Pages

Friday, January 29, 2010

Bukan Sesiapa Kecuali.....

Aku sedang berbaring di atas katil. Pandangan kulemparkan ke luar bilik tidur. Melalui tingkap bergelungsur itu aku dapat lihat gelap malam perlahan-lahan disingkir oleh cerah siang. Melalui celah tingkap yang terbuka sekeping cahaya masuk dan menumpahkan dirinya di atas lantai kayu bilik tidur itu. Aku meneliti kepingan cahaya yang melintang di hadapanku itu. Pada kepingan cahaya itu ada partikel-partikel halus yang sedang menari rawak. Kata-kata ini muncul di dalam fikiranku : manusia itu umpama debu. Tak berdaya walau sedikit pun. Aku menyelongkar memori tetapi kata-kata itu masih tidak kuketahui siapa yang menyebutnya atau di buku mana ia dicetak. Kata-kata itu kena dengan apa yang kuteliti sekarang. Partikel-partikel halus itu, yang aku percaya adalah debu, kelihatan jelas tanpa daya. Ditarikan oleh angin dan diterangkan oleh cahaya. Jika tiada udara atau angin dan cahaya debu-debu itu tentu kaku dan tidak diketahui kewujudannya di sini. Langsung teringat kata-kataku pada Prima, sahabat indonesia yang selalu bertanya itu dan ini kepadaku. "Abang buat semua ini," rujuk aku bila dia bertanyakan tentang manuskrip Tetamu-Tetamu Cinta yang sudah pun 80 peratus siap itu. Astaghfirullah..... bongkaknya aku. Sepatutnya jawapanku : "Dengan izin Allah. Alhamdulillah." Aku bukan sesiapa untuk melaksanakan sesuatu kecuali dengan Allah. Malah untuk mengerdip mata pun aku tak daya jika tanpa izin Allah. Begitulah aku dan kita semua - serupa debu yang tidak berdaya sedikit pun. Jadi perlulah kita merendah diri. Siapa pun diri kita, berjawatan tinggi atau rendah, kita memang bukan sesiapa di sisinya kecuali... kecuali jika kita bertaqwa. 

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu, (bukan yang lebih kerana keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNYA (akan keadaan dan amalan kamu)." surah al-Hujurat, ayat 13. 

No comments:

Post a Comment