Pages

Friday, June 3, 2011

Errr.............


 Bahasa Inggeris dalam bahasa melayu atau English dalam bahasa orang putih adalah matapelajaran yang paling aku benci dan takut masa di sekolah rendah dulu. Bukan garang cikgunya yang macam singa atau berlagak sombong macam Amerika tetapi sebab matapelajaran itu sendiri yang aku tak faham apa pun selain yes, no, okey, alright, i, you, what's your name?, my name is .... dan i love you. Aku betul-betul bahlul dalam bahasa orang putih ni. Aku selalu takut dan resah jika pada hari itu ada pelajaran orang putih ni dalam jadual waktu. Datanglah cikgu secantik dan sebaik mana pun aku tetap tak suka dengan bahasa inggeris. Kepala aku kebas dan lidah tergeliat bila disuruh baca teks bahasa inggeris. Aku hanya mampu tersengih sehingga menampakkan banjaran gigiku yang tunggang langgang itu - tindakan refleks ringkas jika aku dalam keadaan hilang punca, kontang idea dan muflis kata.
Aku ingat lagi kenangan mengenai bahasa inggeris ni. Kenangan yang terpatri kuat dalam kotak memoriku. Kenangan yang memalukan dulu tapi kini menggelikan pula.....

Aku tersengguk untuk entah kali yang ke berapa. Otak kosong dan mengantuknya bukan main. Madi, sahabat semeja sudah berkali-kali mencuit peha aku. Amarannya : "Madam tengok sini." Mata aku terbuka luas. Tapi sekejap saja. Kemudian terkatup semula. Daripada tadi aku dengar sayup-sayup perkataan "Occupation" berkali-kali. Entah apa makna perkataan tu aku tak ambil tahu. Memang mengantuk tahap kronik sebab mlm tadi berjaga tengok gusti - Ultimate Warrior lawan The Undertaker. Di celah-celah itu terdengar juga sayup-sayup kawan-kawan sekelas menyebut : "Teacher, Policemen, Firemen, Postmen..." Dan perkataan seterusnya larut dalam mengantuk aku. Otak aku lapang dan diri melayang sampai hampir nampak taman indah dalam awan (hampir nak mimpilah ni....)
Tiba-tiba Madi gerak aku dengan kasar. Aku pandang sekeliling. Semua mata tertumpu pada aku. Aku tersengih - aksi tipikal, hehehe. "What's your father occupation, Adha?" tanya Madam, pandangannya tepat ke mata aku tembus ke hati dan menggoncang jantung. Fuhh.... Aku tak tahu nak jawab apa. Aku tahu itu satu soalan daripada intonasi percakapan madam tadi. What itu apa, your itu awak, father itu bapa - perkataan-perkataan itu aku tahu. Hanya satu aku tak tahu iaitu occupation. Jadi aku tak faham apa soalan yang ditanya oleh madam. "What's your father occupation, Adha?" tanya madam lagi. Pandangannya masih melekat di mata aku. Aku gelabah. "Err....."
"Adha, answer my ....'
Aku tak dengar kata madam lagi bila Amri yang duduk di meja sebelah berkata hampir berbisik kepadaku, "Pilot." Amri nampak beria-ia. Aku menjawab tanpa lengah-lengah selepas madam mengulangi soalan tersebut. "Pilot." Jawabku sungguh-sungguh. "Are you sure?" Aku pandang Amri. Amri angguk. Aku pun ikut angguk kemudian tersengih memandang madam.
Tapi Amri tergelak. Diikuti oleh rakan-rakan sekelas lain. Kelas itu riuh sekejap. Waktu tu aku tahulah yang aku sudah dipermainkan oleh Amri. Madam bertanya kepada seluruh kelas. Dan hampir separuh kelas menjawab : "Aeroplane!!!" Suara Amri paling kuat kedengaran. "Madam tanya ko apa kerja ayah ko. Kenapa jawab pemandu kapal terbang. Bapak ko kan kerja bawa lori!" Amri perli aku.
Muka aku merah. Malu bukan main. Kalau ikut hati mahu saja aku belasah Amri, budak yang konon-kononnyha pandai tu. Madam meminta kelas diam. Matanya kemudian jatuh pada muka aku semula. Aku tersengih saja. Madam menggeleng dua tiga kali sebelum berkata : "Adha, Adha. Apa yang kamu ingat? Anak saya?" Aku tersenyum sumbang dan rakan-rakan sekelas terutamanya Amri terlopong! Dalam hati aku 'Errr....'


episod akan datang : "I love you!!!"


2 comments:

  1. Actually bahasa inggeris tak la susah sangat kalau dibandingkan dengan bahasa arab.

    ReplyDelete
  2. akan tulis tentang bahasa arab plk nanti. sebab si pet ni ambil bahasa arab untuk pmr nanti. Alloqatul arabiyah. kaifa ha luka? hehe

    ReplyDelete