Bab 7
7.1
Sudah lama Zali tidak segelisah itu. Ana berkampung di dalam kepalanya siang dan malam. Selepas terserempak dengan Ana di dalam feri tempohari memang perempuan itulah yang selalu bermain di fikirannya. Berjaga hingga larut malam semata-mata untuk memeras otak mencari jalan mencari Ana. Dia merasa perlu berjumpa dengan Ana untuk sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih kerana mengambil berat terhadap dirinya semasa terlantar di wad dahulu. Lebih lagi kerana kata-kata azimat Ana banyak membantunya bangkit dari patah hati. Kata-kata azimat itu sampai sekarang masih diingati dan dipegangnya erat. Besar budi Ana kepadanya.
Rasa terhutang budi itu memaksa Zali berusaha mencari Ana. Dia sudah duduk berbincang dengan Mokhtar tentang usaha itu dua tiga hari lalu. Mokhtar bersikap pesimis tetapi masih bersedia membantu apa sahaja. Kata Mokhtar, mencari Ana tanpa klu seperti mencari sebutir gula di dalam seguni garam. Ana pergi begitu sahaja dahulu tanpa tinggal apa-apa alamat atau nombor telefon.
Tetapi Zali tetap percaya akan menemui Ana. Sudah pun membuat kesimpulan yang Ana mungkin bekerja di GeorgeTown. Entah dari mana idea itu muncul. Walaupun idea itu kelihatan bodoh tetapi tidak salah jika dia mencuba, fikirnya. Dan sudah pun mengambil keputusan untuk mencari Ana di Komtar, menunggu di terminal feri GeorgeTown, menanti di pangkalan feri Butterworth dan menanti di stesen bas.
Komtar.
Mercu tanda Pulau Pinang itu tidak semeriah dahulu sejak sebuah kompleks membeli belah mega, Prangin Mall, dibuka disebelahnya. Banyak perniagaan yang dulunya dibuka di situ kini berpindah ke Prangin Mall. Sebuah panggung wayang lama, Dalit, sudah ditutup dan menjadi kenangan. Persaingan sinepleks MegaPavillion yang dibuka di Prangin Mall itu terlalu kuat sehingga memaksa panggung wayang lama itu gulung tikar. Zali ada kenangan di panggung lama itu. Dia pernah beberapa kali menonton wayang di situ bersama Natasha. Tetapi kenangan bersama Natasha itu tidak lagi berbekas di hatinya. Semua kenangan bersama Natasha, baik yang manis dan pahit, sudah tidak mengganggu Zali lagi. Malah Empangan Mengkuang yang pernah menjadi saksi runtuhnya percintaannya dengan Natasha itu tidak digeruninya lagi. Sudah boleh bersiar-siar di sana tanpa takut merasa terhiris hati lagi.
Zali terus menyusuri Komtar setelah selesai menyusuri Prangin Mall tadi. Menjenguk setiap kedai, mengharap Ana ada bekerja di salah satu kedai itu. Tetapi hampa bila Ana belum dapat ditemuinya. Setelah yakin Ana tiada di situ, Zali pun keluar dari Komtar. Beredar segera dari situ kerana mahu menunggu di pengkalan feri sebelum pekerja-pekerja pulang.
Mokhtar menelefonnya ketika di dalam bas.
“Hah, Ya ke? Di mana?” tanya Zali, bermuka ceria. Mokhtar beritahu dia terserempak dengan Ana.
Mokhtar tergelak dengan kemaruk Zali itu. Mudah mempercayai katanya biar pun tahu muka Ana tidak pernah dilihatnya. Zali ada memberitahu akan mencari Ana sampai
dapat. Kalau Ana di kutub utara, Zali sanggup terbang ke sana. Kalau Ana di kutub selatan, Zali sanggup redah wilayah beku itu. Jika Ana di puncak Gunung Everest, Zali sanggup daki puncak tertinggi di dunia itu dan berani berdepan dengan reput fros. Dan jika Ana di dasar Jurang Mariana, Zali sanggup selam jurang terdalam di dunia itu dan rela berdepan lemas.
“Engkau jumpa dia di mana?” tanya Zali kelam kabut.
“Dalam tv,” jawab Mokhtar, tergelak lagi.
“Dalam tv? Dia pembaca berita ke? Wartawan?” balas Zali.
“Pemain tenis,” jawab Mokhtar.
“Pemain tenis …” Zali terhenti berkata, teringat sesuatu. Kemudian tergelak bila mengetahui Mokhtar sedang mengenakannya. Memang salahnya juga kerana terlupa bahawa Mokhtar memang tidak pernah bertemu Ana. “Hoi! Itu Anna Kournikova.”
“Hah! Ana itulah yang aku kenal,” jawab Mokhtar, tersengih di corong sebelah sana. “Engkau kena pergi Perancis kalau engkau nak jumpa dia. Dia tengah sertai Terbuka Perancis. Tak perlulah ke kutub utara, kutub selatan, Gunung Everest atau …”
Kata-kata Mokhtar itu disampuk oleh Zali. “Sudah, sudah. Aku nak turun bas ni. Dah sampai jeti. Assalammualaikum.”
Mokhtar tergelak. “Waalaikummussalam.”
Panggilan telefon itu mati. Zali menggeleng, tergelak.
Tempat menunggu feri untuk pejalan kaki di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda.
Tempat menunggu feri itu semakin dipenuhi dan digasak orang. Sekarang waktu puncak – para pekerja dari jabatan-jabatan kerajaan sedang pulang. Hampir kesemua perempuan memakai baju kurung – sopan dan cantik. Setiap dari mereka itu diperhati oleh Zali. Mata Zali tidak lekang dari memandang ke bahagian kanan untuk melihat setiap perempuan yang berjalan naik ke tempat menunggu feri itu. Tetapi kelibat Ana belum dapat dilihatnya biar pun sudah ada dua tiga orang perempuan yang memakai baju kurung merah jambu. Bila berfikir lama, Zali merasa bodoh pula kerana mengharapkan Ana akan ditemuinya di dalam baju kurung yang sama seperti tempohari. Takkanlah Ana cuma ada sepasang baju kurung itu sahaja.
Jam berputar, sudah enam buah feri berlepas, ruang menunggu feri itu mula lengang. Para pekerja sudah pulang. Langit kini pun mula kelabu. Hari hampir malam dan akhirnya Zali bangun malas dari kerusi itu dan melangkah memasuki feri. Naik feri untuk ke Butterworth. Sambil berdiri di tepi feri, mata Zali melihat selat hitam dan kini matanya melekat pada serantai kerlipan lampu yang menerangi Jambatan Pulau pinang.
Aku takkan mengalah, detik hati Zali.
Stesen bas Butterworth.
Zali menyetiai kata-katanya itu – takkan mengalah. Maka pada hari Ahad itu, Zali pun duduk di stesen bas Butterworth itu sambil memerhati perempuan yang lalu lalang. Berharap akan berjumpa dengan Ana di situ dengan cara begitu.
Stesen bas itu tidaklah seselesa mana berbanding stesen bas lama yang sudah terbakar. Sambil meneliti perempuan-perempuan yang lalu lalang, Zali sempat juga meneliti stesen bas lama yang terletak di sebelah. Stesen bas lama itu tidak diusik selama dua tahun ini selepas terbakar. Seperti tidak berguna langsung sekarang. Seperti bangunan tinggal yang tiada nilai apa-apa. Tiba-tiba ada sesuatu yang meresapi dirinya. Dirinya pun pernah terbakar dek khianat Natasha dahulu. Tetapi mujurlah dia terbakar emas – dilebur untuk dibentuk semula supaya dapat menjadi barang kemas yang lebih cantik dan bernilai. Dan orang yang bertanggungjawab mendarjatkannya semula itu salah seorangnya ialah Ana. Dan kini merasa lebih perlu untuk mencari Ana.
Sebuah bas Transit Link 501 masuk ke dalam perkarangan stesen bas itu. Berhenti di tempatnya yang berdekatan dengan tempat menunggu bas itu. Zali memerhati orang yang turun dari bas itu. Tiba-tiba matanya ternampak perempuan yang mirip Ana. Perempuan itu memakai baju yang seksi hingga menyebabkan Zali teragak-agak dan was-was pula sekarang untuk mendapatkan perempuan itu. Bila perempuan itu sudah naik ke tempat menunggu feri, barulah Zali tergesa-gesa hendak mengejarnya.
Ruang menunggu feri itu lengang. Sebuah feri sedang berlabuh. Melihat keadaan itu, Zali tergesa-gesa membubuh duit syiling di dalam tabung tambang, berlari ke pintu masuk, meminta pekerja PPSB yang menjaga pintu pagar itu supaya membenarnya masuk dan mujurlah dibenarkan. Di atas feri, Zali sengaja berjalan ke depan dan belakang dua tiga kali. Tetapi perempuan itu tak ditemuinya. Akhirnya Zali duduk lesu di bangku belakang.
Perhentian bas di Pangkalan Raja Tun Uda.
“Komtar! Komtar!” jerit seorang pencari penumpang yang menunjuk-nunjuk ke arah sebuah bas panjang yang berada di hadapan barisan bas itu kepada orang ramai yang baru turun dari feri tadi.
Beberapa orang penarik beca sedang berehat di atas beca masing-masing. Ada seorang dua penarik beca itu yang seakan sudah terlelap dengan topi menyerkup muka.
Zali terus mencari kelibat perempuan yang mirip Ana itu. Naik ke atas bas-bas yang sedang berbaris itu. Dan akhirnya dia naik ke atas bas yang berada di belakang barisan. Bas itu agak kosong. Zali memerhati tiga orang penumpang yang berada di atas bas itu dan tiba-tiba bibirnya mengukir senyum. Perempuan itu ada di situ. Sedang duduk di bangku tengah. Zali merapati perempuan itu dan terus menegur. Tetapi merasa malu bila perempuan itu berkata yang namanya bukan Ana tetapi Maya. Zali sukar hendak mempercayai pada mulanya tetapi bila diteliti muka perempuan itu barulah Zali sedar yang dia tersilap orang. Pelanduk dua serupa. Bila terkenangkan cara perempuan itu berpakaian lebih yakinlah Zali yang dia memang tersilap orang. Ana tidak seksi begini. Ana sopan.
Zali menggelengkan kepala selepas turun dari bas itu. Matanya menipunya. Lain kali dia perlu lebih berhati-hati bila melihat. Tetapi Zali tidak pernah menyesal dengan usahanya itu. Kerana usaha yang tidak mengenal jemu tidak pernah sia-sia. Menang memberi ganjaran. Gagal menghantar pengajaran.
Cawangan Maybank Bandar Perda.
Isnin itu Zali ke Maybank Bandar Perda untuk membuka akaun simpanan. Sekarang ini Zali cuma ada satu akaun bank sahaja. Dia merasa perlu untuk mempunyai sekurang-kurangnya dua akaun bank supaya urusannya mudah jika ke mana-mana nanti. Setahunya Maybank mempunyai banyak cawangan.
Segala urusan membuka akaun sudah hampir selesai. Sekarang Zali sedang beratur untuk memasukkan deposit wang sebanyak RM250 untuk membuka akaun baru itu ke dalam mesin deposit tunai. Ramai orang yang beratur dan Zali orang yang kelima dalam barisan itu. Mulanya barisan itu bergerak licin hinggalah tiba-tiba perkhidmatan mesin deposit tunai itu tergendala. Mesin deposit tunai yang satu lagi tidak boleh digunakan kerana rosak. Seorang pekerja bank datang membaiki mesin itu. Rupa-rupanya bekas besi di dalam mesin itu yang menerima wang tunai sudah penuh. Kini ia diganti baru. Dan sebentar kemudian mesin deposit tunai itu pun beroperasi semula. Selepas memasukkan wang tunai RM250 itu ke dalam mesin deposit tunai itu dan mengambil resit pembuktian, Zali pun bergerak ke kaunter membuka akaun semula. Menyerahkan resit pembuktian dan buku akaun itu kepada pegawai bank yang bertugas. Beberapa minit di situ sebelum urusannya selesai. Zali keluar dari bank itu setelah mendapat buku akaun dan juga kad ATM yang sudah ditukar nombor pinnya.
Tiba-tiba dia berselisih dengan Ana di luar bank itu. Terus menegur.
“Oh, Encik Zali,” kata Ana, memang masih ingatkan Zali. Malah di awal-awal Khairul keluar dari wad ortopedik itu, memang Zalilah selalu dikenangnya. Risau kerana
Zali tinggal seorang diri di wad. Dia mahu ke wad itu tetapi kerja yang memberat menghalangnya untuk melangkah ke sana.
“Cik Ana kenal saya lagi?” tanya Zali, gembira.
Ana mengangguk. “Saya kenal lagi. Encik Zali ke mana tadi?”
“Saya buka akaun bank,” jawab Zali.
“Di sini,” tanya Ana.
Zali mengangguk. “Di sinilah, di mana lagi?” Memang di situ hanya ada bank Maybank sahaja.
Ana tersenyum. “Betul juga. Eh, Encik Zali saya dah kena masuk ni. Lunch time dah habis,” kata Ana.
Zali kalut tiba-tiba. “Cik Ana nak masuk ke mana?”
Ana tersenyum. “Masuk bank ni lah.”
“Kerja di sini?” tanya Zali, tidak menyangka.
Ana mengangguk. “Saya kerani di sini,” jawab Ana. “Saya pergi dulu, ya,” sambung Ana selepas melihat Zali terdiam.
Zali yang kaku seketika gelabah semula. “Eh nanti dulu Cik Ana. Saya nak ucap terima kasih kepada Cik Ana sebab ambil berat terhadap saya semasa di hospital hari tu. Dah lama saya cari Cik Ana tapi baru sekarang bertemu secara tak sengaja,” kata Zali.
“Kan saya dah beritahu dulu, itu semua perkara kecil saja,” jawab Ana.
“Jadi saya rasa saya perlu belanja Cik Ana sebagai balasan untuk budi baik Cik Ana tu,” kata Zali, berusaha mencari ikhtiar untuk keluar dengan Ana.
Ana tersenyum. “Saya dah kenyang hari ni. Baru saja lepas makan di restoran,” jawab Ana. “Mungkin lain kali.”
Zali tersenyum seronok. “Jadi, boleh beri nombor telefon Cik Ana pada saya? Senang nak hubungi nanti.”
Ana tersenyum lagi. Kemudian mengambil keputusan untuk memberi nombor telefon rumahnya. Ini kali pertama nombor telefon itu terlepas ke tangan seorang lelaki. Ana yakin Zali jujur dan ikhlas orangnya. Memang sejak dulu lagi Ana mahu mengenali Zali dengan lebih rapat tetapi keadaan tidak mengizinkan.
Zali beredar dari bank itu dengan perasaan gembira. Tidak menduga kelambatan yang berlaku sewaktu di hadapan mesin deposit tunai tadi rupa-rupanya ada balasannya. Memang kebetulan yang menyenangkannya.
7.2
Zali menelefon Ana pada malam itu juga. Bercakap hampir sejam. Malam esoknya begitu juga. Begitu juga pada hari-hari berikutnya. Sehinggalah mereka berjumpa di USM. Itu pun selepas Ana memberitahu yang dia akan ke USM untuk bertemu Khairul pada pagi Ahad itu. Zali bergegas ke USM. Jumpa Ana dan Khairul di Desa Aman Damai. Belanja Ana dan Khairul makan.
Sehari lepas sehari, seminggu tukar seminggu, dan akhirnya bulan berkalih bulan, sampailah waktunya di mana Zali mula merasai kelainan perasaannya terhadap Ana. Perasaan jernih, putih dan bersih yang dinamakan cinta itu mula terbit di dalam hati Zali. Cinta mencetus rindu dan rindu menyemarakkan lagi cintanya terhadap Ana. Kerana
tidak mahu menyimpan lagi cintanya itu di dalam dadanya selamanya, akhirnya Zali mengambil keputusan untuk meluahkannya kepada Ana melalui telefon. Memang itulah satu-satunya cara untuk meluahkan perasaanya itu kerana mereka berdua tidak pernah keluar tanpa Khairul. Susah hendak luahkan segalanya jika Khairul ada bersama.
“A untuk ya, b untuk tidak, dan c untuk nanti dulu,” kata Zali, cuba memudahkan Ana untuk memberikan jawapan. Ana terdiam di corong sebelah selepas Zali meluahkan cintanya itu.
Ana terus didengar membisu oleh Zali tetapi sebenarnya tergelak kecil di hujung sana. Tergelak kerana gelihati. Macam anak-anak, fikirnya.
“Yang mana satu, Ana?” tanya Zali, risau dengan diam Ana itu.
“D,” jawab Ana.
“D?!” sambut Zali. “D tiada dalam senarai,” kata Zali kemudian.
“Tak ada ke? Selalunya kalau soalan objektif ada sampai pilihan D,” jawab Ana, tergelak kecil.
“Soalan ini istimewa sedikit jadi pilihan jawapannya pun istimewa juga,” jawab Zali. Tergelak.
Ana tersenyum. Semakin dikenalinya, Zali semakin dapat mencuri hatinya. Malah Ana sekarang memang sudah pun menyintai Zali. Terpikat pada kejujuran dan keikhlasan hati Zali. Cerita tentang Natasha dan Zali pun sudah diketahui semuanya dari mulut Zali sendiri. Dan Ana percaya Zali adalah lelaki yang boleh menjadi kekasih, suami dan bapa yang baik kelak.
“Jadi, bagaimana Ana? A, b atau c?” tanya Zali, berani dan yakin.
“Mmm …” kata Ana, “Awak nak suruh saya pilih huruf apa?” tanya Ana.
“Kalau saya tentulah saya suruh awak pilih a,” jawab Zali pantas.
Ana tergelak. “Kalau macam tu … a lah,” jawab Ana, bersedia jadi kekasih Zali.
“A?!” tanya Zali, menjerit, terkejut biar pun yakin sudah mencuri hati Ana.
“Ya …” jawab Ana. “Awak tak suka ke huruf tu? Kalau begitu saya pilih b lah,” kata Ana, melawak.
“Eh, eh, a tu dah molek,” balas Zali, pantas. Tergelak.
Mereka tergelak.
“Bila awak jatuh cinta kepada saya ni?” tanya Ana selepas gelak selesai.
“Sebulan lepas. Semasa kita di Bukit Bendera hari tu. Semasa awak belikan saya air mineral tu. Awak pula?” jawab dan tanya Zali.
“Saya jatuh cinta pada awak masa hari tu juga. Sebab tu saya kelam kabut belikan awak air mineral bila awak kata awak letih dan dahaga,” jawab Ana.
Mereka sama-sama ketawa.
No comments:
Post a Comment