Pages

Monday, December 3, 2012

TLC 2




1.2

Matahari tenggelam dan kumpulan-kumpulan burung pulang ke sarang. Bulan timbul dan bintang mintang yang berkerlipan pun bertaburan di dada langit hitam. Sekarang malamlah sudah.
Jam sepuluh setengah malam. Suasana sunyi benar selain suara cengkerik menjering-jering. Kampung itu memang cepat mati. Cepat pula hidup di awal pagi. Orang bekerja estet bergerak seawal empat pagi untuk ke estet dengan mengayuh basikal dua tiga kilometer dari rumah. Di tengah-tengah rumah kayu itu berdiri sebuah kelambu putih. Keadaan di dalamnya samar-samar. Lampu di ruang tengah itu sudah ditutup. Kini mengharap percikan sinar lampu dari ruang dapur. Memang sengaja dibuat begitu kerana Zali tidak dapat tidur dalam terang.
Di dalam kelambu itu, kelihatan dua anak beranak. Zali sudah pun lena. Sementara Mak Su sedang mengusap rambut anaknya itu. Kini hatinya tersentuh mengenangkan kata-kata Zali petang tadi. Kata-kata Zali itu bukanlah kali pertama
didengarnya. Sudah banyak kali tetapi setiap kali itu hatinya tetap tersentuh. Mak Su merasa bertuah kerana mempunyai anak seperti Zali dan Zainal, abang Zali. Bagi Mak
Su, kedua-dua anaknya itulah yang menjadi permata hati untuknya. Kerana itu, Mak Su cuba membesarkan mereka sebaik mungkin. Diberi didikan dunia dan akhirat secukupnya
supaya anak-anaknya itu nanti dapat menjadi manusia yang berguna kelak. Manusia yang dapat menabur bakti untuk agama, bangsa dan negaranya. Itulah impian Mak Su. Mak Su tidak berharap emas atau intan. Cukup sekadar itu.
Sejak Pak Su, suaminya yang juga seorang bekas guru besar itu, meninggal dunia kerana serangan jantung, soal menjaga anak-anak itu memang terbeban di pundaknya seorang. Ada beberapa duda kaya yang masuk melamarnya tetapi semua lamaran itu ditolak. Mak Su tidak mahu memperjudikan nasib anak-anaknya itu. Pencen arwah suaminya dan duit pajak kebun kelapa mereka itu cukup menampung hidup mereka anak beranak. Upah mengajar mengaji pula sedikit sebanyak ada membantu.
Bagi seorang emak, pengorbanan untuk anak-anak adalah kewajipan. Kebahagiaan anak-anak yang paling diutamakan. Anak bahagia, dia pun ikut bahagia. Anak derita, dia pun sama derita.
Mak Su merebahkan badannya di sisi Zali. Membaca Al-Fatihah, An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas dan doa tidur sebelum melelapkan mata. Selepas itu Mak Su pun lena dengan aman.
Di luar, selain cengkerik yang makin menjering-jering, kini sayup-sayup terdengar bunyi burung hantu. Satu-satu dan menyeramkan.


Bab 2


2.1

Tiga belas tahun kemudian…

TLC 1



Bab 1

1.1

Petang itu sungguh indah. Langit biru yang terbentang menyerkup alam itu ditompoki oleh awan-awan putih nipis di sana sini. Percikan-percikan warna itu menawarkan pemandangan tercantik untuk santapan setiap mata yang mahu merenung. Sang mentari tidak lokek bersinar. Beberapa kumpulan burung sedang terbang melayah-layah di dada langit itu. Menghidupkan langit yang tadi kelihatan seakan kejang tanpa kelibat mereka. Dan di tanah, di sebuah halaman rumah, keadaan begitu meriah juga. Halaman rumah itu meriah oleh pelbagai ragam dan suara anak-anak. Anak-anak yang sentiasa riang tidak kira apa yang melanda.
Halaman rumah itu besar. Bertanah tanpa sehelai rumput pun. Kiri kanannya dipagari oleh sebaris pokok kelapa kampung dan renik. Di depan dan keliling beranda, pelbagai jenis pokok bunga kertas pelbagai warna yang ditanam di dalam pasu-pasu bunga tersusun rapi. Di atas beranda itu, pelbagai pokok bunga seperti subang berlian dan orkid tergantung di dalam pasu-pasu kecil yang amat comel. Di tengah-tengah halaman rumah itu kelihatan sekumpulan lima orang budak.

Sunday, December 2, 2012

TLC (Prakata)



TLC ini aku siapkan dalam masa lebih kurang lima bulan. Proses merangka cerita dan mengumpul maklumat masing-masing mengambil masa selama sebulan. Proses menulis dan mengedit pula menelan masa selama tiga bulan. Ia kulupakan kerana kesibukan sehingga akhirnya menjumpainya semula di dalam bilik stor ketika mengemas rumah. Aku menghantarnya ke Alaf 21 tetapi ditolak. Lalu TLC ini aku simpan lagi sehinggalah aku tergerak untuk menerbitkannya sebagai novel bersiri di dalam blog ini nanti. Pada dasarnya TLC bercerita tentang peri pentingnya kewujudan cinta di dalam hati manusia dan betapa ngerinya jika sudah tiada lagi cinta di dalam diri seseorang manusia. TLC penuh dengan cinta, curang, khianat, dendam dan insaf. 
TLC akan diterbitkan esok. Harap ditunggu...   


Harimau Malaya Terus Mengaum Garuda Patah Sayapnya


Harimau Malaya menang ke atas Garuda dengan jaringan 2-0. Seluruh penyokong Malaysia bersorak gembira. Sementara seluruh penyokong Indonesia kecewa. Walaupun menguasai permainan di awal-awal masa permainan tetapi Garuda tidak mampu menjaringkan gol. Sebaliknya Harimau Malaya yang dapat menjaringkan gol pertama. Sejak itu permainan mulai seimbang. Malaysia berjaya menyerap tekanan. Seterusnya mendapatkan satu lagi gol. Jumlah jaringan itu kekal hingga tamat permainan.
Aku tidak ke stadium. Tengok perlawanan itu di TV1 yang menyiarkannya secara langsung. Setiap kali Malaysia berjaya menidakkan serangan Indonesia aku bertepuk tangan di rumah. Setiap kali Malaysia gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol aku mengeluh. Setiap kali Indonesia nyaris-nyaris hendak menjaringkan gol aku menjerit risau. Setiap kali pemain Malaysia dikasari aku menjerit memaki hamun pemain Indonesia. Fiilnya sama macam penyokong-penyokong di stadium. Aku yakin korang yang tengok perlawanan itu di telivisyen semalam pun begitu juga kan? Begitulah semangatnya kita menyokong pasukan bolasepak kesayangan kita ni. Terima kasih Harimau Malaya kerana memberikan kegembiraan pada malam tadi.


Gol pertama. Dijaringkan oleh Azamuddin Akil pada minit ke-26.



Terima kasih Azimuddin Akil.



Penyokong di Stadium Bukit Jalil bersorak gembira. Bendera Malaysia berkibar megah. 



1-0. Seronok gila aku waktu ni.



Gol kedua oleh Mahali Jasuli selepas tiga minit gol pertama dijaringkan.



Terima kasih Mahali Jasuli. 



Lihat betapa gembiranya penyokong Malaysia. Aku kat rumah bersorak keliling ruang tamu!




Antara yang paling gembira tentunya K. Rajagopal.



2-0 di separuh pertama.




Keputusan kekal hingga ke akhir perlawanan.



Penyokong Malaysia berpesta termasuk aku yang di rumah. Bangga kerana Harimau Malaya bangkit daripada cedera diasak Singa tempohari.




Penyokong Indonesia kecewa dengan Garuda yang patah sayapnya walaupun diperkuatkan oleh beberapa pemain yang berasal daripada Belanda.



Amat bangga dengan Harimau Malaya. Salut untuk K Rajagopal. Tabik spring untuk penyokong di stadium dan di rumah.

"Selamanya Harimau Malaya!"



Kenduri Kahwin 2



Selepas tengok Twilight Saga : Breaking Dawn Part 2 Baca Di Sini , aku dan isteri terus pergi ke kenduri kahwin di Dewan Bandaran Kulim, di tepi Tasik Putra Kulim. Kenduri ni kenduri kahwin anak Abang Lan. Abang Lan ni pekerja di kilang tempat aku mengusahakan kantin. Kenduri kahwin ni adalah peluang kedua untuk isteri aku makan nasi minyak. 

Kami sampai 15 minit selepas bergerak daripada Kulim Landmark Centre. Dewan Bandara Kulim tu dekat je. Tak mungkin kami sesat sebab tempat sendiri.....







Ramai tetamu. Penuh meja.




Terus pergi ke meja makanan



Walaa.... nasi minyak! Isteri aku tersenyum-senyum. Tamat juga ngidamnya....







Macam aku kata dalam Kenduri Kahwin1 dulu, Itulah, kita mahu tapi Allah jualah yang menentukan apa rezeki pada waktu itu. Nampaknya Allah beri rezeki nasi minyak untuk isteri aku pada hari itu. 


p/s : teringat majlis resepsi aku dan isteri yang diadakan di dewan yang sama dulu. 



Saturday, December 1, 2012

Ulasan Life Of Pi

Selepas tengok trailer Life Of Pi (disebut dengai pai atau  π - satu istilah matematik yang bernilai 3.14159, kalau korang masih ingat le), aku tergerak untuk menonton filem tersebut. Pertama kerana ia diarahkan oleh Ang Lee, pemenang anugerah pengarah terbaik Oscar 2005, dimana salah satu filemnya Crouching Tiger Hidden Dragon lakonan Chow Yun Fatt itu aku tengok lebih daripada dua kali kerana sinematografinya yang menakjubkan. Yang kedua kerana filem ini adalah adaptasi sebuah novel yang paling laris dan dikatakan mencabar minda pembaca. 

Jadi tengahari tadi aku dan isteri pergilah menonton filem tersebut di TGV AEON Perda Bukit Mertajam.


Jom terjah TGV





Periksa jadual waktu tayangan. Memang eloklah ada tayangan pukul 1.50 petang. Just nice. Lagi 15 minit saje lagi




Tak tunggu dah. Terus pergi ke kaunter. "Life of Pi. Dua orang." Nasib baik aku sebut nama tu betul. Pai untuk Pi. Bukan pi untuk Pi.  




Masa untuk bayar. RM24. Biasa. Bukan 3D.




Dapat dah tiket. M12 dan M13. Kerusi di barisan paling belakang. Lebih 3/4 tiket untuk tayangan tu sudah dibeli. Tapi nasib baik dua tempat duduk tu satu-satunya yang masih kosong. Rezeki.




Belum makan tengahari. Beli sesuatu untuk lapik perut. Masa tayangan filem ni 125 minit. Kalau ditukar pada jam maksudnya 2 jam 5 minit. Lama tu....




Popcorn, air mineral, Ribena dan F&N Grape



Masa untuk masuk panggung.



Life Of Pi bermula



 Selesai 2 jam 5 minit, aku puas hati. Sinematografinya memang menakjubkan seperti yang aku harapkan. Richard Parker, harimau bengal yang menjadi salah satu watak penting filem ini begitu real. Plot cerita yang menarik dan mendebarkan. Sehingga ke hujungnya kita tidak akan dapat meneka apa kesudahan filem tersebut. Secara keseluruhannya filem ini membawa kita mencari Tuhan di celah-celah kejadian-kejadian yang berlaku di Lautan pasifik itu. Seperti pengakuan Yann Martel, penulis novel Life Of Pi, dia menemui Jesus melalui Life Of Pi. Tetapi bagi kita, kita menemui Allah di dalam filem tersebut.  Di saat-saat kita menghadapi dugaan yang dahsyat  dan berseorangan, hanya kepada Allah kita bergantung harap. Seperti firman Allah dalam surah al-Ikhlas :


Alangkah bagusnya jika dalam filem itu ada babak Pi melihat langit yang terbentang luas lalu bertanya : Siapakah yang menjadikan langit yang begitu luas ni yang tanpa tiang dan dihiasi indah dengan bintang-bintang yang bergemerlapan.

Fikir-fikirkanlah. 

p/s : - Bila korang keluar panggung, pasti korang tertanya-tanya : Mana satu cerita yang betul? Adakah anda akan menjawab cerita Pi dengan Richard Parker atau kisahnya dengan ibunya, kelasi dan tukang masak kapal? Terpulang pada pertimbangan korang. 

        - Isteri aku terkejut-kejut tengok filem ni. Hiper refleks sungguh.




Pau Goreng Idaman Kalbu

Korang ingat tak aku ada sebut pasal pau goreng popular yang ada dijual di pasar malam Kulim dalam entri bertajuk 'Malam Ni Kita Nak Makan Kat Mana?' khamis lalu? Kalau belum baca klik sini. Malam tadi ada pasar malam Kulim lagi. Jadi, aku dan isteri pun pergi ke situ semata-mata untuk beli pau goreng tu. Hujan renyai-renyai. Suspen je. Takut gerai pau goreng tu tak buka. Kalau tak buka melepaslah lagi. Sampai kat sana memang banyak gerai yang tak buka. Fuh, lagi membukit-bukit le suspen. Tapi keluar jugak dari kereta. Melangkah juga ke pasar malam tu.

Akhirnya.........


Nasib baik buka! Suka bukan main! Sibuk abang tu siapkan order. Tak menang tangan. Ramai yang dah beratur.




Tengok tu. Tak ke mengiurkan? Mmmm......




Ada juga yang dijual dalam bentuk kukus. Aku prefer yang goreng. 





Harga? Murah sahaja. Sebiji RM 1.50 untuk yang goreng. RM0.80 untuk yang kukus. Harga tu memang berbaloi dengan saiz dan yang terpenting rasanya.



Sampai rumah. Segera basuh tangan. Dan terus makan. Memang sedaplah. Hilang rasa rindu pada pau goreng idaman kalbu kami ni.... Pau yang lembut, isi yang umph dan berbaloi dengan harga!  



Okeylah, itu saja. Tak tahan tengok isteri duk makan pau goreng dia yang kedua. Aku makan dulu ya... Kalau korang nak jangan lupa singgah untuk beli pau goreng ni bila singgah di pasar malam Kulim nanti.