Pages

Sunday, January 31, 2010

Feri : Keinginan Yang Tiada Penjelasannya


Aku teringin naik feri. Bersiap, ambil kunci kereta dan vroom. 140km/j di atas Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE). Tiba di tempat letak kereta di Penang Sentral 20 minit kemudian. Bayar RM1.20 dan menunggu feri tiba di tempat menunggu pejalan kaki. Pulau Talang-Talang merapat ke pangkalan 10 minit kemudian. Bersama beratus penumpang pejalan kaki aku masuk ke dek atas feri itu. Aku duduk di bangku panjang paling belakang. Di bawah kedengaran tayar-tayar kenderaan menggilis lantai dek bawah feri. Hon-hon motosikal berteriakan di situ. Hingar bingar itu diam selepas 10 minit. Bunyi siren feri memecah sunyi. Pulau Talang-Talang perlahan-lahan menjauhi pangkalan Sultan Abdul Halim itu. Aku menikmati perjalanan menyeberangi Selat Melaka itu dengan begitu gembira. Bayu selat yang menyamankan, gelagat merpati yang jinak begitu menyenangkan sekali dan sisik-sisik air yang berombak-ombak kecil begitu mempesonakan dan...
   Ah, itu... Gunung Jerai. Ya, Gunung Jerai! Berdiri kukuh di sebelah kanan. Aku berasa bernasib baik kali ini. Walaupun gunung itu besar dan setinggi 1217 meter tetapi susah sekali untuk dilihat dari situ. Jika hari berkabus dan terlalu cerah keberangkalian untuk melihatnya adalah kosong. Panorama itu sungguh indah. Aku lihat gunung itu lama-lama. Kesimpulanku tentang gunung itu : kalaupun aku tidak tahu mitos atau lagendanya ia tetap menyuntik perasaan misteri dan gerun ke dalam hatiku dengan tegak berdirinya itu saja. Tahukah anda di situ terletaknya perkampungan bunian. Ada 7 tingkat semuanya. Ada istana dan rajanya. Tempat pertapaan paling tua di nusantara. Malah hingga sekarang ramai yang sedang bertapa untuk mengambil samaada ilmu putih atau hitam. Ada juga yang ke sana untuk melepaskan ilmu hitam mereka. Taktala itu aku teringat kisah Sang Kelembai, Terung Pipit dan Batu Kapal.

Gunung Jerai yang misteri


   Di kiri, melalui bawah kangkang Jambatan Pulau Pinang, aku dapat lihat Pulau Jerejak. Pernah jadi pusat kuarantin pendatang asing, hospital untuk penyakit kusta, penjara keselamatan tertinggi ala Alcatraz di Teluk San Francisco itu. Seperti ternampak bayang Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al Helmi serta yang lain-lain menjalani hidup di situ. Sekarang pulau itu sudah jadi tempat pelancongan. Sudah ada resort dan pelbagai kemudahan lain. 

Pulau Jerejak


 Feri merapat di pangkalan Raja Tun Uda selepas menyeberangi selat sepanjang 3.2km itu selama lebih kurang 15 minit. Aku keluar dari dek atas, menyertai penumpang pejalan kaki dan bila tiba di hujung pangkalan aku berpusing kembali dan tak sampai 15 minit sudah pun berada di dalam feri. Dari jauh aku lihat sebahagian Pangkalan Sultan Abdul Halim yang runtuh pada 31 Julai 1988 itu. Seperti dapat kudengar pekik lolong orang ramai. Tragedi itu meragut 32 nyawa dan menyebabkan lebih 1500 orang tercedera. 


Pangkalan Sultan Abdul Halim

Aku suka naik feri. Keinginan itu selalu muncul sekali dalam 3-4 bulan. Jika keinginan itu muncul aku sanggup memandu dari Kulim ke Butterworth. Naik feri ke pulau, patah balik ke Butterworth, dan kembali ke Kulim. Begitulah, naik feri, keinginanku yang tiada penjelasannya..... 

1 comment:

  1. Best.. Best... Aku pun teringin nak bawak kereta gi pulau naik feri. Selama ni tumpang orang je. Bebila aku sampai sana aku calling-calling la Bro..

    ReplyDelete