Untuk memberi habuan kepada diri selepas bekerja, bekerja dan bekerja macam nak rak, aku dan isteri ambil keputusan untuk berehat di Taiping. Isteri aku mencadangkan kami bermalam di Kamal Lodge. Dia pernah bermalam di situ ketika menghadiri mesyuarat lama dulu. Tempatnya mendamaikan dan katanya bila pagi suasananya macam di tempat tinggi kerana diselubungi kabus. Lalu aku setuju dengan cadangannya dan kami pun berangkat ke ‘tanah paling basah di Malaysia’ Pertama kali melihat Kamal Lodge hati segera terpaut. Memang cantik dan tersusun tempat tu. Terasa macam berada di kampung yang amat tersusun. Memang bukan indah khabar daripada rupa tapi seindah khabar. Kami mendaftar masuk. Harga bilik bagi semalam ialah RM180; harga korporatnya pula ialah RM162. Pastikan anda membawa pas pekerja sebagai bukti. Diskaun RM18 tu yeop …. . Harga tu berbaloi yeop dengan kemudahan yang diberikan. Jadi jika bercuti ke Taiping, samaada nak melawat tempat-tempat menarik di situ atau menghadiri kenduri kahwin aku syorkan korang menginap di situ. Bantal dan tilamnya melenakan, suasana sekeliling tenang – jauh dari hiruk pikuk dan makanan di kafenya pun sedap dan berpatutan. Jika korang ada anak atau anak-anak bermandi manda di kolam renang memang satu aktiviti yang pasti mengujakan asalkan korang tak malu-malu sebab kolam renang itu berhadapan dengan kafe dan berada betul-betul di tengah kawasan chalet. Dapat diakses daripada semua chalet. Korang buka pintu chalet, lari dan terus terjun dalam kolam, debus! Aku dan isteri pun berendam juga yeop. Peduli apa orang tengok.
Suasana sekitar Kamal Lodge. Cantik kawasan chalet ni. Teratur dan siap ada kolam renang.
Jom tengok chalet untuk aku dan isteri. Puan Umi sedang bergaya di hadapan chalet kami
Diselubungi kabus di hadapan chalet kami.
Selepas sejam berehat di dalam chalet kami menuju ke Zoo Taiping. Seingat aku kali terakhir aku ke situ ketika menunggu keputusan SPM. Sudah lama benor yeop! Sekali sekala tengok haiwan apa salahnya kan.
Tengok telatah orang utan. Kadang-kadang terfikir bagaimana ada orang percaya dengan Teori Darwis
Bukan apa yeop kadang-kadang kita lupa bahawa bukan kita sahaja yang hidup dalam dunia ni. Sebab tu habis hutan dan bukit kita gondolkan sehingga haiwan tak ada tempat tinggal dan kepupusan. Kita perlu ingat yeop setiap benda yang Allah jadikan dalam dunia ni ada peranannya masing-masing untuk kehidupan dalam dunia ni. Tuhan ada berfirman yeop tengoklah ciptaannya dan pasti kita dapat perolehi sesuatu bagi sesiapa yang mahu menggunakan akal.
Teringat buaya Bujang Senang yang lagenda itu
Zoo Taiping ni besor yeop. Kalau berjalan lebih daripada sejam jugalah ambil masa nak habiskan trip. Tapi puas yeop. Terutamanya bila dapat tengok haiwan yang jarang atau tak pernah kita tengok dengan mata kepala sendiri. Macam singa, harimau, gajah dan badak.
Singa tu yeop. Masa ni singa betina tengah mengaum marah. Pekerja zoo ambil anak-anaknya untuk buat sesi bermesra bersama pengunjung. Bayangkan yeop binatang pun sayang anak. Sebab tu orang kata orang yang buang anak ni lebih teruk daripada binatang. Berderau darah yeop bila dengar ngauman singa betina tu. Bayangkan kalau dengar ngauman begitu ketika dalam hutan
Nak pegang harimau kumbang tak dapat. Tipu-tipu pegang pun jadi le ….. Berani pegang ke? hehehe
Gajah tu tengah cuba nak ambil sejemput rumput dari kawasan di luar pagar tempat kurungan. Banyak kali gajah ni cuba yeop. Seriau juga sebab ada ketikanya gajah ni macam nak terjatuh supaya belalainya dapat capai sejemput rumput tu. Akhirnya gajah tu dapat juga sejemput rumput tu untuk dimakan. Tapi serius tekun gajah ni yeop. Selagi tak dapat selagi tu cuba.
Sekumpulan badak ni sejak mula aku tengok duduk diam tak berkutik sedikit pun sampailah aku pergi dari situ.
Selama hampir 2 jam berjalan barulah habis pusing satu zoo. Sepanjang berjalan tu banyak kali juga selisih dengan trem. Ramai juga pengunjung yang guna trem untuk pusing zoo ni. Bagi sesiapa yang nak cepat dan nak tengok semua haiwan tu sepintas lalu bolehlah guna trem tu. Tapi bagi yang betul-betul nak rasai pengalaman berada di dalam zoo aku syorkan guna kaki untuk berjalan.
Selepas keluar zoo kami kembali ke Kamal Lodge dan minum petang.
Malam nanti kononnya nak keluar ke bandar Taiping. Cadang nak tengok wayang. Tengok wayang kat Taiping tu…. hahaha tapi akhirnya pusing-pusing bandar Taiping saja sebab tak jumpa Taiping Sentral. Rancangan pagi esoknya untuk ke Bukit Larut juga terpaksa dilupakan kerana tidur selepas subuh itu terlajak hingga hampir tengahari. Kan aku dah kata bantal dan tilamnya melenakan. Sudahnya kemas beg pakaian dan balik Kulim…. Tapi aku dan isteri sudah merancang untuk kembali ke sini lagi. Kali ini dengan anak-anak buah. Hendak bawa mereka melawat zoo. Biar mereka tengok singa, harimau, orang utan, badak, buaya dan lain-lain haiwan dengan mata kepala sendiri. Bukan hanya dari buku bergambar yeop.
Selamat jalan-jalan ke Taiping.
No comments:
Post a Comment