Pages

Saturday, January 16, 2010

Maggi Dan Sambal Belacan.

Tiba-tiba aku teringin hendak makan maggi. Kali terakhir maggi masuk ke dalam perut sebulan yang lepas. Memang keinginan makan maggi ini sentiasa datang secara mengejut. Aku bergegas ke pasar mini dan beli sepek maggi tadi. Perasa kari, perasa kegemaranku. Bubuh dalam mangkuk, tuang air panas dan tutup dengan piring. Selepas 5 minit, aku jamah maggi itu dengan lahap. Macam dulu-dulu, sewaktu di sekolah berasrama dulu. Aku tergelak sendirian bila melihat mangkuk porselin bercorak indah yang mengisi maggi tadi. Ada kenangan yang mencuit jiwa. Memang banyak bezanya makan maggi sekarang dengan dulu bagiku. Selain dulu terujanya lebih, juga tak pernah makan maggi dengan mangkuk porselin bercorak indah seperti sekarang. Dulu mangkuk untuk makan maggi aku adalah cebok (jika makan sorang-sorang) dan baldi (jika makan ramai-ramai). Semuanya gara-gara mangkuk yang dibeli sebelum itu hilang sehingga tiada seorang pun daripada kawan-kawan aku ada mangkuk lagi. Sudu pun sampai satu ketika diganti dengan pen dan pensil kerana mengalami masalah yang serupa. Bila difikirkan balik, yek! Tapi itulah, zaman remaja : zaman fikir singkat dan tingkah banyak ikut-ikut saja. Pendek kata, maggi. walaupun cuma sekadar makanan segera, memanglah begitu berpengaruh kepada aku atau barangkali kepada anda juga.
Sekarang ini aku tiba-tiba teringatkan opah. bagaimana dia mengajar aku adik beradik makan pedas. Mudah : siang malam makan nasi mesti dengan sambal belacan. Mula-mula sambal belacan cili merah dan lama-lama cili padi. Tak mahu tidak kena telan juga kerana dia yang menyuapkan ke mulut. Mula-mula digaul dengan kicap tetapi akhirnya sambal belacan, ikan goreng dan nasi semata. Kebas juga mulut pada mulanya tetapi bila sudah lali, lidah kebal dengan pedas. Jadilah aku sekarang : lelaki yang makan pedas dengan makanan kegemarannya ialah sambal tumis ikan bilis. Eh, kata orang, orang yang tahan makan pedas adalah orang yang tidak kuat cemburu. Betul ke?

P/s : 1) Kenapa bila nampak maggi terus teringat pada cebok, baldi, pen dan pensil. Tetapi bila nampak cebok, baldi, pen dan pensil tak teringatkan pula maggi.
2) Opah meninggal dunia ketika aku baru lepas UPSR. Memang sudah lama. Tetapi kenangannya menyuapkan nasi ke mulut aku adik beradik dulu masih segar dalam ingatan. Suka saat-saat itu. Semoga rohnya dicucuri rahmatNYA. Al-fatihah....

No comments:

Post a Comment