8.3
Cerpen abangnya itu benar-benar menusuk kalbu Zali. Begitu berkesan
hingga Zali termimpikan Mak Su malam tadi. Mak Su yang dalam pakaian serba
putih dengan wajah bercahaya dan berseri sedang memerhati dan tersenyum
kepadanya tanpa sepatah kata. Kesannya, sebaik celik mata, Zali terus ambil
keputusan untuk pulang ke kampung hari itu juga. Memohon cuti selama seminggu.
Pihak pengurusan Bina Maju segera meluluskan permohonannya itu kerana ini kali
pertama Zali memohon cuti. Alhamdulillah kerana kesihatannya baik sepanjang
hampir dua tahun bekerja di situ. Dia komited dengan kerjanya sekarang. Tidak
mahu mengulangi kesilapan lama. Berjaya memisahkan soal kerja dan soal
peribadi. Seseorang tidak akan maju dalam kerjaya jika selalu membawa hal
peribadi di dalam kerja. Dia mahu menjadi profesional.
Simpang empat – Parit Buntar – Pantai Remis – Segari – Batu 5 –
Simpang Tiga – Pekan Bagan Datoh – dan akhirnya Kampung Teluk Penikam. Zali
sampai juga ke kampung halamannya setelah memandu lebih empat jam dari Bukit
Tengah. Teluk Penikam, kampung asalnya yang telah ditinggalkannya bertahun
lama.
Kini, Zali sedang berada di dalam Iswaranya. Kereta itu
diberhentikannya di bahu jalan. Mata Zali menyerkupi segala apa yang ada di
sisi kanannya. Sebuah rumah, sebuah halaman rumah, sebuah pangkin, sebatang
parit dan sebuah titi.
Rumah itu sudah lain. Bahagian dapurnya sudah diperbesarkan. Halaman
rumah itu pula lebih indah dari dahulu. Berpuluh pokok bunga kertas ditanam di
dalam pasu bunga yang berbaris di kiri kanan halaman rumah itu. Semua bunga
kertas pelbagai warna sedang berbunga. Ada bunga kertas yang berwarna merah,
ungu, putih, merah jambu dan biru yang sedang mekar. Pokok bunga raya ditanam
di kiri kanan titi. Bunga raya berwarna merah itu kini banyak yang sedang
mekar. Zali merasa dirinya sedang disambut oleh bunga-bunga itu. Dulu, halaman
rumah itulah tempat permainannya bersama rakan-rakan sekampung. Di situlah
pesta guli, gasing, tuju kasut, galah panjang, cakar ayam, tuju tin, tarik upih
dan lain-lain berlangsung. Hampir semua anak-anak sebaya di kampung itu akan
berkumpul di situ untuk bermain setiap petang. Memang ada pasu bunga yang
terpecah tetapi leteran emaknya tidak sampai mengharamkan halaman rumah itu
dari terus digunakan untuk bermain. Dan kini tradisi itu nampaknya masih
diteruskan. Lima belas biji tin yang disusun seperti piramid di atas pangkin di
bawah pokok rambutan itu membuktikannya. Barangkali anak-anak abangnya yang
mewarisi tradisi itu.
Kemudian mata Zali melekat kepada sebatang pokok kelapa renik di tepi
kanan halaman rumah itu. Sebatang pokok kelapa renik yang segera menghantar
nostalgia kepadanya. Dulu, pokok kelapa renik itulah yang selalu dipanjatnya.
Menggagai pantas untuk mengambil kelapa muda bagi diminum air manisnya dan
dimakan isi lemaknya. Dan di situ jugalah dia terjatuh pokok hingga punggungnya
sakit kerana terhentak perdu pokok kelapa renik itu. Masa itu batang pokok
kelapa itu licin kerana baru lepas hujan.
Parit itu hampir dilimpahi air. Titi itu pula sudah separas hidung.
Hujan turun sehari suntuk semalam. Semua pokok, rumput dan tanah basah oleh air
hujan. Dulu, di parit itulah dia berkubang bersama rakan-rakan sekampung.
Mendayung sampan ayah Manap Buncit untuk menyusuri parit. Berlabuh di tebing
yang didiami oleh sebatang pokok macang yang besar. Terjun ke parit dengan
pelbagai gaya dari dahan-dahan pokok macang yang terjulur di atas parit itu.
Tiba-tiba hujan menderu dan kenangannya di parit itu pun terganggu.
Zali terus sahaja duduk di dalam Iswaranya. Masih mengumpul kekuatan
untuk melangkah ke halaman rumah itu, seterusnya memberi salam dan berjumpa
dengan abang, kakak ipar dan anak-anak saudaranya. Zali tenung rumah pusaka itu
semula.
Dan tiba-tiba dari dalam rumah itu keluar beberapa orang anak-anak
kecil. Mereka berdiri sebaris sambil melihat ke arah Iswara Zali. Zali kaget
seketika. Menjadi lebih kaget bila ternampak seorang perempuan dalam lingkungan
pertengahan tiga puluhan keluar dan berdiri di belakang anak-anak itu. Itulah
isteri abangnya, kakak iparnya, yang dulu pernah dipanggilnya Kak Yati.
Seorang anak lelaki, yang paling tinggi dan besar, bercakap sesuatu
dengan Hayati. Hayati mengangguk dan serentak itu anak lelaki itu mencapai
payung yang tersangkut di dinding luar rumah. Kini anak lelaki itu berjalan di
dalam hujan, mengarahkan kakinya ke Iswara Zali. Zali yang melihat kedatangan
anak lelaki itu segera merapikan diri. Tidak mahu anak saudaranya itu
melihatnya di dalam keadaan kusut masai. Sebelum anak saudaranya itu sampai,
Zali keluar kereta terlebih dahulu. Butir-butir hujan yang besar menerpa kepala
dan badan Zali. Basah kuyup ketika anak
saudaranya itu tiba di depannya. Tanpa bertanya apa-apa, Zali terus
memeluk anak saudaranya itu. Anak saudaranya itu terkejut, meronta-ronta dan
dilepaskan Zali. Kemudian anak lelaki itu berlari laju kembali ke rumah.
Hayati menyambut anak sulungnya itu dengan tergesa-gesa. Memerhati
Zali dari jauh. Tetapi tidak dapat mengenali adik iparnya itu kerana
rintik-rintik hujan semakin melebat. “Kenapa Ahmad? Kenapa Ahmad?” tanya Hayati
sambil melihat muka anak sulungnya yang sudah pucat pasi itu. “Mak, pakcik tu
terus peluk Ahmad dan dia menangis,” jawab Ahmad. Adik beradiknya melongo. Dan
kini mereka sama-sama melihat ke arah Zali yang sedang dibantai rintik-rintik
hujan yang makin lebat itu.
Ketika Zali baru mahu melangkah ke rumah pusaka itu, tiba-tiba
terdengar derum kereta tenggelam timbul dalam desah hujan dan desir angin.
Kereta itu berhenti di tepi Zali. Tingkap kereta itu dibuka dan tersembul muka
Zainal dari dalam kereta. Zainal buka matanya luas-luas. Cuba mengenali muka
basah yang ditutupi sebahagiannya oleh rambut basah itu. Tiba-tiba hatinya
menjerit dan darahnya berderau.
Zainal keluar dari kereta dan terus memeluk Zali. Kedua adik beradik
itu saling berpelukan. Kerinduan dilepaskan semahu-mahunya. Air mata yang asin
bergaul mesra dengan air hujan.
“Adik, adik, engkau kembali juga,” kata Zainal.
Zali mengangguk, terus menangis.
Dan Hayati bersama anak-anaknya datang menghampiri dua beradik yang
bersatu semula selepas sekian lama itu.
Kawasan Perkuburan Islam Bagan Datoh itu sunyi sahaja seperti
kawasan-kawasan perkuburan lain di dalam dunia ini kecualilah pada hari raya
atau hari-hari ada kematian. Beribu batu nisan yang tegak kukuh dan condong
lemah menunjukkan betapa ramai warga
Bagan Datoh itu yang sudah kembali kepada Tuhan. Berpuluh pohon kemboja dan
pokok puding tumbuh subur di merata tanah perkuburan itu. Zali sedang duduk
bersila di depan sebuah kubur yang batu nisannya tertulis ‘Naimah binti
Rahmah’. Di situlah kubur emaknya, Naimah atau lebih dikenali dengan panggilan
Mak Su di kalangan penduduk Kampung Teluk Penikam. Di kepala dan kaki kubur itu
tumbuh segar pokok-pokok kemboja yang sedang berbunga.
Menemani Zali ialah Zainal
dan Ahmad. Masing-masing membaca surah Yasin. Bila Yasin itu habis dibacakan,
secerek air bercampur pelbagai jenis bunga dicurahkan ke atas kubur itu.
Selepas itu Zainal dan Ahmad pun beransurlah pergi dari kubur itu. Meninggalkan
Zali yang masih mengadap kubur itu seorang diri.
Zali yang sudah pun menitis air matanya semasa mula-mula menjejakkan
kakinya ke tanah perkuburan itu kini menangis lagi. Sebak dan merasa terharu
kerana emaknya sanggup mengampuni dosa-dosa yang pernah dilakukannya dahulu.
Jikalah tidak kerana kedegilannya dahulu barangkali mereka semua akan bahagia.
Cerita emaknya mahu menjodohkannya dengan anak dara kenalan lamanya juga sudah
diberitahu oleh abangnya semalam. Alangkah baiknya jika emaknya sempat melihat
dia mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati emaknya itu. Tetapi Zali percaya
yang emaknya pasti
bersetuju dan berkenan dengan pilihan hatinya sekarang. Ana ada
segala-galanya untuk menjadi kekasih, isteri, menantu dan ibu yang baik.
“Emak … Zali datang ni,” kata Zali, bercakap seperti Mak Su ada di
depannya. Angin mendesir, sejuk dan lembut. Dua tiga kuntum bunga kemboja yang
putih itu gugur seperti emping salji, mengindahkan lagi kepala dan kaki kubur
Mak Su.
Zali mengesat air matanya. “Ampunkan Zali, mak. Emak, Zali sayangkan
emak. Emak, Zali menyesal,” kata Zali lagi. Air matanya menitis lagi. Dikesat
lagi sebelum menyambung kata. “Sekarang, Zali baru kenal yang mana permata dan
yang mata kaca.”
Tiba-tiba suasana sepi dan menyayukan. “Mak, terima kasih kerana
maafkan segala dosa Zali. Mak, Zali akan berusaha jadi orang yang baik. Berguna
untuk agama, bangsa dan negara,” sambung Zali, membuat janji.
Tiba-tiba hujan rintik turun.
“Mak, Zali pergi dulu. Dan lain kali Zali akan datang dengan Ana,
bakal menantu mak. Dia baik mak,” kata Zali.
Kemudian, Zali beredar dari situ dengan perasaan sedih dan gembira
yang bercampur baur. Sedih kerana mengetahui hakikat emaknya sudah meninggal.
Gembira kerana akhirnya dia dapat juga ‘bertemu’ dengan emaknya.
No comments:
Post a Comment