Pages

Sunday, August 7, 2011

Perang Tanah Liat vs Tahi Lembu




                                                           VS




Aku suka lukisan walaupun aku hanya sekali dapat A dan selalunya D. Ya, D untuk dungu! Hal dapat A itu nanti aku ceritakan pada catatan lain. Semasa di Machang Bubok, kelas lukisan paling mengujakan jika melibatkan kerja-kerja yang menggunakan tanah liat.Tak mainlah guna tanah liat tiruan berwarna warni yang dibeli di kedai tu. Kami punya tanah liat asli yang diambil dari dinding sungai. Yang paling penting alasan untuk mengambil tanah liat untuk projek kelas lukisan itulah satu-satunya alasan yang boleh diberi pada emak supaya aku dapat mandi sungai. Jika tidak terjun kolah masjid sajalah jawabnya.
Hari itu selepas berminggu-minggu tidak mandi sungai tiba-tiba Cikgu Haris, cikgu lukisan aku, menyuruh kami sekelas membawa tanah liat untuk kelas lukisan yang akan datang. Aku dan kawan-kawan seronok bukan main. Petang lusanya kami berempat pun turunlah ke sungai. Herul melepaskan basikalnya selepas mengayuh laju meninggalkan aku, Wadi dan Amin. Basikalnya tunggang langgang sendirian mencari semak di tepi sungai untuk parkir. Herul berlari sambil buka baju lalu buat somersault dari atas jambatan kayu. Beberapa saat kemudian terdengar decupan kasar air. Mesti badannya berbirat ditampar air kerana somersault yang tak jadi itu. Rupa-rupanya Herul lebih kemaruk nak mandi sungai berbanding aku! Selepas meletakkan basikal masing-masing di bawah pohon getah di tepi jambatan kayu, aku, Wadi dan Amin berbaris di atas jambatan kayu tersebut. Herul di dalam sungai menggamit supaya kami lekas terjun. Sungai di bawah jambatan itu penuh kerana semalam hujan lebat. Arusnya juga agak deras. Tetapi itu bukan apa-apa - cakap besar aku ni, hehehe - bukankah dalamnya setakat dada itik sahaja dan derasnya insyaallah masih mampu dijinakkan walaupun dgn kuak lentang! fuhhh, memang cakap besar! hahaha.
"Satu, dua, ti----ga!"
Decup, decup, decupppp!!! Tiga decupan menganggu keheningan kebun getah di sekitar sungai tersebut. decupan yang terakhir itu milik Wadi. Wadi gendut jadi bunyi terjunannya memang sentiasa kuat berbanding kami bertiga. Hahaha - kira mengumpatlah ni. Kami timbul hampir serentak beserta pekik seronok yang membingitkan aman kebun getah di sekeliling. Seronok bukan buat-buat. Di kala tengah seronok berkubang tiba-tiba terdengar desingan di telinga. Diikuti dengan semerbak harum rumput busuk. Amin meraba kepalanya yang sudah bersempelat dengan benda hijau. Dia mencium tangannya dan terjeluak. "Taik lembu!" Dia segera menyelam. Aku, Azrul dan Wadi memeriksa sekeliling. Tiba-tiba di balik pokok getah itu tercegat Azman dengan kawan-kawannya dengan ketawa berdekah orang jahat - "Ha, ha, ha...." Amin yang timbul memekik kepada Azman. Terkeluarlah segala sumpah seranah dan maki hamun macam peluru yang berterabur keluar dari mucung mesingan. Amin yang timbul di tebing tadi segera mengambil tanah liat dari tebing tersebut damn membalingnya ke arah Azman. Kena. Azman, budak paling nakal dalam batch kami itu mengaduh juga. Azman membalas dengan tahi lembu kering yang dikutipnya dari tanah berdekatan. Begitu juga dengan kawan-kawannya yang lain. Aku, Azrul dan Wadi ikut berenang ke tebing untuk mendapatkan tanah liat dan menuju ke arah Azman dan kawan-kawannya. Perang tanah liat dan tahi lembu kering pun bermula. Hanya berhenti selepas stok tahi lembu kering habis. Selepas selesai bau badan kami tak ubah seperti bau tahi lembu. Di pihak Azman ternampak jelas badan mereka yang tak berbaju itu ada yang berbirat kemerahan. Masing-masing mengisytiharkan kemenangan. Dan Azman mencabar : "Nanti kita lawan lastik. Tengok sapa yang menang." Dan kami buat tak tahu dengan cabarannya itu kerana masing-masing sibuk menyucikan diri.........

Episod akan datang : Kolah Masjid

Monday, August 1, 2011

Pesanan Ramadhan



Assalammualaikum ...........

Selamat datang dalam penerbangan Ramadhan Air dengan nombor penerbangan 1432H, destinasi Aidil Fitri. Kita akan menempuh penerbangan selama 30 hari. Dilaporkan cuaca bakal panas sehingga menyebabkan anda kehausan sepanjang tempoh perjalanan nanti. Demi keselamatan tegakkan kerusi iman serta sandarkan takwa. Selama tempoh perjalanan pasangkan tali pinggang keselamatan : zikir, tahajjud dan sedekah. Juruterbang anda ialah islam dan pembantu juruterbang al-quran dan sunnah bersama pramugari Rahmah, Makrifah dan Jannah. Kami berharap dapat menerbangkan anda menuju ke Jannatul Naim.

Selamat Berpuasa dari aku, Fitri Hussin.

Tuesday, June 21, 2011

Aku Nak Itu!


Aku rasa Pak Murad, bapa Wadi, dirasuki hantu. Kerasukannya buat aku dalam keadaan sedih, kerdil dan tak tentu arah. Bukan kerana kasihankan Pak Murad tapi kerana kasihankan diri sendiri. Entah bagaimana Pak MUrad yang tersohor dengan bakhilnya itu tup-tup terbuka hatinya untuk membeli kereta kawalan jauh untuk anaknya Wadi. Hal memiliki kereta kawalan jauh itu kini menjadi fenomena di dalam kampung. Ada kereta kawalan jauh maksudnya cool. Dalam kumpulan kami itu, kini tinggal aku seorang sahajalah yang belum cool. Yang aku ada adalah model ferrari dari tanah liat yang aku pamerkan di atas almari rendah di dalam rumah. Model itu pun sudah kelihatan garis-garis rekah.
Aku tidak bersedih lama-lama. Tersengih tak lama kemudian. Bukan kerana sudah ada orang yang berjanji untuk membelikan kereta kawalan jauh tetapi sebab memikirkan pasti ada jalan untuk memiliki kereta kawalan jauh yang menjadi dambaan hati itu.

Jalan 1 : Menabung. Belanja sekolah kebangsaan - 40sen. Tak payah makan masa rehat. Pulun masa sarapan di rumah. Kalau takut lapar eloknya bawa bekal sarapan untuk rehat.Kereta kawalan jauh setanding Wadi harganya rm50. Jadi aku perlu 125 hari untuk kumpul rm50. Atau 17.8 minggu atau kira-kira 4.2 bulan. Selepas dikira berkali-kali - fuh! lama tu......

Jalan 2 : Masa tu musim rambutan. Jadi jual rambutan! Tapi memandangkan rambutan tumbuh merata kampung rasa-rasanya memang takkan lakulah rambutan yang aku nak jual nanti.

Jalan 3 : Minta pada abah. Helah jahat menyelinap dalam kepala. Dan seperti biasa aku tersengih. Tapi sengih kali ni sengih jahat. Macam sengih watak antagonis dalam drama tv bila dapat akal untuk melakukan kerja-kerja jahat. Hahaha (gelak pun dah bunyi macam gelak orang jahat)

Aku beritahu mak aku nak kereta kawalan jauh. Macam biasa mak kata dia akan panjangkan permintaan aku tu pada abah. Aku tahu aku tak boleh dapat daripada mak. Aku juga tahu permintaan aku tak pernah mak tak panjangkan pada abah. Mak beri jawapan pada keesokan harinya. Negatif! Aku buat muka sedih. Memang betul sedih dan bila ditambah dengan lakonan muka aku nampak betul-betul sedih sepuluh sen masa tu. Aku tahu mak perhati semua tu. Aku tahu mak jenis ibu yang tak sampai hati. Bila malam menjelma aku pun mulakan langkah terbesar dalam helah jahat aku tu. Aku pura-pura tidur ketika tengok tv. Masa tu abah dan mak masih menonton tv. Dalam sepuluh minit begitu aku pun pura-pura mengingau. "Vrom.... vrom...." aku menderum. Aku putar tangan ke kanan dan kiri seperti sedang memulas stereng dan kaki menekan angin seperti sedang membrek. Kemudian aksi ngingau itu berhenti. Bersambung semula selepas beberapa minit. "Kereta, kereta, kereta...." kata aku. Tiba-tiba terdengar mak memujuk abah : "Belikanlah dia kereta..." Tiada jawapan daripada abah.
Besok paginya tiada apa-apa yang berlaku. Aku rasa helah aku malam tadi tak berjaya. Bapa pagi-pagi lagi sudah keluar ke kedai kopi kata mak. Bila pulang abah menebas semak samun di belakang rumah. Jam 1 petang ketika makan tengahari abah pun bersuara : "Lepas zohor kita pergi BM (Bukit Mertajam)." Aku yang dipandang abah mengangguk. Hati sudah berbunga-bunga.
Aku macam tak percaya. Abah bukan saja beli kereta kawalan jauh untuk aku tapi kereta kawalan jauh yang lebih mahal daripada Wadi. Harganya rm70. Aku seronok bukan main. Tak sabar nak tunjuk pada kawan-kawan. Di belakang motosikal aku sengih tak berhenti. Tiba di Cherok To'kun enjin motosikal yang kami naiki mati. Abah memeriksa tangki minyak. Dia geleng kepala. Motosikal itu kehabisan minyak. Kami berjalan di sisi jalanraya. Aku menjijit beg plastik berisi kereta kawalan jauh dan abah pula memimpin motosikalnya. Kami melintasi sebuah stesen minyak dan terus berjalan sehingga tiba di rumah. Aku kehairanan. Bila tiba di rumah baru aku tahu kenapa bila mak bertanya pada abah, jawab abah : "Duit dah habis beli kereta untuk Adha...." Tiba-tiba aku rasa bersalah yang amat sangat. Tapi petang tu aku berseronok juga dengan kereta kawalan jauh tu. Terliur dan terlopong kawan-kawan aku tu terutamanya Wadi. Dan aku nampak abah tengok aku dari jauh. Walaupun jauh aku nampak senyumannya itu. Abah aku memang yang terhebat. Terima kasih, abah......

Episod akan datang : Perang Tanah Liat vs Tahi Lembu 

Tuesday, June 7, 2011

"I Love You"


Aku ingat lagi - dengan jelas dan tepat - hari itu hari ahad, jam 1.45 petang. Aku melepak bersama Wadi, Herul dan Amin di koridor sekolah agama. Amin sedang sibuk menunjukkan kereta kawalan jauh barunya. Kami terpesona dengan kecanggihan dan kecantikan kereta kawalan jauh itu. Tiba-tiba pesona kereta kawalan jauh itu tak kami hiraukan bila sebuah kereta berwarna merah yang aku lupa apa jenamanya masuk ke dalam perkarangan rumah Cikgu Mat Sani yang jaraknya lebih kurang 20 kayuhan basikal dari sekolah agama itu. Kami semua kenal pemilik kereta tersebut. Itu kereta keluarga Madam Mastura, cikgu bahasa inggeris kami. Dari dalam kereta, keluar Madam Mastura dan suaminya dari kedua-dua pintu hadapan. Melalui pintu belakang pula keluar..... Azneen dan adik beradiknya yang seramai dua orang itu. Azneen paling sulung. Sama macam aku. Fuh! comelnya Azneen tak terkata. Bergaun kembang putih dan bercekak rambut merah jambu. Macam puteri raja. Kami berempat macam dirasuk. Kaku beberapa ketika dengan pesona gadis pujaan ramai lelaki di sekolah itu. Tiba-tiba terdengar bunyi decup - "blurp!" Kereta kawalan jauh Amin terjun longkang berair! Amin lari lintang pukang ke longkang... hahaha... dan aku, Wadi dan Herul masih terlopong sampai ternganga juga. Cuma berhenti bila Azneen hilang di balik pintu rumah Cikgu Mat Sani yang juga bapa saudaranya.
Amin kembali. Marah-marah. Habis semua carutan terhambur dari mulutnya.
"Semua sebab Azneenlah ni.... " Amin menyalahkan Azneen.
"Memang comel betul dia. Pandai pulak. Siapa dapat dia terangkat wa kata lu...." kata Wadi.
"Ada tak orang tackle dia?" tanya Herul pula.
"Entah..." jawab aku.
"Tapi aku dengar dia selalu kirim salam kat hang kan?" tanya Amin, melihat aku.
"Err...." Aku cuba rahsiakan hal ini. Bila pulak si Amin ni tahu pasal ni.
Semua mata memandang aku. "Ooo... Pandai hang simpan rahsia dari kami...." kata Herul.
Aku tersengih. "Mana hang tahu?"
"Milah beritahu. Dia jadi posmen Azneen kan?" jawab Amin.
Aku dah agak. Ini mesti kerja Milah.
"Kenapa hang buat bodoh pada dia. Jual mahallah konon....." kata Amin lagi. "tak jawab kirim salam. Gula-gula yang dia selalu bagi kat hang pun hang tak balas. Bodoh"
Amin menelanjangi aku semahu-mahunya. Herul dan Wadi terlopong.
"Aku bukan bodohlah bodoh. Aku tak tahu nak buat apa!" Aku pertahankan diri. Bayangkan, aku bukan budak lelaki terhebat ketika itu. Bahlul dalam bahasa inggeris dan dbukan di tempat sepuluh terbaik setiap peperiksaan tiba-tiba, macam mimpi, diminati oleh seorang budak perempuan yang bukan sembarangan, si puteri raja yang comelnya tiada tara, anak kepada Madam Mastura pulak tu, yg rumah banglo mereka tersergam  indah di tepi jalan bm-kulim. Beza aku dengan Azneen macam gagak dengan merak, langit dengan bumi. Lebih-lebih lagi aku memang hancur dalam bab mengorat dan jiwang-jiwang ni. Aku, waktu itu, seperti mendapat bulan yang jatuh ke riba tapi tak tahu nak buat apa.
"Gila cerdik hang simpan rahsia!" kata Herul lagi.
"Beranilah sikit. Hang tu jantan!" Amin membuat provokasi. Lama Amin diam tadi tapi bila dia bersuara darah jantan aku mencanak-canak memenuhi kepala.
"Siapa kata aku tak berani?!"
"Aku," jawab Amin. "Aku," sambut Herul. "Aku," sambut Wadi. Berpakat spontan depa ni.
"Hangpa nak aku buat apa?" Aku betul-betul tercabar.
"Hang pi kata hang cinta kat dia," arah Amin.
Lain-lain setuju. Konspirasi ni.
 "Dia ada kat dalam rumah tu," jawab aku, menyesal pulak terburu-buru ikut rasa hati tadi.
"Hang jeritlah dari luar. Baru best ..." arah Amin.
Lain-lain angguk. Sah depa nak pekena aku ni. Aku telan air liur. Kecut perut. kerja gila ni....
"Hang takut?" tanya Amin, tersengih memperli.
Aku tersengih.
"Betullah hang bukan jan...."
"Okey," pintas aku. Persetujuan itu terpacul begitu saja.
Mereka bertiga tersenyum puas.
Aku kayuh basikal menuju ke rumah Cikgu Mat Sani. Brek mengejut hingga menghasilkan apungan asap tanah merah. Aku pun membuka mulut lalu menjerit : "I...." Tiba-tiba pintu rumah Cikgu Mat Sani itu dibuka. Madam Mastura terpacak di hadapan aku. Di belakangnya pula Azneen yang comel itu. Dari jauh sudah kedengaran mereka bertiga ketawa berdekah-dekah. terdengar jerit Amin mengingatkan : "Cakaplah kalau kau anak jan..." Aku berpusing dan terus mengayuh basikal ke sekolah agama. Aku tidak jadi menyambung jeritan tadi. Yang dapat aku lakukan hanyalah berkata perlahankepada diri sendiri : "I Love You!" Aku tahu nanti pasti aku akan dikutuk dan diejek oleh mereka bertiga yang sudah pun meloncat-loncat macam kera di sana tu. Aku sempat berpaling. Madam Mastura menggeleng kepalanya berkali-kali. Azneen yang dibelakangnya tersenyum manis memandangku dari kejauhan. Aku sempat bersuara : "I Love You" pada waktu itu. Dia tersenyum. Entah dia dapat menangkap gerak bibirku itu atau tak entahlah.... Tapi aku bahagia masa itu... Aku terus mengayuh laju ke sekolah agama.....

Episod akan datang : Aku nak itu!


Friday, June 3, 2011

Errr.............


 Bahasa Inggeris dalam bahasa melayu atau English dalam bahasa orang putih adalah matapelajaran yang paling aku benci dan takut masa di sekolah rendah dulu. Bukan garang cikgunya yang macam singa atau berlagak sombong macam Amerika tetapi sebab matapelajaran itu sendiri yang aku tak faham apa pun selain yes, no, okey, alright, i, you, what's your name?, my name is .... dan i love you. Aku betul-betul bahlul dalam bahasa orang putih ni. Aku selalu takut dan resah jika pada hari itu ada pelajaran orang putih ni dalam jadual waktu. Datanglah cikgu secantik dan sebaik mana pun aku tetap tak suka dengan bahasa inggeris. Kepala aku kebas dan lidah tergeliat bila disuruh baca teks bahasa inggeris. Aku hanya mampu tersengih sehingga menampakkan banjaran gigiku yang tunggang langgang itu - tindakan refleks ringkas jika aku dalam keadaan hilang punca, kontang idea dan muflis kata.
Aku ingat lagi kenangan mengenai bahasa inggeris ni. Kenangan yang terpatri kuat dalam kotak memoriku. Kenangan yang memalukan dulu tapi kini menggelikan pula.....

Aku tersengguk untuk entah kali yang ke berapa. Otak kosong dan mengantuknya bukan main. Madi, sahabat semeja sudah berkali-kali mencuit peha aku. Amarannya : "Madam tengok sini." Mata aku terbuka luas. Tapi sekejap saja. Kemudian terkatup semula. Daripada tadi aku dengar sayup-sayup perkataan "Occupation" berkali-kali. Entah apa makna perkataan tu aku tak ambil tahu. Memang mengantuk tahap kronik sebab mlm tadi berjaga tengok gusti - Ultimate Warrior lawan The Undertaker. Di celah-celah itu terdengar juga sayup-sayup kawan-kawan sekelas menyebut : "Teacher, Policemen, Firemen, Postmen..." Dan perkataan seterusnya larut dalam mengantuk aku. Otak aku lapang dan diri melayang sampai hampir nampak taman indah dalam awan (hampir nak mimpilah ni....)
Tiba-tiba Madi gerak aku dengan kasar. Aku pandang sekeliling. Semua mata tertumpu pada aku. Aku tersengih - aksi tipikal, hehehe. "What's your father occupation, Adha?" tanya Madam, pandangannya tepat ke mata aku tembus ke hati dan menggoncang jantung. Fuhh.... Aku tak tahu nak jawab apa. Aku tahu itu satu soalan daripada intonasi percakapan madam tadi. What itu apa, your itu awak, father itu bapa - perkataan-perkataan itu aku tahu. Hanya satu aku tak tahu iaitu occupation. Jadi aku tak faham apa soalan yang ditanya oleh madam. "What's your father occupation, Adha?" tanya madam lagi. Pandangannya masih melekat di mata aku. Aku gelabah. "Err....."
"Adha, answer my ....'
Aku tak dengar kata madam lagi bila Amri yang duduk di meja sebelah berkata hampir berbisik kepadaku, "Pilot." Amri nampak beria-ia. Aku menjawab tanpa lengah-lengah selepas madam mengulangi soalan tersebut. "Pilot." Jawabku sungguh-sungguh. "Are you sure?" Aku pandang Amri. Amri angguk. Aku pun ikut angguk kemudian tersengih memandang madam.
Tapi Amri tergelak. Diikuti oleh rakan-rakan sekelas lain. Kelas itu riuh sekejap. Waktu tu aku tahulah yang aku sudah dipermainkan oleh Amri. Madam bertanya kepada seluruh kelas. Dan hampir separuh kelas menjawab : "Aeroplane!!!" Suara Amri paling kuat kedengaran. "Madam tanya ko apa kerja ayah ko. Kenapa jawab pemandu kapal terbang. Bapak ko kan kerja bawa lori!" Amri perli aku.
Muka aku merah. Malu bukan main. Kalau ikut hati mahu saja aku belasah Amri, budak yang konon-kononnyha pandai tu. Madam meminta kelas diam. Matanya kemudian jatuh pada muka aku semula. Aku tersengih saja. Madam menggeleng dua tiga kali sebelum berkata : "Adha, Adha. Apa yang kamu ingat? Anak saya?" Aku tersenyum sumbang dan rakan-rakan sekelas terutamanya Amri terlopong! Dalam hati aku 'Errr....'


episod akan datang : "I love you!!!"


Friday, May 13, 2011

Mama (Sempena Hari Ibu)



Mama,
Di saat melahirkan aku
Kau bergelumang dengan maut
nyaris eklampsia tidak menyebabkan kau
hilang nyawa
kau pejam mata dengan
segala sakit dan bahaya
kita menangis
waktu pertama kali
bersua muka


Mama,
Dari sebesar tapak tangan
hingga ke besar panjang
kau sirami sepenuh
perhatian dan kasih sayang
kini aku adalah aku
yang tebal rasa cinta pada agama, bangsa dan negara


Mama,
Terima kasih di atas segala
kau adalah mama yang tiada bandingan
dan jasamu yang tak ternilai itu
mustahil dapat kubalas
walaupun kugadaikan nyawaku yang satu ini


Mama,
Aku anakmu ini terlalu sayang padamu.

- fitri hussin -

Thursday, May 12, 2011

Garis Mula


Di garisan mula kita bersedia
Tembakan pistol menggegar udara
Kita berlari pantas sedaya upaya
Berusaha menumpaskan setiap peserta
Mahu jadi juara
Bila mencecah garisan penamat
Barulah kita sedar
Di sinilah garis mula sebenar
Tiba-tiba bahu berasa berat






- fitri hussin -