Bab
4
Tiga
garis asap kelihatan sedang bergerak pantas pada ketinggian hanya beberapa
sentimeter dari permukaan tanah. Asap-asap itu berwarna kelabu, coklat pekat
dan merah. Kepala garis asap berwarna kelabu berbentuk seperti kepala helang
botak. Kepala garis asap berwarna coklat pekat pula berbentuk seperti kepala harimau.
Dan kepala asap yang berwarna merah pula seperti kepala ular tedung.
Ketiga-tiga garis asap itu kini tiba di luar pagar elektrik bervoltan tinggi
Istana Abadi. Ia melepasi pagar elekrik bervoltan tinggi itu hampir serentak dan
berpecah sebaik melepasinya.
Garis
asap berkepala ular tedung bergerak ke hadapan. Sementara asap yang berkepala harimau
dan helang masing-masing mengambil haluan di sebelah kiri dan kanan.
Garis-garis asap itu bergerak dengan amat pantas. Ia menyelusuri dan celah
mencelah batang-batang, dahan-dahan dan akar-akar pepohonan yang hidup di hutan
kecil yang mengelilingi Istana Abadi itu. Setiap batang, dahan dan akar
pepohonan yang dilalui oleh garis-garis asap itu akan segera layu dan mati.
Pengawal-pengawal keselamatan yang dirempuh oleh garis-garis asap itu pula seorang
demi seorang rebah, sesak nafas, cekang anggota badan, terbelalak mata dan
akhirnya putus nyawa. Desis, desir dan derap bermaharajalela di dalam hutan
kecil yang tadinya sunyi sepi.
Kini
garis-garis asap itu sudah sampai di hadapan bangunan Istana Abadi itu. Asap
berkepala ular tedung terapung-apung di hadapan pintu utama. Asap berkepala harimau
terapung-apung di hadapan pintu sebelah barat. Manakala asap berkepala helang
botak terapung di hadapan pintu sebelah timur. Selepas terapung-apung beberapa ketika
akhirnya ketiga-tiganya merempuh pintu di hadapan masing-masing hampir serentak.
Kini
ketiga-tiga garis asap itu sudah memasuki ruang dalam Istana Abadi itu. Ia hilang
ke dalam lantai dan muncul di tingkat 5 bawah tanah di mana salah satu bilik
mesyuarat rahsia Majlis Tertinggi Alam Hitam itu berada.
Ketiga-tiga
garis asap itu bergerak sangat lancar dan pantas sepanjang laluan menuju ke
bilik mesyuarat rahsia. Setiap pengawal keselamatan di sepanjang laluannya
rebah seorang demi seorang. Ketiga-tiganya merempuh bilik mesyuarat itu dan
sesaat kemudian mula menerawang di dalamnya. Dua orang pengawal keselamatan
yang menjaga pintu bilik mesyuarat itu rebah. Melihat keadaan itu suasana serta
merta menjadi panik. Agen-agen Perkhidmatan Rahsia (PR) yang berada di dalam
bilik mesyuarat itu serta merta melindungi kesemua ahli Majlis Tertinggi Alam
Hitam itu terutamanya Rukhu Racha.
Rukhu
Racha yang tadi sedang sibuk memberi penerangan tentang agenda dan halatuju
baru majlis tersebut dikawal ketat oleh beberapa orang agen PR yang paling
handal. Sekumpulan agen PR itu cuba membawanya keluar dari situ melalui lif
rahsia di belakang dinding mesyuarat itu. Tetapi ketiga-tiga garis asap itu
bertindak lebih pantas. Dengan secepat kilat ketiga-tiga garis asap itu meluru
ke arah Rukhu Racha. Lima orang agen PR yang melindungi Rukhu Racha rebah
dibidas, dijerut dan dipatuk oleh garis-garis asap itu.
Rukhu
Racha yang tanpa perlindungan sempat masuk ke dalam lif rahsia dan menutup
pintunya. Tetapi ketiga-tiga garis asap itu segera merempuh pintu lif lalu
mengejar lif yang sudah pun bergerak naik itu. Sepantas kilat ketiga-tiga garis
asap itu sampai ke lantai lif lalu merempuhnya dan kemudian meresap ke ruang
dalam lif. Bila kepala asap berbentuk ular tedung, harimau dan helang botak
mula terbentuk kesemuanya merempuh rakus kepala, tapak kaki dan dada Rukhu
Racha. Rukhu Racha rebah, tergelatak-gelatak, mulutnya ternganga-nganga dan
matanya terbelalak. Tidak lama selepas itu mulutnya pun berbuih.
Di
dalam bilik mesyuarat rahsia, semua ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam tidak
diapa-apakan. Semua agen PR yang melindungi mereka juga terselamat. Salah
seorang daripada mereka menekan butang lif. Lif bergerak dan tak lama kemudian
pintu lif pun terbuka. Kelihatan Rukhu Racha sedang terbaring di atas lantai
lif. .....bersambung
No comments:
Post a Comment