Pages

Tuesday, March 25, 2014

Serakah Bab 1


Bab 1
Langit dipenuhi oleh awan kelabu yang berkepul-kepul. Lidah-lidah petir sesekali menjelir dari balik kepulan-kepulan awan kelabu itu. Disusuli oleh guruh yang berdentum dentam dan kadang kala menggerutup kasar. Seluruh kawasan di bawahnya diserkupi oleh kegelapan dan hanya sekali sekala diperciki oleh denyar cahaya petir.
      Seekor helang botak yang besar muncul dari balik kepulan awan kelabu di sebelah timur. Helang botak itu melayang rendah di atas sebuah istana. Istana  itu berwarna kelabu kusam. Ia dikenali sebagai Istana Abadi. Ia milik Keluarga Racha. Pewarisnya sekarang ialah Rocha Racha.
Istana Abadi itu dipagari oleh kawat berduri bervoltan tinggi. Seekor mammoth boleh mati serta merta jika tersentuh walau sedikit kawat berduri bervoltan tinggi itu. Kawasan itu juga diawasi oleh berpuluh pengawal keselamatan yang amat terlatih. Mereka adalah bekas agen-agen Mossad, CIA, MI6, KGB dan lain-lain.
Helang botak itu melayang beberapa ketika sebelum menjunamkan badannya ke arah Istana Abadi. Dia mengelilingi istana itu beberapa kali sebelum hinggap di atas dahan beranting duri pohon gharqad. Dahan itu menjulur ke salah sebuah tingkap pada kamar tidur utama istana itu. Hampir keseluruhan ruang kamar tidur utama itu dapat dilihat dari dahan tersebut.
Kamar tidur utama itu luas. Mozek lantainya adalah mozek terbaik dan bercorak petak-petak hitam putih seperti corak pada papan catur. Silingnya pula dihiasai oleh mural mata kecil yang banyak. Dindingnya pula dihiasi dengan ukiran-ukiran Bintang Daud. Dinding utama pula diukir dengan sebuah piramid besar yang belum siap puncaknya. Pada bahagian puncak yang belum siap itu terdapat satu mata yang bersinar. Sebuah katil kayu yang besar terletak bersetentangan dengan dinding utama itu. Katil itu berusia ribuan tahun dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
Di atas katil itulah Rocha Racha terlantar. Pewaris terkini Keluarga Racha itu kelihatan tidak berdaya. Kepalanya kesit mirip kepala mumia. Hanya kulit yang membaluti tengkorak kepala lelaki berumur lingkungan 70an itu. Matanya terperosok ke dalam soket mata.  Mata itu meliar memandang sekitar. Bibirnya amat kering dan merekah berdarah. Mulutnya pula sentiasa ternganga mengah. Ulser mulut yang besar bertompok-tompok pada lelangit dan dinding mulutnya itu. Giginya yang kuning dan hitam itu mereput seperti kayu dimakan anai-anai. Lidahnya pula pecah-pecah menanah dan berdarah. Pada pangkal kerongkongnya kahak membuak-buak seperti larva di dalam kawah gunung berapi. Nafasnya amat busuk dan hanyir. Perutnya berombak-ombak besar dan laju seperti ada sesuatu yang meronta-ronta hendak keluar.
Beberapa orang jururawat datang untuk membersihkan tubuh Rocha Racha. Salah seorang daripada mereka menarik selimut  yang menutupi tubuh Rocha Racha itu. Bila tubuh yang ditutupi selimut itu terdedah, jururawat itu pantas mengepung mulutnya dan terus berlari mencari bilik air. Gadis itu meloya sampai matanya berair. Seorang jururawat lain yang mengekori mengusap-usap belakang badannya sambil mengingatkan agar menahan diri daripada termuntah. Jururawat yang meloya itu baru diambil bertugas pada hari ini bagi menggantikan jururawat yang sudah pun dihukum oleh Rukhu Racha kerana termuntah ketika membersihkan Rocha Racha semalam. Selepas beberapa lama akhirnya gadis itu berjaya menahan diri daripada termuntah. Jururawat itu lega bukan kepalang.
Badan Rocha Racha dipenuhi dengan bisul-bisul. Sebahagiannya sudah matang lalu meletus dan menyemburkan nanah dan darah yang amat busuk dan hanyir. Dari bisul yang pecah itu keluar ulat-ulat hitam sebesar lintah dan pacat. Ulat-ulat hitam itu merayap ke seluruh tubuh Rocha Racha. Ada juga yang merayap di atas tilam. Sebahagian bisul yang masih kecil seperti ruam membintiki hampir seluruh tubuh Rocha Racha. Dalam seminggu ia akan membesar, pecah dan meletuskan nanah, darah dan ulat-ulat hitam.
Kumpulan jururawat itu membersihkan tubuh Rocha Racha dengan berhati-hati. Segala kelengkapan yang digunakan disterilkan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Seorang doktor lelaki datang memeriksa keadaan terkini Rocha Racha. Dia melihat data-data yang terpampang pada skrin mesin-mesin yang bersambung dengan tubuh badan Rocha Racha itu. Dia menggelengkan kepala dan kemudian berlalu pergi dari situ dengan langkah tergesa-gesa.
Helang botak yang bertenggek di atas dahan ranting pohon gharqad itu melihat semua kejadian yang berlaku di dalam kamar tidur utama itu. Matanya segar bercahaya. Selepas itu ia pun melonjakkan badannya ke udara. Ia terbang laju dan menghilang di balik awan kelabu. Lidah-lidah petir menjelir keluar dengan galak dari dalam kepulan awan kelabu itu. Disusuli dengan guruh yang berdentum dentam dan menggerutup kasar.

Seluruh kawasan Lembah Abadi itu kini benar-benar gelap. .....bersambung

No comments:

Post a Comment