5.9
Kecelakaan tidak mahu pergi begitu sahaja. Seperti mahu menghukum Zali secukup-cukupnya. Sebagai peringatan yang semua ini bayaran tunai dari Tuhan untuknya di dunia ini kerana kealpaannya dahulu. Buat pengajaran dan panduan untuknya menjalani hidup di masa hadapan.
Zali masuk ke dalam Kancil yang dipinjamnya dari Mokhtar itu. Mengeluh pendek kerana yakin jawatan yang baru dipohonnya tadi tidak mungkin menjadi miliknya. Sudah banyak temuduga yang dihadirinya tetapi nampaknya sampai sekarang belum ada satu pun yang melekat. Sukar betul untuk mendapat pekerjaan. Ijazah dari universiti luar negara miliknya macam tak berharga. Graduan yang masih segar berlambak yang menganggur. Satu jawatan kosong bermakna satu barisan panjang pemohon.
Suratkhabar yang tersidai di bangku belakang kereta itu diambil Zali. Membuka di ruangan iklaneka dan matanya berlari ke sana sini di situ. Ruang itu ditompoki oleh bulatan-bulatan dakwat merah. Sebahagiannya sudah dipangkah dengan dakwat merah juga – sudah dihadiri temuduganya. Sebahagiannya belum dipangkah – belum dihadiri temuduganya, dan iklan-iklan inilah yang sedang diteliti oleh Zali. Zali sedang menimbang-nimbang jawatan yang paling hampir dengan rumahnya itu. Jawatan : kerani di sebuah syarikat pembinaan. Gaji : RM 750 sebulan. Kelulusan : SPM. Pengalaman : tidak diperlukan.
Zali bercadang untuk menghadiri temuduga untuk jawatan kerani itu. Jawatan itu memang tidak setimpal dengan ijazah kejuruteraan awam yang dimilikinya. Tetapi dalam keadaan terhimpit begini, dia tidak wajar terlalu memilih. Perut perlu diisi, sewa rumah perlu dibayar, hutang perlu dilangsaikan dan yang paling penting maruah yang pernah dirobek-robek oleh kebodohan sendiri itu perlu diangkat darjatnya semula. RM 750 itu cukup untuk sementara waktu ini asalkan dia mementingkan keperluan dan tidak membesarkan keinginan. Hidup secara bersederhana dan tidak berlagak mewah seperti dahulu adalah kuncinya. Memang cukup-cukup makan tetapi merasa terhormat kerana hidup lebih bermaruah. Biarlah dicubanya dahulu jawatan itu sambil mengintai peluang pekerjaan lain yang lebih sepadan dengan kelayakannya nanti. Ada hikmah di dalam sakit.
Temuduga untuk jawatan kerani itu dihadirinya.
Selang beberapa hari, ketika sedang meneliti ruangan iklaneka, telefon rumah pun berdering.
Sampailah berita gembira untuk Zali. Zali diterima bekerja sebagai kerani di Bina Maju, syarikat pembinaan itu. Dia terkedu seketika selepas meletakkan gagang telefon. Tiba-tiba air matanya pecah dari takungan kelopak matanya. Tuhan masih sayangkan aku, detik hatinya. Tuhan memang sayangkan sesiapa yang sedia berubah untuk menjadi baik dan menginsafi kesilapannya yang lalu. Tuhan itu kan Maha Pengampun dan Maha Pengasih.
Kadang-kadang keberuntungan memang datang bergolek – tidak disangka-sangka. Itu anugerah Tuhan.
Setelah sebulan bekerja di situ barulah Zali berkesempatan bertemu dengan pengurus besar Bina Maju yang baru pulang dari Qatar atas urusan kerja di sana. Tidak diduganya bahawa pengurus besar itu adalah seniornya semasa di sekolah menengah dahulu. Mereka berbual dan tiba-tiba perbualan itu terarah kepada kelayakan Zali. Pada awalnya, seniornya itu mengandaikan Zali mungkin berhenti separuh jalan ketika di universiti tetapi setelah diberitahu perkara sebenar, seniornya, Aiman, terkejut.
Setelah mempertimbangkan kelayakan sebenar Zali, akhirnya Aiman menawarkan jawatan jurutera kepadanya.
Kini, Zali bergelar sebagai seorang jurutera semula.
Bab 6
6.1
Tempat membayar tambang feri untuk pejalan kaki itu sesak dengan orang yang sedang berbaris panjang menunggu giliran untuk lepas ke tempat menunggu feri sebelum menaiki feri yang datang selang sepuluh minit itu. Ada tiga barisan panjang semuanya. Ketiga-tiga barisan itu kelihatan agak resah dan sedikit berpecah-pecah di ekornya. Sebuah feri kelihatan sudah berlabuh di pengkalan. Orang-orang di tempat menunggu itu sudah berpusu-pusu untuk masuk ke dalam feri itu. Beratus orang sudah keluar dari feri yang sama.
Barisan kiri dan kanan di tempat menunggu feri itu bergerak lancar. Tetapi barisan tengah, di mana Ana sedang beratur, pergerakan tidak begitu lancar. Kepala barisan itu tertegun-tegun sedangkan ekornya semakin memanjang. Seorang warga indonesia yang berada di kepala barisan itu sekarang sedang tersekat di palang. Syiling dua puluh sennya tidak dapat ditelan oleh mesin tambang. Sudah mencuba dan ditolong oleh beberapa orang tempatan berkali-kali tetapi syilingnya itu tetap dimuntahkan semula oleh tabung tambang itu. Tiada seorang pekerja PPSB di situ kecuali seorang yang menjaga kaunter tukaran syiling yang diserbu sebaris panjang orang juga.
Beberapa orang remaja lelaki yang berada di barisan tengah itu mula menjerit, memarahi warga indonesia itu dan menyuruhnya supaya memberi laluan kepada orang lain. “Lembab. Feri dah nak blah!” jerit seorang remaja lelaki yang berpakaian ala punk.
“Bagi kami dulu!” jerit kawan remaja lelaki itu, berpakaian ala punk juga. Sementara kawan warga indonesia itu, yang sudah melepasi palang itu, kelam kabut menyuruhnya cepat sambil pandangannya pergi balik antara tempat membayar tambang itu dan feri. “Cepat dong, cepat dong.”
Di dalam kegelisahan itu, tiba-tiba semboyan feri itu pun berbunyi, menandakan feri itu akan berlepas. Pintu pagar besi sudah ditutup. Tempat menunggu itu sudah kosong. Serentak itu hampir semua orang yang berada di tempat membayar tambang itu mengeluh. Kedua remaja punk itu mencarut-carut selamba memarahi warga asing indonesia itu. Tidak mempedulikan orang ramai yang menggeleng-gelengkan kepala itu. Dan serta merta juga ketiga-tiga barisan yang kian panjang itu tenang semula. Masing-masing tahu tidak ada apa yang mahu dikejar lagi. Feri berikutnya belum tiba lagi.
Kemudian datanglah seorang pekerja PPSB untuk membantu warga asing indonesia itu. Barangkali pekerja PPSB itu tadi ada urusan penting yang lain.
Di bahagian bawah, Mokhtar memecut laju keretanya untuk mendapatkan tempat di feri yang berlabuh itu selepas membayar RM 7 kepada jurutol. Tetapi keretanya ditahan oleh seorang pekerja PPSB yang menjaga keluar masuk kereta ke dalam feri. Bilangan kereta di atas feri itu sudah mencukupi. Mokhtar terpaksa memberhentikan keretanya sambil merungut-rungut. Ikut merungut ialah Zali. Mereka berdua hendak ke Batu Feringghi hari ini. Sebelum itu mahu singgah di rumah kawan di Tanjung Bunga. Berjanji akan sampai jam satu tengahari tetapi sekarang nampaknya akan terlewat. Semuanya gara-gara tidur lewat kerana makan char koey teow di Alka Ria tengah malam tadi dengan kawan-kawan lama yang bersama mencari rezeki di sini. Sekali berkumpul
memang banyak cerita. Cerita itu pula seperti tidak habis-habis dan jika ada pun yang diulang-ulang tidak pula menjemukan. Kawan lama mendekatkan kita kepada kisah lama. Yang manis memberi bangga dan yang pahit membuahkan ketawa.
Mokhtar mematikan enjin kereta. Kemudian cuba lelap sekejap. Merasa letih dan kerana yakin feri yang berikutnya masih lambat lagi untuk berlabuh. Sedang Zali lebih senang untuk mengelamun.
Sekarang sudah pukul satu tengahari. Tidak lebih dan tidak kurang barang sesaat. Orang semakin ramai di tempat menunggu itu. Ana sedang duduk di sebuah kerusi di barisan paling hadapan. Pandangan Ana celah mencelah di antara badan-badan orang yang berdiri di hadapannya untuk melihat jika ada kelibat feri yang mungkin sedang merapat ke pengkalan. Ana agak gelisah sebenarnya kerana temujanjinya jam satu setengah tengahari. Biarpun masih berbaki setengah jam tetapi Ana tidak selesa begitu. Terasa dirinya dihambat-hambat waktu. Ana tidak suka membiarkan orang menunggunya. Biarlah dia yang menunggu kerana senang begitu. Tambahan pula mengetahui yang kawannya, Atira, bukanlah seorang penyabar dalam menunggu. Mereka hendak ke kenduri kahwin seorang kawan lama di Teluk Bahang. Tetapi Ana bukan sengaja. Bukan kerana tidur lewat atau bangun lambat tetapi kerana Bas 501 yang dinaikinya tadi rosak di pertengahan jalan. Memaksa semua penumpang menunggu selama sejam di bahu jalan sebelum bas ganti tiba. Merasa menyesal kini kerana tidak memandu kereta sendiri tadi. Walaupun beralasan kukuh tetapi Ana tetap gelisah.
Seorang pemuda yang duduk di sebelah Ana bangun, menjenguk-jenguk dan kemudian berjalan ke hadapan, ke arah pintu pagar besi. Pemuda itu berdiri di situ untuk
menunggu pintu besi itu dibuka. Pulau Talang-Talang, feri yang berbelang biru, kuning dan merah itu, sedang merapat ke pengkalan. Ana tersentak dari lamunannya bila kaki seorang pemuda yang sedang mengasak-asak ke hadapan terlanggar lututnya. Serentak itu, barulah Ana sedar yang ruang menunggu itu sudah riuh. Ana bangun dari duduknya, menjengah-jengah, dan mendapati Pulau Talang-Talang sudah berlabuh.
Seminit dua selepas itu, beratus orang keluar dari perut Pulau Talang-Talang itu. Seminit dua selepas itu pula, pintu pagar besi di ruang menunggu itu pun dibuka oleh seorang pekerja PPSB. Gerombolan manusia pun keluarlah dari ruang menunggu itu dan berjalan tergesa-gesa memasuki feri yang sudah dikosongkan itu. Ana ikut berjalan tergesa-gesa. Bila masuk ke dalam feri, Ana duduk di sebuah bangku kayu panjang di tengah – di bahagian kanan ruang tingkat atas feri itu. Pemuda yang melanggar lututnya tadi duduk di sebelah kirinya. Di sebelah kanannya pula, beberapa orang pelancong asing Eropah sedang berdiri di tepi feri itu. Mereka memandang ke tengah Selat Melaka sambil membiarkan tubuh disapa angin selat. Dan di bahagian kiri tingkat atas feri itu, beberapa pelancong asing Jepun sedang berdiri sambil memerhati keindahan Jambatan Pulau Pinang yang terkenal itu. Dua tiga orang dari mereka sama ada sedang merakam gambar melalui kamera video atau kamera biasa.
Tidak lama selepas itu, Pulau Talang-Talang itu pun berlepaslah dari pangkalan itu menuju ke pulau.
Mokhtar tutup enjin keretanya semula, membuka tingkap, menurunkan kerusi dan cuba terlelap semula. Angin lembut memasuki kereta itu, menggantikan hawa dingin dari penghawa dingin. Angin semulajadi memang lebih menyamankan. Mokhtar selesa begitu
tetapi Zali pula tidak berasa selesa. Bukan oleh angin semulajadi itu tetapi oleh keadaan yang seperti terkurung itu. Jadi, Zali ambil keputusan untuk keluar dan menikmati panorama Selat Melaka itu di buntut feri. Zali buka pintu kereta dan keluar.
“Hey, Zali, ke mana?” tegur Mokhtar yang rupa-rupanya masih belum terlelap.
“Ke belakang. Saja nak ambil angin di sana,” jawab Zali.
“Naik atas sekali. Tolong beli air mineral,” pinta Mokhtar.
Zali mengangguk dan kemudian beredar dari kereta itu menuju ke buntut tingkat bawah feri itu.
Kipas feri itu berpusing deras. Air selat berkocak laju dan berbusa putih. Ombak terhasil dan semakin menghilang bila ditelan jarak dan masa. Dan di sepanjang laluan feri itu, air seperti tidak beriak. Desir angin dan kocak air menambahkan lagi keindahan di buntut feri itu. Zali tergamam sejenak di situ sebelum memaksa diri untuk naik ke tingkat atas. Jikalah tidak kerana pesanan Mokhtar tadi, dia lebih suka untuk kekal di buntut feri itu. Lebih sedia untuk tenggelam di dalam alunan ombak, kocak air dan desir angin.
Tangga yang agak curam itu didaki oleh Zali. Bila sampai di tingkat atas, mata Zali tertebar ke ruang itu. Dua barisan yang setiap satunya mempunyai berpuluh bangku panjang itu penuh diisi orang. Di kiri kanan, berbelas orang yang kebanyakkannya pelancong asing sedang berdiri menghadap Selat Melaka.
Zali berjalan menuju ke sebuah kedai kecil yang terletak di tepi kiri kepala tingkat atas feri itu. Sambil berjalan matanya melihat Jambatan Pulau Pinang yang sedang dituruni oleh kereta. Kereta-kereta itu dilihatnya seperti sebaris semut menuruni busut. Di belakang jambatan terpanjang di Malaysia dan ketiga di dunia itu kelihatan Pulau Jerjak
yang dulunya ‘tidur’. Sekarang pulau itu sudah mula dibangunkan sebagai kawasan pelancongan terbaru untuk negeri Pulau Pinang. Bukan lagi menjadi tempat buangan untuk penjenayah-penjenayah besar.
Zali tiba di kedai kecil itu. Membeli dua botol air mineral dan senaskah suratkhabar. Selepas membayar harganya, Zali pun bergerak semula ke belakang. Dan tiba-tiba matanya tertangkap muka seorang perempuan. Muka itu lembut dan ayu. Bertambah ayu bila sinar warna merah jambu yang memercik dari baju kurung yang dipakainya menebar ke mukanya. Mata Zali lama di muka perempuan yang sedang merenung ke arah kanan. Tiba-tiba pandangan Zali mati bila dua ekor merpati terbang melintasi betul-betul di depan mukanya.
Zali duduk di bangku panjang paling belakang. Bangku itu ditinggalkan oleh seorang pemuda cina yang baru pergi ke tandas. Zali bermenung lama di situ. Cuba mengingati perempuan yang baru dilihatnya tadi. Diri Zali kuat merasakan bahawa perempuan itu pernah dikenali atau ditemuinya. Ini bukan dejavu kerana Zali pasti bahawa perempuan itu tidak pernah muncul di dalam mimpinya.
Tetapi ingatan itu tidak datang-datang. Oleh kerana malas hendak mengingati lanjut, Zali kini membaca suratkhabar.
Gunung Jerai itu kelihatan jelas kerana matahari memancar terang. Puncak tertinggi di utara itu nampak berdiri gagah sambil menghantarkan misteri. Puncak tertinggi itulah yang sedang diamati oleh Ana. Berasa takjub dengan panorama yang terbentang di hadapannya. Puncak itu jarang dapat dilihatnya selama ini. Puncak itu selalu tak dapat dikesan mata dengan kehadiran sedikit kabus atau gelap.
Kini mata Ana merayap pula di sekitar pelabuhan. Dua buah kapal kargo sedang berlabuh di pelabuhan. Muatan kargonya sedang dipunggah oleh beberapa buah crane raksasa. Sebuah kapal tangki pula sedang berlabuh di depoh minyak. Pemandangan itu juga indah untuk Ana. Keindahan itu menendang segala gelisah yang bersarang di hatinya tadi. Dan lebih merasa tenang bila sesekali badannya dibelai oleh angin nyaman selat yang galak berpuput lembut.
Dan tiba-tiba pandangan Ana terganggu. Terganggu oleh Pulau Rimau, sebuah feri yang berselisih dengan Pulau Talang-Talang itu. Beberapa orang yang bersidai di tingkat atas Pulau Rimau itu melambai ke arah pelancong-pelancong asing Eropah yang masih berdiri itu. Pelancong-pelancong asing Eropah itu membalas lambaian itu. Kemudian mereka tersenyum sambil bercakap sesama mereka. Bercakap tentang keramahan rakyat Malaysia yang tidak lokek dengan suara dan senyuman itu.
Pandangan Ana tidak ke bahagian kanan lagi. Kini Ana memandang ke hadapan. Mula menyedari Pulau Talang-Talang sudah semakin mendekat Pangkalan Raja Tun Uda. Ternampak Komtar yang berdiri gagah. Dan di belakang Komtar, bangunan UMNO yang berdiri megah. Selepas itu, Ana melihat jam tangan. Sudah pukul 1.20 petang. Rasa-rasanya dia tidak akan lewat. Atira tentu tidak akan menantinya lebih lama di sebelah sana.
Feri semakin merapat ke Pengkalan Raja Tun Uda. Dan kemudian badan feri itu terhantuk tebing pangkalan itu.
Zali yang baru tersedar Pulau Talang-Talang sudah merapat ke pengkalan kelam kabut melipat suratkhabar yang dibacanya itu. Bergegas ke tangga dan tiba-tiba matanya terpandang berita di ruang belakang suratkhabar itu. Berita tentang pemain tenis wanita rusia, Anna Kournikova. Dan serta merta ingatannya segar semula. Terkenang peristiwa-peristiwa di wad ortopedik Hospital Daerah Bukit Mertajam, lebih setahun lepas. “Ana, Khairul,” kata Zali perlahan. Barulah disedarinya perempuan berwajah lembut dan ayu tadi ialah Ana, kakak Khairul. Zali menoleh, melihat segerombolan manusia yang sudah mula keluar dari feri. Tanpa lengah Zali bergegas mencari Ana. Perempuan itu belum dinampaknya.
Zali mempercepatkan langkah, melilaukan mata di celah-celah manusia dan bernasib baik kerana ternampak baju kurung merah jambu yang dipakai Ana. Tetapi Ana sudah jauh di hadapan, sudah keluar dari feri. Sedang Zali masih terkial-kial mencelah-celah orang ramai untuk keluar segera dari feri itu. Tiba-tiba telinganya tertangkap bising hon di tingkat bawah. Serta merta teringatkan Mokhtar di tingkat bawah. Zali menyeluk poket seluarnya, mencapai telefon bimbit dan menelefon Mokhtar sambil berjalan pantas. Kini matanya tidak dapat melihat kelibat Ana lagi. Ana hilang ditelan kerumunan orang ramai yang sedang berjalan di laluan pejalan kaki menghala ke pondok bas.
“Hoi, di mana?! Terjun laut ke?” tanya Mokhtar yang resah menunggu Zali. Beberapa buah kereta di belakang sudah menghon berbelas kali. Dan kini dia diarah oleh seorang pekerja PPSB supaya segera beredar dari situ.
“Aku di atas. Ada hal penting. Engkau jalan dulu. Ambil aku di pondok bas di depan,” beritahu Zali, nampak semula kelibat Ana yang nampaknya semakin jauh meninggalkannya.
“Hal apa?” tanya Mokhtar. Diarah sekali lagi oleh pekerja PPSB itu supaya dapat beredar dari situ. Kereta-kereta di belakang terus menghon.
“Nanti aku cerita. Ambil aku di pondok bas. Okey,” kata Zali.
“Okey, okey,” jawab Mokhtar, mematikan telefon lalu menggerakkan Kancil dan keluar dari feri itu.
Laluan pejalan kaki itu sempit. Tiada ruang untuk memotong sesuka hati. Tambahan pula jika ada dua tiga orang di depan yang berjalan seiringan. Zali terpaksa mengikut rentak tiga orang perempuan yang berjalan seiringan itu. Mengeluh pendek di mulut dan mendengus pendek di dalam hati. Ketika Zali mengeluh dan mendengus itu, kelibat Ana hilang lagi dari pandangannya. Zali sudah sampai di bahagian deretan kedai kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman ringan itu. Matanya meliar mencari Ana dan tiba-tiba ternampak Ana sedang masuk ke dalam sebuah Wira hitam. Zali cuba berlari anak ke sana tetapi kecewa kerana Wira itu sudah pun beredar laju dari situ.
Zali mengeluh panjang dan akhirnya membawa diri ke pondok bas, ternampak kereta Mokhtar sudah pun berada di belakang sebuah buntut bas. Cepat ke situ dan masuk ke dalam kereta.
“Apa hal?” tanya Mokhtar sebaik Zali masuk.
Zali tersenyum. “Minta maaf banyak-banyak. Aku nampak Ana tadi,” jawab Zali, menarik tali pinggang keledar dan memakainya.
“Ana yang mana?” tanya Mokhtar.
“Perempuan di hospital dulu,” jawab Zali. Pernah bercerita tentang Ana kepada Mokhtar.
“O. Aku ingat, aku ingat. Perempuan yang ambil berat tentang engkau di wad dulu kan?” Mokhtar ingat semula. Zali memang selalu memuji Ana di depannya dulu. Memang bercita-cita untuk menemui perempuan itu di awal sembuh dulu. Tetapi cerita itu diam sahaja selepas beberapa lama.
Zali mengangguk. “Macam bidadari,” bisik Zali tiba-tiba. Kata-kata itu entah bagaimana dan mengapa terlepas dari mulutnya.
“Apa? Macam bidadari?” tanya Mokhtar yang mendengar.
Zali tersengih. Tak menyangka Mokhtar mendengar kata-katanya itu.
“Bertemu bidadari dalam feri?” tanya Mokhtar, tergelak, berseloroh.
Zali tersengih juga.
“Kawan, sekarang siang, belum malam lagi. Masih terlalu awal untuk bermimpi. Atau engkau boleh bermimpi dalam jaga? Atau mungkin sedang berhalusinasi? Eh, usah bermimpi di siang harilah,” sambung Mokhtar, mengusik.
Zali menggaru kepala. Ah, jikalah Ana itu bukan manusia, tentunya dia bidadari yang diturunkan oleh Tuhan dari syurga. Ah, jika ini mimpi tentulah ianya mimpi yang indah sekali, detik hati Zali.
No comments:
Post a Comment