Aku darjah 2 waktu tu. Masa tu aku dah tak duduk di Gombak. Tapi duk di Kampung Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Bersempadan dengan Kulim, Kedah. Aku masih ingat lagi masa tu budak-budak kampung malah budak-budak besar juga gila dengan ikan laga. Alah ikan yang cantik berwarna warni yang boleh berlawan macam ayam sabung tu…. tak tahu jugak? Kalau tak tahu jugak tengoklah gambar kat bawah tu.
Ikan laga
Sampai ada orang kampung yang buat duit jual ikan laga ni. Ada seekor 10 sen sampai seekor beringgit-ringgit, ikut saiz dan kecantikan ikan laga tu. Aku beli saja sebelum tu…. dekat abang yang duk kat tepi sungai dalam kampung tu. Aku simpan ikan-ikan laga yang aku beli tu dalam balang-balang kaca transparent bekas tauchu. Aku susun botol-botol tu atas kambir di tepi bilik air. Antara dua balang tu aku sisipkan kertas. Gunanya supaya ikan tu tak berkonfrontasi sesama sendiri sampai mati kerana terhantuk dinding balang.
Ikan laga disimpan dalam balang yang disisipkan dengan sekeping kertas antara dua balang
Pada satu hari dek kerana tak ada duit nak menambah koleksi ikan laga tu kerana duit simpanan habis dibelanja untuk membeli pensil warna dan gunting, aku pun ikut kawan-kawan sekampung konon-kononnya untuk menangkap ikan laga. Aku bersemangat bukan main. Kami pergilah jenguk-jenguk dalam bendang dibelakang rumah makcik Ani. Tiba-tiba Amin, kawan aku menjerit. “Hangpa, banyak ikan laga kat sini.Warna hitam. Best, best,” Aku dan dua orang kawan aku yang lain, Wadi dan Herul, lari lintang pukang pergi kepada Amin. “Lainlah rupanya….” kata Wadi. Kami berpandangan sesama sendiri. Amin jawab : “Memanglah… Ni masa dia kecik. Lagi seminggu besaq baru jadi macam ikan laga hitam kesayangan Pet tu…” Yakin bukan main. Aku sampuk : “Betul kut….” Apalagi, kami pun menangguk binatang tu…..
Ikan laga ke ni? hehehe
Bila sampai rumah aku simpan ‘ikan laga tu’ dalam balang-balang kaca kecil di lantai luar bilik air. Pagi esoknya bapak panggil aku ke bilik air. “Apa ni?” tanya bapak. Jawab aku : “Ikan laga….” sambil menenyeh mata yang masih bertempek tahi mata. “Ikan laga?” tanya bapak lagi. Aku angguk 200% yakin. Tambah aku : “Anak ikan laga. Lagi seminggu besaqlah…” Bapak tergelak dan aku pula ternganga segar. “Kenapa bapak?” Bapak jawab : “Tu bukan anak ikan laga tapi…..” Aku ternganga lebih besaq… “Tapi apa bapak?” Bapak aku tersengih lalu menjawab :
”Berudu!”
sambung bapak : “Berudu tu…..”
Amin!!!!!!!!!!
P/s : sekarang ada orang yang kaya raya dengan menternak dan mengeksport ikan laga.
suke entri nie.. kalau la masa nie kenal tuan punye blog ne.. nak je ajak lawan.. tgok ikan sape lg besh!
ReplyDelete