Pages

Thursday, December 20, 2012

Hilang Yang Belum Kembali



Ingat tak posting aku Durian Oh Durian hari tu. Dalam posting tu aku ada janji nak cerita pada korang sebab musabab kenapa aku dah tak berapa nak makan durian sejak tingkatan 5. Posting kali ini untuk memenuhi janji tersebutlah.

Ceritanya begini :

Pada suatu hari.... (hehehe). Kita cerita santai-santai sahajalah ye tak....

Sudah dua kali. Kedua-dua kali itulah kami pulang dengan tangan kosong. Akhir-akhir ini hujan asyik turun pada sebelah malam. Bila pergi selepas hujan reda habuk pun tak ada. Yang diperolehi percuma kasut kotor dan baju basah dan aku sudah pun beberapa kali bersin tanda hendak dihinggapi selsema. Tadi bila kembali ke wing, dom kami itu, di tengah-tengah malam buta yang hening itu terhidulah semerbaknya aroma bau raja buah itu.
"Ada orang lebih awal daripada kita ," kata kawanku itu yang termengah-mengah datang ke bilikku itu.
Aku mengangguk. "Patutlah kita dapat habuk saje... . Kita cuba lagi esok. Kali ini kita turun awal," kataku.
Kawanku itu bersetuju.
Seperti yang dirancang, kami ke kebun durian di belakang MRSM Balik Pulau itu lebih awal daripada hari-hari sebelumnya. Kami berdua panjat tebing berbatu untuk sampai ke kebun durian yang dikatakan milik mrsm itu. Entah betul atau tidak, wallahualam. Tapi begitulah yang dikhabarkan dari mulut ke mulut sejak dulu.
Hujan merintik sebaik kami menjejakkan kaki ke kebun durian itu. Hujan yang merintik itu pantas pula bertukar lebat. Ah, sudah....
"Berundur ke?" tanya kawanku itu.
Aku menggelengkan kepala. Pantas. Menegaskan bahawa kami tidak akan berundur. Aku sudah nekad sejak malam tadi yang takkan pulang dengan tangan kosong hari ini. Malah terbawa-bawa hingga ke mimpi.
Beberapa minit kemudian, terdengar bunyi durian jatuh. Aku lihat kawanku. Kawanku lihat aku. Kami tersenyum. Terdengar bunyi durian jatuh lagi. Berselang seli di sebelah kanan dan kiri. Kami terus melangkah seribu. Berpecah dua. Hujan diredah. Angin ditentang. Setengah jam kemudian kami kembali berkumpul di tebing berbatu tempat kami naik tadi. Di tangan masing-masing ada tiga biji durian yang besar. Kami berbalas senyuman.
Buru-buru turun dan kembali ke blok asrama senyap-senyap. kami mengopek buah durian itu sebaik sampai di belakang blok asrama itu. Isi-isi durian itu kenyal, kuningnya menawan, rasanya lemak manis. Kami makan dengan gelojoh. Tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kami makan habis semua durian itu. Tiga biji seorang dalam satu malam!
Badan tak rasa panas pun. Elok saja. Aku sendawa kekenyangan beberapa kali. Memang nikmat malam tu...
Keesokan harinya aku bangun macam biasa. Pagi-pagi buta lagi, kawan aku tu datang ke bilik aku. Dia ajak aku ke kebun durian tu lagi malam nanti. Entah macamana aku geleng kepala - satu fiil yang tak pernah aku lakukan selama ini. Tiba-tiba keterujaanku untuk mengambil durian hilang. Padfa sebelah malamnya, kawan aku pergi dengan seorang kawan lain ke kebun durian tu. Mereka dapat tiga biji durian. Mereka mempelawa aku makan durian. Aku geleng kepala, menolak. Tiba-tiba seleraku pada durian hilang sekelip mata. Sejak itu kegilaanku terhadap durian hilang.
Kata orang, aku disampuk hantu durian. Entah betul entah tidak, tak tahulah.

Yang pastinya perasaan sukakan durian itu sudah hilang dan nampak belum mahu kembali.....




3 comments: