Pages

Friday, March 28, 2014

Serakah Bab 12



Bab 12
Sharifah Khadra meraba-raba perutnya. Dia tersenyum manis. Akhirnya doanya untuk mendapatkan cahaya mata selepas lima tahun mendirikan rumah tangga dikabulkan Tuhan. Sharifah Khadra sedang mengandungkan anak sulung. Hari ini kandungannya genap tujuh bulan.
Sharifah Khadra memetik bunga mawar yang sedang mekar di halaman rumahnya. Kelopak mawar merah itu diciumnya. Ia harum dan segar. Lantas perempuan itu teringatkan suaminya yang bersusah payah menanam mawar merah itu untuknya. Suaminya ialah Sayyid Irfan, diplomat berpengaruh Tanah Jawi yang bertugas di Bisza.  
Sharifah Khadra memetik beberapa kuntum mawar merah lagi. Lalu menciumnya dan tersenyum manis meleret. Tiba-tiba Sharifah Khadra merasa sengal pada perutnya. Dia merasa-rasa perutnya dan kemudian segera pulang ke rumah. Orang gaji yang melihat keadaannya segera memanggil kedua orang tuanya. Ibunya, Siti Mariam dan bapanya Sayyid Awalluddin segera mendapatkannya yang terbaring di bangku panjang di ruang tamu. Pihak hospital dihubungi.

Siti Mariam menenangkan Sharifah Khadra. Ketumban pecah. Siti Mariam tahu masanya sudah tiba untuk anak perempuannya itu melahirkan anak sulungnya. Siti Mariam bersedia untuk menyambut kelahiran cucunya itu.
Sayyidd Awalluddin segera menelefon menantunya. Sayyid Irfan di dalam perjalanan pulang. Beberapa minit kemudian, tanpa rasa sakit, Sharifah Khadra pun melahirkan anak sulungnya itu. Sebaik kembar itu dilahirkan guruh pun berdentuman secara tiba-tiba. Kembar itu sihat.
Sayyid Irfan tiba sejurus kelahiran kembar itu. Dia terkejut kerana mendapati anak-anak lelakinya itu bertanda lahir. Dia meneliti tanda lahir itu lalu segera menghubungi Syeikh Hakim. Ambulan yang baru tiba diarahkan pulang oleh pengawal keselamatan rumah agam itu.
Syeikh Hakim, Dr Ridhuan dan beberapa orang penyelidik tiba beberapa jam kemudian. Kesemua mereka berkumpul di dalam sebuah bilik bersebelahan dengan kamar tidur yang menempatkan Sharifah Khadra dan anak kembarnya itu.
Sayyid Irfan muncul dari kamar tidur itu bersama Sayyid Awalluddin. Masing-masing menatang bayi-bayi lelaki itu dan kemudian memperlihatkan kepada rombongan Syeikh Hakim. Kesemua mereka bersetuju bayi-bayi lelaki inilah berita yang dikhabarkan oleh Loqan itu. Tanda lahir mereka itu bila dicantumkan memang berbentuk seakan-akan peta ke Ainul Hayat walaupun tidak berapa jelas kerana masih kecil.
Sultan Harun dihubungi. Istana Jira bersiap sedia untuk menerima kedatangan keluarga Sayyid Irfan. Siti Mariam berat hendak melepaskan Sharifah Khadra dan cucu-cucunya itu. Sharifah Khadra anak perempuan tunggalnya. Cucu-cucunya itu pula adalah cucu-cucu sulungnya. Tetapi selepas diterangkan oleh Sayyid Awalluddin tentang hal yang sebenar, Siti Mariam rela berpisah dengan anak dan cucu-cucunya itu. Dia seorang muslimah. Percaya kepada Qada dan Qadar itu salah satu rukun iman.
Sementara Sharifah Khadra mengikut saja arahan Sayyid Irfan. Sharifah Khadra tahu suaminya itu sudah tentu memutuskan apa yang terbaik untuknya dan putera-putera mereka itu.

Di hospital, ambulan yang kembali tanpa isi mencipta tanda tanya di kalangan pekerja-pekerja hospital yang menjangkakan kes bersalin itu. Pemberi maklumat Alam Hitam yang memantau segala maklumat di hospital itu sudah pun menghantar berita tentang kejadian yang mencurigakan itu kepada Pusat Perisikan Antarabangsa, PPA. Dia tidak percaya panggilan yang dibuat dari rumah Sayyid Awalluddin itu adalah panggilan palsu seperti yang diberitahu oleh pengawal keselamatan. Curiga itu lebih kuat bila dia mendapat maklumat beberapa buah  helikopter mendarat di taman rumah agam Sayyid Awalluddin itu. 


No comments:

Post a Comment