Bab 10
Loqan
bertindak dengan segera. Dia berjumpa dengan sekumpulan sekutunya. Mereka
bersedia untuk melaksanakan tugas pembunuhan David Feller dan
penyokong-penyokongnya. Sampai waktu, pada tarikh yang ditilik paling baik
untuk melaksanakan tugas tersebut, maka misi itu pun dilaksanakan.
Kolam Renang Istana Agung, kediaman Keluarga Rushel.
Ken
Rushel, ketua terkini Keluarga Rushel, masuk ke dalam kolam renang. Dia ingin
menenangkan fikiran dengan terapung di permukaan air sambil mendengar
Beethoveen No 5. Dia dikawal ketat oleh sekumpulan pengawal keselamatan yang
berada di setiap penjuru kolam renang. Kawasan itu juga dilengkapi dengan kamera
pengesan wajah yang diletakkan di sekitar kawasan kolam renang itu.
Ken
Rushel mengapungkan badan di tengah-tengah kolam. Dia memejamkan mata sambil
menghayati susunan muzik Beethoven No 5. Segala kekusutan dunia hilang dan
dirinya diulit tenang nota-nota lagu itu.
Di
halaman Istana Agung itu, seorang demi seorang pengawal keselamatan tumbang. Mereka
dibunuh oleh sekumpulan vampire. Kepala
setiap pengawal keselamatan itu dipisahkan dari badan masing-masing. Kumpulan vampire itu bergerak dengan amat pantas.
Ia menyerang dalam sekelip mata sahaja.
Kumpulan
vampire itu menyerbu dinding cermin
di bahagian kolam renang. Dinding kaca itu pecah berkecai. Mereka melihat
pengawal-pengawal keselamatan yang
berada di kolam renang itu dengan renungan yang tajam sambil tersenyum sinis
menakutkan.
Pengawal-pengawal
keselamatan itu melihat di antara satu sama lain dalam kebingungan. Sekumpulan
makhluk di hadapan mereka itu tidak bersenjata. Mereka segera menembak ke arah
kumpulan vampire itu. Ada vampire yang mengelak pantas lalu
secepat kilat pula berada di hadapan pengawal-pengawal keselamatan itu. Tangan
pengawal-pengawal keselamatan itu dipulas sehingga pergelangan tangan mereka
patah. Kemudian kumpulan vampire itu
memulas pula tengkuk pengawal-pengawal keselamatan itu sehingga kepala mereka
bercerai dari badan.
Beberapa
ekor vampire lain berjalan selamba ke
arah pengawal-pengawal keselamatan yang menembak. Semua peluru dari laras
pistol dan senapang pengawal-pengawal keselamatan itu mengenai badan mereka.
Tetapi semua peluru itu jatuh ke lantai dengan
hujungnya kemek. Kumpulan vampire itu tidak lut oleh peluru dan selamat tiba di
hadapan pengawal-pengawal keselamatan yang menembak mereka. Pengawal-pengawal
keselamatan itu ketakutan. Ada yang cuba lari tetapi dengan sepantas kilat ditahan
oleh kumpulan vampire. Kumpulan vampire itu terus menyerang mereka. Ia mengokak leher dan
menumbuk dada mereka sehingga tembus ke belakang badan. Jantung mereka ditarik
keluar dan kepala mereka dipisahkan dari badan.
Ken
Rushel yang terkejut besar dengan apa yang sedang berlaku berenang kalut
menghampiri tebing kolam renang itu. Seekor vampire
dari tebing bertentangan terjun menjunam ke dalam kolam. Ia berenang laju di
dasar kolam menghala ke arah Ken Rushel.
Seekor
vampire lain tersenyum dengan apa
yang sedang berlaku. Ken Rushel terkial-kial untuk menaikkan badannya ke tebing
kolam renang itu. Dia berjaya ditangkap oleh vampire yang berenang ke arahnya tadi sebelum sempat menaikkan
keseluruhan badannya ke atas tebing kolam renang itu.
Ken
Rushel diterbangkan ke atas syiling. Selepas terapung beberapa saat vampire itu menjunamkan badannya lalu
merempuh kolam renang. Beberapa ketika kemudian kolam renang itu pun menjadi merah
dipenuhi darah. Badan Ken Rushel sebahagiannya hancur dan sebahagian lagi
tertanam di dasar kolam.
Hutan Akasia, Hutan Peribadi Keluarga Hupon
Sasaran
sudah dikunci. Imejnya disimpan secara automatik di dalam memori peluru pintar
itu. Lalu picu rifle dipetik. Peluru pintar meluru keluar dengan pantas dari
laras. Ia meluncur laju di udara dan mengelak setiap dahan dan ranting pohon
akasia di sepanjang laluan untuk mencari sasaran yang sudah ditetapkan tadi.
Satu
saat, dua saat dan tiga saat, peluru itu menembusi kepala sasaran iaitu seekor
monyet dominan di situ. Kumpulan monyet itu bercempera lari apabila melihat
ketua mereka itu jatuh bebas ke lantai hutan.
Charlie
Hupon dan semua yang ada di situ bertepuk tangan dan bersorak riang dengan
kejayaan teknologi baru persenjataan yang dirintis oleh syarikat persenjataan
globalnya itu. Dia segera menelefon Pentagon dan lain-lain untuk menawarkan senjata
berteknologi canggih itu kepada mereka.
Kedengaran
letap letup ranting dipijak sesuatu. Ketawa berderai yang belum surut terhenti
mengejut. Semua pengawal keselamatan yang berada di situ serta merta
berjaga-jaga. Mereka tahu tiada sesiapa di situ selain mereka.
Tiba-tiba
kedengaran bunyi dengus dari pelbagai arah. Letap letup ranting dipijak
kedengaran semakin galak. Ia hampir dan semakin hampir.
Pistol
dan rifle dihala ke segenap arah. Semua pengawal keselamatan bersiap sedia
menanti ancaman muncul.
Dan
tiba-tiba beberapa ekor serigala jadian pun melayang ke udara dari balik semak
di sekeliling mereka. Kumpulan serigala jadian itu menerkam dan membaham Charlie
Hupon dan lain-lain dengan pantas dan buas.
Charlie
Hupon dan lain-lain bergelimpangan di lantai hutan. Darah mengalir membasahi
hutan persendirian itu.
Menara Global, bangunan milik Keluarga Feller
Lif-lif
di bangunan itu berhenti secara mengejut. Bekalan elektrik terputus secara
mengejut. Janakuasa sokongan pula tidak berfungsi seperti selalu. David Feller dan
empat orang pengawal peribadinya terperangkap di dalam salah satu lif. Salah
seorang pengawal peribadi itu menghubungi pusat kawalan bangunan itu melalui
interkom. Panggilan kecemasannya tidak dijawab oleh sesiapa dari pusat kawalan
itu. Kesemua yang berada di pusat kawalan itu sudah mati terkulai.
Lif
itu bergoncang. Mula-mula perlahan tetapi kemudian deras dan keras. Selepas itu
ia jatuh laju beberapa tingkat serentak dengan terdengarnya bunyi yang amat
kuat seperti ada sesuatu yang mendarat di atasnya. Ia berhenti mengejut
sehingga menyebabkan David Feller hampir tersembam. Pengawal-pengawal
pribadinya yang berbadan sasa masing-masing memegang dinding lif untuk
menstabilkan diri.
Suasana
sepi seketika.
Bunyi
satu hentakan kuat kedengaran dari atas bumbung lif itu. Semua mata tertumpu ke
syiling lif. Bekas hentakan jelas kelihatan pada bahagian syiling yang berada
betul-betul di atas kepala Feller.
Suasana
sepi semula.
David
Feller ditarik ke tepi dinding lif oleh salah seorang pengawal peribadinya. Pengawal-pengawal peribadi itu berkubu di sekelilingnya.
Masing-masing mengambil posisi mengadap ke arah keempat-empat bucu lif
itu.
“Ada
sesiapa tahu apa yang sedang berlaku?” tanya David Feller.
Pengawal-pengawal
peribadinya berpandangan sesama sendiri. Masing-masing sudah menarik pistol
dari pinggang dan menghalanya ke arah syiling. Salah seorang daripada mereka
kemudiannya cuba menghubungi sekali lagi sesiapa di pusat kawalan. Tetapi ia
sia-sia.
“Terlalu
lengang. Seolah-olah tiada sesiapa di bangunan ini,” kata David Feller. Dia
tahu sekarang sudah pukul tujuh malam. Walaupun sudah melepasi waktu pejabat
tetapi selalunya ramai stafnya yang bekerja lebih masa. Lebih peliknya pusat
kawalan yang sentiasa ada staf itu kini seolah-olah tiada sesiapa. “Hubungi
segera Alec!”
Salah
seorang pengawal peribadinya menghubungi pembantu peribadi David Feller itu.
Tetapi talian telefon bimbitnya terganggu. Hanya bunyi derik yang kedengaran di
dalam talian itu.
Syiling
dan kesemua dinding lif itu ditumbuk oleh sesuatu. Bunyi hentakan yang kuat
kedengaran bertunda-tunda. Syiling dan dinding-dinding lif itu habis
berkesankan penumbuk yang agak besar bagi penumbuk manusia. Salah seorang
pengawal peribadi yang terkejut dan gagal mengawal ketakutan menembak ke arah
bekas penumbuk pada dinding di hadapannya.
Dan
ketika itulah muncul pantas secara mengejut asap-asap hitam berbentuk penumbuk
dari setiap dinding lif itu. Asap-asap hitam itu menumbuk tepat dada setiap
pengawal peribadi itu. Ia menembus masuk laju ke dalam dada mereka. Sesaat
kemudian bunyi derak-derik rangka tulang patah kedengaran. Sesaat kemudian
tumbukan-tumbukan asap hitam itu sampai ke jantung lalu memecahkannya. Serta
merta kesemua pengawal keselamatan itu rebah dan kemudian menggeletak sebelum
kejang mati.
David
Feller yang keseorangan ketakutan. Dia mengetuk-ngetuk pintu lif sambil menjerit-jerit
di interkom. Tanpa disedarinya kepulan-kepulan asap hitam mula meresap ke dalam
lif itu melalui dinding lif di belakangnya. Selepas beberapa saat kepulan asap
hitam itu pun membentukkan dirinya menjadi seseorang.
David
Feller berhenti mengetuk pintu lif. Dia berasa ada sesuatu di belakangnya. Dia
menoleh dan terlihatlah olehnya Loqan dalam bentuk asap hitam. Loqan menumbuk
dadanya. Tumbukan itu mematahkan tulang rangka yang melindungi jantungnya. Kemudian
Loqan mencengkam pula jantungnya dan akhirnya merentap jantung itu sehingga
keluar dari badan. Kemudian Loqan yang masih berupa asap hitam itu segera
menghilang bersama jantung tersebut.
No comments:
Post a Comment