kita. Walaupun sudah banyak kali dipijak kepala tetapi abahku tidak pernah serik untuk kekal terlalu baik. Dia juga jenis ini : 'Buatlah berpuluh malah beratus kali pun onar terhadapku aku akan tetap berlaku baik kepada engkau.' Perkara ini yang membuatkan aku tidak puas hati dengannya dulu. Tetapi bila dia sudah tiada barulah aku sedar hanya orang yang berhati mulia, tinggi sabarnya dan kental beraninya saja yang mampu kekal terlalu baik seperti itu. Lalu sesal timbul perlahan-lahan dan bangga meresap cepat ke dalam jiwaku. Setiap kali teringatkan sikapnya yang satu ini aku sering terngiang-ngiang katanya setiap kali kami berperang mulut dulu : "Engkau tak tahu apa-apa..." Perlahan-lahan sekarang aku cuba mencontohinya. Bagi aku, dia adalah, seperti kata Andrea Hirata di dalam Sang Pemimpi, 'Juara Segala Juara'

1 comment: