Pages

Friday, May 13, 2011

Mama (Sempena Hari Ibu)



Mama,
Di saat melahirkan aku
Kau bergelumang dengan maut
nyaris eklampsia tidak menyebabkan kau
hilang nyawa
kau pejam mata dengan
segala sakit dan bahaya
kita menangis
waktu pertama kali
bersua muka


Mama,
Dari sebesar tapak tangan
hingga ke besar panjang
kau sirami sepenuh
perhatian dan kasih sayang
kini aku adalah aku
yang tebal rasa cinta pada agama, bangsa dan negara


Mama,
Terima kasih di atas segala
kau adalah mama yang tiada bandingan
dan jasamu yang tak ternilai itu
mustahil dapat kubalas
walaupun kugadaikan nyawaku yang satu ini


Mama,
Aku anakmu ini terlalu sayang padamu.

- fitri hussin -

Thursday, May 12, 2011

Garis Mula


Di garisan mula kita bersedia
Tembakan pistol menggegar udara
Kita berlari pantas sedaya upaya
Berusaha menumpaskan setiap peserta
Mahu jadi juara
Bila mencecah garisan penamat
Barulah kita sedar
Di sinilah garis mula sebenar
Tiba-tiba bahu berasa berat






- fitri hussin - 

Wednesday, May 11, 2011

Sukarnya Menulis

images


Ilham dari uncang kebaikan
kering.
Imaginasi dari kocek keindahan
kontang.
Fikiran dari kantung kebenaran
cicir.
frasa dari kamus budi
pudar.

Yang terlakar di atas kertas
ayat-ayat hodoh dan resah
Aku lumpuh seni
kerana negara sedang kalut
aku sama terikut.

-  fitri Hussin -


Rindu Halaman


Pernahkah engkau ingin melihat semula
muara ketika air mati
setelah muak melihat kilau pencakar langit
yang menjulang tinggi
Pernahkah engkau ingin merasa semula
sayunya alam sejurus hujan reda
setelah bosan merasa
keghairahan kota yang tak pernah lena
Pernahkah engkau ingin mendengar semula
jering cengkerik yang pilu
setelah jemu mendengar 
derum deram motokar yang hingar
Ayuh kita pulang 
lunaskan rindu halaman
kutip semula semua yang hilang.  

- fitri hussin -


Tuesday, May 10, 2011

Pembikinan Kau Pertama Aku Kedua 2 (KPAK2)

Jalan yang mana satu?
Secara asasnya jalan cerita  KPAK2 sudah ada di dalam kepala. Tetapi terlalu banyak simpang siurnya sampai tidak tahu jalan mana yang perlu dipilih untuk menjadikan sekuel KPAK ini menjadi lebih mantap. Matlamat utama selain mahukan jalan cerita yang mantap ialah mahu memastikan manuskrip KPAK2 ini nanti tak lebih dari 550 mukasurat. Perit rasanya jika manuskrip yang panjang seperti KPAK yang sepanjang 1000 mukasurat dulu terpaksa dipendekkan sehingga 500++ mukasurat. Apa yang penting KPAK 2 pastinya menjanjikan perjalanan hidup aku (Zamri) yang lebih mencabar. Semoga semuanya dipermudahkan olehNYA.... Amin

Dia Tetaplah Juara Segala Juara







Pada 6 mei lalu genaplah 5 tahun abahku kembali ke rahmatullah. Bagi aku dia tetaplah juara segala juara. Mulus hati dan tinggi simpatinya memang tiada tandingan. Mudah-mudahan dia berada bersama orang-orang yang soleh. Al-Fatihah. Amin.

DSPSMD : Gunting Rambut Dan Korek Telinga




Rambut aku lambat panjang. Aku gunting rambut hanya sebulan sekali. Masa di Machang Bubok, aku masih ingat lagi, tempat menggunting rambut terletak di belakang kedai kopi mat lena, di bawah rimbunan pokok kelapa dan koko. Kerusi gunting rambutnya adalah kerusi gunting rambut tak silap aku cap Kwong Thye Cheong. Penyandar dan alas punggungnya sudah koyak rabak menampakkan span yang berbau hapak. Sesekali terbau juga aroma serbuk kopi atau teh dari kedai kopi mat lena. Kawasan itu juga dipenuhi dengan aroma abu rokok. Di situlah bapa membawaku untuk gunting rambut. Tukang gunting rambutnya pula adalah kawan bapa. Orang ramai di situ terutamanya pada hujung minggu. Yang hendak menggunting rambut tidaklah ramai tapi yang ramai adalah orang yang berborak kosong sambil minum-minum. Aku teringat lagi dek kerana melayan berborak tukang gunting rambut tersebut tergunting cuping telinga aku ketika mahu membentuk sideburn. Apalagi meraunglah aku sepanjang jalan menuju ke rumah dengan sideburn yang tak siap. Bila sampai rumah selepas raungku reda bapa menyempurnakan sideburn yang tak siap tu......


Kerusi gunting Rambut Kwong Thye Cheong


 Itu di Machang Bubok. Bila aku pindah ke Bagan Datoh ketika darjah 3 atuk selalu membawaku ke sebuah kedai gunting rambut cina di pekan. Ketika pertama kali gunting rambut di situ alangkah terkejutnya aku bila tukang gunting rambut cina tersebut tiba-tiba melaraskan kerusi ke belakang sedikit, segera menyalakan mentol yang tergantung di atas kepalaku tadi, mengambil sebatang besi yang panjangnya sejengkal dan terus mengorek telinga aku. Tergeliat jugalah badanku pada mulanya kerana cuak tetapi selepas beberapa lama ia nikmat.


Inilah korek telinga tu


Dari belakang kedai gunting rambut cina tersebut terdengar buah-buah mahjung berlaga...... Jangan tido di kedai gunting rambut kalau tak nak jadi macam mamat di bawah ni... hehehe








p/s : Cerita seterusnya : Gaya rambut dan poken