Pages

Wednesday, March 26, 2014

Serakah Bab 2


Bab 2
Beberapa buah kereta mewah Rolls Royce hitam sedang menyusuri jalan bertar menuju ke Istana Abadi. Semua kereta Rolls Royce itu membawa pawang-pawang terhandal dari setiap pelusuk dunia. Kehadiran mereka ke situ khusus untuk cuba mengubati Rocha Racha. Mereka dijemput khusus oleh Rukhu Racha setelah sekumpulan doktor pakar terbaik dunia mengesahkan penyakit Rocha Racha itu misteri bagi perubatan moden.

Helang botak yang bertenggek pada dahan gharqad beberapa hari lalu kelihatan sedang berlegar-legar di ruang angkasa. Tiba-tiba ia menghunjamkan badannya ke tanah. Ia menjunam ke arah kereta Rolls Royce yang berada di belakang sekali dalam konvoi itu. Ia semakin lama semakin dekat dan akhirnya sampai lantas terus merempuh cermin belakang kereta Rolls Royce tersebut. Helang itu berkecai menjadi asap hitam yang bertebaran sebelum berkumpul cepat, mengecut dan meresap masuk laju ke dalam kereta itu melalui cermin belakang. Asap hitam bersebaran memenuhi ruang tempat duduk belakang kereta mewah itu. Kemudian ia berkumpul dan perlahan-lahan membentuk sekujur lembaga yang akhirnya menjelma sebagai seorang lelaki dalam usia lingkungan 50an. Lelaki itu berjanggut tirus dan berpakaian serba hitam.
Chupran tersentak. Badannya menggigil dan bulu roma di tengkuknya meremang tidak semena-mena. Dia ketakutan mendadak. Mulutnya spontan berkumat kamit membaca mantera. Dia sudah berdepan dengan pelbagai makhluk halus. Tidak pernah berasa gentar barang sedikit pun. Tetapi kali ini entah mengapa dadanya berdegup begitu kencang bila berdepan dengan lelaki berpakaian serba hitam itu. Badannya dikuyupi peluh. Dia tahu lelaki yang duduk di sisinya itu bukan sebarang manusia atau makhluk halus. Aura jahat lelaki itu amat kuat sehingga menyesakkan dada dan nafasnya.
Lelaki itu melemparkan senyuman kepada Chupran. Senyuman yang menggentarkan semangat bomoh siam yang paling handal di Ta’i itu. Chupran cuba untuk senyum sambil mulutnya tidak henti-henti membaca mantera. Senyumannya itu tidak jadi. Pipi dan matanya menguit-nguit. Tanda dirinya dalam ketakutan yang amat dahsyat.
“Siapa engkau?” tanya Chupran yang cuba memberanikan diri.
Lelaki itu terus tersenyum.
“Siapa engkau?” tanya Chupran lagi. Nada suaranya lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Lelaki itu terus tersenyum saja.
“Siapa engkau?!”
Muka lelaki misteri itu secepat kilat berubah dingin. Dia menjegil Chupran lalu bertanya kasar : “Engau tidak kenal siapa aku?” Keadaan lebih menyeramkan.
Chupran menggigil lebih kuat bila mendengar pertanyaan lelaki itu. Suara lelaki itu tiba-tiba saja begitu menyakitkan telinganya. Kesakitan itu merayap masuk ke dalam dadanya. Nafasnya mula tersangkak-sangkak. Dia menekan dadanya yang pedih berulang kali.
Lelaki itu tersenyum seram. Tiba-tiba dia memegang kepala Chupran. Chupran meronta-ronta tetapi akhirnya tidak berdaya melawan. Segaris tebal asap hitam kelihatan keluar dari badannya dan meresap ke dalam telapak tangan lelaki itu. Mata lelaki itu bercahaya. Dia mengeliat-liatkan lehernya sambil tersenyum puas.
“Aku Loqan. Loqan!!!” tegas lelaki itu seolah-olah memberitahu Chupran yang tidak kenal dirinya siapa tadi. “Aku pembesar engkau!!!”
Chupran tersedar semula dan mengangguk mengiakan. Dia kelihatan berbeza berbanding sebelumnya. Mirip seorang dungu yang mengikut apa sahaja kata tuannya.
Konvoi kereta Rolls Royce itu tiba di perkarangan Istana Abadi setelah melepasi pemeriksaan rapi di pintu gerbang yang dihiasi dengan sepasang patung singa bersaiz sebenar di kiri dan kanannya. Pawang-pawang itu turun dari kereta Rolls Royce. Ikut turun ialah Chupran dan Loqan. Pemandu yang membawa kereta Rolls Royce paling belakang itu kehairanan melihat kemunculan tiba-tiba Loqan. Loqan melemparkan senyuman kepadanya. Pemandu itu serta merta terpukau dan ingatannya hilang mendadak. Kumpulan pawang itu disambut oleh orang-orang kanan Rocha Racha. Mereka dibawa ke sebuah bilik menunggu.
Rukhu Racha datang ke bilik menunggu itu tidak lama kemudian. Anak tunggal Rocha Racha itu mengalu-alukan kedatangan kumpulan pawang itu. Dia membuat pengumuman bahawa sesiapa yang dapat mengubati ayahandanya akan dihadiahkan dengan harta yang banyak. Pawang itu juga akan diambil bekerja sebagai pawang keluarganya dan dijanjikan habuan yang lumayan setiap bulan. Pawang-pawang di situ berbisik sesama sendiri. Tawaran Rukhu Racha itu memang lumayan. Masing-masing bersetuju untuk cuba mengubati Rocha Racha dengan sedaya upaya.
Rukhu Racha terus ke kamar tidur utama. Para pembantu Istana Abadi mula memanggil pawang-pawang untuk mengubati Rocha Racha. Pawang yang berasal dari Gersik yang pertama dipanggil untuk mencuba nasib. Pawang itu dibawa ke kamar tidur utama. Rukhu Racha dan orang-orang kanan Rocha Racha sudah pun menunggu di situ.
Budi, pawang dari Gersik itu mendekati Rocha Racha. Dia menyelak selimut sutera yang menutupi tubuh Rocha Racha itu. Dia tersentak seketika bila melihat keadaan Rocha Racha itu. Tiada seinci pun badan lelaki tua di hadapannya itu tidak dibintiki oleh bisul yang busuk dan meloyakan itu. Matanya terbelalak bila melihat bisul yang sudah masak meletuskan darah, nanah dan ulat hitam sebesar lintah. Matanya terjegil bila melihat ulat-ulat hitam itu  menyinga kepadanya.
Dahi Budi berkerut seribu. Dia sedang memikirkan sesuatu. Dia berjalan perlahan-lahan dan berhenti betul-betul di hujung kaki Rocha Racha. Dia menarik nafas panjang dan dalam. Mulutnya kumat kamit membaca mantera terhebat yang dipelajarinya. Muka dan tubuhnya dibasahi peluh yang mencurah-curah. Baju dan seluar hitamnya kuyup. Tiba-tiba segumpal angin kencang masuk melalui tingkap kamar tidur utama itu. Desirannya kuat dan hilang secepat kilat. Pawang Budi menelengkan kepalanya ke kiri dan selepas itu ke kanan. Lelaki bermisai tebal itu seperti sedang mendengar sesuatu berbisik kepadanya. Dia menghela nafas panjang sebelum membuka mata. Lantas berjalan mendekati Rukhu Racha yang memerhati sejak tadi.
“Aku tidak sanggup. Pembantu-pembantuku tidak mampu melawannya. Sihirnya terlalu hebat. Tak pernah aku jumpa sihir sehebat begini,” jelas Pawang Budi yang memang terkenal sebagai antara pawang terhebat di alam nusantara. Dia segera berlalu dari situ.
Rukhu Racha terpinga-pinga. “Siapa?”
“Aku tidak kenal siapa dia. Tetapi yang pasti sihirnya terlalu hebat.” Budi sempat menjawab sebelum tergesa-gesa beredar dari situ.
Loqan yang berada di bilik menunggu tersenyum. Dia sudah pun memberi amaran kepada jin-jin yang menjadi penolong Budi tadi. Jika mereka cuba memandai-mandai untuk mengubati Rocha Racha dia tidak teragak-agak untuk membinasakan mereka. Komunikasi itu dilakukan secara batin.
Pembantu Istana Abadi memanggil pawang yang lain. Kali ini giliran tantrik india yang paling terkenal. Tantrik itu ialah Pandit Suresh Sharma. Seorang tantrik  yang dipercayai mampu mengubati segala penyakit dan mampu membunuh apa sahaja termasuk manusia dan jin.
Pandit Suresh Sharma berjalan yakin ke kamar tidur utama. Sebaik menghampiri Rocha Racha, dia terus menarik kasar selimut yang menutupi tubuh lelaki itu. Dia tersenyum sinis memandang keadaan Rocha Racha. Seolah-olah penyakit misteri yang dideritai Rocha Racha itu biasa diubatinya. Dia berdiri bersetentangan dengan pusat Rocha Racha. Dia menutup mata lalu mulutnya mula mengumat –ngamit membaca mantera. Sesekali dia menyembur air liurnya ke arah tubuh Rocha Racha.
Rocha Racha memandang sepi perbuatan Pandit Suresh Sharma itu. Tiba-tiba Rocha Racha tergelak kecil. Gelaknya itu satu-satu dan kemudiannya bertunda-tunda. Dia sedang memperlekehkan ritual yang dilakukan oleh tantrik india itu.
Pandit Suresh Sharma membuka mata. Matanya itu dibeliakkan dan giginya diketap kasar kerana marah. Dia berasa terhina diperlekehkan sebegitu rupa. Tidak pernah ada jin yang tidak mampu ditewaskannya sebelum ini. Dia yakin berkemampuan untuk membunuh jin yang menyebabkan penderitaan Rocha Racha itu.
Lalu dia kembali memejamkan mata dan membaca mantera yang lebih panjang. Tiba-tiba mulut lelaki gendut itu berhenti mengumat-ngamit. Dia bergerak ke hujung katil pula. Berundur lima tapak ke belakang dan duduk bersila di situ. Dia memanggil salah seorang pembantu Istana Abadi. Mengarahkan pembantu Istana Abadi itu menyediakan seekor ayam jantan hitam. Semuanya hitam dari balung hingga ke tajinya. Lidahnya juga mesti hitam. Pembantu itu pergi mendapatkan Rukhu Racha dan arahannya diikuti. Tidak lama kemudian seekor ayam hitam jantan seperti yang diminta dibawa masuk ke dalam kamar tidur utama itu. Ayam itu memang sudah disediakan kerana telah dipesan awal oleh Pandit Suresh Sharma sebaik menerima jemputan daripada Rukhu Racha.  
Pandit Suresh Sharma membaca mantera lagi. Suaranya memenuhi seluruh ruang kamar tidur utama itu. Tiba-tiba dia meludah ke arah katil Rocha Racha. Rocha Racha tersentak dan tiba-tiba badannya yang kurus kering itu terbidas bangun sebelum terhenyak semula menghempas tilam. Rocha Racha mendengus kuat beberapa ketika lalu beransur-ansur bernafas tenang. Ayam jantan hitam yang tadi tenang kini terlompat-lompat liar ingin keluar dari sangkar. Bulu-bulu hitamnya berterbangan di udara.
Pandit Suresh Sharma tersenyum sinis. Dia bercakap dalam bahasa tamil. Maksudnya : “Aku sudah dapat engkau. Aku akan bunuh engkau!” Dia mengeluarkan pisau yang hulunya dibalut dengan kain merah yang tadi tersisip di pinggangnya. Pintu sangkar dibuka. Dia cuba menangkap ayam jantan hitam yang sudah pun memperukkan dirinya di sudut kiri sangkar. Tetapi ayam jantan hitam yang nampak kecut itu dapat juga dicekup lehernya. Dia terus menusuk hujung pisau ke leher ayam jantan hitam itu sambil membaca mantera. Hujung pisau itu tembus ke bahagian leher yang satu lagi. Lalu ayam itu dilepaskan dan dibiarkan menggelupur di sekitar kamar tidur utama itu.
Pandit Suresh Sharma menghampiri Rocha Racha semula. Rocha Racha terbaring tenang. Rukhu Racha dan lain-lain ikut melihat keadaan terkini Rocha Racha. Mereka terperanjat melihat keadaan Rocha Racha yang tiba-tiba nampak baik itu. Dengan yakin tantrik india itu mengumumkan kepada Rukhu Racha bahawa bapanya itu sudah pulih. Dan dalam beberapa hari lagi akan pulih sepenuhnya.
Rukhu Racha mengucapkan terima kasih sambil menepuk-nepuk bahu Pandit Suresh Sharma. Tantrik india itu berasa amat bangga. Dia sudah ternampak keuntungan yang akan diterimanya nanti. Ketika mereka hendak beredar dari situ tiba-tiba Rocha Racha menjerit-jerit kuat hingga lendir kahak bergaul darah tersembur keluar dari kerongkongnya. Kahak dan darah lain cepat mengisi lohong kerongkong itu dan membuak-buak lebih laju berbanding sebelumnya. Perut Rocha Racha juga berombak-ombak lebih buas berbanding sebelumnya. Bisul-bisul besar dan kecil berlawan pecah. Ulat-ulat hitam besar dan kecil keluar terburu-buru dari lubang bisul-bisul yang pecah itu. Ia merayap ke seluruh badan Rocha Racha. Ada yang masuk ke dalam lubang hidung, telinga dan dubur Rocha Racha. Sebahagiannya melata-lata di atas tilam.
Ayam jantan hitam yang sudah mati tadi kelihatan tersentak-sentak. Tiba-tiba matanya terbuka dan ia berdiri seperti hidup semula sambil mengiba-ngibaskan kepaknya. Rocha Racha terbidas bangun dan duduk dengan kaki melunjur sambil merenung tajam Pandit Suresh Sharma.
Pandit Suresh Sharma terperanjat sebaik nampak lembaga hitam yang amat mengerikan keluar dari belakang tubuh Rocha Racha. Tiba-tiba dia ketakutan. Dia terlupa semua mantera yang diketahuinya. Dia menutup telinganya rapat-rapat kerana terdengar sesuatu. “Berani engkau melawan aku!” Kata-kata itu bergema dalam telinganya berulang-ulang. Dia lari lintang pukang meninggalkan kamar tidur utama itu. Selepas beberapa langkah tiba-tiba saja pakaiannya koyak rabak hingga menampakkan badannya. Kemudian badan itu kelihatan seperti ditoreh-toreh hingga keluar darah. Bermula dari betis hingga akhirnya ke leher yang menyebabkan tanrik india itu terkulai di hadapan pintu lif. Dia menggelepar di situ beberapa ketika lalu mati.
Rocha Racha terhenyak ke tilam semula. Diri lelaki tua itu kembali tenat. Ayam jantan hitam yang seperti hidup semula tadi kini kembali rebah dan mati.
Di bilik menunggu, Loqan tersenyum panjang.
Selepas itu masuk pula pawang dari Tibet dan diikuti oleh yang lain-lain. Semuanya keluar begitu sahaja. Masing-masing tidak sanggup untuk mengubati Rocha Racha. Melalui tilikan mereka sedar ilmu mereka tidak setanding dengan lawan yang akan mereka hadapi.
Tiba giliran Chupran. Loqan memberitahu Chupran tidak sihat. Chupran memintanya menggantikan tempatnya. Loqan dibenarkan mengubati Rocha Racha.
Loqan menghampiri Rocha Racha dan melihat tubuh lelaki tua itu sepintas lalu. Dia memanggil Rukhu Racha dan lain-lain. “Sudah terlewat. Jika awal sudah pasti aku dapat mengubatinya. Sekejap saja lagi dia akan mati,” kata Loqan.
Kemudian Loqan diam-diam membaca mantera di dalam hati. Tiba-tiba Rocha Racha menggelepar dan terbidas bangun beberapa kali sehingga suaranya yang tidak kedengaran beberapa lama itu terlepas juga dari kerongkongnya. Jeritan Rocha Racha amat menakutkan. Semua bisul, baik yang kecil dan yang besar pecah. Darah dan nanah tersembur tidak henti-henti. Ulat-ulat hitam kecil dan besar keluar berpusu-pusu dari lubang bisul-bisul yang pecah itu. Darah juga keluar dari mulut, lubang hidung, telinga dan dubur Rocha Racha sehingga menyebabkan cadar lenjun dengan darah dan nanah.
Rukhu Racha dan lain-lain panik. Kumpulan doktor pakar dipanggil tetapi tiada apa yang dapat dilakukan mereka. Selepas satu bidasan yang laju diikuti pula oleh satu henyakan badan yang kuat ke tilam bersama jeritan keras yang menggerunkan, akhirnya Rocha Racha dicabut nyawanya. Seluruh kamar tidur utama itu berbau hanyir dan hamis. Rukhu Racha dan beberapa orang kanan Rocha Racha termuntah. Begitu juga dengan kumpulan doktor dan jururawat yang berada di situ.
Loqan mendekati Rukhu Racha. “Sudah terlalu lewat seperti kukatakan tadi. Jika awal tentu aku mampu mengubatinya...” Lelaki misteri itu berlalu dari situ. ......bersambung



No comments:

Post a Comment