Pages

Thursday, March 27, 2014

Serakah Bab 7


Bab 7
Rukhu Racha mengadakan satu mesyuarat tergempar beberapa hari selepas perbualan dengan Loqan itu. Semua ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam menghadiri mesyurat tergempar itu. Keadaan tegang sekarang kerana perbalahan pendapat antara mereka.
“Kita sudah lakukan penyelidikan tentang Ainul Hayat lama dahulu. Tetapi ia diberhentikan kerana semua petunjuk yang dikumpul menyatakan Ainul Hayat itu dongeng dan tidak berasas,” jelas David Feller.
“Aku yakin Ainul Hayat itu wujud. Mungkin ada petunjuk-petunjuk yang terlepas pandang oleh para penyelidik itu,” pertahan Rukhu Racha.

David Feller merenung wajah Rukhu Racha. Dia berasa tercabar kerana disanggah oleh orang yang lebih muda daripadanya walaupun kini Rukhu Racha adalah ketua majlis itu sekarang. “Penyelidikan dahulu diketuai oleh Dr Horitho. Dia seorang pakar penyelidikan dalam hal-hal begini. Dibantu oleh ahli-ahli kumpulan yang paling arif dalam segenap bidang. Kesimpulan mereka terhadap Ainul Hayat memang boleh dipakai. Ainul Hayat itu cuma khayalan.”
Beberapa orang ahli majlis yang segenerasi dengan David Feller bersetuju dengan hujahnya.
“Ia satu pembaziran untuk menggunakan sumber yang ada hanya untuk mencari Ainul Hayat yang dongeng itu,” kata Charlie Huppon pula.
“Bilakah penyelidikan itu dilakukan?” tanya Rukhu Racha kepada David Feller dan Charlie Huppon.
“Tahun-tahun 60-an,” jawab David Feller.
“Sudah terlalu lama. Barangkali ada petunjuk baru yang sudah timbul di mana-mana ceruk dunia,” balas Rukhu Racha. Sebahagian besar ahli majlis mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Rukhu Racha. “Tidak rugi jika kita mencuba. Bayangkan jika Ainul Hayat itu memang wujud.”
Bilik mesyuarat rahsia itu berdegung. Rukhu Racha berjaya membangkitkan minat sebahagian besar ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam itu.
“Ya David Feller, cuba bayangkan jika Ainul Hayat itu memang wujud. Kita boleh hidup selama-lamanya. Keturunan kita boleh hidup selamanya. Bangsa lain akan mati tetapi tidak bangsa kita. Kita dapat memerintah dunia ini selama-lamanya,” kata Weezer Weiser yang umurnya hampir sebaya dengan Feller.
David Feller membisu. Egonya enggan tunduk pada Rukhu Racha. Dendamnya pada Rukhu Racha masih bernyala. Baginya Rukhu Racha tidak layak menjadi ketua. Dialah yang paling layak. Jadi apa sahaja rancangan Rukhu Racha mesti ditentang. Tiba-tiba hatinya berbisik, ‘Jika budak mentah itu gagal dalam mencari Ainul Hayat pasti dia dianggap seorang ketua yang lemah kelak. Akhirnya ahli-ahli majlis ini pasti akan menuntut dia meletakkan jawatan. Waktu itu engkau bolehlah menyusun strategi untuk merebut jawatan ketua itu.’
“Bagaimana David Feller?” tanya Rukhu Racha.
Feller terus membisu. Di dalam kepalanya : ‘Lebih baik aku tidak beri kata putus kerana Rukhu Racha tentulah akan menggunakan kuasanya untuk menjayakan rancangan itu. Jika rancangan itu gagal ahli-ahli majlis tentu akan memandang tinggi kepadaku. Dan jika rancangan itu berjaya aku tidak rugi apa-apa pun dan... dan... dan tentulah aku juga akan hidup selama-lamanya.’ Feller tersenyum di dalam hati.

Telahan Feller tepat. Rukhu Racha tidak boleh berkompromi lagi dengannya. Pindar Majlis Tertinggi Alam Hitam itu memutuskan projek mencari Ainul Hayat akan dihidupkan semula! .....bersambung


No comments:

Post a Comment