Pages

Sunday, January 31, 2010

Feri : Keinginan Yang Tiada Penjelasannya


Aku teringin naik feri. Bersiap, ambil kunci kereta dan vroom. 140km/j di atas Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE). Tiba di tempat letak kereta di Penang Sentral 20 minit kemudian. Bayar RM1.20 dan menunggu feri tiba di tempat menunggu pejalan kaki. Pulau Talang-Talang merapat ke pangkalan 10 minit kemudian. Bersama beratus penumpang pejalan kaki aku masuk ke dek atas feri itu. Aku duduk di bangku panjang paling belakang. Di bawah kedengaran tayar-tayar kenderaan menggilis lantai dek bawah feri. Hon-hon motosikal berteriakan di situ. Hingar bingar itu diam selepas 10 minit. Bunyi siren feri memecah sunyi. Pulau Talang-Talang perlahan-lahan menjauhi pangkalan Sultan Abdul Halim itu. Aku menikmati perjalanan menyeberangi Selat Melaka itu dengan begitu gembira. Bayu selat yang menyamankan, gelagat merpati yang jinak begitu menyenangkan sekali dan sisik-sisik air yang berombak-ombak kecil begitu mempesonakan dan...
   Ah, itu... Gunung Jerai. Ya, Gunung Jerai! Berdiri kukuh di sebelah kanan. Aku berasa bernasib baik kali ini. Walaupun gunung itu besar dan setinggi 1217 meter tetapi susah sekali untuk dilihat dari situ. Jika hari berkabus dan terlalu cerah keberangkalian untuk melihatnya adalah kosong. Panorama itu sungguh indah. Aku lihat gunung itu lama-lama. Kesimpulanku tentang gunung itu : kalaupun aku tidak tahu mitos atau lagendanya ia tetap menyuntik perasaan misteri dan gerun ke dalam hatiku dengan tegak berdirinya itu saja. Tahukah anda di situ terletaknya perkampungan bunian. Ada 7 tingkat semuanya. Ada istana dan rajanya. Tempat pertapaan paling tua di nusantara. Malah hingga sekarang ramai yang sedang bertapa untuk mengambil samaada ilmu putih atau hitam. Ada juga yang ke sana untuk melepaskan ilmu hitam mereka. Taktala itu aku teringat kisah Sang Kelembai, Terung Pipit dan Batu Kapal.

Gunung Jerai yang misteri


   Di kiri, melalui bawah kangkang Jambatan Pulau Pinang, aku dapat lihat Pulau Jerejak. Pernah jadi pusat kuarantin pendatang asing, hospital untuk penyakit kusta, penjara keselamatan tertinggi ala Alcatraz di Teluk San Francisco itu. Seperti ternampak bayang Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al Helmi serta yang lain-lain menjalani hidup di situ. Sekarang pulau itu sudah jadi tempat pelancongan. Sudah ada resort dan pelbagai kemudahan lain. 

Pulau Jerejak


 Feri merapat di pangkalan Raja Tun Uda selepas menyeberangi selat sepanjang 3.2km itu selama lebih kurang 15 minit. Aku keluar dari dek atas, menyertai penumpang pejalan kaki dan bila tiba di hujung pangkalan aku berpusing kembali dan tak sampai 15 minit sudah pun berada di dalam feri. Dari jauh aku lihat sebahagian Pangkalan Sultan Abdul Halim yang runtuh pada 31 Julai 1988 itu. Seperti dapat kudengar pekik lolong orang ramai. Tragedi itu meragut 32 nyawa dan menyebabkan lebih 1500 orang tercedera. 


Pangkalan Sultan Abdul Halim

Aku suka naik feri. Keinginan itu selalu muncul sekali dalam 3-4 bulan. Jika keinginan itu muncul aku sanggup memandu dari Kulim ke Butterworth. Naik feri ke pulau, patah balik ke Butterworth, dan kembali ke Kulim. Begitulah, naik feri, keinginanku yang tiada penjelasannya..... 

Saturday, January 30, 2010

Erti Sekeping Foto

Ia hanya sekeping kertas bercetak dengan imej-imej. Tetapi ia amat berpengaruh dan pada waktu-waktu tertentu ternyata berkuasa. Seperti kata bijak pandai 'gambar mewakili beribu perkataan' Siapa dapat lupa dengan foto Muhammad Al-Durra, anak kecil palestin yang berumur 12 tahun pada tahun 2000, yang ditembak mati oleh askar Israel disamping ayahnya itu. Siapa boleh lupa dengan foto Masjid Raya Baturrahman Acheh yang berdiri kukuh selepas dilanda Tsunami. Dan siapa boleh lupa dengan gambar Einstien atau Karl Max. Aku percaya kita semua ada menyimpan foto. Tidak kira di mana - di dalam album gambar, folder di PC atau komputer riba, di bawah tilam atau bantal, di dalam kotak atau di atas almari, simpanlah dengan baik-baik. Kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah hidup kita. Detik-detik yang dirakam dan dapat diulang tengok. Jadi, apakah foto kesayangan anda? Aku? Sekeping foto yang subjek utamanya berkameja putih. Dan aku simpan ia di dalam hati dan kepalaku. Mengingatkannya membuatku rasa bahagia.

Muhammad Al-Durra yang ditembak mati di samping ayahnya oleh tentera Israel


Masjid Raya Batturrahman yang kukuh berdiri selepas Tsunami yang melanda Acheh 2004


Karl max


Einstein


salah sekeping gambar yang disenaraikan sebagai yang terbaik sepanjang zaman. Gambar seorang kanak-kanak perempuan ketika konflik di Afghanistan.
  

Friday, January 29, 2010

Bukan Sesiapa Kecuali.....

Aku sedang berbaring di atas katil. Pandangan kulemparkan ke luar bilik tidur. Melalui tingkap bergelungsur itu aku dapat lihat gelap malam perlahan-lahan disingkir oleh cerah siang. Melalui celah tingkap yang terbuka sekeping cahaya masuk dan menumpahkan dirinya di atas lantai kayu bilik tidur itu. Aku meneliti kepingan cahaya yang melintang di hadapanku itu. Pada kepingan cahaya itu ada partikel-partikel halus yang sedang menari rawak. Kata-kata ini muncul di dalam fikiranku : manusia itu umpama debu. Tak berdaya walau sedikit pun. Aku menyelongkar memori tetapi kata-kata itu masih tidak kuketahui siapa yang menyebutnya atau di buku mana ia dicetak. Kata-kata itu kena dengan apa yang kuteliti sekarang. Partikel-partikel halus itu, yang aku percaya adalah debu, kelihatan jelas tanpa daya. Ditarikan oleh angin dan diterangkan oleh cahaya. Jika tiada udara atau angin dan cahaya debu-debu itu tentu kaku dan tidak diketahui kewujudannya di sini. Langsung teringat kata-kataku pada Prima, sahabat indonesia yang selalu bertanya itu dan ini kepadaku. "Abang buat semua ini," rujuk aku bila dia bertanyakan tentang manuskrip Tetamu-Tetamu Cinta yang sudah pun 80 peratus siap itu. Astaghfirullah..... bongkaknya aku. Sepatutnya jawapanku : "Dengan izin Allah. Alhamdulillah." Aku bukan sesiapa untuk melaksanakan sesuatu kecuali dengan Allah. Malah untuk mengerdip mata pun aku tak daya jika tanpa izin Allah. Begitulah aku dan kita semua - serupa debu yang tidak berdaya sedikit pun. Jadi perlulah kita merendah diri. Siapa pun diri kita, berjawatan tinggi atau rendah, kita memang bukan sesiapa di sisinya kecuali... kecuali jika kita bertaqwa. 

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu, (bukan yang lebih kerana keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNYA (akan keadaan dan amalan kamu)." surah al-Hujurat, ayat 13. 

Ilham

Dulu, sewaktu masih di tingkatan 3, ketika baru berjumpa dengan Salina yang disusun bersama beribu buku yang lain di perpustakaan sekolah, semasa markah Bahasa Melayu selalu bertukar di antara gred C dan D, aku fikir semua novelis mesti duduk bersenang-senang di hadapan laut atau di taman bunga atau di dataran tinggi sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa untuk mendapat ilham bagi menulis karyanya. Jika tidak berkesempatan begitu aku fikir pasti mereka akan duduk bersenang-senang di meja kopi, mengelamun dan berkhayal menunggu ilham datang sebelum dialirkan ke kertas sambil menghisap rokok berbatang-batang - kadang-kadang dihisap dengan tenang dan kadang-kadang dengan gelojoh.


                                       *novel ini selalu mengilhamkan 
  
Tetapi bila meningkat usia dan pengalaman dalam menulis, semua fikiran mesti itu telah tersejat. Kini aku alami sendiri salah satu pintu datangnya ilham itu - yang mengujakan dan begitu mudah - iaitu : Dengan membaca karya orang lain. Banyak novel yang mudah memberi ilham kepadaku. Yang terhebat ialah Daerah Zeni, Bulan Tak Bermadu Di Fatehpursikri, Tenggelamnya Kapal van Der Wjick dan Tetralogi Bumi Manusia. Yang paling baru ialah Tetralogi Lasykar Pelangi. Membaca karya-karya itu membuatkan aku berada di dunia lain. Dan dunia lain ini memercikkan ilham yang kadang-kadang tak terfikirkan. Daerah Zeni, misalnya, berjaya mencampakkan aku kembali ke tahun 1975. Lebih jauh dari itu, melalui manuskrip Lazri Meon yang terabai itu aku tercampak pula ke zaman sebelum merdeka - berdepan dengan dunia misteri, perjuangan, pengorbanan dan penderitaan. Setiap kali membaca pendahuluan novel itu, katak yang kembang kempis perutnya itu mudah mengimej di dalam fikiran. Selalu saat itu ilham akan memercik. Malah seluruh Daerah Zeni mampu memercikkan ilham. Dari Daerah Zeni maka lahirlah Kaca yang dasarnya bercerita tentang perjuangan hidup. Begitulah ilham. Kadang-kadang tidak boleh dinanti-nanti tetapi perlu dicari-cari. Dan aku selalu mencari dan sentiasa pula menemuinya bila membaca karya orang lain. Bukan mempelagiat tetapi sekadar mahu mewujudkan percik api yang dapat menyalakan sumbu pelita ilham. Mudah-mudahan ilham tak berhenti memercik ke dalam fikiran hingga habis nyawa. Insyaallah. 

Sunday, January 24, 2010

Hujan


Setiap kali langit sarat dengan awan kelabu aku gemar mengharapkan hujan akan turun. Dalam diam aku pinta Mikhail turunkan hujan dengan izin Tuhan. Bila ada titik-titik hujan yang sudah menjarumi cermin tingkap hadapan kereta atau kulit tanganku aku lekas berasa gembira. Aku memang suka kepada hujan. Lebih suka hujan lebat. Hujan lebat membuatkan aku berasa suasana sekeliling seperti terhenti sekejap - detik waktu dan aktiviti manusia semacam tergenang dalam lopak hakikat. Desir dan desah angin, detap air hujan mencium atap, liuk lentok pepohonan dan ketar resah dedaunan begitu mengasyikkan. Memang di waktu hujan beginilah aku selalu berpeluang meneliti alam. Petir berdenyar dan guruh bergerutup. Entah mengapa aku terus teringatkan Benjamin Franklin dengan layang-layangnya yang menemukan manusia kepada elektrik. Elektrik yang mengalir di dalam kabel-kabel elektrik TNB dan membuatkan lampu dan skrin PC atau komputer riba di hadapan kita ini menyala sekarang. Ya, ada pendapat mengatakan itu penemuan yang kebetulan. Ada juga membuat kesimpulan ia sekadar sebuah mitos. Tetapi dari mitos itulah terhasilnya keinginan untuk mengkaji kebenarannya. Alam memang sentiasa memberikan sesuatu - ilham, keinsafan, ketenangan, petanda dan lain-lain. Barangkali, hujan, pada satu hari nanti bakal menemukan kita pada sesuatu yang hebat. Sesuatu yang mampu merubah dunia. Siapa tahu? Siapa sangka Isaac Newton menemui teori graviti dengan melihat jatuhnya buah epal dengan pertanyaan di dalam kepala : "Kenapa epal selalu jatuh tegak lurus ke bawah? Kenapa tidak jatuh ke kiri atau kanan atau ke atas?" Mungkin dengan hujan kita dapat memikirkan soalan-soalan yang semacam itu juga...

Thursday, January 21, 2010

Apa Itu Suka, Cinta, Kasih Dan Sayang.

Ada seseorang bertanya kepadaku apa itu suka, cinta, kasih dan sayang. Ini jawapan daripadaku :

Apa itu suka? Suka itu bila kita selalu senang dengan perbuatan dia. Bila dia bercakap kita selalu bersedia untuk mendengarnya. Bila dia berada di hadapan kita selalu senang melihat wajahnya. Dan bila dia melakukan sesuatu pekerjaan kita selalu senang untuk menyertainya.

Apa itu cinta? Cinta itu limpahan seluruh rasa suka yang tak dapat dibendungkan. Bila dia melakukan sesuatu ia bukan saja menyenangkan tetapi juga menggembirakan kita. Hati kita berbunga-bunga cukup sekadar salam, hai atau hello daripadanya. Bila dia di hadapan kita mahu menatap wajahnya lama-lama dan kadang-kadang tidak berani menatap wajahnya kerana rasa malu. Tetapi dalam diam-diam kita cuba mencari peluang untuk mencuri pandang wajahnya. Kita akan sentiasa mahu lakukan apa-apa pekerjaan dengannya. Ketika ini kita akan selalu ingat kepadanya. Semuanya terasa indah.

Apa itu kasih? Kasih itu perasaan halus yang lahir daripada cinta. Bila dia melakukan sesuatu ia bukan sahaja menyenangkan, menggembirakan tetapi juga membahagiakan kita. Kita bahagia ketika dia dekat atau jauh dengan kita. Mengingatinya saja pun sudah boleh membuatkan kita berasa beruntung dan bersyukur dapat bersama dengannya. Bila dia di hadapan kita selalu ingin katakan yang kita sungguh-sungguh mengasihinya. Kita juga bersedia menerima segala kekurangan yang ada pada dirinya. Bersedia untuk memberi bahu ketika dia menangis dan bertepuk tangan ketika dia gembira. Kita beri kepercayaan kepadanya. Kita bersedia berkongsi hidup dengannya.

Apa itu sayang? Sayang ialah himpunan rasa suka, kasih dan cinta. Kita menerima sepenuhnya siapa dia. Dia adalah kawan, kekasih, suami dan segalanya pada kita. Apa pun dugaan yang datang kita nekad untuk bersama dengannya. Bagi lelaki, dia perempuan kedua selepas ibu. Dan bagi perempuan, dia lelaki kedua selepas Nabi Muhammad S.A.W.

Dan ini jawapan dia selepas aku bertanya apa itu suka, cinta, kasih dan sayang...

Apa itu suka .... suka bila apa yang orang tu buat, selalu kita ingat dan bila teringat kita tersenyum.
Apa itu cinta .... cinta itu bila semua yang dia buat sangat dekat di hati, buat hati suka dengan semua perbuatan dia..
Apa itu kasih .... kasih bila hati tersentuh dengan apa yang dia rasa dan lahirkan satu perasaan halus yang dia tidak mahu kehilangan semua yang dia rasa dan dia membalas semua yang dia rasa pada orang yang menyalakan rasa itu padanya.

Wednesday, January 20, 2010

Lagu Dan Aku

Penukar cd berketik. Cd bertukar. Pada trek 4, melodi dimulai oleh merdu seruling. Asyik dan sayunya membuai kalbu. Lagu bermula : 'Benarkah tiada bagiku. Ruang di hatimu. Untukku bertakhta. Walaupun sejengkal jari. Agar dapat ku berdiri. Di ambang pintumu ...' Aku larut dalam rangkap seterusnya. Lagu ini, walaupun bukan lagu yang paling diminati, memang mudah mempengaruhi aku. Barangkali kerana nilai sentimental yang terpaut padanya atau mungkin juga kerana keindahan melodi dan liriknya. Ia setara Getaran Jiwa. Tetapi tak terlawankan Di Suatu Masa. Baru-baru ini asyik pula dengan Bukan Rayuan Gombal oleh Judika. Juga Pergi oleh Aizat. Juga Selamat Malam oleh Faizal Tahir. Dan I'm Yours oleh Jason Mraz. Semua lagu-lagu itu berjaya menambat hatiku. Terpaut pada semua lagu itu adalah sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupku. Lagu, melodi dan liriknya memang mudah mengingatkan kita kepada sesuatu. Sesuatu yang berkaitan dengan perasaan atau zaman lalu. Di dalamnya kadang-kadang tersimpan kenangan yang tak dapat dilupakan.
Apakah lagu anda?


Mengapa Resah?





Hari indah tapi...

hati digomol resah
Tenunglah ke dalam langit biru
ketenangan kan menyusup ke dalam kalbu
Mengapa kita harus resah
walaupun kita tahu
kekasih abadi kita itu
sentiasa di sisi
tak kira dalam apa jua waktu.


 -fitrihussin,200110



Selamat Pagi Sayang



Embun masih kental

di kelopak-kelopak bunga
Tajamnya dingin pagi
tembus menikam tulang temulang
Aku yang tak tidur lena
gagahkan diri membuka mata
Agar aku dapat menyapa :
"Selamat Pagi Sayang" buat
Dia kekasihku sepanjang masa.

- fitrihussin, 200110 -



Saturday, January 16, 2010

Maggi Dan Sambal Belacan.

Tiba-tiba aku teringin hendak makan maggi. Kali terakhir maggi masuk ke dalam perut sebulan yang lepas. Memang keinginan makan maggi ini sentiasa datang secara mengejut. Aku bergegas ke pasar mini dan beli sepek maggi tadi. Perasa kari, perasa kegemaranku. Bubuh dalam mangkuk, tuang air panas dan tutup dengan piring. Selepas 5 minit, aku jamah maggi itu dengan lahap. Macam dulu-dulu, sewaktu di sekolah berasrama dulu. Aku tergelak sendirian bila melihat mangkuk porselin bercorak indah yang mengisi maggi tadi. Ada kenangan yang mencuit jiwa. Memang banyak bezanya makan maggi sekarang dengan dulu bagiku. Selain dulu terujanya lebih, juga tak pernah makan maggi dengan mangkuk porselin bercorak indah seperti sekarang. Dulu mangkuk untuk makan maggi aku adalah cebok (jika makan sorang-sorang) dan baldi (jika makan ramai-ramai). Semuanya gara-gara mangkuk yang dibeli sebelum itu hilang sehingga tiada seorang pun daripada kawan-kawan aku ada mangkuk lagi. Sudu pun sampai satu ketika diganti dengan pen dan pensil kerana mengalami masalah yang serupa. Bila difikirkan balik, yek! Tapi itulah, zaman remaja : zaman fikir singkat dan tingkah banyak ikut-ikut saja. Pendek kata, maggi. walaupun cuma sekadar makanan segera, memanglah begitu berpengaruh kepada aku atau barangkali kepada anda juga.
Sekarang ini aku tiba-tiba teringatkan opah. bagaimana dia mengajar aku adik beradik makan pedas. Mudah : siang malam makan nasi mesti dengan sambal belacan. Mula-mula sambal belacan cili merah dan lama-lama cili padi. Tak mahu tidak kena telan juga kerana dia yang menyuapkan ke mulut. Mula-mula digaul dengan kicap tetapi akhirnya sambal belacan, ikan goreng dan nasi semata. Kebas juga mulut pada mulanya tetapi bila sudah lali, lidah kebal dengan pedas. Jadilah aku sekarang : lelaki yang makan pedas dengan makanan kegemarannya ialah sambal tumis ikan bilis. Eh, kata orang, orang yang tahan makan pedas adalah orang yang tidak kuat cemburu. Betul ke?

P/s : 1) Kenapa bila nampak maggi terus teringat pada cebok, baldi, pen dan pensil. Tetapi bila nampak cebok, baldi, pen dan pensil tak teringatkan pula maggi.
2) Opah meninggal dunia ketika aku baru lepas UPSR. Memang sudah lama. Tetapi kenangannya menyuapkan nasi ke mulut aku adik beradik dulu masih segar dalam ingatan. Suka saat-saat itu. Semoga rohnya dicucuri rahmatNYA. Al-fatihah....

Kenangan Terindah 1

Rindu. Itulah perasaanku kala ini jika teringatkan zaman kanak-kanak itu. Terkerlip-kerlip di depan mata adalah aksi-aksi aku dan kawan-kawan sekampung ketika bermain guli, gasing, tuju tin, galah panjang, sorok-sorok dan macam-macam lagi. Terngiang-ngiang di telinga adalah decupan-decupan kasar air ketika kami terjun menjunam dari atas bot-bot nelayan di bagan mencecah permukaan laut. Terbau-bau di hidung adalah aroma pagi alam ketika kami sengaja berjalan beramai-ramai merentasi denai Lorong Muhibah menuju ke sekolah rendah. Saat itu, biar bagaimana mahupun, tak mungkin dapat diulangi lagi. Tetapi aku tetap berasa bahagia walaupun dengan hanya mengingatinya. Kerana kenangan terindah seperti itu tak dianugerahi kepada semua orang. Seharusnyalah aku bersyukur kerana Allah menakdirkan aku menikmatinya dulu...

P/s : 1) Kepada kawan-kawan sekampung : Kolin, Hidzir, Wi, Canai, Bujal, Guli, Daud, Ramli, Rohman, Ali, Epi, Mijan, Oji - Semoga anda berbahagia.
2) Kampung aku, Kampung Teluk Penikam Bagan Datoh itu, kini amat terasa sepinya.

Dia : Terpancar Wajahnya, Mimpi Dirinya dan Pahat Namanya


Di dalam rongga abdomenku ada seketul daging yang berwarna perang kemerahan. Seketul daging itu disebut hati. Hati jasmaniyyah. Di dalam hati jasmaniyyah itu pula terkandung hati ruhanniyah. Di dalam hati ruhanniyah itu, pada ruangnya yang paling dalam, berhimpun segala kebenaran tentang diriku. Kawasan di mana terletaknya mata air yang memancarkan perasaan jernih. Perasaan jernih yang kusebut sebagai cinta. Cinta yang mulus dan tulus, istimewa untuk dia. Dia yang wajahnya selalu terpancar di ingatanku setiap kali aku duduk bersendirian dulu. Ah, rambutnya, matanya, hidungnya dan gayanya di dalam foto dirinya yang berkemeja putih itu sentiasa mempesonakan. Hairannya ia kerap berlaku jika aku sedang berpacaran dulu. Aku resah setiap kali ia berlaku. Tidak adil untuk pasanganku ketika itu. Tapi apakan daya. Aku boleh menggari tubuh badan yang zahir ini tetapi tidak hati. Bila percintaan itu putus aku jalani hidup seperti biasa. Anehnya aku tidak tergerak mencarinya walaupun pernah terfikir hendak mencarinya. Ia satu keanehan yang tidak dapat dijelaskan. Satu persoalan yang menakjubkanku sehingga kini. Aku dirikan Istikharah. Mohon pada Allah agar ditunjukkan samaada pasanganku ketika itu sesuai atau tidak denganku. Bukan mereka yang hadir dalam setiap mimpiku. Yang hadir di dalam mimpiku ialah seorang perempuan tinggi lampai dan bersuara merdu tetapi kabur wajahnya. Kemudiannya ku tahu perempuan misteri itu adalah dirinya. Satu peristiwa seperti de ja vu itu mengiakannya. Mereka juga tidak hadir di dalam gerak hatiku. Yang hadir di dalam gerak hatiku adalah namanya. Waktu itu aku mulai sedar makna tolehanku ke arah rumahnya setiap kali aku melintasi tempat tinggalnya ketika pulang ke rumah atuk sebelum ini. Aku ketawa besar baru-baru ini bila mengetahui dia sudah tidak tinggal di situ sejak beberapa tahun yang lalu. Ajaibnya perasaan halus yang menerbitkan tindakan refleks ringkas itu. Selama ini ia menyorok di balik hati ruhanniyah itu. Dialah perempuan yang mampu menggetarkan jiwaku dengan suaranya selepas 10 tahun tidak berhubung. Cinta berputik di sana sini di dalam hati ruhanniyah itu. Mekar hampir serentak hingga memungkinkan aku meluahkan perasaan jernih yang terempang di dalam dada selama ini. Selepas debar yang menyesakkan salam cintaku itu disambutnya. Bermula dengan nafas bismillah... aku panjatkan syukur kepada Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui Dan Bijaksana. Sejak itu aku bersumpah akan menyintainya sehingga ke syurga. Dialah perempuan yang namanya terpahat di singgah sana hatiku.

Selepas hujan...
Aku menatap langit
biru firusnya menyamankanku
fikiranku langsung kepadamu
senyaman itulah wajahmu
Cantiknya sirus-sirus yang melarik di langit itu
secantik alis-alis pada wajahmu
Suria yang menyinar segar semula
sesegar senyuman madumu
Subhanallah.... alam selepas hujan ini
seperti melukiskan keindahan dirimu

Dia adalah perempuan yang menerima puisi di atas pada 6 oktober 2009. Dia adalah perempuan yang hampir, hampir, hampir sempurna... Dia anugerah terindah Allah untukku. Alhamdulillah...