Bab 9
Belum
ada petunjuk baru di mana lokasi sebenar Ainul Hayat. Hal ini merungsingkan Rukhu
Racha. Dia sudah menggunakan semua sumber ke tahap maksimum. Kredibilitinya
sebagai ketua majlis pasti diragui jika projek itu gagal. Kedudukannya pastinya
akan dicabar oleh musuh-musuhnya.
Beberapa
orang ketua keluarga sudah menyuarakan ketidakpuasan terhadap projek tersebut.
Maklumat risikan yang diterimanya juga menunjukkan David Feller sedang
menggerakkan usaha untuk menjatuhkannya. Dia tidak mahu hari malang itu
berlaku. Dia sayangkan kuasa yang ada padanya. Dia mahu menjadi antara manusia
paling berkuasa di atas muka bumi ini selama-lamanya.
“Dokumen
dari Istana Raja Portugal tidak membantu. Banyak bahagian yang sudah pudar dan
hilang. Tulisan rencong yang digunakan juga terlalu banyak kiasnya,” kata Loqan.
“Kita belum dapat merungkai sesetengah makna ayatnya. Ia terlalu pelik dan
seolah-olah menyembunyikan sesuatu.”
“Apa
kata kumpulan penyelidik kita?” tanya Rukhu Racha.
“Mereka
sudah bertungkus lumus dan sebulat suara menyimpulkan bahawa apa pun makna
sebenar ayat-ayat yang belum dapat dirungkaikan itu ia tiada kena mengena
dengan Ainul Hayat. Dokumen itu bercerita tentang Gunung Ophir. Bukan Ainul
Hayat,” jelas Loqan.
Muka
Rukhu Racha mencuka. Dia benar-benar berharap akan ada petunjuk baru daripada
dokumen yang diserahkan oleh Raja Portugal itu. “Kita ada dua minggu sahaja
lagi sebelum David Feller membuat mesyuarat luar biasa untuk mengadakan undi
tidak percaya. PPA baru sahaja memberitahu si keparat itu sedang mengumpul
sokongan. Kedudukanku pasti tergugat jika Ainul Hayat tidak ditemui dalam dua
minggu ini.”
“Apa
tindakan tuan? Tuan tak boleh berdiam diri sahaja.” Loqan menduga jika Rukhu
Racha sudah membuat apa-apa rancangan. Jika tiada dia boleh menawarkan sesuatu.
“Kita
mesti menemui Ainul Hayat seberapa segera,” jawab Rukhu Racha. Dia tidak
terfikirkan jalan lain untuk mengekalkan tampuk kuasanya itu.
“Jika
petunjuk baru tidak muncul?”
Rukhu
Racha mengeluh pendek dan dalam. Ada ketakutan yang menyelinap masuk dan
memanah hatinya.
“Mudah
jika tuan tidak mahu digugat,” kata Loqan.
Rukhu
Racha memandang Loqan. “Engkau ada caranya?”
“Hapuskan
mereka,” jawab Loqan dengan sungguh-sungguh. Baginya nyawa bukan apa-apa. “Mereka
akan diam bila sudah mati,” sambungnya.
Rukhu
Racha terkejut dengan cadangan Loqan itu.
“Tuan
harus berani. Anggap sahaja mereka itu korban sampingan demi kehidupan abadi.
Ia demi kelangsungan hidup tuan dan keturunan tuan kelak,” pujuk Loqan yang
semakin hari semakin berpengaruh terhadap Rukhu Racha.
Rukhu
Racha masih belum dapat membuat keputusan.
“Mengikut
tilikan aku tuan hanya ada dua pilihan,” kata Loqan.
“Apa?”
tanya Rukhu Racha yang amat percayakan perkara-perkara tahyul. Kepercayaan itu
bertambah kuat bila dia dijangkiti penyakit misteri itu.
“Sama
ada membunuh atau dibunuh!”
Mata
Rukhu Racha membelalak. “Mereka rancang untuk bunuh aku?!”
Loqan
mengangguk dan kemudian berkata, “Jika undi tidak percaya itu gagal.”
“Celaka
David Feller!” jerit Rukhu Racha. Lalu dia membuat keputusan dalam keadaan
marah yang membuak-buak. Persetankan pertalian darah di antara mereka. “Bunuh
mereka!”
“Biar
aku yang uruskan. Tidak akan meninggalkan jejak walau sedikit pun,” sambut Loqan
dengan penuh bongkak.
Muka
Rukhu Racha bersinar. Loqan memang manusia sakti, fikirnya. Lelaki itu tahu apa
yang tersembunyi di dasar hatinya. Dia memang tidak mahu dirinya dikaitkan
dengan pembunuhan David Feller dan lain-lain nanti. Dia yakin usaha membunuh
mereka bukanlah mudah. Mereka dilindungi oleh sekumpulan pengawal dan sistem
keselamatan terbaik. Jika rancangan pembunuhan itu gagal dan namanya timbul
sebagai dalang tentu padah akibatnya. Bagus baginya jika Loqan berjanji begitu.
Biar lelaki itu sahaja yang menjadi kambing hitam. Peluang ini tidak harus
dilepaskannya.
“Berjaya
atau gagal....” Loqan mencelah pantas sebelum sempat Rukhu Racha menghabiskan
kata-katanya, “Aku tidak akan kaitkan dengan tuan.”
Rukhu
Racha tersenyum puas.
Loqan
juga tersenyum puas. Segala yang dirancangnya berjalan begitu lancar sehingga
kini.
Dalam
kepala Rukhu Racha hanya ada Ainul Hayat sahaja. Cita-cita untuk mendapatkan
Ainul Hayat itu akan diteruskan walaupun terpaksa mengorbankan siapa jua.
Mereka
berdua berpandangan lalu berbalas senyuman dan kemudian sama-sama ketawa
berdekah.
.....bersambung
.....bersambung
No comments:
Post a Comment