Pages

Friday, December 7, 2012

TLC 13




8.2

Selepas beberapa hari barulah Zali mempunyai masa lapang untuk membaca cerpen di dalam Mingguan Malaysia yang diberi oleh Ana itu. Dia segera membuka ruangan sastera yang diisi oleh sebuah cerpen bertajuk ‘Pulanglah Adik.’ Lantas mula membaca cerpen itu tanpa melihat nama penulisnya.
Seluruh cerpen itu :

Resah mengerumus malam ini. Bulan penuh sayu. Cengkerik berlagu pilu. Seisi rumah dilatari udam penuh duka. Abang sedang duduk di sisi ibu. Yasin baru usai dibacakan. Putik-putik haruman kesturi tiba-tiba menujah hidung. Lalu imej-imej silam pun mengembang jelas di dalam kanta berkristal.
Ibu melunaskan janjinya. Kita sangka ibu lupa tetapi sebenarnya tidak. Semua keperluan sekolah sudah dibeli oleh ibu siang tadi. Segalanya serba baru. Bermula dari baju hingga ke kasut sekolah. Dan dari pensil ke buku tulis. Wang ibu melayang beratus ringgit. Malam itu kita sibuk mencuba baju sekolah baru. Kemudian leka menyusun alat-alat tulis baru di dalam bekas pensil baru. Bekas pensil kita bertingkat dan besar. Paling canggih dan mahal. Kita yang memilihnya dan ibu menyetujui saja. Abang lihat adik begitu gembira, kita gembira. Ibu yang melihat gelagat kita tersenyum puas.
Seminggu lagi. Abang di tahun keenam dan adik pula kali pertama menjejak kaki ke sekolah. Namun buku-buku teks sudah mula diguna oleh kita. Ibu jadi guru mula. Bilik tidur kita jadi kelas awal. Di situlah kita mula mengenal huruf dan angka dulu. Saksi bila kita dapat membaca, menulis dan mengira. Pada usia enam tahun, 3M yang asas itu sebati sudah dengan kita. Ibu guru yang garang dalam penyayang. Jika silap, tapak tangan tetap merah dimamah rotan. Tetapi hati ibu kerap juga tersentuh. Terutama bila kita bengap pada sesetengah pelajaran. Air mata ibu mudah gugur. Kelas hari itu akan terhenti. Tetapi ibu tidak pernah putus asa dan merungut. Menyumpah jauh sekali. Ibu faham bahawa setiap kata yang keluar dari mulutnya untuk anaknya adalah doa. Esok, kelas bersambung semula. Ibu benar-benar mahu menyiapsiagakan kita sebelum sesi persekolahan bermula. Ibu mahu kita berada di hadapan berbanding budak-budak lain.
Hari bermakna buat kita pun tiba. Ibu mengejutkan kita dari lena. Kita bangun, kemudian mandi, lalu memakai baju sekolah baru. Tidak sabar hendak memperagakan baju sekolah baru itu di depan rakan-rakan. Bagi kita awal sekolah hebat bila segalanya baru. Dan ibu tahu itu.
Ibu menghantar kita ke sekolah dengan kereta. Di dalam perjalanan ibu memberi pesanan. Khusus untuk adik : Ramai kawan. Cikgu baik. Usah takut. Khusus buat kita : Hormati guru. Belajar rajin-rajin. Tetapi bila sampai waktu, adik menangis juga. Terpaksalah ibu menunggu adik hingga waktu terakhir.
Kita pulang. Mandi, makan tengahari, bersolat Zohor dan kemudian berehat sebentar sebelum ke sekolah agama pada jam dua petang. Di sekolah agama, ibu terpaksa juga menemani adik hingga waktu terhujung. Adik takut hendak berenggang dengan ibu pada hari pertama dan lima hari selepasnya itu. Jam lima, ibu mengajar kita mengaji Quran dan Muqaddam di rumah. Selepas rehal dilipat dan disimpan di atas almari, kita pun dibenar oleh ibu untuk bermain di halaman rumah.
Selepas bersolat Maghrib, kita berlumba menyiapkan kerja sekolah. Seterusnya mengulangkaji pelajaran sebelum menonton telivisyen. Ibu tak pernah menyekat kita menonton rancangan kegemaran kita. Bersolat Isyak bila masuk waktu. Dan penghujung malam bagi kita pada jam sepuluh setengah dengan diiringi dodoian ibu. Nasyid-nasyid dari kumpulan Al-Suraya menjadi pilihan ibu. Bilik kita mula sunyi bila jam sebelas
malam. Sebenarnya ibu tidak pernah tidur awal sebelum kita walaupun sekali. Bila subuh esok menjelma, ibu bangun dulu untuk mengejutkan kita seperti selalu.
Kita tinggal di asrama bermula dari tingkatan satu. Ibu ditinggalkan seorang diri. Pengorbanan ibu berbaloi. Kita mendapat 8A. Baik untuk PMR atau SPM. Keluarga kita jadi idola saudara mara dan orang kampung. Abang ke universiti tempatan. Tolak segala tawaran belajar ke luar negara. Tetapi adik sebaliknya. Di lapangan terbang, tangisan ibu mengiringi adik terbang ke Amerika Syarikat. Sepanjang adik di sana banyak kali abang terserempak ibu menangis. Selalunya bila adik mengadu sakit demam, selesema, terseliuh dan lain-lain.
Seminggu ibu menemani adik di sekolah. Enam tahun ibu berembun menghantar kita ke sekolah. Lima tahun ibu ditinggalkan seorang diri. Lima tahun ibu menanti kepulangan adik dari luar negeri. Ah, tentunya sukar bagi seorang ibu tunggal seperti ibu.
Mata abang menakung air.
Razif, sepupu kita, memanggil abang. Ada tetamu datang. Abang harap hanya seorang. Terpelecok ketika berdoro laju di celah-celah kesesakan orang. Sampai di halaman rumah, perasaan hampa pun menerkam. Pak Imam Leman, jiran kita, yang datang melawat. Orang tua itu masuk untuk melihat ibu. Abang pula duduk di tangga rumah. Meranggul ke langit yang berbulan penuh sunyi. Nyanyian cengkerik terdengar gelisah. Imbasan silam yang tadi terputus bersambung semula.
Besok awal Ramadhan. Kita akan mula berpuasa. Malam itu kita mula berterawih. Pada awalnya hanya mampu lapan rakaat. Tetapi lama kelamaan dua puluh satu rakaat bukan lagi masalah. Ibu bertadarus dan kita ikut serta. Itu berkat didikan ibu.
Bersahur ibu yang mengejutkan. Lauk kegemaran kita sudah sedia terhidang. Baru dimasak oleh ibu khas untuk membuka selera kita. Kita makan banyak. Waktu berpuasa penuh dugaan. Dua tiga kali kita mencuri minum. Dapat ditangkap ibu dan diberi nasihat. Bercakap benar. Andai tidak tahan berbukalah. Setahun dua mencuba akhirnya kita berjaya berpuasa penuh. Ganjaran ibu mungkin mendorong kita. Seringgit untuk sehari berpuasa. Bila usia semakin meningkat, upah bukanlah lagi matlamat utama. Kewajipan yang kita dokong.
Waktu berbuka penuh nikmat. Bila azan Maghrib berkumandang itulah tanda kemenangan untuk kita yang bersabar menghadapi dugaan. Kita bermula dengan doa berbuka, diikuti kurma dan disusuli dengan tegukan air. Kita bermula dengan makanan yang ringan dahulu. Waktu ini kuih kegemaran kita menjadi santapan kita terlebih dahulu. Badak berendam untuk abang dan lepat labu untuk adik. Kita menjamah nasi hanya selepas bersolat Maghrib.
Kita mengejar Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Ibu tekun memperbanyakkan ibadah. Berharap dapat bertemu malam seribu bulan itu. Belum pun lepas jam dua belas tengah malam, kita tersungkur berdengkur sedang ibu masih di atas sejadah.
Satu syawal esok hari. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu baru mengumumkannya. Kita dan semua sepupu bersorak riang. Halaman rumah opah diterangi oleh percikan bunga api. Langit diselubungi tasbih, tahmid, takbir, selawat dan doa kepada Allah. Di belakang rumah, ketupat, lemang, rendang tok, ayam merah dan
bermacam juadah hari raya sedang dimasak. Perasaan gembira dan sedih bercampur gaul di malam itu.
Sebelum ke masjid kita menjamah hidangan bersama sanak saudara. Kita memakai baju melayu baru siap dengan sampin dan songkok baru. Selepas ke masjid kita ke kubur ayah dan atuk. Kemudian bermaaf-maafan sesama sanak saudara dan jiran terdekat sebelum terus ke rumah nenek pula, ibu ayah. Besoknya, baru kita berpeluang beraya sendiri tanpa ibu. Banyak duit raya yang kita dapat. Semuanya ibu simpankan di dalam akaun Bank Simpanan Nasional kita.
Hayati, isteri abang, memanggil abang masuk ke dalam bilik. Ibu terbaring lemah. Tangan ibu menggamit lesu. Abang mendekati dan duduk di sisi ibu. Mulut ibu kumat kamit berkata sesuatu. Tersekat-sekat dan tidak jelas. Abang melekapkan telinga ke mulut ibu. Rupa-rupanya ibu hendak ke bilik air. Abang mendukung ibu ke bilik air dengan berhati-hati.
Ibu ingin mandi. Abang mandikannya. Setiap kali air dari gayung mencurah badan ibu, hati abang disentuh pilu. Kenangan ibu memandikan kita menobros ke sukma abang. Belum sempat air mata gugur, abang pantas menyapunya di mata. Khuatir ibu menyedari, desakan pilu itu abang redakan. Selepas mandi, ibu mengambil wuduk. Sebentar kemudian ibu terlantar semula di atas katil. Mendirikan solat Isyak.
Abang ke halaman rumah semula. Suara cengkerik yang tadi gelisah kini menyayukan pula. Angin bertiup lembut. Haruman kesturi memecahkan wangi yang misteri puncanya. Orang berbisik-bisik.
Abang duduk pula di pangkin dan kenangan pun berkembang semula.
Kepulangan adik dari luar negara disambut gembira oleh ibu. Kenduri kesyukuran diadakan secara besar-besaran. Kami bangga kerana adik berjaya membawa pulang segulung ijazah universiti terkemuka. Kemudian adik pun bekerja di Pulau Pinang. Tak lama kemudian adik mula bermain cinta. Detik hitam pun menitis. Setitik demi setitik.
Hingga di situ sahajalah bahagia kita. Sejak adik melangkah keluar tanpa salam tiada kenangan indah yang mampu dicipta lagi. Ibu putih mata. Abang makan hati. Luka ini belum mahu mati.
Apa yang menyebabkan adik terlara? Keengganan ibu membenarkan adik bekerja di Pulau Pinang? Atau keengganan ibu menerima kekasih adik? Tentulah ibu ada sebabnya. Pasti juga ada rahsianya. Rahsia dari sejuta rahsia yang tidak mungkin dapat dibongkari oleh kita. Cukuplah sekadar kita tahu bahawa semua tindakan ibu kerana sayangnya kepada kita.
Atau barangkali ini : “Ibu pilih kasih!” Kebebasan memilih hanya untuk abang : tempat kerja, kerja dan isteri. Itukah? Ah, adik, adik. Bagaimana adik boleh terbabas hingga ke situ? Selama ini ibukan bersikap adil. Ibu juga terima kita seadanya sejak kita di dalam rahimnya. Biar pun ibu belum melihat wajah kita, cacat atau tidaknya kita, namun cinta murninya sudah ditumpahkannya kepada kita. Sembilan bulan ibu mengandungkan kita. Berdoa setiap hari, siang malam, agar kita selamat lahir ke dunia. Kelahiran adik paling sukar kerana distosia. Adik hampir lemas kerana hyproxia. Bila tangisan adik bergema, ibu menangis syukur. Ayah melaungkan azan di dalam tangis. Pak Long mengisahkan ini. Bukan ibu.
Atau mungkin : “Siapa saya sebenarnya?” Mengucaplah adik. Kita berdua anak ibu. Di dalam darah kita, darah ibu mengalir. Pada wajah kita, wajah ibu tercermin. Pada suara kita, suara ibu terselit. Tiada siapa yang dapat menafikan hakikat ini.
Jika benar adik menganggap ibu bersalah, bersalahlah ibu walaupun itu salah. Andai ya pun, kesalahan ibu hanyalah sekelumit berbanding selangit kesalahan yang pernah kita lakukan terhadap ibu. Tidakkah setitik hitam boleh dihapuskan oleh selaut putih? Apa pernah kita belikan baju baru untuk ibu? Sanggupkah kita bangun awal pagi untuk mengejutkan ibu? Nyenyakkah tidur ibu? Buat sarapan? Ke pasar? Bikin makanan kegemaran ibu? Dan pelbagai perkara lain yang kita tidak pernah ambil tahu. Kita hanya tahu meminta dan menyoal. Agak janggal untuk menuduh ibu itu dan ini sedang kita tidak pernah mengenali dirinya sepenuh hati.
Syurga di bawah tapak kaki ibu. Derhaka terhadap ibu neraka menunggu. Taat terhadap ibu pintu syurga terbuka. Adik juga tahu itu. Jadi mengapa adik masih berpaling?
Masih ingatkah adik pada kisah Malin Kundang yang pernah diceritakan oleh ibu dulu? Kisah anak derhaka yang disumpah menjadi batu itu. Atau kisah Alqamah yang terseksa di ambang maut? atau kisah Jahimah yang ingin ke medan perang?
Bahagiakah adik? Abang dengar adik menderita. Kekasih adik sudah meninggalkan adik. Adik menunggu mati kerana kecewa yang mencengkam. Kerana itukah adik malu hendak pulang?
Usah malu untuk pulang kerana kitakan sekeluarga. Keluarga yang pernah bahagia dan dikurniakan manis dalam segala. Bahagia dan manis itu masih wujud asalkan
adik kembali. Masih belum terlewat untuk mengembalikan apa yang pernah kita miliki dahulu. Benar, zaman kanak-kanak dan remaja yang indah itu tidak mungkin dapat dirasai oleh kita lagi. Tetapi kita masih boleh mencipta waktu-waktu indah lain untuk dewasa ini. Pokoknya pulanglah.
Sudah terlalu lama adik pergi. Sudah sampai waktu adik kembali. Abang yakin yang adik masih ingat jalan pulang. Masih ingatkah adik pada kata-kata ibu : “Sejauh mana kita pergi kita pasti kembali. Yang mengembara akan pulang. Yang merantau rindukan halaman. Hidup ini bulatan. Permulaan itu hujung. Dan hujung adalah permulaan.”
Sudah ke serata tanah abang cuba menjejaki adik. Tidak jumpa. Khabar terakhir adik di luar negara. Benarkah? Tetapi sebulan sebelum ibu jatuh sakit, kata ibu dia bertikam jejak dengan adik di Hutan Melintang. Cuba mengekori tetapi terlepas kerana dihalang kesesakan lalulintas. Benarkah? Sudah pulangkah adik?
“Ayah, ibu panggil. Opah! Opah!” Ahmad, anak sulung abang menjerit. Pecahlah imbasan-imbasan silam itu dan diganti dengan ketakutan realiti. Abang bergegas ke bilik.
“Ibu ampunkan kesalahan abang dan adik. Juga Hayati. Tolong maafkan semua salah ibu. Bila adik kembali nanti, beritahu dia yang ibu minta maaf darinya,” kata ibu dalam syahdu. Kata-kata ibu itu menggigit hati pilu abang. Air mata tidak dapat diseka lagi. Setelah lama berdiam, akhirnya ibu pun melafazkan dua kalimah syahadah yang suci itu. Terang dan lancar. Mata ibu memandang tepat ke bahagian kanan bilik itu. Bibir ibu mengukir senyum. Dahi ibu pecah dengan keringat. Lalu ibu pun memejamkan matanya buat selamanya. Serentak itu haruman kesturi pun menaburkan wanginya ke segenap ruang. Abang terkedu. Kak Hayatimu tertunduk di kaki ibu. Ahmad, Aziz, Akmal dan Siti, anak-anak abang itu berdiri kaku di muka pintu bilik. Sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai turut bersedih.
Talqin selesai dibaca. Cerek berisi air yang berbaur dengan beberapa jenis bunga itu sudah kering. Orang ramai sudah beransur meninggalkan tanah perkuburan. Tanah perkuburan itu kini lenganglah. Abang masih duduk di sisi kubur ibu. Masih mengharap adik akan pulang. Tetapi bayang adik belum juga kelihatan. Hati abang terhiris. Di manakah adik berada?
Adik, pulanglah. Jika adik membaca luahan ini segeralah berangkat ke sini. Kakak ipar dan anak-anak saudara adik sedang menunggu dalam merindu. Begitu juga kubur ibu. Masih sempat belum pernah terlewat.
Pulanglah! Ingat, hidup ini bulatan!
Zali diresapi hiba sebaik habis membaca cerpen itu. Dapat merasai yang cerpen itu seperti ditujukan kepadanya. Mata Zali pantas mencari nama penulis cerpen itu. Terkejut bila menyedari cerpen itu adalah hasil karya abangnya – Z.R. atau Mohd Zainal Bin Rahman. Abangnya yang pernah beberapa kali menjadi ketua sidang redaksi majalah sekolah itu memang selalu menghantar karyanya ke akhbar dulu. Z.R. itu adalah nama pena abangnya sejak dulu lagi. Banyak karyanya yang sudah diterbitkan. Tetapi Zali betul-betul tidak menduga yang abangnya itu masih menghantar karyanya sampai sekarang walaupun sudah bergelar seorang pengetua sekolah. Tetapi itulah hakikatnya.
Benarkah emaknya sudah meninggal? tanyanya perlahan. Bertanya kepada diri sendiri. Zali tertunduk, matanya berair, takut. Sesungguhnya seseorang itu selalunya amat bermakna bila sudah tiada. Rupa-rupanya Zali masih ingat dan sayangkan keluarganya.



No comments:

Post a Comment