Bab 8
Misi mencari Ainul
Hayat dihidupkan semula serta merta. Cendekiawan-cendekiawan terbaik dari
seluruh negara Alam Hitam dikumpulkan. Mereka diberi ganjaran dan layanan
terbaik. Dikumpulkan di Pulau Kayel, sebuah pulau rahsia yang tidak wujud di
dalam mana-mana peta moden. Hanya ahli-ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam sahaja
yang mengetahui tentang kewujudannya.
Semua cendekiawan
yang dikumpulkan itu dibius sehingga tidak sedarkan diri sebelum diterbangkan
ke pulau tersebut. Bila terjaga masing-masing baru tersedar bahawa mereka sudah
berada di dalam bilik –bilik yang serba mewah di pulau itu.
Projek mencari
Ainul Hayat itu di ketuai oleh Loqan. Kumpulan penyelidik projek itu menilai,
mengkaji dan membuat kesimpulan semula terhadap beratus ribu skrol, manuskrip,
kitab lama dan baru untuk mencari bukti kewujudan serta lokasi Ainul Hayat.
Kebanyakkan sumber itu dicuri daripada orang perseorangan,
pertubuhan-pertubuhan dan perpustakaan-perpustakaan rahsia dan arkib-arkib di
seluruh dunia. Tugas mencuri itu diserahkan kepada agen-agen terbaik mereka di
PPA.
Kumpulan
penyelidik menyimpulkan bahawa Ainul Hayat memang wujud tetapi lokasinya masih
belum dapat disahihkan.
Beberapa kumpulan
pencari yang terdiri daripada pengembara-pengembara terkenal Alam Hitam ditubuhkan
untuk pergi ke lokasi-lokasi yang diandaikan.
Lokasi pertama
ialah Hutan Kecil Ungu. Ia terletak di dalam kawasan terpencil Hutan Tebal
Benom. Misi mencari Ainul Hayat di lokasi itu diketuai oleh Dr Ronald, seorang
pensyarah dari Universiti Harvard. Mereka dihantar dengan beberapa helikopter
untuk sampai ke kawasan itu. Mereka turun dengan menggunakan payung terjun.
Semua peralatan dan keperluan diturunkan dengan payung terjun juga. Mereka
membina markas di kawasan yang berdekatan dengan anak sungai. Sebuah khemah besar
dijadikan pusat operasi. Ia terletak di tengah-tengah markas dan dilengkapi
dengan pelbagai peralatan canggih.
Besoknya mereka
mula mencari Ainul Hayat dengan bantuan alat panduan arah dan peta yang
dibekalkan oleh kumpulan penyelidik di pulau rahsia. Setiap gerak geri mereka
dipantau oleh sekumpulan rakan mereka di pusat operasi di markas dan pusat
pemantauan di Pulau Kayel. Ini dilakukan dengan bantuan Eye iaitu sebuah robot
berbentuk mata yang terbang mengikuti kumpulan pencari itu. Eye boleh terapung
dan bergerak berbulan-bulan di udara sebelum dicaj semula.
Kumpulan pencari
itu tiba di hadapan sebuah gua. Dinding luarnya diliputi oleh lumut ungu yang
tebal. Hampir keseluruhan hutan ini diliputi oleh lumut ungu tersebut. Pintu
masuk gua tersebut pula amat kecil. Muat untuk seorang sahaja masuk setiap
kali. Ainul Hayat diandaikan berada di dalam gua itu mengikut alat panduan arah
dan peta koordinat itu .
Salah sebuah Eye
masuk ke dalam gua itu terlebih dahulu. Diikuti oleh Aldrin, salah seorang
pencari yang terkenal di Alam Hitam. Eyes itu memfokuskan kameranya pada lantai
gua. Imej aliran air yang mengalir tenang terpampang pada skrin komputer di
pusat operasi markas dan Pulau Kayel. Kumpulan yang berada di kedua-dua tempat
itu sudah mula membesarkan harapan.
Aldrin
menghubungi Dr Ronald melalui walkie talkie. Dia melaporkan bahawa keadaan di
dalam gua itu selamat. Dr Ronald mengarahkan Aldrin untuk mencari punca aliran
air tersebut. Dr Ronald dan lain-lain akan menyusul dari belakang setelah punca
air itu ditemui. Aldrin mengikuti aliran air tersebut. Selepas beberapa lama
berjalan dia pun mendengar derum air yang kian jelas.
Aldrin melajukan
langkah. Eyes juga terbang deras. Di hadapan ada cahaya. Semakin dekat pada
cahaya tersebut semakin dapat dilihat sebuah lubang yang ternganga luas.
Kini Aldrin
berdiri betul-betul di hadapan nganga lubang tersebut. Di hadapannya terbentang
sebuah kolam besar yang sedang membuak-buak. Kawasan itu berbentuk bulat dan
pada dindingnya terdapat sembilan nganga lubang. Salah satu lubang itu adalah nganga lubang di mana Aldrin berdiri. Air
kolam itu melimpah ke setiap lubang dan membentuk sistem aliran air di dalam
gua tersebut.
Aldrin
memaklumkan perkara itu kepada Dr Ronald.
Eyes
berlegar-legar di atas permukaan kolam tersebut. Memfokuskan kameranya pada
kawasan tengah kolam yang membuak-buak. Pada skrin komputer di pusat operasi
dan Pulau Kayel kelihatan sekumpulan ikan kecil yang amat banyak di dalam kolam
tersebut. Ikan-ikan itu berwarna hitam berjalur emas. Rupanya persis berudu. Ia
berenang tenang mengikut arah lawan jam.
Dr Ronald dan
lain-lain memasuki gua tersebut. Kumpulan Eyes mengikut di belakang dan hadapan.
Mereka bergerak dalam satu kumpulan. Mereka menyusuri aliran air yang dilalui
Aldrin tadi.
Ketika Dr Ronald
dalam perjalan ke kolam itu, Aldrin tiba-tiba diserbu oleh beberapa soalan. ‘Benarkah
Ainul Hayat wujud?’ Selama ini Aldrin hanya mendengar cakap-cakap orang sahaja.
‘Benarkah kolam ini Ainul Hayat?’ Aldrin sendiri tidak pasti. ‘Benarkah aku
boleh hidup selama-lamanya jika meminumnya?’ Aldrin diserang rasa ingin tahu
dan penting diri.
Eyes memfokuskan
kameranya pada Aldrin sejak tadi. Aldrin membongkok lalu menghulurkan tangan
untuk mencedok air kolam tersebut. Belum pun sempat tangan Aldrin menyentuh air
kolam satu suara mengarahnya berhenti. “Hentikan niat engkau, Aldrin!” Suara
itu datang dari pembesar suara mikro yang dibina di dalam eyes yang sedang
mengawasinya sejak tadi. Aldrin tahu arahan itu datang daripada Pulau Kayel.
‘Persetankan dengan arahan itu!’ kata hatinya.
Aldrin tidak
mempedulikan amaran itu. Air di dalam kolam itu dicedoknya juga.
“Aku kata
hentikan niat engkau, Aldrin!” Kali ini amaran itu lebih tegas dan keras.
Dr Ronald dan
lain-lain sudah berada 30 meter daripada nganga lubang tersebut. Mereka berlari
deras untuk mendapatkan Aldrin. Hal Aldrin yang mahu meminum air kolam tersebut
sudah dimaklumkan oleh kumpulan di pusat operasi dan pulau rahsia. Dr Ronald
menjerit-jerit memberi arahan kepada Aldrin agar mematikan niatnya itu.
Tetapi Aldrin
tetap dengan niatnya itu. Dia segera mendekatkan tapak tangannya pada bibirnya.
Belum pun sempat Aldrin meneguk air kolam tersebut Eyes bertindak menembaknya
terlebih dahulu. Eyes turut dilengkapi dengan sistem senjata mikro yang boleh
membunuh manusia. Laras yang tersimpan di bawah badannya itu memuntahkan sebutir
peluru yang mengenai tepat dahi Aldrin. Aldrin rebah di hadapan nganga lubang itu
lalu jatuh ke dalam kolam itu. Darahnya tersebar ke seluruh kolam.
Serta merta
kumpulan ikan kecil yang berenang tenang tadi menjadi agresif. Berlumba-lumba
mengerumuni mayat Aldrin lantas memakannya. Bunyi gigi menyiat daging
kedengaran di seluruh gua. Begitu lahap. Dalam beberapa saat mayat Aldrin habis
dicerai beraikan oleh kumpulan ikan tersebut.
Dr Ronald dan
lain-lain terkejut dengan kejadian tersebut. Mereka baru tiba di nganga lubang.
Air kolam membuak-buak dengan lebih deras. Sehingga terpercik ke dinding. Dr
Ronald tidak sedap hati. Limpahan air semakin bertambah. Tadi di paras buku
lali tapi kini paras betis. Tiba-tiba terbit gerak besar di dalam kolam
tersebut. Dari dalam kolam tersebut tiba-tiba muncul seekor makhluk setinggi
dua kaki lebih. Badannya berbulu lebat
tetapi sebahagiannya yang sudah tidak berbulu dipenuhi dengan parut.
Bila makhluk itu
naik ke permukaan kumpulan ikan tadi segera menggigitnya. Makhluk itu
meronta-ronta kesakitan hingga mengocakkan air kolam. Air kolam melimpah banyak
dan memasuki sembilan lubang itu.
Dr Ronald dan
lain-lain segera lari. Mereka diburu arus deras. Dari jauh bunyi debus dan
raung kedengaran hampir serentak. Dalam beberapa saat arus deras berjaya menghempas
Dr Ronald dan lain-lain. Mereka dihanyutkan masuk ke dalam satu saluran ke satu
saluran lain dan akhirnya keluar daripada salah satu lubang lalu masuk ke dalam
kolam.
Kumpulan ikan
yang berada di dalam kolam tersebut menggigit dan meratah mereka hingga tiada
seorang pun yang hidup. Sisa tulang dan daging yang jatuh ke dasar kolam dimakan
pula oleh makhluk besar berbulu lebat yang sudah kembali diam di dasar kolam.
Kumpulan Eyes
yang merakam semua kejadian tersebut keluar dari gua itu. Setiap imej yang
dirakam dianalisa. Begitu juga dengan sampel air yang melekat di badan Eyes.
Kumpulan penyelidik menyimpulkan kawasan itu bukan Ainul Hayat. Malah air di
situ sangat beracun. Ujian yang dilakukan mendapati air di situ mampu
menyebabkan manusia mati selepas beberapa saat meminumnya.
Selepas beberapa
lama mereka pun beralih ke lokasi andaian lain. Kumpulan pencari untuk lokasi
ini diketuai oleh Hawk iaitu seorang bekas marin US yang terlibat dalam banyak
operasi perang. Lokasi andaian kedua ini terletak di Lembah Horon. Sebuah
lembah yang penuh dengan paya dan sungai-sungai besar.
Di tengah-tengah
lembah itu terdapat sebuah tanah seperti pulau kecil di tengah kawasan paya. Di
situlah Hawk dan pasukannya membuat markas. Markas mereka terdiri daripada
rangkaian kiub yang membentuk bintang berbucu lima. Rangkaian kiub itu dibina
daripada titanium. Ikut serta bersama mereka adalah sekumpulan Eyes yang
semakin canggih yang boleh membuat keputusan sendiri berasaskan logik yang
direkodkan di dalam perisian.
Lokasi berpotensi
sudah pun dikenal pasti. Iaitu di sebuah tasik yang bersambung dengan Sungai
Hong, sungai terbesar di Lembah Horon itu. Sekumpulan Eyes dihantar ke sana
untuk meninjau kawasan tersebut. Melalui imej-imej yang dihantar oleh
sekumpulan Eyes, Sungai Hong itu didapati dipenuhi dengan rola, sejenis ular
yang sangat besar. Saiz ular itu mengalahkan saiz ular Titanoboa, ular terbesar
di dunia yang diketahui pernah wujud di dunia.
Badan rola itu berwarna
hijau kehitaman dan bertompok merah dan hijau muda. Ia bersarang di kiri kanan
sungai itu. Di situ, kumpulan rola itu melingkar bertindan-tindan. Kepala-kepala
rola itu terjongol di sana-sini. Semuanya berlingkar diam seperti ulat gonggok.
Hanya badan masing-masing kelihatan kembang kempis menarik dan membuang nafas.
Hawk meneliti
keadaan itu pada monitor yang melilit di pergelangan tangannya. Setiap imej dari
Eyes akan terpancar di monitor yang dibahagikan kepada beberapa petak itu. Ia
akan digunakan untuk memantau keadaan persekitaran sepanjang ekspedisi
tersebut. Hawk membesarkan imej-imej pada beberapa kotak tertentu.
Selepas yakin
Hawk mengambil keputusan untuk memulakan ekspedisi melalui satu-satunya jalan
untuk mara ke hadapan iaitu melalui tengah sungai. Di situ juga ada kumpulan
rola yang sedang melingkar diam tetapi tidak sebanyak di kiri dan kanan sungai.
Dia percaya kumpulan rola itu sedang berhibernasi. Tidak akan terjaga jika tidak dikacau.
Hawk dan ahli
kumpulannya bergerak dengan senyap. Mereka berdayung menggunakan bot dengan
berhati-hati melalui tengah sungai itu. Kumpulan Eyes yang terbang di udara
memantau di hadapan dan belakang mereka.
Di bawah
permukaan air sungai badan rola yang kembang kempi nyaris mengenai dayung. Pada
bahagian tertentu sungai, badan rola itu timbul sedikit melepasi permukaan air.
Itu menandakan rola tersebut amat besar. Mereka mengelak melalui bahagian
tersebut. Berdayung di laluan di mana badan rola tenggelam di bawah permukaan
air.
Salah seorang
ahli kumpulan tersebut hilang fokus. Dayungnya terkena badan salah seekor rola
yang baru mengembung menarik nafas. Rola itu bergerak. Ekornya mengenai tepi
kedua-dua bahagian sungai itu. Tiba-tiba air di bahagian kanan dan kiri sungai
itu mula berkocak dan mengeruh.
Sebuah Eyes
memfokus pada bahagian kiri sungai itu. Kelihatan rola yang badannya terkena
dayung tadi mula bergerak. Badan Rola itu mula menggesel-gesel badan rola-rola
yang berhampiran di sebelah kanan dan kirinya. Rola-rola yang disentuh terjaga
dan menggesel-gesel pula badan rola di sekitar. Seluruh bahagian kanan dan kiri
sungai itu kini berombak dan keruh.
“Sudah terjaga!”
jerit Hawk pada yang lain-lain. Dia memantau keadaan di bahagian kanan dan kiri
sungai itu sejak tadi.
Hawk tidak
menunggu lama untuk membuat keputusan. Dia mengarahkan salah seorang ahli
kumpulannya menurunkan enjin bot dan menghidupkannya.
Rola yang
terjaga paling awal tadi sudah pun memanggungkan kepalanya. Sebahagian badannya
sudah pun berdiri. Enjin bot berkuasa kuda besar itu hidup. Bot dipusingkan dan
bergerak pantas cuba meninggalkan bahagian berbahaya itu. Rola itu menceburkan
kepalanya ke dalam sungai. Beberapa ekor rola lain bertindak sama. Keadaan
kelam kabut itu mengejutkan semua rola yang berada di situ. Keadaan sungai
tersebut semakin berombak dan keruh.
Tiba-tiba
keadaan sungai itu menjadi tenang. Ombak hilang. Keruh semakin menjernih. Hawk
dan kumpulannya menarik nafas lega. Mereka menyangka bahaya sudah tiada. Tetapi
tiba-tiba kepala beberapa ekor rola terpanggung di hadapan bot mereka.
Rola-rola itu menjelir-jelirkan lidah. Kemudian melentik ke belakang lalu
sepantas kilat menjunamkan kepala. Bot itu pecah. Beberapa ahli kumpulan Hawk
dipatuk dan ditelan hidup-hidup oleh rola. Hawk dan lain-lain yang terselamat
terkapai-kapai di permukaan sungai. Masing-masing menarik pistol dari pinggang.
Lalu melepaskan tembakan. Peluru menembusi badan rola. Darah memercik-mercik
tetapi tidak sampai mampu menumbangkan ular besar itu.
Kumpulan rola
itu semakin menggila. Bersiap sedia untuk mematuk Hawk dan ahli kumpulannya.
Tetapi belum sempat berbuat demikian kumpulan Rola itu tiba-tiba diserang oleh
kowe, sejenis makhluk kecil setinggi 50 sentimeter yang mempunyai gigi dan kuku
yang amat tajam. Berbelas ekor kowe itu mencakar, menggigit dan mengoyak badan
rola dengan rakusnya. Darah memercik-mercik lebih lebat.
Dari celah-celah
rola yang sedang rebah satu persatu itu, Hawk dan ahli kumpulannya berenang
meninggalkan kawasan tersebut. Dari jauh mereka lihat kumpulan kowe itu sedang
meratah rola, makanan kegemaran mereka. Siulan berbunyi lalu berpuluh ekor kowe
yang dari segenap penjuru berlari
tergopoh gapah ke kawasan tersebut. Makhluk aneh itu berpesta makan.
Kumpulan
Eyes meyalurkan imej kawasan itu selepas serangan ganas kowe terhadap rola.
Hampir kesemua rola mati. Yang berjaya menyelamatkan diri membenamkan diri di
dalam lumpur sungai itu dan hilang entah ke mana. Laluan untuk sampai ke lokasi
Ainul Hayat sudah selamat.
Hawk
dan ahli kumpulannya yang terselamat memulakan semula ekspedisi. Selepas
beberapa lama mereka pun tiba di lokasi yang dimaksudkan. Ketika itu hari sudah
senja. Di hujung tasik besar itu kelihatan matahari sedang terbenam. Jingganya
mewarnai sekumpulan teratai berdaun hitam. Bunga putihnya bertukar warna setiap
saat. Mereka dihidangkan oleh pertunjukan warna yang amat menakjubkan.
Bila
matahari betul-betul terbenam keadaan menjadi gelap gelita. Tetapi beberapa
saat kemudian bunga-bunga putih teratai itu bercahaya bagaikan pelita. Tasik
itu menjadi terang sehingga dasarnya yang berwarna biru jelas kelihatan. Di
dasar itu kelihatan pula satu aliran air berwarna hijau.
“Ada
aliran air di dasar tasik!” teriak salah seorang ahli kumpulan Hawk yang
melihat dasar sungai ketika yang lain-lain terpukau dengan keindahan
teratai-teratai di permukaan.
Hawk
melihat ke arah kawasan yang ditunjuk oleh ahli kumpulannya itu. “Sungai di
bawah tasik!”
Hawk
mengarahkan ahli kumpulannya mendayung bot ke arah bertentangan dengan aliran
air tersebut. Dia mahu mencari punca aliran air itu. Tetapi aliran air berwarna
hijau itu semakin lama semakin pudar warnanya dan akhirnya sama biru dengan air
tasik. Mereka buntu ketika tiba di satu kawasan yang dipenuhi dengan alrae,
serimbunan rumpai laut yang memenuhi dasar tasik di bahagian tersebut.
Di
celah-celah rimbunan alrae itu, terjongol beberapa kepala rola. Hawk dan ahli kumpulannya
terkejut. Salah seorang daripada mereka segera melepaskan tembakan. Darah
keluar dari kepala salah seekor rola tersebut. Rola tersebut tidak meronta atau
melawan. Ini menghairankan mereka. Hawk mengarahkan salah seorang daripada ahli
kumpulannya memeriksa rola tersebut. Lelaki itu mengambil dayung dan
menguis-nguis kepala rola itu. Ternyata rola itu sudah menjadi bangkai.
Rola-rola lain juga sudah menjadi bangkai.
Tiba-tiba
dari celah-celah rimbunan alrae itu kedengaran sesuatu mendecur. Selepas
beberapa saat air berwarna hijau memancar-mancar di kawasan tersebut. Bukan
satu tetapi berbelas pancutan air. Hawk dan ahli kumpulannya tergamam. Sebuah Eyes
segera merakamkan fenomena tersebut. Imej-imej pancutan air berwarna hijau itu
sampai di markas kemudian beberapa saat kemudian terpampang di skrin besar
pusat pemantauan di Pulau Kayel.
“Ainul
Hayat! Ainul Hayat!” jerit staf di pusat operasi. Staf pusat pemantauan di
Pulau Kayel ikut menjerit sama. Mereka semua teruja.
Loqan sedang berada di pusat pemantauan di
Pulau Kayel itu. Rukhu Racha pula melihat imej-imej pancutan air berwarna hijau
itu bilik operasi di Istana Abadi. Dia kelihatan amat gembira kerana merasakan
penantiannya selama ini sudah sampai ke penghujungnya.
“Mara
ke hadapan. Ambil contoh air tersebut dan uji,” arah Loqan.
Hawk
dan kumpulannya mara ke hadapan. Mereka meranduk pucuk rimbunan alrae. Akhirnya
mereka tiba di salah satu pancutan air tersebut. Salah seorang daripada mereka
mengambil contoh air itu lalu meletakkannya di dalam balang ujian. Skrin di
permukaan balang itu serta merta menyala. Data-data air itu ditunjukkan di situ.
Air itu tidak beracun. Ia mempunyai tahap mineral yang tinggi. Dan peliknya ada
satu bahan di dalam air tersebut yang belum dapat disahkan oleh perisian balang
tersebut.
“Tidak
diketahui?!” Loqan merasa pelik.
Pancutan-pancutan
air memancut lebih deras secara mendadak. Butir-butir air tersebut mengenai
bunga-bunga teratai dan alrae. Spora-spora yang berwarna warni tersebar di
udara. Ia tergelang-gelang sehingga memenuhi hampir keseluruhan ruang udara
tasik tersebut. Tiba-tiba spora-spora itu gugur bagaikan empingan salji.
Panorama itu amat indah sekali.
Tetapi
ketakjuban itu bertukar menjadi ngeri bila salah seorang ahli kumpulan Hawk
yang paling awal disentuh spora yang gugur itu rebah. Mukanya merona merah dan
kemudian melecur. Selepas itu ia berasap dan terbakar.
Keadaan
berubah panik. Hawk dan lain-lain cuba beredar dari situ. Mereka membuka baju
masing-masing dan menutup kepala dengannya. Baju-baju mereka terbakar seperti
daun dimakan ulat.
Air
pancutan berwarna hijau itu tiba-tiba bertukar menjadi larva merah yang amat
panas. Tasik itu mendidih seperti kawah gunung berapi.
Seekor
kowe yang datang meninjau segera kembali ke pangkalan. Tidak sampai beberapa
saat sekumpulan kowe sampai di tempat kejadian. Mereka mengejar Hawk dan
kumpulannya. Kelibat mereka dirakam oleh kumpulan Eyes yang terbang di udara.
Hawk dan kumpulannya yang sudah hampir keluar dari tasik itu tidak menyedari
dengan ancaman baru yang sedang mereka hadapi.
“Musuh
di belakang!” beritahu salah seorang staf di pusat operasi.
Hawk
menoleh ke belakang. Beratus ekor kowe melucur laju di atas permukaan air tasik
yang sedang mendidih itu.
“Lajukan
bot!!!” arah Hawk.
Sesaat
kemudian dari dalam permukaan air melompat keluar laju beberapa ekor kowe. Di
bawah badan bot beberapa ekor kowe cuba membocorkan bot tersebut. Kowe-kowe
yang melompat keluar dari dalam tasik itu menerkam Hawk dan kumpulannya. Peluru-peluru
dilepaskan. Kowe-kowe itu berjaya dibunuh. Bergeletak di lantai bot yang sudah
sedikit demi sedikit dimasuki air. Tetapi bangkai kowe itu tiba-tiba bergerak. Ia
membentuk jasad kowe yang baru. Lalu menjadi seekor kowe yang lain.
Tiba-tiba
dari dalam tasik melompat laju kowe lain. Kali ini bilangan mereka berpuluh.
Udara kembali dihujani peluru.
Hawk
melihat sekeliling. Ahli kumpulannya rebah seorang demi seorang. Yang masih
hidup berhempas pulas menyabung nyawa. Dia sedar keadaan tidak memihak kepada
mereka. Di belakang, ratusan kowe sedang menuju ke arah mereka.
Hawk
cuba melarikan diri tetapi seekor kowe berjaya mendarat di tengkuknya. Kowe itu
membenamkan giginya yang tajam ke leher tengkuk ketua ekspedisi itu. Hawk meronta-ronta.
Kowe itu terus mengigit tengkuknya. Hawk cuba menarik kowe itu dari tengkuknya.
Gigi kowe itu melekat kuat pada daging tengkuk Hawk. Semakin kuat Hawk berusaha
semakin kuat gigi kowe itu melekat pada daging tengkuknya itu. Darah
memancut-mancut keluar dari tengkuk Hawk. Mata Hawk berpinar-pinar dan akhirnya
rebah ke dalam tasik. Berpuluh ekor kowe mengerumuninya lalu menggigit dan
mencerai beraikan badannya.
Kumpulan
Eyes yang berada tinggi di udara merakam kejadian ngeri tersebut. Salah sebuah
Eyes menghantar imej balang yang tersadai di tepi tasik. Pada skrin balang itu
tertera perkataan ‘Tidak Diketahui’. Selepas beberapa saat perkataan itu
diganti dengan perkataan ‘Merkuri’.
Di
Istana Abadi, Rukhu Racha menumbuk meja.
Marahnya membuak-buak seperti tasik itu.
......bersambung
......bersambung
No comments:
Post a Comment