Pages

Thursday, February 13, 2014

Ulasan Novel Legasi Pejuang 2, karya Arman Jazee





Selepas kejadian yang tidak diduga di restoran milik Ken Mushashi Kagiyama di pinggir pelabuhan Hampthon Bay,  Ken dan Kuromoto terpaksa menjadi pelarian.  Mereka berdua terpaksa melarikan diri   dari Amerika ke Jepun.  Ken meninggalkan Kuromoto di rumah bapa saudaranya,  Mushashi Suzuka,  di Kyoto.  Mushashi Suzuka ialah pembuat pedang terkenal di Jepun.  Selepas beberapa lama tinggal di situ akhirnya Kuromoto dijadikan anak angkat oleh Mushashi Suzuka dan isterinya.  Pemuda misteri itu diajar teknik pembuatan pedang Keluarga Mushashi dan juga seni bela diri buttojutsu.  Mereka hidup dengan aman sehinggalah kemunculan Katrinee yang mengikut rombongan ahli-ahli panel persidangan pencegahan pengganas melawat kilang pembuatan pedang milik Mushashi Suzuka itu.  Ketika itulah Katrinee yang terkejut melihat Kuromoto menjerit : " Muaz! " Sejak dari saat itu Kuromoto yang sebenarnya adalah Muaz,  yang pernah memalukan CIA beberapa tahun sebelum itu, kembali di dalam radar agensi perisikan itu.  Hendak tahu selanjutnya?  Beli di kedai-kedai buku berdekatan.
Legasi Pejuang 2 adalah sebuah novel yang menarik.  Tema perjuangan yang diangkatnya sesuatu yang harus diberi pujian.  Jarang ada novelis tempatan yang mampu mengangkat tema sebegini.  Tambahan pula jika ia bersifat antarabangsa.  Membacanya mengingatkan saya pada filem bersiri The Bourne.  Plotnya bergerak pantas.  Aksi memberi warna merah pada hampir setiap bab.  Jalinan ceritanya juga amat baik.  Persoalan baru muncul dari masa ke semasa.  Membuatkan pembaca ingin meneruskan pembacaan untuk mendapatkan jawapan.  Aku beri empat setengah bintang daripada lima bintang - 4.5 / 5.  Ini kerana di sebalik aksinya yang mendebarkan,  ada beberapa perkara yang aku tidak setujui.
Apapun Legasi Pejuang 2 karya Arman Jazee ini harus dimiliki dan mengisi ruang istimewa pada rak buku anda.  Ini kerana novel ini cukup rencah sebagai sebuah novel aksi yang hebat!

Selamat membaca!


Tuesday, February 11, 2014

Novel-Novel Alaf 21 Terbitan Mac 2014

Mempersembahkan novel-novel Alaf 21 untuk bulan Mac 2014 :


Dapatkan di kedai-kedai buku berdekatan anda nanti!

Ulasan Novel Runcing - Alaf 21


Secara ringkasnya,  Runcing menceritakan tentang Kampung Longkai yang dilanda pelbagai kejadian misteri sejak kehadiran Sahak,  menantu Penghulu Khamis.  Lelaki yang mempunyai pendamping yang diwarisinya daripada bapanya,  Semaun,  menggunakan bantuan pendampingnya itu untuk mengembangkan pengaruhnya.  Tetapi usahanya itu berdepan halangan dengan adanya Haji Ipin.  Sahak merasakan usahanya terancam kerana Haji Ipin,  dengan izin ALLAH,  mampu menawarkan penyakit-penyakit misteri yang dilakukannya terhadap beberapa orang penduduk kampung.  Sejak itu penduduk-penduduk kampung mula meragui dirinya.  Kebenciannya terhadap guru agama itu menokok.  Akhirnya dia nekad hendak memusnahkan seterunya itu.  Keadaan semakin meruncing.  Apa selepas itu?  Itu kenalah beli dan baca sendiri ya.

Runcing sebuah karya yang amat menarik.  Tema sihir yang diangkatnya sudah disentuh oleh beberapa orang penulis.  Tetapi di tangan Zharulnizam Shah ZA,  tema yang sudah disentuh itu terasa benar luar biasanya.  Ritual-ritual yang diketengahkan diceritakan dengan agak terperinci lantas membekas di fikiran.  Plotnya pula disusun dengan agak sempurna.  Ia berjaya menarik pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga ke titik akhir.  Beberapa persoalan yang sengaja dibiarkan tergantung pada awal-awal bab dijawab dengan baik pada bab-bab belakang.  Ia juga penuh dengan nilai persahabatan.  Persahabatan yang dijalin atas jalan agama tentulah lebih mendalam sifatnya berbanding atas jalan lain.  Ia juga penuh dengan kritikan sosial terhadap sikap bangsa melayu.  Ini dilakukan dengan baik dan halus melalui watak-watak novel ini.  Ia juga tepu peringatan. Diulang-ulang secara bersebab. Ini dapat dirasai oleh pembaca sebaik menghabiskan Runcing.  Selepas noktah penamat ada beberapa persoalan masih tergantung tidak dijawab terutamanya : Di manakah Sahak?  Memang wajar jika ada sambungannya - Runcing 2.

Secara keseluruhannya,  ditekankan sekali lagi bahawa Runcing sebuah karya yang amat menarik.  BINTANG?  5 / 5.  Tahniah buat Zharulnizam Z.A.  Ia berbaloi untuk dimiliki.

Selamat membaca.

Tuesday, February 4, 2014

Akhirnya....

Akhirnya siap juga manuskrip terbaru aku tu. Baru sahaja dipos lajukan siang tadi. Hampir setahun aku tumpahkan seluruh usaha untuk siapkannya. Ia sebuah manuskrip yang sukar. Aku ambil masa hampir tujuh bulan untuk membuat rangka dan mencari maklumat sahaj. Bulan selebihnya untuk menulis dan mengedit sampai puas hati. Aku sayang sangat manuskrip ni. Ia boleh dikatakan manuskrip terbaik aku (pada pandangan aku lah) setakat ini. Mudah-mudahan ia diterima untuk diterbitkan oleh Alaf 21. Amin.                                                                                                

P/s : Aku tukar tajuk manuskrip tu daripada Perang Dua Alam : Ainul Hayat (PDAAH) kepada Serakah. Tak tahulah sama ada tajuk ini akan diterina atau tidak jika ada rezeki diterbitkan nanti. Bagi aku tajuk Serakah tu dah okey.