Pages

Friday, March 28, 2014

Serakah Bab 11



Bab 11
Sebuah helikopter terbang melintasi sebuah padang rumput hijau yang amat luas. Helikopter itu membawa Syeikh Hakim, seorang lelaki yang berpengaruh di Tanah Jawi. Syeikh Hakim meneliti padang berumput hijau itu melalui tingkap helikopter itu. Bunga pohon sufra, pohon-pohon besar yang tumbuh subur menghiasai padang berumput hijau itu, sudah pun bertukar warna daripada putih ke merah pekat. Bunganya yang berbentuk sfera dan seperti bunga lalang itu pun sebahagian kecilnya sudah relai-relai dan ditiup angin.
Helikopter itu melintasi sebuah jurang yang memisahkan padang rumput hijau itu dengan sebuah dataran subur. Di dasar jurang itu kelihatan Sungai Biru yang mengalir tenang. Di ruang udaranya sekumpulan wirja, sejenis burung besar yang badannya seperti ikan pari dan bertompok hijau dan oren, sedang terbang berkumpulan. Hanya kawasan-kawasan tertentu di Tanah Jawi menjadi habitat tunggal burung itu di dunia ini.

Kumpulan wirja itu melonjakkan badan ke atas setelah menyedari helikopter itu melintasi jurang tersebut. Mereka terbang mengiringi helikopter itu. Setelah mendapati helikopter itu membawa Syeikh Hakim mereka pun terbang menjunam kembali ke jurang.
Helikopter itu kemudiannya melintasi sebuah hutan kecil. Hutan itu hampir keseluruhannya diliputi oleh pokok-pokok jisna. Hutan kecil itu terbentang hingga ke kaki sebuah bukit.  Di puncak bukit itu sebuah istana berwarna putih terletak dengan gah. Ia Istana Jawi iaitu istana rasmi penguasa Tanah Jawi.   
Helikopter itu mendarat pada pad helikopter yang terletak tidak jauh daripada perkarangan istana itu. Beberapa orang kakitangan istana menghampiri helikopter itu. Pintu helikopter itu dibuka. Syeikh Hakim yang berjubah hijau turun dari helikopter. Lelaki-lelaki itu menyambutnya dan mengiringinya masuk ke dalam istana.  
Pintu bilik mesyuarat itu dibuka. Syeikh Hakim masuk ke dalam bilik mesyuarat itu. Dia disambut oleh Sultan Azim, penguasa Darul Ehsan, sebuah negara di dalam Tanah Jawi dan juga penguasa Tanah Jawi ketika itu. Syeikh Hakim dan Sultan Azim saling mengucap salam, bersalaman dan berpelukan. Ikut serta menyambut Syeikh Hakim ialah ahli-ahli Majlis Syura Tanah Jawi. Majlis Syura Tanah Jawi ialah sebuah badan tertinggi di dalam Majlis Tanah Jawi. Ia bertanggungjawab memuliakan Islam, memartabatkan bangsa dan memelihara Tanah Jawi. Ahli-ahli majlis itu terdiri daripada semua sultan negara-negara di dalam Tanah Jawi, ketua ulamak, ketua badan-badan keselamatan, ketua hakim dan orang-orang terpilih. Mereka semua ini berjanji akan menegakkan kebaikan dan menumbangkan kejahatan. Seorang demi seorang memberi salam, bersalaman dan berpelukan dengan Syeikh Hakim.
“Apa khabar yang kamu bawa Syeikh Hakim?” tanya Sultan Azim sebaik Syeikh Hakim duduk di kerusi berhampiran dengannya. Dia adalah pengerusi Majlis Syura Tanah Jawi ketika itu. Jawatan itu dipegang secara bergilir oleh sultan-sultan di Tanah Jawi itu.  
 “Rukhu Racha sedang giat mencari Ainul Hayat. Hal itu dimaklumkan oleh seorang pengkaji yang ditemui hampir lemas di Sungai Fusha di bawah wilayah saudara kita kaum Yarmin. Mengikut keterangannya seorang lelaki bernama Loqan memberitahu akan lahir seorang bayi yang bertanda lahir sedikit masa lagi. Tanda lahir itu berupa peta ke Ainul Hayat,” jelas Syeikh Hakim.
“Bolehkah berita itu dipercayai?” tanya Sultan Azim.
“Hal itu belum disahkan benar tidaknya. Tetapi kita perlu mengambil langkah awal supaya rahsia berkurun tentang lokasi Ainul Hayat itu terpelihara demi keamanan sejagat,’ jawab Syeikh Hakim.
Sultan Azim dan ahli-ahli majlis yang lain bersetuju. Selepas bermesyuarat mereka pun membuat beberapa keputusan khusus berkaitan perkembangan terbaru itu. Pertama, pertahanan sekitar Ainul Hayat itu akan dipertingkatkan. Kedua, sebuah kumpulan ditubuhkan untuk mencari kebenaran berita Loqan itu dan siapa Loqan itu sebenarnya. Ketiga, sebuah kumpulan lagi ditubuhkan untuk mencari perempuan yang bakal melahirkan bayi yang bertanda lahir itu dan menyediakan tempat yang selamat untuk perempuan dan bayinya nanti. Keempat, seluruh operasi itu akan dipimpin oleh Syeikh Hakim. Tugas mereka berkuatkuasa serta merta.

Empat buah pulau yang mengepungi Pulau Titra Mitra di mana Ainul Hayat itu berada didatangi oleh utusan daripada Majlis Syura Tanah Jawi. Pulau Hasnan, yang terletak di sebelah utara Ainul Hayat menerima kunjungan Salleh. Pulau Malik, yang terletak di sebelah selatan Ainul Hayat menerima kunjungan Munir. Pulau Firdaus, yang terletak di sebelah timur menerima kunjungan Arman. Dan Pulau Adil, yang terletak di sebelah barat menerima kunjungan Jamal.
Para tentera yang mengawal di pulau-pula tersebut diberi taklimat tentang rancangan Rukhu Racha untuk mencari lokasi Ainul Hayat itu. Kesemua mereka berjanji akan mempertahankan Ainul Hayat sekiranya bala tentera Rukhu Racha mara ke kawasan itu. Mereka juga berjanji tidak akan membocorkan rahsia lokasi Ainul Hayat itu walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.
Lokasi Ainul Hayat itu hanya diketahui oleh ahli-ahli Majlis Syura Tanah Jawi dan para tentera yang menjaga pulau-pulau yang mengepungi Pulau Titra Mitra itu. Kerahsiaan itu dijaga sejak turun temurun.  
Sistem pertahanan di pulau itu juga dipertingkatkan dengan kelengkapan-kelengkapan perang yang canggih. Sistem radar, kenderaan anti-misil, meriam dan sebagainya dihantar secara rahsia ke pulau-pulau itu. Kapal-kapal perang Tentera Laut Tanah Jawi dikerahkan membuat rondaaan lebih kerap di perairan sekitar kawasan itu.
Peristiwa akan lahirnya seorang bayi bertanda lahirkan peta ke Ainul Hayat itu tidak dicatat di mana-mana kitab, skrol, manuskrip dan artikel yang dikutip dari seluruh dunia. Hal itu disahkan oleh kumpulan yang dipimpin oleh Dr Ridhuan. Kumpulan pakar penyelidik itu mengandaikan sumber berita Loqan itu kemungkinan besarnya terhasil daripada tilikan, mimpi atau sumber lisan. Ada mungkin juga ia tercatat di dalam kitab, skrol, manuskrip kuno yang ada di tangan orang-orang tertentu di Alam Hitam.
Lelaki bernama Loqan itu memang masih menjadi tanda tanya. Lelaki itu tiada pengenalan. Seperti halimunan yang tidak punya jejak.
Kumpulan yang diketuai oleh Aslam, perisik terkanan Agensi Risikan Tanah Jawi pula sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjejaki perempuan-perempuan yang sedang mengandung dan bakal melahirkan bayi. Setiap hospital diawasi oleh  unit-unit yang ditugaskan untuk memantau rekod kemasukan ibu mengandung dan daftar kelahiran di dalam komputer di jabatan bersalin.
Beberapa unit lagi ditugaskan untuk memantau ibu-ibu mengandung di pedalaman-pedalaman yang kemungkinan akan melahirkan bayi dengan bantuan bidan. Sebuah unit lagi dikhususkan untuk memantau rekod kelahiran di jabatan pendaftaran di seluruh pelusuk dunia.
Lokasi selamat untuk menempatkan perempuan dan bayinya itu juga sudah diputuskan. Sultan Harun, penguasa  Jira, sudah pun bersetuju untuk menyediakan tempat untuk mereka di Istana Jira.



No comments:

Post a Comment