Pages

Thursday, March 27, 2014

Serakah Bab 6


Bab 6
Bilik bacaan Istana Abadi itu sangat besar. Beribu buku tersusun rapi di rak-rak setinggi syiling. Kebanyakkan buku yang ada di situ berusia berpuluh malah beratus tahun. Sebahagiannya amat berharga dan sukar diperolehi. Dinding bilik bacaan itu dihiasi dengan potret-potret besar semua tokoh dalam Keluarga Racha. Kebanyakkan tokoh tersebut kurang dikenali dunia tetapi amat berpengaruh dalam mencatur arah tuju dunia.
Tetapi sekarang dialah satu-satunya lelaki normal di dalam keturunan tersebut. Semua sepupu lelakinya dari pada empat bapa saudaranya cacat bila mencapai usia tertentu. Dan semua anak saudara lelakinya juga mengalami nasib yang sama. Ia pelik tetapi benar. Tiada siapa tahu apa yang berlaku walaupun keturunan Keluarga Racha itu sudah melakukan pelbagai cara perubatan terkini untuk mendapatkan zuriat lelaki yang normal.

Rukhu Racha sedang berdiri di hadapan potret Rocha Racha. Berdiri di sisinya ialah Loqan yang sejak tadi mendengar acuh tidak acuh Rukhu Racha bercerita tentang salasilah keluarganya dan pencapaian mereka. Semua ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam  sudah pulang. Rukhu Racha meminta Loqan tinggal bersamanya. Loqan menerima permintaan Rukhu Racha itu dengan gembira.
 Rukhu Racha melihat lama potret Rocha Racha. Keadaan ayahnya sebelum menemui ajal itu terbayang jelas di matanya. Bulu romanya meremang kerana kengerian. Rukhu Racha teringatkan pula penderitaan yang baru dilaluinya. Seolah-olah masih dirasainya bisa-bisa menjalar di dalam urat-uratnya. Serta merta itu mukanya pucat pasi, badannya berpeluh lenjun dan jantungnya berdegup kencang. Rukhu Racha mengalihkan pandangannya secepat kilat ke arah Loqan. Loqan menyambut pandangan Rukhu Racha itu dengan senyuman mengerti.
“Aku tidak mahu mati,” jelas Rukhu Racha. “Aku tak ingin jadi seperti ayahandaku.”
Loqan tersenyum lagi. Lelaki itu sudah tahu apa tujuan Rukhu Racha memintanya menunggu tadi. Rukhu Racha pasti ingin tahu lebih lanjut tentang bisikannya tadi.
“Benarkah aku boleh hidup selama-lamanya?” tanya Rukhu Racha dengan bersungguh-sungguh. Pertanyaannya itu terkandung harapan yang besar.
Loqan ketawa.
“Benarkah?”
Loqan terus ketawa.
“Bolehkan engkau jawab soalan aku itu? Bolehkah? Benarkah?” Rukhu Racha tidak sabar mahukan kepastian.
“Boleh, tuan” jawab Loqan lalu ketawa lagi. “Tapi....”
“Ada syaratnya?” pintas Rukhu Racha.
Loqan ketawa lagi. “Tentu.”
“Aku sedia penuhi apa juga syaratnya,” balas Rukhu Racha.
Loqan tersenyum lebar.
“Apa syaratnya?” tanya Rukhu Racha lagi.
“Kau harus ikut apa saja cakap aku nanti,” jelas Loqan.
“Aku akan turut apa sahaja cakap engkau,” jawab Rukhu Racha. “Tetapi bagaimana caranya untuk hidup selama-lamanya?”
Loqan tersenyum lalu menjawab “Dengan Ainul Hayat.”
Muka Rukhu Racha berkerut. “Apa itu Ainul Hayat?”
Loqan menceritakan tentang Ainul Hayat kepada Rukhu Racha. Cerita tentang Ainul Hayat versi Loqan :
Ainul Hayat ialah air kehidupan. Sesiapa sahaja yang meneguknya akan dapat hidup selama-lamanya. Alexander The Great pernah cuba mencarinya dahulu. Pahlawan agung itu telah mengumpulkan sarjana-sarjana terbaik untuk mencari lokasi Ainul Hayat. Pengembaraan mencari Ainul Hayat dilakukan. Pengembaraan itu disertai oleh para menteri, panglima-panglima dan bala tentera yang paling setia dan berani. Tetapi hanya mereka yang rapat dengan Alexander The Great sahaja yang tahu tujuan sebenar pengembaraan itu. Selepas lama mencari akhirnya mereka bertemu juga dengan lokasi Ainul Hayat itu. Seorang peninjau diarahkan untuk meninjau lokasi tersebut. Selepas beberapa lama peninjau itu pun pulang kepada rombongan tersebut. Peninjau itu mengesahkan melihat kawasan mata air yang disebut sebagai Ainul Hayat itu. Ainul Hayat itu berada betul-betul di tengah-tengah kawasan tersebut. Lalu Alexander The Great, para menteri dan panglima terpilih berangkat ke Ainul Hayat. Tetapi bila tiba di kawasan yang dimaksudkan Ainul Hayat tidak kelihatan. Setitis air pun tiada di situ. Kawasan itu kontang. Peninjau itu dituduh menipu dan Alexander The Great menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Tetapi peninjau itu berjaya meloloskan diri dari tahanan Alexander The Great. Dia berlindung di sebuah rumah seorang paderi. Paderi inilah yang merekodkan cerita tentang Ainul Hayat tersebut. Bagaimanapun lokasi di mana Ainul Hayat itu berada tidak disebut di dalam rekod tersebut. Peninjau itu hidup abadi sehingga sekarang tetapi bersembunyi entah di mana. Tiada siapa dapat mengesahkan di mana dia berada. Dia suka berpindah randah.
Muka Rukhu Racha bersinar-sinar. Matanya bercahaya-cahaya. Rukhu Racha terbayangkan Ainul Hayat. Dia terbayangkan keadaan dirinya yang hidup selama-lamanya. Tiba-tiba dia ketawa besar. Loqan ikut sama ketawa besar. “Aku bertuah kerana kenal engkau. Kita akan cari Ainul Hayat sampai jumpa.”
Loqan tersenyum lebar. .......bersambung





No comments:

Post a Comment