5.6
Mengasingkan diri – bermenung – bermurung – menangis.
Itulah sekitar hidup Zali sejak beberapa bulan itu. Perutnya kurus nipis kerana tidak berselera menjamah makanan. Matanya cekung dan sebam kerana kurang tidur dan asyik menangis. Bibirnya kering dan pecah-pecah kerana jarang meneguk air. Semua itu disebabkan hatinya yang sudah remuk. Zali sudah tidak pedulikan dunia. Dendamkan kehidupannya dan kepinginkan sebuah kematian.
Perkembangan itu menyebabkan Mokhtar gundah gulana. Dalam seminggu itu, sudah empat kali didengarnya Zali meracau dan dua kali mengingau – memanggil nama Natasha dalam kesayuan, memaki Natasha dalam kemarahan, ketawa dan menangis tidak tentu pasal. Dan kini, Zali kerap meminta mati pula. “Aku nak mati. Biar aku mati.” Kata Zali semalam ketika Mokhtar cuba menyuap nasi ke dalam mulut Zali untuk mengisi perut yang semakin meleper itu.
Pintu kamar tidur diketuk. Mokhtar menolak pintu kamar itu, masuk ke dalam, menggeleng kepala bila melihat Zali sedang berkerekot di atas katil. Kamar itu sangat busuk sehingga memaksa Mokhtar menahan diri dari sentiasa menarik nafas. Mokhtar mendekati katil, duduk di sebelah Zali yang sedang bermenung. Pipi Zali basah.
Walaupun mendengarnya tetapi Zali tidak menyahut.
“Zali, engkau dah makan?” tanya Mokhtar, melihat bekas polistirena putih berisi nasi ayam di atas meja sisi. Nasi ayam itu baru dibelinya tadi.
Zali tidak menjawab. Mata kuyunya memaku ke arah sebuah gambar yang merakam saatnya bersama Natasha di atas feri. Gambar itu masih tersimpan kemas dalam
sebuah bingkai gambar kayu yang terletak di atas meja sisi. Ia menjadi perhiasan paling berharganya sejak sekian lama. Sebenarnya Zali seperti hidup di atas nostalgia sekarang. Sebahagian dirinya tidak di realiti.
Mokhtar memeriksa isi bekas polistirena itu. Nasi ayam itu belum disentuh. Keluhan pendek keluar dari dalam dadanya. Lantas mengambil keputusan untuk menyuap nasi ayam itu ke dalam mulut Zali. Zali wajib makan. Jika tidak Zali mungkin mati disebabkan kebuluran yang sengaja dicipta sendiri. Itu namanya bunuh diri. Dan Mokhtar tidak rela melihat Zali mati dengan cara begitu. Bunuh diri ialah mati yang tidak bermaruah. Mati yang tidak mungkin dapat mencium bau syurga. Mokhtar mendekatkan hujung sudu yang diisinya dengan nasi ayam itu ke mulut Zali. Tetapi Zali tidak mahu membuka mulutnya. Menyebabkan Mokhtar terpaksa menojah hujung sudu itu ke dalam mulut Zali. Zali tidak menelan nasi ayam yang masuk ke dalam mulutnya itu. Diludahnya nasi ayam itu ke atas tilam perlahan-lahan.
“Kenapa dengan engkau ni, Zali?” tanya Mokhtar, kecewa dengan sikap Zali yang membuang hidup itu. “Aku tahu engkau sedih sebab kehilangan Natasha. Tetapi begini bukan caranya untuk atasi kesedihan. Kesedihan yang menyakitkan itu sepatutnya engkau jadikan azimat untuk berjaya dengan cemerlang dalam hidup!” tegas Mokhtar, memberi nasihat yang entah ke berapa kali.
Zali terus membisu. Apa jua nasihat seperti tidak berjaya membangkitkan kesedarannya.
“Engkau tak harus kalah pada perempuan jahat seperti tu,” kata Mokhtar, mengambil bingkai gambar kayu itu dan menunjuk ke gambar Natasha. “Orang yang
pengecut saja yang sanggup mengalah pada kejahatan!” sambung Mokhtar lagi. Merasa tugas untuk menyedar dan memulihkan Zali terpikul di bahunya. Mokhtar tiada nombor telefon atau alamat rumah keluarga Zali. Dan ketika ditanya tentang keluarganya, Zali diam seribu bahasa. Semua cerita Natasha dan Zali berada di dalam poketnya. Selama ini memang dia ada memberi nasihat kepada Zali supaya tinggalkan saja Natasha kerana banyak mendengar cerita yang kurang baik tentang Natasha. Tetapi nasihatnya itu dipandang sepi oleh Zali. Bagaikan menuang air di atas daun keladi.
Zali terus membatu. Walaupun bingkai gambar kayu itu diambil Mokhtar tetapi pandangannya tetap di tempat yang sama.
“Bangun, bangun Zali! Sedar, sedarlah Zali! Hadapi realiti hidup dengan berani! Tiada manusia yang malaikat! Anggap saja Natasha itu syaitan!” kata Mokhtar lagi sambil menggoncang badan Zali. Bila mendapati Zali seperti tidak berperasaan, Mokhtar mula merasa sebak. Kemudian sebaknya menghadirkan esak dan tangis. Tiba-tiba loceng rumah berbunyi.
Mokhtar keluar dari kamar itu, menuruni tangga untuk ke tingkat bawah dan membuka pintu rumah. Dua orang lelaki bertubuh sasa dan bermuka agak bengis berdiri gagah di depannya. Mokhtar tidak mengenali lelaki-lelaki itu lalu bertanya hajat mereka ke situ. Lelaki-lelaki itu memperkenalkan diri sebagai wakil dari pihak bank untuk menarik kereta Zali. Bayaran ansuran bulanan kereta Zali itu sudah tertunggak selama empat bulan.
Selepas meneliti surat pengesahan dari pihak bank, Mokhtar naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan Zali. Zali mudah menyerahkan kunci keretanya kepada Mokhtar
tanpa banyak soal. Kemudian Mokhtar turun semula ke tingkat bawah. Cuba merayu kepada lelaki-lelaki itu tetapi gagal. Mereka hanya menjalankan tugas. Jika mahu kereta itu semula, Zali bolehlah menebus kereta itu dari bank, kata salah seorang dari lelaki sasa itu.
Kereta Zali pun ditarik.
No comments:
Post a Comment