Pages

Tuesday, December 4, 2012

TLC 6





Bab 5

5.1

Gelap – berkabus – cerah. Matanya merenung syiling putih.
Sunyi – dengung – bingit. Telinganya ditampar suara-suara.
Tanpa bau – berbau. Hidungnya digerudi bau bauran ubat-ubatan.
Tersentak. Zali menoleh ke kiri kanan, mendapati yang dirinya sekarang di dalam sebuah wad ortopedik. Zali ditempatkan di katil tepi sekali, yang jauh dari pintu masuk. Katil di sebelahnya tidak berpenghuni. Jiran terdekat berjarak dua buah katil darinya. Seorang remaja lelaki sedang membaca suratkhabar sambil terlentang berada di atas katil itu. Kaki kanan remaja lelaki itu bersimen. Zali teringatkan peristiwa terakhir yang menimpa dirinya. Zali kalut memeriksa kaki kanannya. Kaki kanannya itu juga bersimen. “Nurse! Nurse!”
jeritnya, memanggil jururawat hampir tanpa sebab. Pelbagai persoalan menerpa fikirannya sekarang.
Remaja lelaki yang sedang leka membaca suratkhabar itu terkejut. Cepat-cepat menoleh ke arah Zali yang sedang menjerit macam orang kena histeria itu. Dalam kegawatan itu, remaja lelaki itu pun memanggil seorang jururawat yang sedang memeriksa pesakit di katil bertentangan. “Nurse! Pesakit baru tu nak turun dari katil!”
Zali meregang tilam, berusaha menegakkan badannya tetapi tidak termampu. Tiba-tiba Zali merasa amat sakit, seperti ada cakar besar dan tajam yang mencengkam pinggulnya. “Arghhh,” raung Zali, menahan sakit sehingga terbit titis-titis air mata di sudut kelopak matanya yang lebam itu. Zali kuatkan hati, mengetap gigi hingga
rahangnya timbul di balik kulit pipinya, meregang tilam dan cuba menegakkan badan sekali lagi. Tetapi dia dicengkam cakar kesakitan semula. “Arghhhhh, Na-ta-shaaa!!!” raung Zali lagi. Zali terlentang lemah, titis-titis air mata itu kini menganak sungai. Perasaannya kini bercampur baur – sakit dan hampa.
Jururawat itu tiba di katil Zali. “Kenapa encik?” tanya jururawat itu, Maya – nama yang tertera di tag nama yang dipakainya.
Zali membisu. Air matanya sahaja yang bersuara – terus mengalir.
“Kenapa encik?” tanya Maya lagi sambil memerhati kain cadar yang sudah berkerinyut itu.
“Abang tu nak turun dari katil tadi!” jerit remaja lelaki yang mengikuti kegawatan itu tadi.
Maya menoleh ke belakang, meletakkan jari telunjuknya ke bibir, menyuruh remaja lelaki itu menutup mulut. “Saya tanya encik ni. Adik Khairul sila diam,” katanya selepas remaja lelaki yang bernama Khairul itu menunjukkan riak muka keliru.
Khairul mengangguk, mengambil Mingguan Malaysia dan cuba meneruskan bacaan. Cuba tidak menghiraukan apa yang sedang berlaku pada jiran barunya itu. Tetapi prihatinnya mendesaknya menajamkan telinga dan memanjangkan ekor mata.
“Encik nak ke mana?” tanya Maya, tidak pasti mengapa pesakit di hadapannya itu menangis teresak. “Encik nak ke tandas?”
Zali menggeleng, mengesat air matanya sambil memandang syiling putih.
“Encik nak apa?” tanya Maya lagi, mengambil berat kehendak pesakit.
Zali menggeleng. Tidak kuasa hendak bercakap. Perasaan yang bercampur baur itu sedang membiak banyak di dalam dadanya.
“Baiklah. Saya pergi dulu. Kalau encik ada apa-apa masalah atau nak minta apa-apa, panggil saja saya atau jururawat-jururawat yang lain, ya,” kata Maya.
Zali mengangguk lemah.
Maya ingin pergi dari situ tetapi langkahnya terhenti bila terdengar Zali bersuara tiba-tiba.
“Nurse,” Zali melihat Maya, menyambung kata selepas jururawat itu mengangkat kening, “Siapa yang hantar saya ke sini?”
Maya melangkah merapati katil Zali. Kemudian memberitahu kepada Zali yang dia dihantar oleh seorang penoreh getah berbangsa Cina enam jam yang lalu. Kemudian Maya berlalu setelah tidak didengarnya apa-apa soalan dari mulut Zali lagi.
Zali mengeluh pendek selepas Maya menjauhinya. Bersyukur kerana dirinya ditemui oleh penoreh getah itu.
Kemudian, Zali pejam mata, terbayangkan peristiwa di masjid, terimbaskan pergelutan di kebun getah dan tiba-tiba telinganya terdengar-dengar bunyi derak tulang kaki kanannya yang patah dihentam oleh sebatang besi. Selepas itu dirinya pitam dan seterusnya pengsan. Dan kini Zali tertidur …

5.2

Ada segunung rahsia di situ, detik hati Khairul. Sudah banyak kali ditelitinya muka Zali dari jauh. “Natasha!!!” jeritan Zali itu menghurung fikirannya sehari suntuk.
Ingin tahunya membesar. Sudah pun bercadang hendak mencungkil rahsia di sebalik jeritan itu bila berkesempatan nanti.
“Hey, adik,” tegur seorang perempuan yang sudah berdiri di sisi katil Khairul itu. Kehadirannya tidak disedari oleh Khairul.
Khairul terkejut dan matanya meliar mencari suara yang menegurnya. Tersenyum bila matanya menangkap muka kakaknya. “Buat terkejut adik sajalah kakak ni. Lambat Kak Ana datang hari ni.”
Ana tersenyum, kemudian memberitahu jalan sesak. Meletakkan sebungkus buah epal dan suratkhabar di atas meja sisi. “Adik nak makan epal?” tanya Ana.
Khairul menggeleng. “Masih kenyang, kak,” jawab Khairul, mencapai suratkhabar.
“Apa yang adik tengok tadi?” tanya Ana, duduk di kerusi di sisi katil itu.
Zali memuncung bibirnya ke arah katil Zali.
“Kenapa?” tanya Ana, teruja hendak tahu.
Khairul pun memberitahu apa yang terjadi sejurus Ana pulang semalam.
“Natasha?” tanya Ana, merenung muka Khairul.
Khairul mengangguk, yakin yang nama itulah yang didengarnya semalam. “Siapa Natasha tu, kak?”
Ana mengangkat bahu. “Manalah kak tahu. Mungkin isteri dia. Mungkin tunang dia. Mungkin kekasih dia. Atau …”
“Natasha!!!” Jeritan Zali memecah sunyi wad ortopedik itu. Mata Zali terbuka tiba-tiba. Termimpikan Natasha membunuhnya.
Ana berkejar ke katil Zali. Ingin menjenguk jika ada apa-apa yang dapat dibantunya. “Encik, encik, encik tak apa-apa?” tanya Ana.
Mata Zali terpejam semula. Lemah. Telinganya mendengar suara Ana itu tetapi membiarkan sahaja suara itu terus memanggilnya. Tidak ingin menjawab.
Ana kembali ke katil Khairul setelah yakin Zali tertidur semula. Dan selang beberapa minit, Ana dan Khairul terdengar Zali mengigau : “Natasha … jangan tinggalkan I …” Sayu. Kemudian selang beberapa minit ditambah pula dengan : “Sial! Perempuan tak guna! Natasha …” Gerun.
Kini, bukan sahaja Khairul yang makin marak ingin tahunya tetapi Ana juga. Ana teramat pasti yang semua kecederaan yang dialami oleh jiran adiknya itu disebabkan oleh perempuan bernama Natasha itu. Tiba-tiba terbit rasa simpati di dalam hatinya terhadap lelaki itu.
Salah satu lubang datangnya kasih dan sayang ialah simpati.



No comments:

Post a Comment