Pages

Sunday, January 8, 2012

Kesan Sebuah Novel


Apa ada pada sebuah novel? Itulah soalan yang selalu ditanya oleh mereka yang tidak pernah tergerak untuk memegang sebuah novel. Bagi mereka yang minatnya baca novel, macam-macam sebablah yang akan diberi. Sebab yang paling popular adalah untuk mengisi masa lapang dan kerana minat membaca sejak kecil. Tak kira apa pun sebabnya membaca novel jika kena pada novelnya memang sesuatu yang baik.
Novel, kalau mengikut Kamus Dewan bermaksud cerita dalam bentuk prosa, biasanya panjang dan kompleks, yang berkaitan dengan pengalaman  manusia dan kelakuan sosial. Kerana sebuah novel itu ada lah sebuah cerita yang biasanya panjang dan kompleks maka ramailah orang mengelak untuk membacanya. Alasan yang selalu diberi adalah kerana tiada masa. Memang novel menuntut masa yang banyak untuk dihabiskan. Tetapi bagi mereka yang minat dan yakin sesuatu dapat diperolehi daripada sebuah novel, hal tiada masa itu boleh diuruskan dengan mudah. Seperti kata pepatah melayu, hendak seribu daya tak nak seribu dalih.
Apa yang kita boleh perolehi daripada sebuah novel? Novel memberi kesan yang bukan sedikit pada aku.  Aku khatam baca Salina ketika masih di tingkatan dua. Novel itu aku pinjam dari perpustakaan Sekolah Menengah Khir Johari. Semasa di tingkatan empat aku terjumpa Tenggelamnya Kapal Van derWjick karya Hamka yang mahsyur itu di rumah jidi aku di Machang Bubok. Novel itu milik bapa menakan aku, Uncle Zali. buat pertama kalinya aku menangis ketika membaca novel. Watak Zainudin dan Hayati serta percintaan mereka yang tak kesampaian sehingga dibawa ke hujung nyawa serta ketidakadilan undang-undang Belanda, penjajah Indonesia waktu itu begitu mengusik kalbu aku. Sehingga kini novel itu kekal satu-satunya novel yang boleh membuatkan aku menangis. Dan semalam ketika isteri aku menangis sewaktu membaca sebuah novel di Perpustakaan Kulim aku secara tak sengaja memerlinya. Aku berasa bersalah kerana aku sendiri pernah berada di dalam sesuatu tersebut bilamana seluruh diri kita larut di dalam novel yang sedang dibaca. Seolah-olah semua kejadian yang berlaku di dalam novel tersebut betul-betul sedang berlaku di hadapan kita. Seolah-olah kita sendiri mengalami apa yang sedang dialami oleh watak-watak di dalam novel tersebut.
                                                      Puan Umi yang larut dalam sebuah novel   

Novel Daerah Zeni dan Keluarga Gerilya pula entah bagaimana begitu berpengaruh kepada aku sekiranya aku kebuntuan dalam menulis manuskrip novel. Kedua novel ini macam tonik yang mampu mencairkan kebuntuan tersebut. Selepas membaca beberapa mukasurat daripada salah sebuah novel itu semangat aku untuk menulis mencanak-canak dan idea pula akan datang mencurah-curah. Sampai ke hari ini aku masih tak tahu apa sebabnya.

Jadi apa pun sebabnya, membaca novel bukanlah sesuatu yang sia-sia jika kena pada novelnya. Lagipula membaca adalah sesuatu yang bagus kerana banyak faedahnya. Bukan sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman.....











 

No comments:

Post a Comment