Bab 5
Rukhu
Racha belum mati. Sekumpulan doktor pakar terbaik Alam Hitam yang
mendiagnosisnya bersetuju bahawa kesihatannya baik. Rukhu Racha dibenarkan
pulang ke rumah. Selepas tiga hari Rukhu Racha mulai berasa badannya lemah. Keesokannya
anak-anak bisul seperti ruam mulai tumbuh. Ia merebak seperti kayap ular.
Badannya panas seperti bara api. Bibir dan tapak kakinya merekah-rekah
berkeping-keping. Ulser kecil dan besar bertompok-tompok pada langit-langit dan
dinding mulut. Kahak mulai berkumpul sedikit demi sedikit pada pangkal
kerongkong.
Sekumpulan
doktor pakar terbaik Alam Hitam yang pernah mendiagnosisnya tempoh hari segera
dipanggil ke Istana Abadi. Begitu juga dengan kumpulan pawang terhandal dunia
yang segelintirnya pernah cuba mengubati bapanya dahulu. Tetapi hingga saat ini
belum ada seorang pun daripada mereka itu mampu untuk mengubati Rukhu Racha.
Penyakit misteri yang pernah dialami oleh mendiang bapaanya dulu kini
menyerangnya pula.
Rukhu
Racha mengalami penderitaan yang amat dahsyat. Dia berasa seperti direndam di
dalam lahar gunung berapi. Seluruh badannya, luar dan dalam, berasa begitu panas.
Bisa-bisa yang berdenyut-denyut menjalar di dalam seluruh uratnya. Pada
ketika-ketika waktu kepalanya pening bagai hendak pecah. Dia juga sukar
bernafas seperti seorang yang kelemasan.
Kesakitan
yang ditanggungnya membuatkan Rukhu Racha keletihan. Bila begitu dia selalu
tertidur. Bila tidur dia selalu pula termimpikan Rocha Racha. Ayahandanya itu
memberitahu bahawa hanya Loqan sahaja yang mampu mengubati penyakit misterinya
itu. Rukhu Racha tercelik mengejut seperti selalu. Muka dan badannya dibasahi
peluh. Rukhu Racha membuka selimut. Ada bisul-bisul yang sudah pecah. Ada
ulat-ulat hitam yang sedang keluar dari lubang bisul-bisul yang pecah itu.
Rukhu
Racha ketakutan. Dia teringatkan mimpinya tadi. Sudah tiga kali dia bermimpi
perkara yang sama. Dia memanggil orang kanannya. Arahan diberi bahawa Loqan
mesti dicari tidak kira apa!
Loqan
gagal ditemui walaupun dengan bantuan agen-agen dan teknologi perisikan terbaik
Pusat Perisikan Antarabangsa (PPA). Lelaki itu seolah-olah halimunan. Tetapi
pada hari ketiga belas Rukhu Racha menderita, Loqan pun muncul secara tiba-tiba
di perkarangan Istana Abadi itu. Pada waktu itu Rukhu Racha sudah pun berada
pada fasa terakhir penderitaan seperti mendiang ayahandanya dulu.
Orang-orang
kanan Rukhu Racha menyambut Loqan dengan hati gembira. Loqan dibawa terus ke kamar
tidur utama untuk melihat Rukhu Racha. Ahli-ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam
dimaklumkan tentang kehadiran Loqan itu. Seorang demi seorang tiba untuk
melawat Rukhu Racha.
Loqan
memulakan upacara penyembuhan. Dia berdiri beberapa langkah dari hujung kaki Rukhu
Racha. Loqan mengetap-ngetap gigi sebelum membaca mantera yang tergumam di
dalam mulutnya sahaja. Loqan perlahan-lahan mengangkat tinggi tangannya. Serentak
dengan itu badan Rukhu Racha perlahan-lahan menegak bangun. Selepas beberapa
ketika Rukhu Racha sudah pun berdiri di atas katil. Loqan tersenyum memandang Rukhu
Racha. Begitu juga Rukhu Racha yang tersenyum memandang Loqan.
Loqan
membaca mantera lagi. Bila sampai di satu bahagian mantera itu Loqan pun
menghulurkan tangannya ke hadapan. Serta merta asap berwarna kelabu, merah dan coklat pekat keluar dari kepala,
dada dan tapak kaki Rukhu Racha. Asap-asap itu meluru ke arah Loqan. Loqan
menangkap asap itu dengan tangannya. Asap-asap itu diramas-ramasnya sehingga
semuanya menjadi putih lalu hilang dalam tangannya.
Loqan
membaca mantera lagi. Seluruh tubuh Rukhu Racha berisi dan pulih seperti
sediakala. Rekah pada bibir dan tapak kakinya hilang. Ulser dan kahak dalam
mulutnya juga hilang. Bisul-bisul pun hilang begitu sahaja. Malah ia tidak
meninggalkan parut walau secalit.
Semua
ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam ternganga melihat apa yang berlaku.
Ajaib!
Rukhu
Racha turun dari katil. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang terjadi.
Mati sudah mendakapnya beberapa hari yang lalu tetapi Loqan berjaya menghalau
perkara yang paling ditakutinya itu. Rukhu Racha mendapatkan Loqan lalu
mengucapkan terima kasih. Loqan sempat berbisik sebelum dikerumuni ahli-ahli Majlis
Tertinggi Alam Hitam. Bisik Loqan : “Mahukan engkau kekal hidup selamanya?”
......bersambung
......bersambung
No comments:
Post a Comment